Author: Admin

  • Maritim rampas 2.3 tan metrik daun ketum, tahan dua ‘keldai’

    Maritim rampas 2.3 tan metrik daun ketum, tahan dua ‘keldai’

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 2.3 tan metrik daun ketum dan menahan dua lelaki dipercayai ‘keldai ketum’ di perairan Kuala Perlis pada Sabtu lepas.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zawawi Abdullah berkata, anggota Maritim menahan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran yang membawa muatan daun ketum terbabit di kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang pada kira-kira jam 7.55 pagi.

    “Sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun itu bertindak menukar haluan sebelum terjun ke laut dan melarikan diri ke darat namun berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita di Kuala Perlis, hari ini.

    Beliau berkata, pemeriksaan pada petak simpanan bot berkenaan menemukan 230 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dianggarkan bernilai RM414,000.

    Katanya, selain daun ketum, anggota Maritim turut menemukan beg kecil berwarna hitam mengandungi dua peket kecil plastik lut sinar disyaki berisi 100 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM2,500.

    “Turut ditemukan, dua peket kecil plastik lut sinar disyaki berisi syabu seberat 1.72 gram dianggarkan bernilai RM688 dan tiga peket kecil plastik lut sinar disyaki heroin seberat 1.47 gram dianggarkan bernilai RM117.60 di bahagian kemudi bot,” katanya.

    Mohd. Zawawi tidak menolak kemungkinan penyeludupan itu didalangi sindiket tempatan yang menggunakan perkhidmatan ‘keldai ketum’ untuk membawa keluar daun ketum ke negara jiran.

    Beliau berkata, keseluruhan barangan rampasan termasuk daun ketum, dadah, bot gentian serta enjin sangkut dianggarkan bernilai RM537,305.60 dan merupakan rampasan terbesar setakat tahun ini.

    Katanya, kes penyeludupan daun ketum akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, kes dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala mengendalikan bot tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985. – Bernama

  • ‘Saya tidak boleh bubar DUN sesuka hati’-MB Johor

    ‘Saya tidak boleh bubar DUN sesuka hati’-MB Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad memberitahu, kerajaan negeri tidak boleh sesuka hati membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau yang tidak memberi bayangan bila tarikh sebenar PRN Johor berkata, kerajaan negeri tidak boleh menolak keperluan untuk mengadakan PRN disebabkan majoriti yang tipis ketika ini.

    “Saya kira justifikasi kenapa PRN perlu diadakan lebih penting daripada bila patut diadakan, itu lagi penting. Kita ada peraturan, tidak boleh sesenang atau sewenang-wenangnya untuk saya nasihat tuanku untuk bubar DUN.

    “Saya tidak boleh buat begitu kerana ada peraturan dan syaratnya, jadi ini harus dipatuhi. Saya tidak boleh sesuka hati mengistiharkan atau menasihatkan ke bawah duli tuanku esok bubar lusa tak payah bubar atau sebagainya.

    “Untuk itu tidak perlu ada pihak yang bimbang, saya akan berpegang kepada peraturan yang ditetapkan. Pembubaran DUN tertakluk kepada syarat-syarat Undang-Undang Tubuh Negeri yang wajib dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan AirAsia Super Apps di Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse menggesa Hasni supaya mengentikan spekilasi berkenaan PRN dengan memberitahu bila akan diadakan PRN dan bukan terus berdolak-dalih.

    Baru-baru ini, khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan semakin kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

    Perkembangan itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

    Mengulas lanjut, Hasni berkata, UMNO di peringkat negeri juga masih belum membincangkan mengenai PRN namun beliau masih kekal berpandangan mengadakan PRN adalah satu keperluan.

    Jelasnya, ini disebabkan majoriti tipis yang dimiliki kerajaan negeri dan PRN akan menjadikan kerajaan negeri lebih kuat dan stabil.

    Selain itu katanya, pelabur juga sukar untuk melabur atau memperluas perniagaan mereka apabila melihat kerajaan negeri yang stabil dan kukuh termasuk pihak kerajaan negeri sendiri dalam usaha menjayakan program-program dirancangkan di negeri ini.

  • Pelbagai pihak harap Sultan Johor tangguh PRN Johor

    Pelbagai pihak harap Sultan Johor tangguh PRN Johor

    PELBAGAI pihak berharap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dapat memainkan peranan bagi menghentikan tindakan rakus sesetengah pemimpin di negeri itu yang mahu mengadakan PRN dalam keadaan rakyat masih dihimpit pelbagai kesusahan termasuk bencana banjir.

