MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memaklumkan, mangsa banjir diberi pengecualian daripada membayar yuran penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

Menurut beliau, tiada tempoh ditetapkan bagi mangsa menggantikan dokumen berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai urusan penting lain seperti menguruskan rumah dan keluarga.

“Mangsa banjir yang ingin mendapatkan pengecualian berkenaan perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan dokumen sebelum berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tidak perlu tergesa-gesa untuk melakukan urusan ini. Saya minta JPJ membantu mereka yang terjejas dan kalau boleh kita hendak meletakkan kaunter mobil JPJ untuk memudahkan urusan mangsa banjir nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics dan Transport (KiLAT) di Kuala Lumpur, hari ini.

Kadar bayaran yang ditetapkan JPJ bagi penggantian lesen memandu ialah RM20, bayaran salinan cukai jalan bagi motosikal (RM20) dan kereta (RM50).

Katanya, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) antaranya JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Laut Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here