Author: Admin

  • Osman dikebumi di JB selepas zohor

    Osman dikebumi di JB selepas zohor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JENAZAH bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, Johor Bahru hari ini dijadualkan selepas waktu zohor.

    Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Senator Md. Nasir Hashim memberitahu, pihaknya mendapat makluman perkembangan tersebut daripada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu.

    “Jenazah Datuk Osman dijangka tiba dari Damansara, Selangor pada sebelah tengah hari ini.

    “Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Raudah, Kampung Dato Onn, Larkin untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi.

    Sementara itu, Setiausaha Bersatu Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tegas dan amat disenangi oleh rakan-rakan dalam arena politik serta berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

    Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menggantikan Osman berkata, pemergian Osman merupakan suatu kehilangan besar kepada Bersatu.

    Katanya, Bersatu Johor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman yang telah kembali ke Rahmatullah.

    “Pemergian Allahyarham yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Johor ini amatlah dirasai dan merupakan suatu kehilangan besar kepada parti.

    “Sejak daripada awal penubuhan parti Bersatu terutama di Negeri Johor, jasa Allahyarham kepada parti amatlah besar.

    “Begitu juga sumbangannya sepanjang menjadi wakil rakyat kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Osman, 70, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur pukul 11.45 malam tadi.

    Sebelum itu pada 13 Oktober media melaporkan Osman dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor kerana diserang strok ringan.

    Osman kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.

    Bagaimanapun, pada 13 November 2021, Osman dilaporkan kembali stabil tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri.

  • Osman Sapian meninggal dunia

    Osman Sapian meninggal dunia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, 70, meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam tadi.

    Perkara tersebut disahkan abang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu, Datuk Aziz Sapian ketika dihubungi awal pagi ini.

    “Benar, baharu sebentar tadi (meninggal dunia). Kita sedang tunggu makluman daripada keluarga di sana (Kuala Lumpur). Apa-apa urusan anak beliau akan maklum nanti,” katanya.

    Sebelum ini, pada 13 Oktober media melaporkan Osman dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor kerana diserang strok ringan.

    Osman kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.

    Bagaimanapun, pada 13 November 2021, tersebut disahkan abang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu, bekas Menteri Besar Johor ke-16 itu dilaporkan kembali stabil tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri.

  • Mangsa banjir dikecualikan bayaran ganti LKM, LMM, VOC – Ka Siong

    Mangsa banjir dikecualikan bayaran ganti LKM, LMM, VOC – Ka Siong

    MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memaklumkan, mangsa banjir diberi pengecualian daripada membayar yuran penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

    Menurut beliau, tiada tempoh ditetapkan bagi mangsa menggantikan dokumen berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai urusan penting lain seperti menguruskan rumah dan keluarga.

    “Mangsa banjir yang ingin mendapatkan pengecualian berkenaan perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan dokumen sebelum berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Tidak perlu tergesa-gesa untuk melakukan urusan ini. Saya minta JPJ membantu mereka yang terjejas dan kalau boleh kita hendak meletakkan kaunter mobil JPJ untuk memudahkan urusan mangsa banjir nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics dan Transport (KiLAT) di Kuala Lumpur, hari ini.

    Kadar bayaran yang ditetapkan JPJ bagi penggantian lesen memandu ialah RM20, bayaran salinan cukai jalan bagi motosikal (RM20) dan kereta (RM50).

    Katanya, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) antaranya JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Laut Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir.

  • Dr. Mahathir dibenar keluar IJN beberapa hari lagi

    Dr. Mahathir dibenar keluar IJN beberapa hari lagi

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) dalam beberapa hari lagi.

    IJN dalam kenyataannya hari ini berkata, pasukan doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap Dr. Mahathir berpuas hati dengan keputusan ujian yang dijalankan.

    “Tun Dr. Mahathir telah menjalani semua pemeriksaan kesihatan yang diperlukan setelah dimasukkan ke IJN,” menurut kenyataan itu.

    Dr. Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan beliau, kata kenyataan itu.

    Pada 16 Disember, Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pemantauan lanjut. – Bernama

  • Seorang sukarelawan, 16 lain maut dalam banjir Selangor

    Seorang sukarelawan, 16 lain maut dalam banjir Selangor

    KORBAN banjir di Selangor kini meningkat kepada 17 orang termasuk seorang sukarelawan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

    Beliau berkata setakat 8 pagi Selasa, 10 mayat ditemukan di Daerah Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

    Beliau berkata, punca kematian mereka sedang dikenal pasti sama ada disebabkan banjir atau faktor lain seperti mati akibat kekurangan ubat dan sebagainya. 