    Sebagai Sultan yang dekat dengan rakyat, mereka yakin Sultan Johor memahami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan pelbagai masalah termasuk ancaman varian baharu Covid-19 Omricon pada masa ini.

    Timbalan Presiden Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ), Najmuddin Mahmood

    Timbalan Presiden Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ), Najmuddin Mahmood berkata, Sultan Johor tidak akan sama sekali membiarkan mereka yang di bawah naungan Baginda berada dalam kesusahan akibat kerakusan ahli-ahli politik mengejar kuasa

    “Saya rasa kalau rakyat bersuara, Tuanku mesti dengar suara rakyat sebab Baginda adalah pemimpin yang saksama dan tidak memihak kepada ahli politik yang rakus,” katanya kepada SatuBerita ketika dihubungi pada Isnin.

    Beliau menambah, malah sebelum ini Sultan Johor pernah menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor supaya mengutamakan kebajikan rakyat daripada agenda politik sempit.

    “Teguran Baginda itu benar dan tepat kerana ahli politik tidak sepatutnya pentingkan diri. Mereka wakil rakyat bukannya wakil parti politik.” tambahnya.

    Beliau mengulas tindakan sesetengah pihak yang cuba untuk mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam waktu terdekat.

    Desas-desus itu semakin bertiup kencang ekoran kematian ADUN Kempas yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, 70, bulan lalu yang menyaksikan kerajaan Johor kini hanya memiliki kelebihan satu kerusi.

    Penganalisis Politik, Mujibu Abd. Muis

    Sementara itu Penganalisis Politik, Mujibu Abd. Muis berkata, Sultan Johor boleh menasihati pemimpin negeri jika mereka bertegas mahu mengadakan PRN.

    “Buat sementara waktu, mungkin Tuanku Sultan boleh pertimbangkan untuk tangguh. Kalau kita tengok apa yang berlaku di Melaka, kurang jumlah pengundi yang turun mengundi, itulah yang boleh juga berlaku di negeri Johor,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Pensyarah Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menambah, dengan pelbagai masalah yang menghimpit rakyat pada masa ini, sentimen dan mood rakyat dalam konteks untuk berpolitik berada di tahap yang paling rendah.

    “Saya berharap Tuanku Sultan menghalang pilihanraya berlaku, kita masih lagi dalam keadaan tidak berapa stabil,” ujarnya.

    Penganalisis Politik dan Media Sosial UiTM, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy

    Pandangan sama turut disuarakan Penganalisis Politik dan Media Sosial UiTM, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy yang berpendapat segala keputusan untuk mengadakan atau tidak PRN harus mendapat perkenan daripada Sultan Johor.

    “Ini urusan kerajaan negeri Johor, jadi serahkan kepada Baginda (untuk buat keputusan),” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Sara Chinnasamy berkata, ketika ini, tidak ada keperluan untuk PRN dilaksanakan dan rakyat semakin penat dengan karenah suasana politik tanah air yang tidak mendatangkan kebaikan kepada mereka.

    “Letih rakyat dengan politik macam ini, selagi bergabung ada sahaja yang tidak puas hati mana-mana, cukup dahulu tunggu sahaja Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

  • Perlu seminggu lagi padam kebakaran tapak sampah Sungai Burung

    Perlu seminggu lagi padam kebakaran tapak sampah Sungai Burung

    KEBAKARAN tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang memasuki hari kelima hari ini dijangka mengambil masa seminggu lagi untuk dipadamkan.

    Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, ini kerana anggota pasukan bomba dan penyelamat berdepan beberapa kesukaran selain melibatkan kawasan terbakar yang luas.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengatasi masalah itu termasuk meminta pihak syarikat operator tapak berkenaan bertanggungjawab.

    “Bomba menghadapi masalah iaitu tekanan air rendah dan masalah kekurangan tanah untuk ditambun selain kawasan yang terbakar juga mungkin sudah seluas tujuh hektar,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah itu hari ini dengan diiringi Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

    Dalam pada itu Mansor berkata, kejadian kebakaran tersebut perlu ditangani dengan baik oleh semua pihak berkaitan memandangkan menyebabkan kesan kebakaran yang membimbangkan.

    Malah ujar beliau, insiden itu juga merupakan kejadian terburuk setakat ini meskipun tapak sampah berkenaan pernah beberapa kali dilaporkan terbakar sebelum ini.

    anggota pasukan bomba dan penyelamat berdepan beberapa kesukaran selain melibatkan kawasan terbakar yang luas

    Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, pihak operator tapak pelupusan sampah berkenaan telah beberapa kali dikenakan tindakan oleh pihaknya atas kesalahan pembakaran terbuka.

