Author: Admin

  • Peguam Najib tak kemuka hujahan rayuan akhir kes SRC

    Peguam Najib tak kemuka hujahan rayuan akhir kes SRC

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik memilih untuk tidak mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Hisyam yang sepatutnya terlebih dulu berhujah sebelum dibalas oleh pendakwaan sebaliknya memilih untuk bersandarkan kepada hujahan yang dikemukakan Najib ketika di peringkat Mahkamah Rayuan.

    Sejurus mahkamah memutuskan untuk tidak menerima permohonan Hisyam menarik diri daripada mewakili Najib, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat yang memerintahkan prosiding rayuan akhir itu dimulakan.

    Tengku Maimun: Kamu mahu mengemukakan hujahan lanjut?

    Hisyam: Tidak

    Tengku Maimun: Adakah kamu sahkan bahawa kamu tidak ada apa-apa untuk dinyatakan berhubung 94 alasan dalam petisyen rayuan ini?

    Hisyam: Saya tiada apa-apa untuk dinyatakan.

    Tengku Maimun: Jadi adakah kamu bergantung kepada hujahan daripada Mahkamah Rayuan mengenai penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi?

    Hisyam: Hujahan daripada yang terdahulu, Ya.

    Tengku Maimun kemudian berkata, oleh kerana rayuan akhir itu membabitkan kepentingan awam, mahkamah dengan itu memanggil pendakwa raya untuk mengemukakan hujahan terlebih dahulu untuk memberikan peguam perayu lebih masa untuk bersedia dengan rayuannya.

  • Sindiket dadah tumpas, pasangan kekasih dicekup

    Sindiket dadah tumpas, pasangan kekasih dicekup

    SATU sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang tumpas selepas polis menahan pasangan kekasih berusia 20 tahun dalam serbuan di sebuan hotel di Pusat Perdagangan One Puchong, di Serdang 10 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalangan berkata, menerusi penahanan itu polis menemui 6 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dipercayai untuk diedarkan oleh suspek lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam berkenaan.

    Menurutnya, hasil penahanan suspek, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kemudian menyerbu sebuah kondominium yang disewa sindiket berkenaan sejak Januari di Kepong, Kuala Lumpur.

    “Pasukan serbuan berjaya menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 21kg, 9,600 biji pil erimin 5, dan 6,000 biji pil ekstasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Serdang, hari ini.

    Anbalangan berkata, polis percaya kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pengedar untuk pasaran di Lembah Klang dan usaha mengesan saki baki serta dalang sindiket sedang dijalankan.

    Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber semua bahan narkotik berkenaan dibawa masuk sama ada produk buatan tempatan atau dari luar.

    “Sumber dadah ini kita sedang siasat sama ada dari dalam atau luar negara dan kita juga sedang siasat dengan lebih lanjut peranan kedua-dua suspek ini.

    “Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengisi dadah berkenaan dalam peket lebih kecil untuk dijual di sekitar Lembah Klang termasuk di pusat-pusat hiburan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, nilai rampasan dadah dalam serbuan pertama dianggarkan berjumlah RM 215,000 manakala rampasan kedua RM992,000.

    “Kedua-dua suspek direman bermula 10 hingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

  • Lelaki diikat kerana ganggu remaja perempuan, bukan ragut

    Lelaki diikat kerana ganggu remaja perempuan, bukan ragut

    SEORANG lelaki yang menganggu seorang remaja perempuan menerima padah apabila diikat oleh abang gadis itu dalam kejadian di Gombak.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan kejadian memaparkan seorang lelaki sedang terduduk dengan tangan diikat ke belakang di tepi sebuah kereta peronda polis pada pukul 9.30 malam Isnin.

    “Suspek berusia 21 tahun itu diikat oleh abang gadis terbabit kerana tidak puas hati akan tindakan suspek.

    “Bapa remaja terbabit tidak mahu membuat laporan polis kerana mengenali suspek dan keluarganya.

    “Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan salah faham secara baik,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Sehubungan itu, polis menafikan dakwaan klip video terbabit adalah berkenaan kes peragut yang ditangkap.

    “Polis tidak menerima sebarang lapran berkaitan ragut di kawasan berkenaan pada masa itu,” katanya sebagaimana dilaporkan Utusan TV.