    “Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan mereka yang tersayang,” katanya dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

    Susulan itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang kehilangan nyawa disebabkan tragedi itu dan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan akibat bencana banjir itu.

    Beliau berkata, sehingga 8 pagi tadi, seramai 30,632 mangsa dari 4,672 keluarga ditempatkan di 203 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor. 

    “Angka sebenar mangsa dijangka meningkat disebabkan beberapa daerah masih menunjukkan peningkatan paras air iaitu di Kuala Langat, Kuala Selangor, dan Sepang serta mangsa-mangsa yang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat termasuk di Taman Sri Muda, Kampung Baru Hicom serta Bukit Changgang. 

    Selain itu, katanya, ada mangsa yang memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing dan mereka telah dimaklumkan segala risiko namun penduduk mengambil keputusan untuk tinggal di kediaman masing-masing kerana dirasakan masih lagi selamat.

    “Oleh itu selain usaha mengeluarkan mangsa banjir, kita memberi sumbangan bakul-bakul makanan untuk mereka masak untuk tempoh beberapa waktu,” katanya. 

    Sementara itu katanya Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit akan diwujudkan sebagai platform kepada rakyat Malaysia terutama syarikat swasta, individu dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyumbang kepada pemulihan kawasan yang terjejas dengan musibah banjir.

    “Sebagai komitmen awal, saya akan menyumbang sebulan gaji saya kepada tabung ini sebagai tanda permulaan proses pemulihan,” katanya.  – Bernama

  • 98 jalan persekutuan, 126 jalan negeri terjejas akibat banjir

    98 jalan persekutuan, 126 jalan negeri terjejas akibat banjir

    SEBANYAK 98 jalan persekutuan dan 126 jalan negeri terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, Pahang dan Kedah, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    Laluan terjejas membabitkan kejadian banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak di 224 lokasi di tujuh negeri itu setakat 2 petang ini.

    “Ada laluan yang masih ditutup untuk semua jenis kenderaan dan ada antaranya dibuka untuk kenderaan berat,” kata NADMA dalam kenyataan hari ini.

    Laluan yang telah dibuka untuk semua jenis kenderaan termasuk jalan Jeli-Dabong, Kuala Krai dan jalan Padang Kambing, Alor Gajah, Melaka.

    Dua laluan yang hanya dibuka untuk kenderaan ringan ialah jalan GAP-Bukit Fraser, Hulu Selangor dan jalan Jenderam-Sepang.

    Antara laluan yang dibuka untuk kenderaan berat ialah jalan Seri Keledang, Hulu Selangor, jalan Kampung Jenjarom, Kuala Langat dan jalan Banting-Semenyih di Selangor, manakala di Pahang jalan Jerantut-Maran, jalan Bukit Setongkol 2, Kuantan, Jalan Desa Mesra, jalan utama Jengka Utara/Selatan, Maran dan jalan Pekan-Batu Balik, Pekan. – Bernama
     

  • OKU lembam ditemukan lemas dalam banjir berhampiran rumahnya

    OKU lembam ditemukan lemas dalam banjir berhampiran rumahnya

    SEORANG penduduk menemukan satu lelaki orang kurang upaya (OKU) lemas berhampiran rumah keluarganya yang dinaiki air akibat banjir di Kampung Kuala Semantan, Cheroh, Raub, pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed, mangsa, 55, yang juga OKU lembam ditemukan terlangkup dalam air banjir berhampiran rumahnya lalu dihantar ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut

    “Mangsa menetap bersama-sama kedua ibu bapanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Banjir: Sekarang bukan masa tuding jari-Panglima ATM

    Banjir: Sekarang bukan masa tuding jari-Panglima ATM

    PANGLIMA Angkatan Tentera, Affendi Buang mengingatkan mana-mana pihak sekrang bukan masa untuk menuding jari sehingga mengganggu dan menjejaskan usaha menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.

    Angkatan Tentera Malaysia (ATM) katanya, mengutamakan keselamatan rakyat khasnya mangsa banjir untuk memastikan sebarang usaha membabitkan pengurusan bencana dikoordinasi secara tersusun dan berkesan.

    “Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

    “Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep ‘Whole Of Government Approach’ bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat digembleng secara bersama dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Affendi berkata, setiap agensi perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian untuk menambah baik operasi dan kekurangan dalam aspek pengurusan banjir.

    “ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya, terutama membantu pihak berkuasa awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa terkesan akibat bencana banjir, terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.”

    Pada masa sama, katanya, mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi, kesejahteraan dan keselamatan semua.

