Author: Admin

  • Tiga lelaki hentak cermin kereta diburu

    Tiga lelaki hentak cermin kereta diburu

    Rakaman kejadian yang tular di laman sosial memaparkan suspek bertindak memukul cermin kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar.

    TIGA lelaki bermotosikal yang bertindak menghentak cermin sebuah kereta dengan topi keledar di Jalan Lundang, Kota Bharu, semalam sebelum kejadian itu tular dalam media sosial, kini diburu polis.

    Ketiga-tiga suspek itu diburu selepas melakukan perbuatan ganas itu terhadap mangsa iaitu seorang peniaga berusia 31 tahun memandu sebuah kereta jenis Perodua MyVi di lokasi tersebut pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak berpuas hati kerana dikatakan kereta berkenaan hampir terhimpit motosikal yang mereka tunggang.

    “Semasa kejadian, mangsa bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia empat tahun dalam perjalanan untuk pergi berniaga.

    “Tiga lelaki tidak dikenali yang memunggang dua motosikal mengekori kereta mangsa dan ketika kenderaaan berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, kesemua suspek bertindak memukul cermin bahagian kiri belakang kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar,” katanya ketika, hari ini.

    Tiga lelaki bertindak mengekori sebelum memukul cermin kereta mangsa dengan topi keledar di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lundang.

    Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berikutan bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.

    “Kejadian tiada menyebabkan sebarang kemalangan atau kerosakan terhadap kereta milik mangsa yang menjadi sasaran suspek.

    “Usaha mengesan suspek-suspek giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan cuai,” katanya.

  • Operasi diperluas, anjing pengesan bantu cari mangsa ‘kepala air’ di Bentong

    Operasi diperluas, anjing pengesan bantu cari mangsa ‘kepala air’ di Bentong

    Gerakan mengesan mangsa lemas termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dihanyutkan arus kepala air di sebuah kawasan chalet di Bentong , Pahang pada malam Sabtu lalu, diperluaskan hari ini dengan tambahan anggota dan anjing pengesan.

    Usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri masih hilang dari pusat peranginan Bobby Eco Camp dan seorang lagi dalam kejadian berasingan di Telemong, disambung semula pada pukul 7 pagi tadi.

    Dalam satu lagi operasi di Kuantan, anggota penyelamat sedang giat berusaha mencari seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari jambatan di Sungai Belat pada 18 Disember lalu.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dihanyutkan kepala air yang mengalir ke sungai dalam kawasan pusat peranginan Bobby Eco Camp, pukul 10.40 malam Sabtu lalu.

    “Tiga mangsa ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort berkenaan dan seorang budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya. 

    “Kawasan pencarian telah diperluaskan sehingga melebihi 1 kometer dengan tambahan tenaga kerja dan bantuan empat anjing pengesan,” katanya.

    Ketika ini, operasi di Telemong memasuki hari ketiga bagi mengesan seorang warga emas yang juga antara 16 individu dihanyutkan arus deras sungai ketika berada di atas jambatan di Sungai Telemong, kira-kira pukul 2 pagi Ahad lalu.

    “Dalam kejadian itu, 10 orang berjaya diselamatkan, manakala lima lagi dilaporkan maut. Mayat pertama ditemui pada Ahad lalu, diikuti empat lagi semalam. Ada antara mayat ditemui tersepit di celah-celah dahan pokok,” katanya menambah, banjir sudah surut di kebanyakan kawasan dan pencarian diperluaskan untuk mengesan mangsa terakhir.

    Di Kuantan, anggota penyelamat masih mencari Mohd. Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun dari jambatan dan dihanyutkan arus deras di Sungai Belat dekat Kampung Sri Damai, Kuantan pada 18 Disember. 

  • Walaupun UMNO tuntut MCA tetap mahu kekal bertanding kerusi Parlimen Alor Setar

    Walaupun UMNO tuntut MCA tetap mahu kekal bertanding kerusi Parlimen Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MCA Kedah tetap berharap untuk bertanding di Parlimen Alor Setar dalam pilihan raya umum akan datang walaupun kerusi berkenaan kini dituntut oleh UMNO.

    Malah menurut Pengerusi MCA Kedah, Datuk Goh Chin Cheung, ketika ini pihaknya sudah pun menyenarai pendek beberapa nama yang dirasakan berpotensi untuk diketengahkan pada pilihan raya umum akan datang.