    Ujarnya, operator berkenaan turut dikompaun sebelum ini selain mempunyai kes mahkamah yang sedang berjalan.

    “Bagi kejadian ini, JAS Pulau Pinang akan meneliti  kesalahan-kesalahan mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk diambil tindakan terhadap syarikat operator terbabit,” katanya.

    Pada Rabu lalu, tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang keseluruhannya seluas 16.2 hektar itu dikesan mengalami kebakaran pada kawasan seluas kira-kira 6.5 hektar.

    Ekoran itu, kira-kira 200 penduduk daripada 86 keluarga di kLadang Byram dan Kampung Kebun Baru yang terletak berhampiran tapak tersebut diminta berpindah ke pusat pemindahan sementra (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah sejak semalam.

  • Lapan PATI baru mendarat diberkas dalam Op Benteng

    Lapan PATI baru mendarat diberkas dalam Op Benteng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat berjaya diberkas
    dalam dua siri serbuan di kawasan pantai Kampung Masjid, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dan anggota petugas Pos Pemerhati mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan pantai itu pukul 2.40 pagi.

    “Tim terbabit melihat kelibat orang sedang turun dari bot dan berjalan menuju ke arah daratan pantai tersebut.
    Kemudian pada pukul 3.10 pagi, tim telah berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas enam PATI warga Indonesia.

    “Kemudian pada pukul 7.20 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) pula berjaya membuat penambahan tangkapan ke atas dua PATI warga negara itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, semua PATI itu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 49 tahun.

    Menurutnya, semua PATI tersebut telah dibuat saringan Covid- 19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan mendapati semuanya negatif.

    Mereka katanya, akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru dan laporan dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM4,811 melibatkan matawang Malaysia RM612, matawang Indonesia IDR 1,060,000 (RM309), beberapa matawang asing lain, tujuh telefon bimbit bernilai RM3,130, barang kemas bernilai RM680 serta seutas jam tangan.

    Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan, ujarnya.

  • Sorok mercun Tahun Baru Cina dalam kedai menjual telefon bimbit

    Sorok mercun Tahun Baru Cina dalam kedai menjual telefon bimbit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK satu sindiket cuba menyembunyikan mercun dan berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit tidak berjaya apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua semalam.

    Menerusi serbuan di Taman Mutiara Emas, Skudai, Johor Bahru pada pukul 3 petang, PPM Wilayah Dua merampas 250 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM350,000.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kejayaan serbuan itu adalah selepas pihak polis melakukan siasatan dan intipan selama dua hingga tiga minggu di kedai berkenaan.

    Jelasnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang merupakan pekerja di premis tersebut.

    “Menerusi serbuan berkenaan kita melakukan pemeriksaan di seluruh kedai dan menemukan 250 kotak mengandungi 16 jenis mercun dalam bahagian stor di belakang kedai tersebut.

    “Kedai itu berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa di luar kotak ditulis Happy Boom iaitu bungai api yang dibenarkan dijual di pasaran.

    “Namun di dalamnya mengandungi mercun terlarang,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Marin, Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, semua bekalan mercun tersebut dipercayai untuk dipasarkan sebelum Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

    Menurutnya, kedai tersebut sudah lama beroperasi menjual telefon bimbit dan pihaknya masih menyiasat sudah berapa lama kegiatan itu dilakukan yang berselindung di sebalik perniagaan itu.

    Suspek berkenaan katanya, dipercayai ahli sindiket berkenaan dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan pihaknya masih menyiasat suspek lain yang terlibat.

    “Pemeriksaan mendapati penjaga premis berkenaan tidak mempunyai dokumen sah untuk menyimpan dan menjual mercun berkenaan,” katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan.

    Kamarul Zaman turut meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan sebarang kegiatan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang menerusi talian 07-2372222 atau 07-2376122.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hanya 26 buah kuil di negeri ini dibenarkan menyambut perayaan Thaipusam dengan melibatkan 50 penganut sahaja di rumah ibadat yang terlibat.

    Jelasnya, daripada jumlah itu hanya tujuh kuil sahaja dibenarkan untuk dibuat perarakan dan pihak polis akan melakukan pemantauan di setiap kuil yang terlibat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

  • Kerugian cecah hingga RM6.5 bilion akibat banjir-Mustapa Mohamed

    Kerugian cecah hingga RM6.5 bilion akibat banjir-Mustapa Mohamed

    DIANGGARKAN kerugian akibat banjir di seluruh negara sejak hujung bulan lalu mencecah antara RM5.3 hingga RM6.5 bilion.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, daripada jumlah itu, kerosakan kediaman merekodkan kerugian tertinggi iaitu antara RM1.2 hingga RM1.4 bilion.

