Author: Admin

  • Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri

    Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri

    LIMA orang pekerja balak yang menghuni sebuah rumah kongsi berdekatan Sungai Kelemin di Hulu Dungun, Dungun, terpaksa menggadai nyawa merenangi banjir sejauh 300 meter untuk ke tebing sungai, sebelum diselamatkan pihak bomba.

    Nasir Abdullah, 57, berkata beliau bersama rakan-rakannya terperangkap sejak petang semalam akibat air yang naik mendadak sehingga menenggelamkan sebuah jambatan kecil yang merupakan satu-satunya laluan keluar daripada rumah kongsi itu.

    “Kami sudah berada di rumah kongsi sejak lima hari lepas dan hujan sejak semalam menyebabkan air naik begitu cepat menyebabkan kami tidak boleh keluar hari ini. Bekalan makanan pun semakin berkurangan jadi kami pun menghubungi majikan dan minta diselamatkan.

    “Selepas itu kami keluar dari rumah kongsi dan berenang sampai ke tebing sungai sebab jambatan sudah tenggelam. Bomba pula ambil kami dengan bot,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diselamatkan pasukan penyelamat di tebing Sungai Kelemin, Kampung Talong, Hulu Dungun, di Dungun hari ini.

    Nasir yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata meskipun rumah kongsi didiaminya terletak di kawasan yang tinggi namun beliau dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan itu kerana bimbang sekiranya banjir semakin buruk dan mereka akan terputus bekalan makanan.

    Sementara itu Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata pasukan penyelamat mengambil masa selama 40 minit untuk menyelamatkan pekerja rumah kongsi berkenaan dengan menyeberangi Sungai Kelemin sejauh lapan kilometer.

    “Kerja-kerja penyelamatan dilakukan oleh empat anggota Balai Bomba AMBS dan dibantu empat anggota polis dari Balai Polis Kuala Jengal, dengan menggunakan sebuah bot milik bomba.

    Keadaan arus sungai yang deras dan risiko kayu balak yang hanyut menyebabkan kita mengalami kesukaran menyelamatkan pekerja-pekerja yang berumur lingkungan 50-an itu,” katanya.

    Dalam pada itu Zul Husni menasihati semua pekerja rumah kongsi terutama yang terletak berdekatan sungai supaya lebih berhati-hati apabila tibanya musim tengkujuh.

    Katanya mereka juga perlu keluar dari rumah kongsi lebih awal sekiranya keadaan hujan berterusan bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan keadaan banjir yang lebih buruk sehingga menyukarkan operasi menyelamat. – Bernama

  • Srikandi Muda kukuhkan Bersatu hadapi PRU-15

    Srikandi Muda kukuhkan Bersatu hadapi PRU-15

    SAYAP baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Srikandi Muda bakal menjadi elemen penting parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sokongan penuh yang diberikan kepada Srikandi Muda antara kesiapsiagaan Bersatu bagi menghadapi PRU-15.

    Katanya, sayap Srikandi Muda yang pada asalnya satu biro di bawah Srikandi Bersatu amat penting memandangkan seramai 5.8 juta pengundi muda akan mengundi pada PRU akan datang.

    “Jadi perlu untuk kita menubuhkan sayap baharu Srikandi Muda. Sebagai Ketua Srikandi, kami menyokong penuh dan mengalu-alukan penubuhan sayap ini demi mengukuhkan parti Bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan 2021, hari ini.

    Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan ahli Srikandi, kira-kira 37 peratus terdiri daripada wanita yang berusia 35 tahun ke bawah.

    “Jadi kita nampak ada sambutan yang menggalakkan. Dengan penubuhan Srikandi Muda ini, sudah pasti penerimaan daripada wanita muda terutamanya akan lebih kukuh kepada parti Bersatu,” ujarnya.

    Rina turut mengakui penubuhan Srikandi Muda akan menyebabkan jumlah ahli Srikandi Bersatu berkurangan.

    “Namun ia tidak mematahkan semangat kami kerana ini adalah salah satu usaha untuk mempergiatkan penambahan ahli parti.

    “Apa yang penting adalah untuk parti dan juga untuk menarik minat golongan muda kepada Bersatu dengan lebih giat lagi,” katanya.

  • PPDNHEP Pulau Pinang kesan 9 kes naik harga ayam, menu makanan

    PPDNHEP Pulau Pinang kesan 9 kes naik harga ayam, menu makanan

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merekodkan sebanyak sembilan kes berkaitan kenaikan harga ayam dan penandaan tanda harga bagi menu makanan di premis termasuk restoran di negeri itu.

    Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan susulan aduan menerusi akhbar mengenai harga ayam melebihi harga maksimum Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) serta Ops Menu di daerah Barat Daya dan Timur Laut.

    Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan bersama Ketua Seksyen Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (SKHAP), Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Zubir Hamsa hari ini.

    Jelas beliau, pemeriksaan itu mendapati peniaga pasar awam di daerah terbabit mematuhi harga SHMKM yang telah dikuatkuasakan pada 7 Disember lalu melibatkan 12 barangan keperluan seperti kategori ayam hidup, ayam standard, ayam super dan sayur-sayuran.

    “Ops Menu pula dijalankan bagi memastikan pemilik restoran dan kedai makan mematuhi penandaan tanda harga dan pemakaian alat timbang selain mengamalkan budaya perniagaan beretika dan tidak memperdayakan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya turut menjalankan sebanyak 249 pemeriksaan sejak SHMKM berkuat kuasa dan merekodkan tujuh kes dengan nilai kompaun sebanyak RM500 manakala dua kes lagi dicatatkan dalam Ops Menu melibatkan 490 pemeriksaan.

    Dalam masa sama, beliau mengingatkan mana-mana peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah dengan niat untuk mendapatkan keuntungan berlebihan.

    Tegasnya, perbuatan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

  • 108 PPS dibuka di 6 negeri – Rina Harun

    108 PPS dibuka di 6 negeri – Rina Harun

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka sebanyak 108 pusat pemindahan sementara PPS bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri terjejas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

    Beliau berkata, setakat ini lebih 5,000 orang terjejas akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak semalam.

    “108 pusat pemindahan sementara telah dibuka yang melibatkan enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Setakat ini, jumlah kesuluruahan mangsa adalah seramai 5,846 orang,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini.

    Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada sidang akbar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini

    Katanya, beberapa bilik gerakan JKM Daerah dan Negeri di kawasan yang terjejas turut dibuka bagi memudahkan urusan mangsa.

    Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan di negeri berikut:
    Selangor- 03-55456856
    Pahang- 09-5650226
    Kelantan- 09-7416925. -SB

  • Saran PRU-15 ditangguh, tumpu pulihkan negara-Armada

    Saran PRU-15 ditangguh, tumpu pulihkan negara-Armada

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyarankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu ditangguhkan buat sementara waktu sehingga negara benar-benar menyelesaikan masalah Covid-19 dan ekonomi.

    Bagaimanapun kata Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tarikh itu terpulang kepada kemampuan kerajaan dalam usaha pemulihan negara yang sepatutnya berlangsung pada tahun hadapan dengan lebih rancak.

    “Jadi, kita tak mahu perjudikan nyawa dan ekonomi rakyat hanya kerana beberapa kepimpinan UMNO risau akan kedudukan mereka jikalau ditempuh PRU-15, jadi kita harap kerajaan hari ini kekal stabil, Bersatu akan terus mendokong kerajaan pada hari ini.

    “Kita juga harap kerajaan pada hari ini menjunjung keluhuran perlembagaan kedaulatan undang-undang agar mereka yang dituduh dan yang didapati bersalah benar-benar menerima hukuman setimpal,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Perhimpunan Agung Tahunan Armada 2021, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas mengenai kelemahan jentera Bersatu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dibangkitkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam ucapan perasmian Armada dan Srikandi Bersatu, beliau berkata, semua itu mempunyai pengajaran bermakna.

    Kekalahan itu katanya, selain pengalaman dalam PRN Sabah memberi pengajaran untuk jentera parti merancang gerak kerja pada masa akan datang.

    Selain itu beliau berkata, kekalahan Perikatan Nasional (PN) PRN) Melaka, selain pengalaman dalam PRN Sabah hujung tahun lalu, memberi pengajaran bermakna untuk jentera parti merancang gerak kerja pada pilihan raya akan datang.

    “Benar, ini antara cabaran utama Bersatu, dan Armada. Kebanyakan yang menyertai Bersatu tidak pernah menyertai parti politik lain sebelum ini. Ahli Armada pun semua pertama kali sertai politik. Saya pun pertama kali isi borang parti politik.

    “Jadi memang kami kurang pengalaman dan ilmu, tapi kami akan dimatangkan dengan pengalaman yang dilalui di Sabah dan Melaka dengan belajar daripada kelemahan dan kita akan baiki tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

    “Yang penting, kita tahu bagaimana untuk kekal relevan pada pilihan raya akan datang dan Armada perlu ada perancangan dan strategi yang khas,” katanya.

    Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapan perasmiannya berkata, sikap menuding jari dan menyalahkan sesama sendiri adalah antara kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan besar Perikatan Nasional (PN), khususnya calon Bersatu di PRN Melaka.

    Jentera Bersatu juga dilihat mengamalkan model politik lama apabila lebih gemar berkumpul sesama sendiri dan berseronok di Melaka, berbanding turun mendekati rakyat, selain kurang ‘ilmu pilihan raya’ serta kurang semangat berpasukan.

  • Sekolahku Sejahtera bukan subjek baharu, hanya penerapan nilai murni – Radzi

    Sekolahku Sejahtera bukan subjek baharu, hanya penerapan nilai murni – Radzi

    KONSEP ‘Sekolahku Sejahtera’ yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bukan subjek baharu sebaliknya lebih kepada penerapan nilai murni kepada pelajar, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata konsep berkenaan memberi peluang kepada guru untuk ‘bercerita’ secara santai mengenai elemen penting kehidupan dalam bahasa mudah agar difahami dan diingati pelajar.

    “Kita lihat anak-anak sejak kecil biasanya didedahkan dengan konsep penting yang terhad, contohnya seperti hormat-menghormati dan bekerjasama. Dalam konteks ‘Sekolahku Sejahtera’, kita ingin kembangkan konsep ini, contohnya menyentuh mengenai isu integriti dan kes penyelewengan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Putrajaya, hari ini.

    Isnin lepas (13 Dis), Radzi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat berkata KPM dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’, yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

    Beliau berkata konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ juga membolehkan elemen nilai murni diterapkan sejak kecil bagi membolehkan murid mengingati kesan baik dan buruk sesuatu perbuatan atau perkara sehingga mereka dewasa kelak.

    Mengulas mengenai penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir, Radzi berkata KPM sentiasa bekerjasama dengan jawatankuasa bencana daerah dan negeri sekiranya terdapat keperluan untuk menggunakan institusi pendidikan itu memandangkan pihak sekolah dilatih dengan pendekatan dan penyelesaian terbaik ketika banjir.

    Beliau berkata pihak sekolah juga sentiasa bersiap siaga, khususnya di negeri yang menghadapi musim tengkujuh untuk menyediakan fasiliti berkaitan sekiranya banjir semakin teruk.

    Kejohanan badminton anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) bertempat di Gelanggang Badminton, Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini, berlangsung tiga hari sejak semalam dan jadual berakhir esok (19 Dis). – B

  • Banjir di Melaka:Balai Polis Lubok Cina, jentera bomba tenggelam

    Banjir di Melaka:Balai Polis Lubok Cina, jentera bomba tenggelam

    BALAI Polis Lubok Cina dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Masjid Tanah ditenggelami air sejak pukul 5 pagi tadi.

    Keadaan itu berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan paras Sungai Rembau yang kira-kira 100 meter dari bangunan dan jentera berkenaan melimpah ke daratan.

    Melalui hantaran dalam Facebook Polis Alor Gajah, balai polis berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

    Sementara itu, anggota bomba menjalankan gerakan menyelamat mangsa banjir di Kampung Telok Berembang berkata, jentera berkenaan diletakkan berhampiran balai polis itu awal pagi tadi.

    Menurutnya yang enggan dikenali, semua anggota bomba sibuk menjalankan gerakan menyelamatkan mangsa banjir di beberapa kampung, terutama Kampung Telok Berembang yang paling teruk terjejas.

    Balai polis di Alor Gajah turut dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam

    “Bagaimanapun, apabila mereka kembali ke lokasi jentera itu diletakkan, mereka dapati jentera sudah dinaiki air,” katanya.

    Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, air masih belum surut, sekali gus menyebabkan jentera berkenaan masih belum mampu dialihkan.

    Peniaga warung di pekan Lubok Cina, Mohd. Rozi Khamis, 45, berkata, warungnya yang berhampiran balai polis itu dinaiki air pukul 5 pagi.

    “Saya pergi ke warung untuk menyelamatkan 100 doh roti canai tetapi tidak sempat kerana air sudah naik kira-kira 1.5 meter dan saya terkejut apabila mendapati balai polis juga sudah dinaiki air.

    “Bagaimanapun, saya diberitahu, semua anggota polis dalam balai berkenaan sudah keluar sebelum air mencecah paras 1.5 meter,” katanya.

