Author: Admin

  • Banjir: Bantuan sewajarnya bagi pekebun kecil terjejas – Zuraida

    Banjir: Bantuan sewajarnya bagi pekebun kecil terjejas – Zuraida

    KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menyediakan bantuan sewajarnya buat pekebun kecil yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa negeri, kata Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan dana menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan beberapa organisasi bagi tujuan tersebut.

    “Setakat ini kita belum menerima sebarang permohonan atau aduan berkaitan… kita akan lihat dan pertimbangkan nanti sekiranya ada keperluan khusus lain yang memerlukan peruntukan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Foundation of Women Community in Sports Malaysia (FOWCUS) di Kuala Lumpur, hari ini.

    Zuraida adalah Presiden FOWCUS yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi memartabatkan penglibatan golongan wanita dalam bidang sukan.

    Negeri yang terjejas banjir dan melibatkan penempatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) ialah Pahang, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor.

    Zuraida berkata, situasi banjir yang masih melanda di beberapa negeri berkenaan dijangka tidak memberi kesan besar kepada sektor komoditi negara terutama sawit dan getah.

    “Mungkin dari aspek pekerja dan operasi sedikit terjejas pekerja iaitu kesukaran menguruskan ladang dan sebagainya,” katanya. – Bernama

  • Seludup ketika banjir, PGA7 rampas barang RM889,915

    Seludup ketika banjir, PGA7 rampas barang RM889,915

    BATALION ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas barang seludup bernilai RM889,915 dalam permeriksaan sekitar kira-kira 41.8 kilometer di sempadan negara dari Rantau Panjang, Pasir Mas hingga Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sejak empat hari lepas.

    Pegawai Pemerintah Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, limpahan air Sungai Golok berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas didapati memudahkan penyeludup untuk melakukan kegiatan haram mereka.

    Beliau berkata air sungai yang melimpah tebing menyebabkan perahu digunakan penyeludup dapat sampai ke jalan raya sekali gus memudahkan mereka untuk memunggah barangan terlarang.

    “Dari jalan raya, mereka akan guna kenderaan untuk menempatkan barangan seludup ke tempat-tempat transit sebelum barangan tersebut diedarkan ke tempat lain pula. Bagaimanapun modus operandi ini berjaya dikesan PGA7 yang berjaya membanteras kegiatan itu menerusi 17 rampasan dalam tempoh empat hari berkenaan,” kepada pemberita selepas meninjau pos kawalan PGA di Rantau Panjang yang ditenggelami air, di Pasir Mas, hari ini.

    Sementara itu Azhari berkata empat daripada 17 pos kawalan agensi keselamatan itu iaitu Pos Ibrahim Pencen, Pos Pak Teh Kana, Pos Kaloi dan Pos Serongga, yang terletak di tebing Sungai Golok, ditenggelami air lebih 2 meter sejak beberapa hari lepas.

    “Ketika ini 31 pegawai dan anggota yang bertugas di empat pos berkenaan telah dipindahkan ke tempat selamat namun penugasan mereka masih diteruskan. Walaupun berdepan cabaran bencana banjir, namun 400 pegawai dan anggota PGA7 yang mula ditugaskan sejak 16 Dis lalu kekal tabah dan cekal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.- Bernama

  • Lakukan ujian saringan Covid di PPS, cegah kluster baharu – Agong

    Lakukan ujian saringan Covid di PPS, cegah kluster baharu – Agong

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku. 

    Seri Paduka bertitah ujian itu membolehkan mereka yang didapati positif COVID-19 diasingkan daripada mangsa lain, selain semua pihak yang berada di PPS perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan memandangkan COVID-19 masih berlaku.  

    “Ini (ujian saringan) perlu dijadikan keutamaan kerana tak mahu PPS menjadi kluster. Sila ambil perhatian pada siapa yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara ini tidak boleh dikompromi,” titah Al-Sultan Abdullah semasa menyantuni 225 mangsa banjir di PPS Wisma Belia, Indera Mahkota, Kuantan, hari ini. 

    Turut berkenan berangkat menyantuni mangsa ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dua anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. 

    Terdahulu, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS itu disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. 

    Seri Paduka juga menitahkan pihak terlibat dengan operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa banjir sama ada yang berada di PPS atau tidak. 

    “Untuk semua terutamanya yang berada di pedalaman, jika harus berpindah ikutlah arahan. Nasihatkan juga anak-anak jangan bermain air supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” titah baginda. 

    Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan simpati kepada mangsa banjir dan mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia segera berakhir. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam taklimatnya kepada Seri Paduka berdua memaklumkan daerah itu mengalami hujan lebat melebihi 120 milimeter (mm) pada Jumaat lepas sebelum meningkat sehingga 203 mm pada Sabtu sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. 

    Purata hujan bagi tempoh 24 jam yang direkodkan di stesen telemetri hujan di Pulau Manis, Ulu Lepar dan Sungai Lembing telah melebihi jumlah purata hujan bulanan sebulan, selain menyebabkan lima sungai utama termasuk Sungai Lembing, Sungai Kuantan dan Sungai Belat melepasi paras bahaya.  

