SEMBILAN penumpang detik cemas apabila bot pam yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Jeti Pelancongan Semporna, Semporna, pada pukul 9.50 pagi tadi.
Penumpang berkenaan terdiri daripada dua lelaki, dua wanita bersama dua kanak-kanak perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki sempat diselamatkan pasukan bomba dan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 9.59 pagi.
Katanya, seramai lima anggota dari pasukan BBP Atas Air Semporna dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 50 meter dari balai.
“Menurut maklumat, sebuah bot pam milik penduduk kampung karam di hadapan jeti pelancongan ketika dalam perjalanan ke Kampung Bangau-Bangau.
“Pasukan bomba segera ke lokasi dengan menggunakan bot Kevler untuk operasi menyelamat dan terdapat sembilan mangsa yang terlibat berjaya diselamatkan pasukan bomba bersama orang awam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, maklumat berkaitan mangsa tidak dapat diperoleh namun pemeriksaan mendapati tiada mangsa yang cedera atau kematian dilaporkan.
“Selepas keadaan selamat, operasi kemudian ditamatkan pada pukul 10.39 pagi,” katanya.
SAMBUTAN Thapusam menjadi kenangan indah buat seorang wanita apabila melahirkan seorang bayi perempuan dalam kenderaan pacuan empat roda berhampiran Kuil Sri Subramaniya Swami, Batu Caves, hari ini.
Wanita berkenaan sempat dibantu beberapa individu yang berada berdekatan kuil itu yang sedang meraikan Thaipusam.
Peristiwa itu dikongsikan seorang wartawan, LK Savantharaja menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.
“Tadi, saya dan beberapa orang datang untuk bersembahyang di Kuil Sri Subramaniya Batu Caves.
“Ternampak seorang kakak menjerit meminta tolong di dalam sebuah kereta (di luar kuil), terus berlari menghampiri kereta tersebut. Dia kelihatan mahu bersalin di dalam keretanya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Melihat situasi cemas itu, Savantharaja berkata, dia dan beberapa beberapa pengunjung wanita yang berada di kawasan berdekatan segera menutup cermin kenderaan itu dengan pakaian (vesthi).
Wanita bersalin dalam kenderaan berhampiran kuil di Batu Caves semasa Thaipusam selamat melahirkan bayi perempuan. – Foto Facebook LK Savantharaja
Savantharaja berkata, dia turut berasa sangat gembira melihat wanita itu selamat melahirkan seorang bayi perempuan sekitar pukul 7.24 pagi tadi.
“Kakak selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang cantik (masa sekitar 7.24 pagi).
“Saya sangat gembira dan sempat mencari pisau untuk memotong tali pusat bayi tersebut.
“Semua yang datang menghulurkan bantuan kepada ibu dan bayi berkenaan,” katanya.
Tulisnya lagi, ambulans datang sejurus selepas bayi itu dilahirkan sebelum bergegas membawa wanita berkenaan ke hospital.
“Ambulans sampai tepat selepas bayi keluar. Sebelum ke hospital, saya bergambar dengan ayah bayi ini (untuk kenangan),” tulisnya.
SEORANG daripada dua remaja yang lemas dalam Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama, Pasir Gudang menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap sebelum tragedi itu berlaku.
Bapa mangsa, Sabri kadir, 48, berkata, anaknya, Sharif Mohd. Sharizan biasanya akan melihat wajahnya ketika mereka berbual tetapi tiba-tiba berubah menjadi pendiam kira-kira empat hari lalu.
“Biasanya apabila saya bercakap dia akan memandang wajah saya tapi sejak tiga empat hari lalu, dia hanya tunduk apabila saya bercakap dengan dia dan memandang ke depan,” katanya.
Sabri Kadir
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian arwah Sharif dan seorang lagi mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang, hari ini.
Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kebajikan Xindai hadir.
Che Zakaria (kiri), Sabri (tengah) dan ahli keluarga serta rakan arwah hadir pada pengebumian dua mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Padir Gudang, hari ini.