    Terdahulu, sumber berkata, pasukan tentera membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan NADMA, dengan mula bergerak ke kawasan terjejas selepas solat Jumaat.

  • Selepas seminggu bernikah suami dijemput Ilahi

    Selepas seminggu bernikah suami dijemput Ilahi

    ISTERI kepada Allahyarham Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang lemas di tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Kampung Labu Lanjut, semalam, berkata, sebelum meninggal suaminya mahu dia meletakkan gambar mereka bernikah sebagai ‘wallpaper’ pada telefonnya.

    “Arwah suami meminta saya meletakkan gambar kami bernikah sebagai ‘wallpaper’ telefon ketika menghantar saya ke tempat kerja, Sabtu lalu, sebelum hilang pada petang itu,” kata Siti Haida Aliza, 26, isteri kepada Allahyarham Muhamad Syafiq.

    Kata Siti Haida lagi, pada pagi itu Allahyarham suaminya menghantar dia ke tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan dan selepas itu bertolak ke Batang Kali, Selangor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.

    Dia tidak menyangka hasrat suaminya menjadikan gambar pernikahan mereka sebagai ‘wallpaper’ bertujuan mengabdikan kenangan mereka berdua buat selama-lamanya.

    Katanya, kejadian ini sangat meruntun jiwanya kerana mereka berdua baru seminggu bernikah selepas lapan tahun menjalin persahabatan.

    “Selepas bernikah pada 12 Disember lalu, arwah mengambil cuti sehingga majlis persandingan kerana memaklumkan ingin menghabiskan masa dengan saya sepanjang cuti di rumah sewa di Kampung Baru Lanjut.

    “Pada petang sebelum kejadian, arwah ada menghubungi saya memaklumkan rumah sewa kami dinaiki air dan tidak menyangka air naik tinggi.

    “Saya beritahu arwah supaya mengambil barangan dan pakaian persandingan dan tidak menyangka air naik tinggi,” katanya ditemui selepas upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur, hari ini.

    Menurutnya, berita kehilangan Allahyarham dimaklumkan oleh rakan, namun dia mengambil sikap positif bahawa suaminya selamat dan tidak dapat dihubungi sepanjang malam kerana masalah cuaca.

    “Malam itu saya balik ke rumah ibu bapa di Nilai kerana esok (Ahad) akan mengadakan majlis kahwin di Senawang.

    “Sepanjang malam saya cuba menghubungi arwah namun gagal dan sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata memikirkan keselamatan dia.

    “Pagi bersiap untuk ke tempat majlis perkahwinan ahli keluarga memaklumkan mayat arwah dijumpai lemas dan ketika itu hanya Allah saja yang tahu perasaan ketika ingin meraikan majlis bersejarah hidup kami,” katanya.

    Siti Haida berkata, dia reda dengan ketentuan Allah walaupun baru seminggu melangsungkan perkahwinan.

    Jenazah Muhamad Syafiq disembahyangkan di Masjid Kampung Lanjut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur yang turut dihadiri ibu arwah, Fatimah Taib, 53, dan bapanya, Saharuddin Mat, 53.

    Sementara itu, Saharuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya arwah pada petang Jumaat dan tidak sempat bersembang kerana mempunyai urusan lain.

    Menurutnya, dua hari sebelum meninggal dunia, anaknya menghadiahkan al-Quran terjemahan dan dia gembira kerana sudah lama mahu memilikinya.

    “Sebelum ini arwah kelihatan sangat gembira kerana cita-citanya untuk berumahtangga dengan gadis pilihannya tercapai dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

  • SAR cari mangsa kelima banjir Telemong diperluas – Bomba

    SAR cari mangsa kelima banjir Telemong diperluas – Bomba

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kelima kejadian banjir lumpur di Telemong, di Bentong, Pahang diperluaskan kepada lima kilometer radius kawasan pencarian.

    Pegawai Bomba dan Penyelamat, Sufian Yakub berkata, ketika ini operasi SAR memfokuskan kawasan seberang sungai, melibatkan dua buah bot penyelamat dengan kekuatan 20 anggota bomba dan polis.

    “Operasi diperluaskan ke kawasan hilir sungai dan mencari di kawasan seberang sungai,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

    Selain itu, Sufian berkata, 51 sukarelawan yang terdiri daripada orang kampung Felda Chemomoi, turut membantu misi SAR itu.

    Semalam, Bernama melaporkan empat mayat warga tempatan ditemukan dalam insiden banjir lumpur di Telemong, di Banting.

    Terdahulu Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Telemong, Lai Wah Foong berkata laluan masuk ke tempat kejadian sebelum ini tidak boleh dilalui susulan kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. – Bernama