Author: Admin

  • Peguam ingatkan Zaid: Kita ada tanggungjawab kepada mahkamah

    Peguam ingatkan Zaid: Kita ada tanggungjawab kepada mahkamah

    SEORANG pengamal undang-undang menegur Datuk Zaid Ibrahim yang menyuarakan kekecewaan selepas mendapati peguam dalam kes jenayah perlu mendapat kebenaran mahkamah untuk tarik diri.

    Peguam Andrew Khoo berkata, seorang peguam ada tugas dan tanggungjawab kepada mahkamah dan tidak boleh ‘datang dan pergi’ sesuka hati mereka, menurut pengamal undang-undang.

    Perkara itu disuaraknannya selepas Zaid yang baru saja ditamatkan khidmat sebagai peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyuarakan kekecewaan tersebut.

    “Mahkamah ada budi bicara untuk memberikan lanjutan masa atau tidak, dan peguam tidak boleh mengandaikan mereka pasti akan diberi masa untuk menyediakan penghujahan.

    “Apa yang mengejutkan adalah Zaid seperti tidak sedar yang peguam pertama-tamanya adalah ‘pegawai mahkamah’. Kita bukan ejen bebas – kita tidak datang dan pergi sesuka hati tanpa kebenaran mahkamah.

    “Selaku pegawai mahkamah, kita ada tugas dan tanggungjawab kepada mahkamah. Selaku peguam, kita ada tugas dan tanggungjawab kepada profesion perundangan,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Katanya lagi, mahkamah mungkin memberi lanjutan jika permohonan yang dibuat ada merit, tetapi ia tidak diberikan secara automatik dan mahkamah perlu mengambil kira kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan.

    “Mahkamah tidak akan berbuat demikian hanya kerana peguam sangat senior dan anak guam/tertuduh sangat terkenal. Dan tidak diberikan penangguhan pastinya bukan asas yang baik untuk ditamatkan khidmat atau meminta untuk tarik diri.

    “Ini peraturan yang perlu dipatuhi anggota biasa profesion perundangan setiap hari…Saya terkejut dia (Zaid) tak tahu perkara ini,” katanya yang juga pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang Majlis Peguam.

    Sementara itu, peguam New Sin Ye berkata sementara undang-undang tidak menyatakan bagaimana peguam boleh menarik diri daripada kes jenayah, mahkamah ada kuasa berkenaan perkara itu.

    Dia juga bersetuju dengan Khoo bahawa peguam ‘tugas utama’ sebagai pegawai kepada mahkamah.

    “Dalam kes sivil, mahkamah boleh melarang (peguam daripada tarik diri) kerana pentadbiran keadilan adalah keutamaan paling penting.

    “Dan oleh kerana (mahkamah lebih tinggi) berkuasa terhadap kes sivil dan jenayah, tiada sebab mengapa kes jenayah boleh berbeza dengan sivil, dari aspek mahkamah boleh melarang seorang peguam daripada tarik diri.

    “Misalnya, jika seorang peguam nak tarik diri atas sebab yang semberono, mahkamah boleh tidak bersetuju,” katanya lagi.

    Semalam, Najib menamatkan khidmat pasukan peguam yang mewakilinya dalam kes SRC International untuk kali kedua dalam tempoh sebulan.

    Ia selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu dan permohonan untuk menangguhkan pendengaran selama tiga hingga empat bulan.

    Peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon untuk menarik diri namun tidak dibenarkan panel hakim.

    Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah mengikritik tindakan ini dan menyifatkannya sebagai salah guna proses mahkamah dan perlu dikenakan tindakan disiplin.

    Katanya, peraturan menyatakan peguam tidak seharusnya menerima apa-apa kes melainkan mereka yakin dapat mewakili anak guam pada tarikh yang telah ditetapkan dan melakukan segala usaha untuk bersedia dengan perbicaraan pada tarikh tersebut.