    Wan Mohd Zahari berkata setakat ini, sebanyak 43 PPS dibuka di Kuantan bagi menempatkan 13,642 mangsa daripada 351 keluarga dan operasi memindah dan menyelamat dilakukan 889 pegawai dan anggota pelbagai agensi seperti bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan diketuai polis. 

    “Mangsa yang berada di PPS tidak akan dibenarkan terus balik ke rumah sebelum mereka disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya. – Bernama 

  • Mayat dua lelaki Myanmar ditemui di Telok Kemang

    Mayat dua lelaki Myanmar ditemui di Telok Kemang

    MAYAT dua lelaki warga Myanmar ditemukan di pantai Telok Kemang, Port Dickson, ditemui di perairan tersebut hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd Timar berkata, kedua-dua mangsa sebelum itu mandi di pantai tersebut.

    Katanya, mangsa pertama dijumpai oleh nelayan pada pukul 8.50 pagi dan mangsa kedua ditemui pada pukul 9.57 pagi.

    “Kedua-duanya dijumpai lebih kurang tiga batu nautika daripada tempat mangsa dipercayai lemas. Kerja-kerja pemindahan mangsa sedang dilakukan oleh pihak bomba dan Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

    Kedua-dua mangsa itu dikenal pasti sebagai Biak Lian, 38 tahun dan Van Lian Cung berusia 26 tahun merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, Bot Benteng 04 telah digerakkan ke lokasi untuk mengambil mayat tersebut manakala mayat kedua ditemui tidak jauh dari lokasi mayat pertama ditemui.

    “Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan ingin menasihatkan khususnya kepada pengunjung di pantai peranginan supaya menangguhkan aktiviti di pantai ketika cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan dua lelaki dipercayai warga negara Myanmar dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Telok Kemang berhadapan sebuah hotel di sini dalam kejadian pada tengah hari Sabtu.

    Kerja-kerja mencari dan menyelamat giat dijalankan oleh pasukan khas, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dengan kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Kilang kicap proses kacang soya berhampiran tandas

    Kilang kicap proses kacang soya berhampiran tandas

    NAJIS tikus bertaburan di kawasan penyimpanan kicap dan kacang soya pula diproses berhampiran tandas.

    Itu situasi meloyakan yang dikesan ketika pemeriksaan sekumpulan pengawai Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang pemprosesan kicap yang beroperasi sejak hampir 100 tahun lalu di Jalan Patani hari ini.

    Selain itu, kilang tersebut juga didapati masih menggunakan tong gentian kaca yang telah rosak dan pecah pada bahagian penutup untuk memproses perapan kacang soya dan dipenuhi kulat yang berbahaya kepada kesihatan.

    Sehubungan itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang yang turut mengeluarkan tauchu dan kuah rojak untuk pasaran sekitar utara tanah air itu turut diarahkan tutup selama 14 hari.

    Malah tegasnya, pemilik kilang yang mewarisi perniagaan itu daripada datuknya turut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa.

    “Kilang ini pernah diserbu tahun lalu dan kita telah menasihati pemiliknya menjaga kebersihan, namun nampaknya mereka masih ingkar dengan arahan tersebut yang dapat dilihat menerusi operasi hari ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

    Sementara itu dalam operasi sama hari ini, sebuah kilang pembuatan mi di lokasi berhampiran turut diarahkan tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak menepati piawaian kebersihan ditetapkan.

    Menurut Mohd. Wazir, ketika pemeriksaan di premis berkenaan, pihaknya turut menjumpai najis lipas dan tikus manakala mi kering pula dibiarkan terdedah selain ada yang hanya ditutup dengan surat khabar.

    “Kilang itu juga didapati meletakkan bahan pembuatan mi serta kuetiau di atas lantai dan ini melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Jelasnya, pemilik kilang itu didapati menggunakan logo halal serta MESTI dan pihaknya akan melaporkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya logo halal ditarik balik penggunaannya oleh kilang terbabit.

    Tambah beliau, secara keseluruhan pihaknya mengeluarkan sebanyak empat kompaun berjumlah hampir RM9,000 ke atas kedua-dua premis tersebut atas pelbagai kesalahan.

  • Petugas hospital, isteri dan ahli perniagaan ditahan edar dadah

    Petugas hospital, isteri dan ahli perniagaan ditahan edar dadah

    POLIS merampas 5 kilogram dadah bernilai RM9,800 selepas menahan seorang petugas di sebuah hospital bersama-sama isterinya serta seorang ahli perniagaan dalam serbuan di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di Kampung Bandar Setapak pada pukul 6.45 petang.

    “Kita merampas dua bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja yang dijumpai dalam beg silang,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wang Maju, Kuala Lumpur hari ini.

    Ashari berkata, hasil soal siasat, polis menahan isteri suspek berusia 42 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Pudu.

    “Kami merampas tiga bungkusan ketulan mampan dadah jenis ganja di dalam sebuah bilik,” katanya.

    Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki yang juga ahli perniagaan di sebuah restoran di Kota Damansara pada pukul 9 malam.

    “Lelaki berusia 50 tahun itu disyaki pembekal dadah jenis ganja.