Jenazah Sharif tiba dahulu dan dikebumikan pada pukul 10.45 pagi manakala jenazah mangsa lemas kedua, Mohd. Ahlan Kiram pula dikebumikan bersebelahan Sharif kira-kira satu jam selepas itu.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang kelmarin, Sharif, 11, dan enam rakannya bermain di tepi Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama sebelum seliparnya dikatakan terjatuh dalam air lalu cuba mengambilnya.
Arwah Sharif terkapai-kapai dan Mohd. Ahlan, 14, yang melihat kejadian itu cuba membantu tetapi tidak berjaya lalu kedua-duanya lemas sebelum rakan mangsa kemudian meminta bantuan penduduk kampung.
Sabri berkata, anaknya itu jarang pergi ke kawasan sungai tersebut sebelum ini dan semasa kejadian mangsa bermain bersama-sama rakannya yang duduk satu taman denganya.
“Saya mendengar cerita sahaja dia cuba mengambil selipar yang terjatuh tetapi saya tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.
Sabri berkata, keluarganya reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima beradik itu dan menyifatkan mangsa sebagai anak paling manja dalam keluarganya.
Sementara itu, abang kepada Mohd. Ahlan iaitu Mohd Syahlan, 19, berkata, berdasarkan cerita rakan mangsa yang terlibat, adiknya cuba membantu menyelamatkan Sharif tetapi tidak menyangka dasar sungai itu dalam.
Mohd Syahlan
“Menurut cerita, adik saya sangka kawasan itu cetek tetapi apabila pergi membantu Sharif, kawasan itu dalam sebenarnya dan dia yang tidak tahu berenang turut lemas,” katanya yang bekerja di kilang di Pasir Gudang.
Dalam pada itu, wakil Persatuan Kebajikan Xindai, Ungku Ibrahim Ismail Ungku Muhamad Yunos berkata, pihaknya menghulurkan bantuan RM500 kepada setiap keluarga bagi membantu meringankan beban mereka.
“Kita akan beri bantuan susulan terutama kepada keluarga Sabri kerana dia hanya berniaga nasi lemak dan menyewa sebuah bilik dan bukan sebuah rumah di taman itu disebabkan tidak mampu selain sudah berhenti kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
KHABAR duka datang daripada Azhan Rani apabila pelakon yang popular dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama bersiri popular Nur, terlibat dalam satu kemalangan motosikal semalam.
Berita tersebut yang disampaikan oleh pelakon Beto Kusyairy yang memuatkan naik status melalui akan media sosial miliknya sebentar tadi.
“Amanah dari sahabatku Azhan Rani, dukacita ingin menyampaikan pada semua yang beliau telah terlibat dengan kemalangan motosikal pada tengahari semalam (Isnin).
“Alhamdulillah keadaannya stabil dan masih dalam jagaan pakar. Pada semua sahabat, kenalan dan wartawan yang cuba menghubunginya secara peribadi, beliau mohon maaf kerana tak dapat nak jawab segala panggilan dan mesej untuk sementara waktu ni,” tulisnya.
Tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar kemalangan dan tahap kecederaan yang dihadapi oleh Azhan memandangkan Beto tidak memperincikan butiran terebut.
Namun kata Beto, Azhan berterima kasih dan menghargai segala keprihatinan dan doa daripada orang ramai untuk dia kembali pulih seperti sedia kala.
“Namun beliau tetap menghargai segala perasaan ambil berat ke atas dirinya. Sama-sama kita doakan beliau agar segera sembuh & pulih seperti sediakala. Amin Ya Rabb,” tulisnya lagi.
Perkongsian yang dibuat oleh Beto mendapat perhatian daripada rakan-rakan artis dan peminat yang berharap pelakon berkenaan lekas sembuh.
“Lekas sembuh Azhan Rani. Insya-Allah,” titip Atiqah Hasiholan yang juga merupakan pelakon popular Indonesia.
Beberapa pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Zahiril Adzim, Nabila Huda dan Tiz Zaqyah turut mendoakan Azhan agar lekas sembuh.