  • Tuntutan palsu lebih RM41,000, 2 individu direman 4 hari

    Tuntutan palsu lebih RM41,000, 2 individu direman 4 hari

    SEORANG lelaki berusia 56 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM41,442.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki yang juga pemilik syarikat penyediaan latihan dan suspek wanita yang merupakan eksekutif kanan sebuah syarikat di Pulau Pinang itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas dipohon Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rashid Ambi.

    Semalam, SPRM dilaporkan menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM40,000.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang, dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang ketika hadir memberi keterangan.

    Katanya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan lima penganjuran latihan perisian komputer bernilai lebih RM40,000 pada 2021 sedangkan penganjuran latihan-latihan tersebut tidak dilaksanakan.

    Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala hanya suspek wanita diwakili peguam, K. Mahendran.

  • Remaja OKU lembam dirogol dua rakan bapa

    Remaja OKU lembam dirogol dua rakan bapa

    SEORANG remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam dipercayai dirogol dua rakan bapanya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Bapa mangsa yang berusia 54 tahun itu hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya itu selepas mangsa mengadu sakit perut dan pinggang ketika mereka berada di kampung.

    Menurut sumber, lelaki itu kemudian membawa anaknya bertemu bidan kampung sebelum diberitahu kemungkinan anaknya itu pernah melakukan hubungan seks.

    “Terkejut dengan perkara itu, dia bertanya kepada mangsa sebelum anaknya menceritakan pernah menjadi mangsa rogol dua rakan lelaki bapanya ketika suspek menumpang rumah mereka di Bukit Jalil.

    “Mangsa juga memberitahu dia dirogol beberapa kali oleh suspek ketika bapanya tiada di rumah,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Sehubungan itu, lelaki terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil pada Selasa lalu untuk tindakan selanjutnya.

    Sumber berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan setakat ini suspek masih belum ditahan.

  • Pas tidak terima usul tolak MN pada muktamar

    Pas tidak terima usul tolak MN pada muktamar

    Oleh BADLISHAH MAT

    MUKTAMAR ke-68 Pas di Kedah pada awal September ini menyaksikan tidak ada usul agar menghentikan Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO dikemukakan oleh perwakilan daripada 197 Pas Kawasan.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu berkaitan MN antara yang dijangka dibangkitkan pada muktamar itu tetapi ia tidak lebih daripada menggesa penekanan terhadap penyatuan ummah.

    Katanya, walaupun usul yang akan diterima tanpa bahas atau usul yang akan dibahas belum dimuktamadkan jawatan kuasa muktamar sehingga kini, namun ia sudah pasti akan disentuh perwakilan.

    “Setakat yang saya dengar tidak ada yang bercanggah dengan pendirian Pas, apa yang jelas penyatuan ummah bukan hanya terhad dengan UMNO tetapi parti lain yang ada peranan sama.

    “Lihat kerajaan di peringkat Persekutuan, berapa parti ada? Itu gambarkan pentingnya penyatuan untuk kestabilan politik negara, kalau tiada penyatuan akan berlaku banyak ketidakstabilan.

    “Oleh itu, Pas percaya UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti di Sabah, Sarawak perlu bersatu demi kestabilan politik negara. Saya percaya akan ada usul-usul berkaitan akan dibawa nanti,” katanya pada sidang akhbar malam tadi.

    Menurut Takiyuddin, Pas sentiasa bersifat terbuka bagi menjayakan wawasan penyatuan ummah termasuk menjemput pimpinan UMNO dan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) serta parti politik lain ke muktamar itu.

    “Bila kita bersama UMNO dalam MN dan menandatangani piagam, ia dinyatakan dengan jelas penyatuan ini melibatkan parti-parti Melayu Islam, parti dianggotai Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan parti-parti yang didominasi oleh orang bukan Islam tetapi tidak ekstrem.

    “Sebab itu kita tiada halangan. Kita jemput semua orang. Tun Dr. Mahathir walaupun beliau tidak daripada Pakatan Harapan (PH), pun kita jemput. UMNO lagilah, kita tak pernah memutuskan hubungan walau apa pun yang dikatakan di sana sini mengenai Pas,” katanya.