    Zainal Mohamed menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

  • Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel RM378,155

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 menahan tiga lelaki disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan diesel dianggarkan bernilai RM378,155 dalam tiga serbuan Op Kontraban, di Sibu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, serbuan dilakukan antara pukul 6 pagi hingga 8.30 pagi selepas menerima maklumat.

    “Tiga suspek berusia 28 hingga 42 tahun ditahan kerana didapati membawa bahan api berkenaan menggunakan kenderaan masing-masing dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan yang digunakan suspek iaitu sebuah van, lori dan lori tangki didapati membawa diesel dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 31,700 liter,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, ketiga-tiga suspek mengaku membawa muatan diesel berkenaan tanpa permit yang sah.

    Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • PN mohon tarikh baharu jumpa PM secara rasmi

    PN mohon tarikh baharu jumpa PM secara rasmi

    PERIKATAN Nasional (PN) telah menulis surat memohon tarikh baharu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut mengesahkan pertemuan beberapa pemimpin PN dengan Ismail Sabri sebelum ini secara tidak rasmi dan lebih kepada sembang santai.

    “Kita sudah tulis surat (sebelum ini), beliau (Ismail) minta tangguh (jumpa secara rasmi). Minggu lepas, saya ada jumpa dengan beliau, tapi bukan secara rasmi lagi, sebab wakil PN sepatutnya kita hantar empat orang. Jadi beliau kata, kita sembang-sembang dulu.

    “Saya sudah minta tarikh rasmi yang baharu supaya wakil PN boleh jumpa dan bentangkan apa yang kami mohon,” katanya.

    Beliau temui media selepas Majlis Pelancaran Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya Presint 14(1) yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Ditanya sama ada wakil PN membangkitkan soal jawatan timbalan perdana menteri (TPM) dalam pertemuan santai dengan Ismail Sabri itu, Hamzah berkata, isu itu tidak dibangkitkan dan perbincangan mereka lebih menjurus kepada hal politik semasa.

    “Tidak (bincang soal jawatan TPM) dalam perbincangan itu, (tetapi) lebih kepada masalah politik semasa, (seperti) apa perasaan PN mengenai apa yang berlaku dan sebagainya,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan isu jawatan TPM akan dibincangkan dalam pertemuan rasmi dengan Ismail nanti.

    Sebelum ini, Bendahari PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau dan Hamzah mengadakan pertemuan dengan Ismail sambil makan tengah hari.

    Wakil PN yang sebelum ini dinamakan untuk pertemuan rasmi dengan perdana menteri terdiri daripada Hamzah, Samsuri, Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

  • Lima rumah musnah dalam kebakaran

    Lima rumah musnah dalam kebakaran

    LIMA buah rumah di Jalan Wah Long, Kampar, Perak, hampir musnah sepenuhnya akibat dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar telah menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 2.10 pagi.

    Katanya kejadian kebakaran itu mengakibatkan kelima-lima rumah berkenaan musnah 90 peratus.

    “Kebakaran melibatkan lima rumah teres Kelas B berkeluasan 20X60 kaki dan sebuah rumah teres Kelas A.

    “Lima rumah musnah 90 peratus manakala sebuah lagi rumah hanya musnah 4 peratus iaitu hanya mengenai pagar sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya operasi turut melibatkan bantuan anggota dan jentera dari BBP Gopeng dan Tapah.

    “Ketika di lokasi pasukan penyelamat membuat pemadaman menggunakan empat aliran 200 kaki dan lima pancutan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

    “Kejadian itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa ataupun kecederaan mangsa,” katanya lapor Astro Awani.

    Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Hisyam Zakaria itu tamat pada pukul 5.03 pagi.

  • Kes pencuci kapal kelar isteri, anak disebut semula 19 September ini

    Kes pencuci kapal kelar isteri, anak disebut semula 19 September ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Majistret Johor Bahru menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes pencuci kapal yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru pada bulan lalu, pada 19 September ini.

    Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menangguhkan kes itu pada tarikh berkenaan selepas dimohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki memaklumkan memerlukan masa kira-kira sebulan lagi untuk memperoleh beberapa laporan yang diperlukan.

    Sebelum itu, Muhammad Arif memberitahu mahkamah, pihaknya masih belum memperolehi laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd. Adam, 24.

    “Hari ini ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperolehi. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan,” katanya.

    Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak hadir ke mahkamah, namun dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari yang memberitahu mahkamah bahawa beliau baharu dilantik pihak tertuduh.

    Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah pada hari in yang ditetapkan untuk sebutan semula kesnya kerana masih dirujuk di Hospital Permai bagi rawatan psikiatri.

    Ahli keluarga tertuduh dan isterinya hadir mahkamah.

    Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef yang berusia dua bulan lapan hari.

    Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu pada jam 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Media sebelum ini melaporkan insiden tersebut apabila seorang lelaki bertindak mengelar leher isteri dan anak tunggalnya sebelum melarikan diri.

    Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus selepas insiden itu berlaku.

  • Empat pemancing terselamat selepas bot terbalik

    Empat pemancing terselamat selepas bot terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT pemancing warga tempatan terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Pulau Tengah, Mersing, semalam.

    Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima aduan daripada pengurus resort memaklumkan terdapat empat pemancing warga tempatan terkandas di pulau itu kerana bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sejurus menerima maklumat itu, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sewajarnya.

    “Semasa bot mereka terbalik, semua mangsa memakai jaket keselamatan. Mereka berenang ke persisir pantai yang berada tidak jauh dari bot terbalik ke kawasan resort sebelum dibantu beberapa pelancong lain yang berada di situ.

    “Mangsa, Faizal Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, Mohamad Asyraf Ali, 33 yang semuanya berasal dari Mersing ditemui selamat serta tiada kecedaraan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua mangsa seterusnya dibawa ke jeti maritim di Teluk Gading dekat sini untuk pemeriksaan kesihatan.

    Beliau mengingatkan masyarakat maritim supaya mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

    Katanya, tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan dan mengamalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak maritim mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

    Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

  • Gigit lengan polis hingga cedera ketika cuba melarikan diri

    Gigit lengan polis hingga cedera ketika cuba melarikan diri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis cedera digigit di bahagian lengan kanan semasa cuba menangkap seorang lelaki yang sedang membuat kacau di sebuah stesen minyak di Bukit Gambir, Tangkak, semalam.

    Pihak polis sebelum itu menerima maklumat seorang lelaki berusia 33 tahun sedang membuat kacau di stesen minyak tersebut pukul 1 petang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, semasa mangsa membuat tangkapan, suspek yang cuba meloloskan diri menggigit lengan anggota polis berkenaan.

    “Bagaimanapun suspek berjaya diberkas. Hasil saringan air kencing mendapati positif dadah jenis metafetamin.

    “Suspek akan dibawa ke mahkamah majistret di Tangkak hari ini untuk mendapatkan perintah reman. Siasatan dan rakaman percakapan akan dijalankan ke atas tangkapanyang telibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323, 353 dan 331 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat bagi mengekang kegiatan jenayah

  • Wanita dipenjara 34 tahun kerana ciapan di Twitter

    Wanita dipenjara 34 tahun kerana ciapan di Twitter

    SEORANG wanita dijatuhkan hukuman penjara selama 34 tahun oleh mahkamah Arab Saudi berikutan aktiviti-aktivitinya di Twitternya, menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh AFP pada Rabu.

    Hukuman yang dikeluarkan terhadap wanita tersebut, Salma al-Shehab diputuskan kerana membantu para penentang yang cuba mengganggu ketenteraman awam di negara berkenaan.

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi,
    dia telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Rayuan Arab Saudi pada 9 Ogos lalu, menurut dokumen berkenaan.

    Shehab yang merupakan calon doktor falsafah di Universiti Leeds, Britain dan ibu kepada dua anak juga dilarang ke luar negara selama 34 tahun lagi sebagai sebahagian daripada hukuman itu.

    Dengan kira-kira 2,600 pengikut di Twitter, dia kerap membuat ciapan di Twitter mengenai hak-hak wanita di negara tersebut.

    Hukuman itu dibuat semasa tindakan keras terhadap aktivis hak-hak asasi manusia di negara Teluk yang kaya dengan minyak itu.

    Keputusan tersebut berlaku kurang daripada sebulan selepas Presiden Ametika Syarikat (AS), Joe Biden melawat Arab Saudi.

    Shehab telah ditangkap di Arab Saudi pada Januari 2021 ketika dia sedang bercuti daripada pengajiannya di United Kingdom.