SEORANG pegawai cawangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) negeri Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua tuduhan salah guna kuasa bagi kepentingan sendiri, lapor Astro Awani.
Tertuduh Nor Jihan Musa, 37, bagaimana pun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan setelah dibaca dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Menurut keterangan kes, pada 30 Disember 2020, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan di pejabat APAD Pahang, dengan menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan ubah syarat lesen pengendali atau permit kenderaan barangan bagi syarikat miliknya sendiri.
Sementara pada 31 Mac 2021, tertuduh dilokasi yang sama didakwa menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan melesenkan kenderaan mengikut surat tawaran bagi syarikat miliknya.
Pendakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 24 akta sama, dilakukan pegawai pendakwa SPRM, Nadzirah Zahari.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Tertuduh diwakili peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin.
Mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa.
Mahkamah menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
DAP Pulau Pinang hari ini menerima surat keluar parti daripada bekas exco negeri, Datuk Danny Law Heng Kiang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata parti itu menghormati keputusan Law dan mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau selama bersama DAP.
Sementara itu Law ketika dihubungi Bernama bagi menjelaskan tindakannya itu hanya berkata: “Sudah cukup 35 tahun bersama DAP, dan kini sedang mencari hala tuju baharu”.
Mengenai spekulasi kemungkinan beliau menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang perpangkalan di Sabah, Law berkata: “times will tell”.
Pada Pilihan raya umum 2008, Law menang dalam pertandingan di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Lancang, Pulau Pinang dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri.
Law, 61, telah mula aktif dalam politik selepas menyertai DAP pada tahun 1986. – Bernama
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Juil Nuatim berkata, tindakannya keluar daripada Warisan bukanlah berniat untuk memusuhi sesiapa tetapi demi rakyat yang diwakilinya.
Katanya, masih banyak pembangunan yang perlu dilakukan di Limbahau dan usaha ke arahnya menjadi sukar apabila berada di pihak pembangkang.
“Kita keluar bukan mahu bersaing tetapi agenda saya adalah untuk pembangunan di kawasan ini (Limbahau) sebab Limbahau adalah kawasan yang agak mundur dan terpencil sedikit, terutamanya di Mandalipau, Kaiduan, Bolotikon dan Gisuang.
“Saya juga selalu bangkitkan bahawa kawasan Tanaki, Mandalipau langsung tiada akses internet. Saya selalu suarakan di DUN dan kalau di (belah) pembangkang, suara kita tidak didengari.
“Namun, andai kita beri sokongan kepada kerajaan, kita akan dapat manfaat kerana ini adalah keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya kepada FMT.
Juil berkata, tindakan itu juga bagi memanfaatkan generasi akan datang di kawasannya kerana masa untuk membangunkan Limbahau sudah agak terhad.
“Kalaulah saya sudah tiada, saya sudah sekian lama dalam politik, sudah pasti tiada kenangan saya dalam politik jika gagal membawa pembangunan ke Limbahau.
“Ia merugikan rakyat di kawasan ini juga jika terus menentang kerajaan, jadi saya berharap mereka faham dengan keadaan kami,” katanya.
Terdahulu Juil berkata, seramai kira-kira 300 ahli Warisan di Limbahau, termasuk ketua-ketua cawangan, jawatankuasa bahagian dan sayap belia serta wanita turut meninggalkan parti itu Ahad lepas.
Katanya, mereka meninggalkan Warisan untuk memberi sokongan kepada bekas naib presiden parti itu, Peter Anthony yang menubuhkan parti baharu.
Sebelum ini, Juil bersama-sama Peter mengumumkan keluar Warisan untuk menubuhkan sebuah parti berbilang kaum yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Majlis pengenalan parti baharu itu dijadualkan berlangsung pada 28 Januari di Tenom.
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mendedahkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan kes klinik swasta menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu setakat ini.
Beliau memberitahu, kegiatan tersebut melibatkan klinik swasta di Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan.