    “Kita masih nak bertanding kerusi Parlimen Alor Setar. Setakat ini, sudah ada dua atau tiga nama yang boleh diangkat sebagai calon, dan kita pilih yang terbaik.

    “Keputusan UMNO mahu bertanding di Alor Setar tetap kita hormati tetapi pada akhirnya, sudahh tentu kepimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat yang akan buat keputusan,” katanya kepada Warta Rakyat hari ini.

    Dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar Sabtu lalu, kalangan perwakilan parti itu menandatangani memorandum bagi menuntut supaya UMNO diberi ruang untuk bertanding di Parlimen Alor Setar.

    Goh Chin Cheung

    Tuntutan itu dibuat berikutan kekalahan MCA di Parlimen berkenaan pada PRU-13 dan PRU-14 selain komposisi kaum pengundi di Parlimen tersebut yang menyaksikan jumlah pengundi Melayu berada pada tahap 64 peratus.

    Goh menambah, soal komposisi kaum pengundi tidak sepatutnya dijadikan alasan memandangkan BN merupakan sebuah parti yang mengamalkan permuafakatan antara semua kaum.

    “BN ini satu parti yang bermuafakat. Kalau guna alasan komposisi kaum, itu bermakna MIC tak dapatlah nak bertanding di mana-mana.

    “Kalau tak ada undi Cina dan India, BN tak boleh menang juga. Lagi pun kelmarin Pengerusi BN dah cakap kerusi tradisi MCA akan dikekalkan, jadi kita tunggu sajalah,” katanya.

    Mengulas lanjut Goh berkata, hubungan UMNO dan MCA bagaimanapun tidak akan terjejas hanya disebabkan isu tersebut.

    “Kita tak mahulah bermasam muka. Nanti kita tunggu apa keputusan kepimpinan tertinggi.

    “Kalau MCA bertanding, UMNO bantu kita di sini dan kalau kepimpinan atasan kata UMNO akan bertanding, kita akan bantu juga,” katanya.

  • Banjir: Operasi menyedut air giat dijalankan di Sri Muda

    Banjir: Operasi menyedut air giat dijalankan di Sri Muda

    OPERASI menyedut air banjir keluar di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor, sedang giat dijalankan yang bermula sejak awal pagi ini.

    Beberapa mesin menyedut air telah ditempatkan di kawasan sekitar dipercayai untuk disedut keluar menuju ke Sungai Klang.

    Bagaimanapun, sebahagian besar kawasan di Taman Sri Muda masih lagi ditenggelami air dan agensi pihak berkuasa telah ditempatkan di kawasan terjejas khususnya bagi menyelamatkan mangsa terkandas.

    Ini termasuk bekalan agihan makanan yang telah digerakkan ke kawasan terjejas.

    Dalam pada itu, difahamkan, masih terdapat mangsa yang masih belum memperoleh bantuan sepenuhnya.

    Terdahulu media melaporkan, jumlah mangsa disahkan lemas akibat banjir di Shah Alam, Selangor meningkat kepada sembilan orang sehingga awal pagi hari ini.

    Ketika memaklumkan perkembangan terkini itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai dua mangsa dijumpai kelmarin manakala tujuh lagi mangsa dijumpai semalam.

  • 10 maut: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

    10 maut: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

    PEMANDU treler yang terlibat dalam kemalangan di lorong kecemasan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini tas 10 pertuduhan menyebabkan kematian 10 individu pada Sabtu lalu.

    Mohd. Rafi Jaafar, 37, yang memakai baju T berwarna kelabu dan merah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

    Mengikut pertuduhan yang dibaca secara berasingan, bapa kepada tiga anak itu didakwa sebagai pemandu lori treler jenis Hanvan telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya kepada orang awam sehingga berlaku kemalangan dan mengorbankan 10 nyawa.

    Mereka yang terkorban ialah Muhamad Rahimi Rolex, 27; Norul Naziah Buyong, 37; Razarul Amin Abdul Razak, 17; Razatul Aliah Abdul Razak, 16; Puteri Hidayah Abdul Razak, 12; Mohd. Aizat Syazwan Abdul Razak, 10; Mohd. Rokaizat Rezky Abdul Razak, 9; Mohd. Hidayat Hakimie Abdul Razak, 7; Puteri Nor Ain Syalwana Abdul Razak, 3, dan Mohd. Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Shah Alam, pada pukul 12.02 tengah malam Sabtu lalu.

    Kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, lesen boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan.

    Kes berkenaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Raya Selangor, Mohammad Al-Saufi Hashim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Saidah Fasihah Che Yussoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Semasa prosiding, Mohammad Al-Saufi berkata, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan pada kadar yang tinggi iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

    “Kami juga mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu lesen memandunya ditahan oleh mahkamah dan dia tidak mengganggu saksi kes ini.

    “Peristiwa ini sangat menyayat hati, kerana ia mengorbankan seorang lelaki, seorang ibu dan lapan anaknya malah kejadian berlaku ketika Selangor diuji dengan kejadian banjir besar,” katanya.

    Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.

    “Seorang daripadanya masih dirawat di Hospital Melaka, jadi saya harap ikat jamin saya dapat dikurangkan,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Faizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan.

    “Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan seperti cadangan pihak pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan,” katanya.

    Pada Sabtu, media melaporkan 10 individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler berhampiran R&R USJ Lebuh Raya Elite menghala Shah Alam.

    Mangsa yang meninggal dunia membabitkan sembilan sekeluarga iaitu ibu serta lapan anaknya, selain seorang lelaki.

    Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana satu daripadanya mengalami kerosakan.

    Dua kereta lain ketika itu berhenti untuk memberi bantuan.

  • Luka meragukan di tubuh mangsa, polis klasifikasi sebagai kes bunuh

    Luka meragukan di tubuh mangsa, polis klasifikasi sebagai kes bunuh

    POLIS mengklasifikasikan kes satu mayat ditemukan terbaring di tepi jalan di Batang Kali-Selayang, Ulu Yam, Selangor pada Sabtu lepas sebagai kes bunuh, berikutan terdapat kecederaan meragukan ke atas tubuh mangsa.

    Susulan itu Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Identiti mayat belum diketahui itu yang menerusi bedah siasat menemui kesan lebam di kedua-dua mata dan kesan bengkak di bahagian dahi,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.

    Zainal Mohamed berkata keluarga atau waris yang kehilangan ahli keluarga atau orang awam mempunyai maklumat berkaitan kes, diminta tampil membantu menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan R. Kolanthaivelu di talian 019-2579232 bagi membantu siasatan.

    Pada 18 Disember lepas, mayat wanita ditemui terbaring di tepi jalan dan ditutup dengan sehelai kain selimut warna merah jambu serta sehelai kain berwarna putih.

    Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di tempat kejadian dan mangsa dipercayai merupakan warga asing.– Bernama

  • Kedah sumbang RM200,000 kepada Selangor

    Kedah sumbang RM200,000 kepada Selangor

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK RM200,000 disumbangkan kerajaan negeri Kedah kepada Selangor bagi membantu negeri itu serta rakyatnya yang terkesan dengan kejadian banjir, semalam.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, sumbangan tersebut diberikan sebagai tanda kebersamaan rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor.

    “Sumbangan ini akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri Kedah dengan kadar segera.

    “Semoga bantuan kecil ini dapat membantu rakyat dan kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda Selangor dan beberapa negeri lain.

    Katanya, kesukaran dilalui penduduk serta kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada apa yang dapat dibayangkan.

    Justeru katanya, selain sumbangan kerajaan negeri, pihak Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk Selangor.

    “Kutipan sumbangan itu akan dibawa ke Selangor bersama-sama aset dan petugas bagi membantu penduduk di sana.

    “Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan dapat membantu mereka yang berdepan kesukaran pasca banjir,” katanya.

  • Guru wanita maut kereta terbabas rempuh tunggul pokok sebelum terbakar

    Guru wanita maut kereta terbabas rempuh tunggul pokok sebelum terbakar

    SEORANG guru wanita maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar tunggul pokok, sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Kampung Telaga Papan, Setiu, Terengganu.

    Mangsa, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, dikatakan, dalam perjalanan bersama ahli keluarganya untuk meraikan pasangan pengantin baharu.

    Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam itu turut menyebabkan dua adiknya, Siti Nur Ummi Nabihah, 19, dan Nur Qaseh Balqis, 10, dalam keadaan kritikal.

    Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis Honda City bersama dua adiknya, dalam perjalanan dari rumah mereka di Chalok Kedai menghala ke Pantai Penarik Rhu 10, bagi mengiringi kakaknya mengambil foto perkahwinan.

    Bagaimanapun sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki tiga beradik itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar tunggul pokok sebelum terbakar.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum api merebak.

    Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan kecemasan bagaimanapun, Nurul disahkan maut oleh pegawai perubatan yang bertugas, manakala dua orang lagi penumpang mengalami kecederaan parah.

    Kejadian itu disiasati mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Banjir: 14 korban direkodkan di seluruh negara

    Banjir: 14 korban direkodkan di seluruh negara

    TEMPOH 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri sedikit memberikan kelegaan dan kegembiraan buat mangsa terjejas dengan banjir yang telah memasuki hari ketiga.

    Namun keadaan cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut, turut membawa berita duka buat negara apabila terdapat angka korban akibat bencana telah direkodkan.

    Lapan mayat ditemukan di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang manakala empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong. 

    Penemuan mayat itu menjadikan 14 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur. 

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata di Selangor selain kematian akibat banjir itu direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, di daerah Kajang merekodkan dua kematian dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.

    Satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mangsa lemas pertama ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam semalam.

    Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemukan maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kesemua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemukan pada 1 pagi sementara satu lagi mayat ditemukan pada 5 pagi tadi oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata dua mayat lelaki ditemukan di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemukan di Sepang hari ini, sementara satu mayat lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.

    Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang sedang mengalami banjir teruk dipercayai berlaku sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang dan ia disahkan Baharudin kepada Bernama.

    Di PAHANG pula, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada 2.22 petang Jumaat (17 Dis) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat jatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

    Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi semalam, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

    Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat  (SAR) hari ini yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

    Mayat lelaki ditemukan pada 1 tengah hari tadi manakala mayat tiga wanita ditemukan pada 1.20 tengah hari, 2 petang dan 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu. 

    Di PERAK, meskipun cuaca diramal baik sehingga pagi ini di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

    Di TERENGGANU, kebanyakan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.

    Di KUALA LUMPUR, Seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka serta keadaan baik hari ini menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.

    Di KELANTAN, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik hari ini.- Bernama

  • KPLB santuni mangsa banjir di Bangi Lama

    KPLB santuni mangsa banjir di Bangi Lama

    PENDUDUK Kampung Bangi Lama menerima sumbangan kit makanan dan peralatan kebersihan bernilai RM100 untuk setiap keluarga daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kit berkenaan antara bantuan segera yang disalurkan KPLB kepada penduduk kategori luar bandar yang terjejas akibat bencana banjir.

    “Kita amat bersimpati dengan situasi yang dialami oleh penduduk yang dilanda banjir besar di Lembah Klang tahun ini.

    “Justeru KPLB mengambil inisiatif untuk sekurang-kurangnya meringankan sedikit beban dengan menyalurkan bantuan segera dan bantuan selanjut akan kita beri mengikut keperluan selepas penilaian menyeluruh dilaksanakan pasca banjir ini nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau situasi semasa kawasan bencana banjir di Kampung Bangi Lama, Kajang, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Pengarah KPLB Selangor/Wilayah Persekutuan, Abdul Malik Othman.

    Dalam kejadian banjir itu, sejumlah 230 keluarga di kampung berkenaan terjejas teruk.

    Jelas Mahdzir, KPLB turut menggerakkan sukarelawan di bawah agensi KPLB negeri ke lokasi-lokasi banjir di seluruh negara.

    KPLB juga katanya, akan membaik pulih kerosakan kemudahan insfrastruktur seperti jalan kampung dan juga ameniti sosial yang terjejas pasca banjir nanti.

    “Banyak kerosakan yang akan dibaiki oleh kementerian di kawasan seperti di Kampung Bangi Lama ini seperti jalan kampung dan longkang-longkang kecil melalui Projek Ameniti Sosial,” ujar Mahdzir.

    Terdahulu beliau diberi taklimat oleh Ketua Kampung Bangi, Rasidin Md. Yusoff berkenaan situasi semasa dan keadaan penduduk kampung yang terjejas akibat banjir berkenaan.