    Kata beliau, keutamaan Pas adalah untuk mengelak pertembungan lebih daripada dua penjuru yang dilihat hanya akan menguntungkan pihak tertentu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    “Itu adalah strategi untuk memastikan kemenangan kerana apabila berlaku pertembungan lebih dua penjuru, dua-dua pihak yang kata nak buat penyatuan ummah atau perpaduan nasional ini kalah dan yang menang pihak ketiga seperti yang sudah terbukti dalam pilihan raya sebelum ini.

    “Memang kita ambil pelbagai langkah daripada berlaku tiga penjuru melibatkan parti politik utama iaitu Perikatan Nasional (PN) Barisan INasional (BN) dan PH yang memang selari dengan ketetapan parti,” katanya.

  • Tiga remaja 15 tahun pukul rakan ditahan polis

    Tiga remaja 15 tahun pukul rakan ditahan polis

    TIGA remaja ditahan selepas bertindak ‘samseng’ memukul seorang gadis dalam kejadian di tempat letak kenderaan di Buangkok, Singapura.

    Polis telah menerima maklumat membabitkan kejadian di Blok 269 Compaccvale Link pada pukul 9.25 malam Selasa.

    Memetik laporan Channel News Asia, mangsa terbabit tidak mengalami kecederaan, tetapi dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 15 tahun dan siasatan dijalankan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

    “Mangsa dan suspek dipercayai mengenali antara satu sama lain,” kata polis dalam satu kenyataan, lapor Utusan TV.

    Malah, video pergaduhan terbabit telah tular di media sosial dan memaparkan aksi ketiga-tiga suspek dilihat memukul mangsa berulang kali.

    Suspek juga telah menarik rambut dan menolak mangsa ke lantai beberapa kali.

    Turut kelihatan di dalam klip video dua orang lelaki cuba menghalang perbuatan tersebut namun menerima akibat apabila ditumbuk oleh suspek beberapa kali.

  • Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    Lelaki maut, bayi cedera motosikal dinaiki dilanggar kereta

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, pukul 7.45 pagi tadi.

    Mangsa yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Lalang, Bedong itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Siasatan polis mendapati mangsa menunggang motosikal Honda EX5 manakala Proton Iswara dipandu lelaki warga asing berusia 40 tahun berkenaan turut membawa empat penumpang lain.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penumpang kereta terbabit terdiri daripada isteri pemandu yang juga warga asing berusia 33 tahun serta tiga anak mereka berusia setahun hingga empat tahun.

    “Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Bukit Selambau manakala kereta terbabit pula datang dari Sungai Lalang.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi manakala bayi berusia setahun yang juga penumpang kereta mengalami luka di kepala.

    “Pemeriksaan mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang rumah itu tiada lesen memandu dan pasangan suami isteri berkenaan juga tidak mempunyai dokumen.

    “Siasatan kita juga mendapati cukai jalan dan insuran kenderaan dinaiki mereka sekeluarga juga sudah tamat tempoh,” katanya.

    Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    SEORANG lelaki ditahan bersama sebuah lori yang ditutup dengan kanvas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh, pada petang semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemandu lori berusia 24 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut pada 2.30 petang.

    Menurutnya, operasi itu adalah hasil pemantauan harian yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa di stesen minyak sekitar Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut, terdapat empat tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori itu telah diubah suai dan disambungkan dengan empat buah tangki fiber berkenaan.

    “Semakan juga mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Astro Awani.

    Oleh itu, pasukan pegawai KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 1,000 liter minyak diesel dari lori berkenaan di lokasi tersebut.

    Saifullizan berkata kesemua barang rampasan ini dianggarkan bernilai RM45,850 manakala pemandu lori itu telah ditahan untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

    “Pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

    “Dianggarkan hampir 1,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan.