    “Hasil semakan mendapati suspek tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

    Menurutnya, polis siasat kemungkinan petugas hospital berkenaan turut menjual dadah di tempat kerjanya.

    “Kami percaya suspek bergiat aktif sejak akhir tahun lalu dengan menjual dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

    Ashari berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

  • Mayat korban kedua banjir Pahang ditemukan

    Mayat korban kedua banjir Pahang ditemukan

    LELAKI yang dilaporkan hilang selepas meredah banjir di Kampung Cempaka, semalam, menjadi korban kedua banjir di Pahang selepas mayatnya ditemukan pada 7.15 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Mohd Halmi Nazlan ditemukan kira-kira lima kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. 

    Mohd Halmi, 34, dilaporkan hilang pada 1 pagi semalam, selepas dikatakan cuba meredah banjir bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. 

    Mangsa didakwa telah dihanyutkan arus deras manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri. 

    Pada Jumaat lepas, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir setelah ditemukan maut selepas cuba mengharung banjir menggunakan motosikal di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina Gambang di sini.  – Bernama

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang tingkat kesiagaan hadapi monsun Timur Laut

    Maritim Malaysia Pulau Pinang tingkat kesiagaan hadapi monsun Timur Laut

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan rondaan, kesiagaan anggota, aset bot dan kapal berikutan amaran cuaca buruk serta keadaan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia ketika ini.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, tiupan angin Monsun Timur Laut ketika ini boleh mencecah sehingga 40 kilometer sejam dengan ombak setinggi tiga meter serta hujan lebat luar biasa dipercayai tempias daripada taufan Rai yang melanda Filipina.

    Menurut beliau, fenomena alam itu boleh membahayakan keselamatan mereka yang melakukan aktiviti maritim terutama nelayan persisir pantai, bot penumpang serta rekreasi termasuk aktiviti pelancongan di tepi pantai.

    Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya menasihatkan komuniti maritim sentiasa cakna dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika keluar atau berada di laut.

    “Ini seperti pemakaian jaket keselamatan, peralatan komunikasi berada dalam keadaan baik, memaklumkan kepada persatuan atau ahli keluarga tentang keberadaan lokasi semasa dan bersedia dengan perubahan iklim yang tidak dijangkakan.

    “Pengunjung pantai juga disarankan agar tidak mandi ketika keadaan laut yang bergelora,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Abd. Razak turut meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Gempar mayat ditemukan selepas banjir surut

    Gempar mayat ditemukan selepas banjir surut

    SATU mayat lelaki ditemukan sejurus paras air surut di hadapan pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam, semalam.

    Penemuan itu menggemparkan dan video berkenaan tular menunjukkan orang ramai menghampiri mayat terbabit dipercayai meninggal dunia akibat lemas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui orang awam sekitar pukul 7.50 malam.

    “Mangsa adalah penghuni salah sebuah pangsapuri berdekatan kawasan berkenaan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat tular di aplikasi media sosial menunjukkan terdapat satu mayat di atas jalan.

    Difahamkan mayat berkenaan dijumpai selepas air banjir di kawasan itu mula surut sejak petang semalam.

    Kawasan berkenaan adalah antara yang terjejas serta dinaiki air sejak petang semalam susulan banjir kilat yang berlqku di beberapa daerah di Selangor.

  • Banjir di Kelantan: 12 tahun berteduh di wakaf

    Banjir di Kelantan: 12 tahun berteduh di wakaf

    SETIAP kali rumah mereka ditenggelami banjir sejak 12 tahun lalu, empat beranak akan menjadikan wakaf sebagai tempat untuk berteduh selepas kediaman mereka di pinggir Sungai Kelantan di Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai, Kelantan, dinaiki air.

    Yah Mamat, 55 dan keluarga memilih untuk tinggal di wakaf yang terletak di pinggir jalan utama, kira-kira 100 meter dari rumahnya berikutan keadaan kesihatan suaminya, Mohd. Sata Jaafar, 60, yang juga orang kelainan upaya (OKU).

    “Bukan kami tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS). Suami tidak mahu bersesak di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya yang tidak sanggup meninggalkan suaminya yang sakit bersendirian di wakaf itu.

    “Pada petang semalam, limpahan air sungai menyebabkan sebahagian rumah kedai kami ditenggelami air dan terpaksa bermalam di wakaf ini yang hanya ditutupi dengan plastik putih.

    “Pada masa sama, dua anak iaitu Mohd. Fazri Mohd Sata, 38 dan Mohd. Amirul, 29, juga perlu bergilir-gilir mengawasi keadaan kerana bimbang berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya memetik laporan BH, ketika ditemui di Kampung Pasir Kelang.

    Yah berkata, pasukan keselamatan menyarankan mereka sekeluarga berpindah ke PPS bagi memastikan keselesaan dan keselamatan, namun memutuskan untuk berteduh di wakaf itu sehingga banjir surut.

    “Jika mahu mandi, kami akan menumpang bilik air di masjid berhampiran.

    Kebiasaannya, keadaan ini tidak akan berlarutan dalam tempoh yang lama…hanya tiga atau empat hari,” katanya.