Bagaimanapun katanya, kegiatan itu di seluruh negara masih berada pada tahap terkawal, selain dipantau pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Pada masa ini, saya tiada fakta terperinci laporan itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Sudah tentu kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu dalam kawalan PDRM dan kita sentiasa pantau perkara itu,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.
Semalam, media melaporkan tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, dipetik berkata semua suspek, termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik berkenaan.
Siasatan awal mendapati, kegiatan kumpulan itu dikesan menerusi pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.
Di Terengganu, polis dilaporkan membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu, apabila merampas hampir 100 kad peringatan imunisasi (janji temu) serta menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di Marang.
Doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK) pada 8 Januari lalu.
Susulan penahanan itu, polis dan Jabatan Kesihatan Terengganu sedang menyiasat sama ada kira-kira 1,900 individu yang berurusan untuk divaksin dengan klinik berkenaan diberi sijil vaksinasi tulen atau sebaliknya.
Sementara itu, Razarudin menasihatkan pihak klinik supaya bertanggungjawab dan jujur dalam memudahkan urusan rakyat bagi mendapatkan vaksin.
“Kita turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam hal ini dan maklumat kegiatan jual sijil vaksin palsu akan dikongsi bersama,” katanya.
SERAMAI 23 anggota dan pegawai polis Pahang dibuang kerja kerana terbabit dengan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun sejak 2020, kata Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.
Beliau berkata sebanyak 14 kes direkodkan pada tahun lepas, manakala sembilan pada 2020 dengan penyalahgunaan dadah merupakan kesalahan tertinggi selain kes jenayah dan rasuah.
“Angka ini sangat membimbangkan, saya tidak boleh terima pegawai polis yang menagih dadah kerana ini adalah sesuatu yang sangat malang. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis akan meruntuhkan institusi keramat ini.
“Kami tidak mahu polis Pahang mempunyai zombi yang bukan sahaja menyusahkan penyelia dan rakan sekerja mereka, bahkan keluarga dan masyarakat keseluruhan. Implikasi dadah memang kita ketahui amat buruk, risikonya bukan sahaja kepada diri malah kepada mereka yang terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Ramli berkata tindakan buang kerja itu diharap dapat dijadikan pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain yang sedang dalam perkhidmatan supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk kesalahan, yang memberi kesan negatif pada diri sendiri dan pasukan polis.
Sementara itu, Ramli memaklumkan 1,266 kertas siasatan pelbagai kesalahan jenayah komersial berjaya diselesaikan dan bagi kes narkotik seramai 1,101 pembekal serta 2,687 pemilik dadah telah ditangkap pada tahun lepas.
“Beberapa sindiket melibatkan kes jenayah komersial dan dadah turut ditumpaskan, namun kami tidak boleh berpuas hati begitu sahaja, tahun ini kami akan giatkan lagi terutama dalam aspek pencegahan jenayah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata lebih 300 warga IPK Pahang yang terkesan dengan kejadian banjir telah diberikan bantuan sewajarnya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 warga IPK Pahang. – Bernama
SERAMAI tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) hilang manakala enam lagi terselamat selepas bot yang dinaiki karam pada kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar, Pontian, hari ini.
Dalam kejadian dikatakan pada awal pagi itu, bot yang dinaiki membawa 13 PATI warga Indonesia termasuk tekong karam dipukul ombak kuat semasa cuba memasuki negara ini.
Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 10 pagi.
Dua PATI yang terselamat dalam kejadian bot karam ketika cuba memasuki negara ini awal pagi ini
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, enam mangsa termasuk wanita diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan yang berada di perairan tersebut.
“Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) diaktifkan sekitar pukul 10.20 pagi tadi dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Persatuan Nelayan Pontian.
“Sebuah pesawat AW139 dan bot Kilat 12 milik maritim telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan mencari baki mangsa yang hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beberapa PATI wanita yang diselamatkan sebuah bot nelayan selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ombak besar
Katanya, pihak maritim turut mendapatkan bantuan aset daripada agensi sahabat bagi membantu operasi berkenaan.
“Kesemua enam mangsa yang terselamat telah dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.