  • Seorang nelayan Myanmar dikhuatiri lemas bot karam

    Seorang nelayan Myanmar dikhuatiri lemas bot karam

    SEORANG nelayan warga Myanmar dikhuatiri lemas manakala empat yang lain berjaya diselamatkan selepas bot mereka karam di perairan Kuala Kuantan di Kuantan semalam.

    Empat mangsa tersebut diselamatkan nelayan tempatan yang berada sekitar lokasi, mereka semuanya berusia 25 hingga 37 tahun.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, nelayan warga asing itu menaiki bot nelayan kelas C karam kira-kira 3.8 batu nautika akibat dipukul ombak.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bermula pukul 4.15 petang semalam selepas menerima laporan daripada pemilik bot.

    “Bot ronda maritim yang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan segera diatur gerak bagi melaksanakan operasi carilamat.

    “Maklumat turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan termasuk beberapa rakan pemilik bot yang turut membantu dalam operasi pencarian,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Maritim Malaysia Pahang membuka bilik gerakan operasi carilamat seorang nelayan warga Myanmar yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Perairan Kuala Kuantan semalam.

    Amran berkata, operasi ditangguhkan pada pukul 7 petang semalam dan disambung semula jam 7 pagi ini.

    “Operasi hari ini turut melibatkan pesawat udara Maritim dengan keluasan sektor pencarian 178 batu nautika persegi namun setakat ini masih gagal ditemui,” katanya.

    Tambah beliau, Maritim sentiasa menasihatkan bot nelayan tempatan terutama bot kecil supaya lebih berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora ketika ini.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.

  • 3 sebab UMNO tuntut Parlimen Alor Setar daripada MCA

    3 sebab UMNO tuntut Parlimen Alor Setar daripada MCA

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Perwakilan yang menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar hari ini turut menandatangani memorandum untuk menuntut supaya kerusi Parlimen Alor Setar yang sebelum ini ditandingi MCA, diserahkan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen tersebut dari Pakatan Harapan (PH).

    Katanya, sehingga kini terdapat tiga sebab mengapa UMNO perlu diberi ruang untuk kembali bertanding di kawasan itu dengan satu daripadanya adalah, jumlah pengundi Melayu merupakan yang tertinggi di Alor Setar iaitu mencecah 64 peratus atau 70,000 orang.

    “Keduanya apabila kalah pada PRU-14, wakil MCA terus hilang selama tiga tahun dan hanya timbul kembali pada tahun ini. Manakala sebab ketiga adalah MCA tidak memiliki calon untuk diketengahkan di Parlimen Alor Setar sedangkan UMNO memiliki barisan calon berwibawa,” katanya selepas merasmikan mesyuarat tersebut di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), hari ini.

    Ini bukan kali pertama perkara itu dibangkitkan dengan gesaan sama turut pernah disuarakan dalam mesyuarat UMNO bahagia itu, tahun lalu.

    Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkata, perkara itu sebelum ini turut pernah disuarakan kepada kepimpinan UMNO di peringkat Pusat dan perkara itu juga dirasakan pernah dibincangkan dalam kalangan pemimpin BN.

    “Dalam dua atau tiga siri perbincangan sebelum ini pun saya telah tegaskan kepada pemimpin MCA di Alor Setar yang mereka tidak mempunyai calon sesuai untuk diletakan di sini. Jadi saya cadangkan kepada MCA untuk memberi tumpuan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman.

    “Jika itu berjaya dilakukan, saya yakin kita akan menang Kerusi Parlimen Alor Setar dan tiga lagi kerusi DUN dalam Parlimen ini,” katanya.

    Mohd. Yusof menambah, kemenangan BN di Parlimen itu cukup penting untuk dicapai memandangkan pembangunan di kawasan tersebut dilihat seakan terbantut apabila PH berjaya menewaskan calon MCA dalam pilihan raya lalu.

    “Bersandarkan keadaan semasa, kita memang dapat melihat bahawa peluang UMNO untuk menang di kerusi Parlimen ini lebih tinggi berbanding MCA,” katanya.

  • Lebih 3,000 mangsa banjir Selangor dipindah ke 30 PPS

    Lebih 3,000 mangsa banjir Selangor dipindah ke 30 PPS

    SERAMAI 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam. 

    Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis, berkata di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan jumlah membabitkan seramai 2,604 mangsa.

    Katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan  SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang. 

    Sebuah lori meredah air banjir yang membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam 

    Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa. 

    Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.

    Katanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan. 

    Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.  – Bernama