    “Selain itu lori berkenaan dipercayai mengumpul minyak diesel dengan mengisi di beberapa stesen sebelum dijual kepada pihak industri,” katanya lagi.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Beliau turut menegaskan Kementerian melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas melebihi 20 liter tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

  • Sampan hanyut berisi dadah ditemukan

    Sampan hanyut berisi dadah ditemukan

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Langkawi Wilayah Satu menemukan satu sampan kayu hanyut di perairan Kuala Perlis, Kangar, pada pukul 2 pagi tadi.

    Penemuan itu sekali gus membongkar cubaan sindiket pengedaran dadah menyeludup tujuh bungkusan ketulan dadah jenis ganja bernilai RM17,500.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, PPM tersebut mengesan sebuah sampan kayu tidak bernombor pendaftaran sedang hanyut tanpa dikemudi di kedudukan 0.5 batu nautika dari Pulau Brasmana di sempadan maritim Malaysia-Thailand.

    “Pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat satu bungkusan guni berwarna putih dalam sampan itu.

    “Anggota polis marin kemudian menjumpai tujuh bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 7,000 gram disimpan dalam guni putih berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Katanya, selepas dipastikan tiada sesiapa sekitar kawasan perairan itu, sampan kayu berkenaan ditunda pulang ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kuala Perlis untuk siasatan lanjut sekitar pukul 2.30 pagi.

    “Jumlah keseluruhan anggaran harga rampasan dadah adalah bernilai RM17,500.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Surina menyeru kepada orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Perlis di talian04-987 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Arak tidak bercukai bernilai lebih RM1 juta dirampas

    Arak tidak bercukai bernilai lebih RM1 juta dirampas

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat buah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke negeri itu melalui di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

    Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah Cheong Yu Min, semua rampasan dianggarkan bernilai RM1,136,413 itu melibatkan tiga kes tahanan minuman keras sejak 11 Ogos lalu.

    Rampasan pertama katanya, dilakukan pada 11 Ogos 2022, kira-kira 9.45 pagi selepas bertindak berdasarkan penemuan imej imbasan mesin pengimbas yang meragukan dan penahanan terhadap sebuah kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kontena yang ditahan tersebut mendapati sejumlah lebih kurang 18,236 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam dengan anggaran nilai harga sebanyak RM69,458.88, manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM284,139.95.

    “Rampasan kedua pada 16 Ogos 2022, lebih kurang 9.05 pagi, mendapati kedua-dua buah kontena tersebut mengandungi minuman keras pelbagai jenama dengan nilai RM594,410.86.

    “Sementara rampasan ketiga pada 17 Ogos lalu kira-kira 11.10 pagi selepas pihaknya menahan sebuah kontena disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras dengan penemuan 16,632 liter berjumlah RM267,882.63,” katanya dalam sidang media JKDM Zon Sabah, hari ini.

    Beliau berkata, modus operandi bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah mengikrar dagangan import dengan barang lain untuk tujuan menyeludup bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Pekerja syarikat pembekal cederakan bekas kekasih dihukum penjara, sebat

    Pekerja syarikat pembekal cederakan bekas kekasih dihukum penjara, sebat

    SEORANG pekerja syarikat pembekal dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan dua wanita termasuk bekas kekasihnya, Julai lalu.

    Muhammad Syazwan Mohd. Nasir, 26, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan tersebut atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas kekasihnya yang berusia 23 tahun dengan menggunakan senjata pisau.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

    Sementara pertuduhan kedua, dia turut didapati sengaja mendatangkan cedera terhadap rakan wanita bekas kekasihnya yang berusia 25 tahun.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui menyesal dengan perbuatan yang dilakukan serta merayu hukumannya diringankan dengan alasan ingin berubah menjadi insan yang lebih baik.

    Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa adalah serius.

    Hakim Nariman pada penghukumannya kemudian menetapkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh ditangkap pada 30 Julai lalu serta satu sebatan bagi Seksyen 326 Kanun kKseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah kepada bekas kekasihnya.

    Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun enam bulan bagi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

    Kedua-dua hukuman bagaimanapun diperintah berjalan serentak daripada tarikh ditangkap.