    “Dalam merasai dugaan yang dihadapi ini, kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengambil inisiatif menyediakan kajian menyeluruh impak banjir yang berlaku di negeri-negeri yang terkesan banjir,” katanya.

    Beliau ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

  • Stor barang rumah anak yatim musnah dalam kebakaran

    Stor barang rumah anak yatim musnah dalam kebakaran

    SEBUAH stor penyimpanan barang di rumah anak yatim di Jalan Air Mawar 1, Taman Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sentul, BPP Jalan Tun Razak, BPP Wangsa Maju, BPP Hang Tuah dan BPP Sentul dengan kekuatan 26 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.31 pagi.

    Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, kesemua penghuni di banglo dua tingkat yang dijadikan rumah anak yatim itu telah dikeluarkan oleh penjaga rumah anak yatim berkenaan.

    “Seramai 12 kanak-kanak lelaki, 20 kanak-kanak perempuan, tiga wanita dewasa dan dua lelaki dewasa berada di rumah berkenaan semasa kejadian. Mereka semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian dan berjaya dipadamkam sepenuhnya pada 3.30 pagi. Operasi tamat pada 5.48 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.- Bernama

  • RM100,000 lesap ditipu sindiket Macau Scam

    RM100,000 lesap ditipu sindiket Macau Scam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SIMPANAN seorang pesara guru wanita berjumlah RM100,000 lesap apabila dia terperdaya dengan panggilan Macau Scam oleh dua individu yang menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis berpangkat sarjan baru-baru ini.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supritenden Elias Omar, wanita tersebut pada awalnya menerima panggilan telefon dari salah seorang suspek yang mengaku sebagai ejen insurans pada 3 Januari lepas.

    Katanya, ejen insurans dari Kuala Lumpur itu mendakwa dia menghubung mangsa kerana terdapat tuntutan insurans terhadap wanita tersebut memandangkan pesara guru berkenaan sebelum ini dikatakan pernah terlibat dalam kemalangan.

    “Sebaik wanita itu menafikan dakwaan yang dia pernah terlibat dengan kemalangan, pesara guru tersebut diarahkan untuk membuat laporan secara dalam talian ke Balai Polis Pudu. Oleh itu panggilan tersebut telah disambungkan kepada seorang suspek lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari Balai Polis Pudu untuk membuat pengesahan.

    “Namun setelah membuat siasatan kononnya, ‘sarjan’ tersebut mendakwa mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram pula. Mangsa kemudiannya diminta memberikan 16 nombor digit yang tertera di kad bank miliknya, serta butiran perbankan dalam talian untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, suspek juga cuba menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.

    “Bagi mengelak daripada ditangkap, mangsa perlu melaporkan diri melalui aplikasi Whatsapp kepada suspek setiap dua jam.

    “Semakan ke atas akaunnya pula mendapati berlaku kegiatan pemindahan wang berjumlah RM100,000 secara berperingkat dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga. Sehubungan itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 13 Januari lalu,” katanya.  

    Elias menambah, siasatan kini dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda.

  • Kantoi cuba seludup barang keperluan harian ke Indonesia

    Kantoi cuba seludup barang keperluan harian ke Indonesia

    DUA individu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau selepas cuba menyeludup keluar pelbagai barangan termasuk barangan bersubsidi ke negara jiran di perairan Tanjung Saima, Pulau Sebatik, awal pagi semalam.

    Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, serbuan dilakukan pada pukul 1.30 pagi melbatkan bot kargo dikendalikan seorang tekong lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 35 tahun.

    Katanya, sebanyak 1.6 tan gula pasir, 2.1 tan minyak masak peket, 3.4 tan tepung gandum, 1,764 set kosmetik pelbagai jenama serta pelbagai barangan runcit dirampas Zon Maritim Tawau.

    “Sebelum itu sepasukan anggotanya melakukan rondaan Ops Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) Selatan di kawasan berkenaan, terdapat sebuah bot kargo dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah perairan Batu 3 menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

    “Bot kargo tempatan itu didapati sarat dengan muatan pelbagai barangan yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.

    “Pemeriksaan dokumentasi terhadap barangan yang dibawa mendapati tekong gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa serta mengemukakan dokumen kastam yang meragukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu, katanya, kedua-dua suspek ditahan bersama bot serta muatan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

    “Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM212,956.

    “Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002,” katanya.