Author: Admin

  • Speaker DUN tidak terima surat permohonan bubar DUN Johor

    Speaker DUN tidak terima surat permohonan bubar DUN Johor

    PEJABAT Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak menerima sebarang surat permohonan pembubaran DUN, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.

    Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat pada Jumaat, selepas tular di media sosial susulan sebuah portal mendakwa beliau sudah mendapat surat tersebut, sekali gus menyatakan PRN bakal berlangsung tidak lama lagi.

    “Tidak, makluman portal itu tidak benar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

    Terdahulu, sebuah portal mendakwa Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, telah menghantar surat permohonan pembubaran DUN kepada Pejabat Speaker DUN Johor pada Khamis.

    Khabar angin mengenai PRN akan datang bertiup kencang, berikutan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

    Pada masa ini, DUN Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – Bernama 

  • Dua ADUN DAP, bekas senator umum keluar parti

    Dua ADUN DAP, bekas senator umum keluar parti

    DAP Sabah hari ini kehilangan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang bekas senator apabila kesemua mereka telah bertindak keluar daripada parti.

    Ketiga-tiga pimpinan DAP tersebut ialah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin; ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dan bekas senator, Adrian Lasimbang.

    Mereka dalam kenyataan bersama-sama dikeluarkan malam tadi berkata, tindakan itu antara lain disebabkan kegagalan DAP Sabah melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah.

    “Kami memulakan kerjaya politik demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur lebih baik, malah paling penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.

    “Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” kata mereka.

    Selain hilang kepercayaan kepada parti, mereka juga mendakwa parti itu sudah hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman dan masalah komunikasi teruk di antara pemimpinnya.

    “Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta,” kata kenyataan bersama itu lagi.

    Tindakan dua ADUN terbabit telah menyebabkan DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah hanya kalah satu kerusi iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.

    DAP Sabah menjadi parti pembangkang kedua yang kehilangan ADUN selepas Parti Warisan Sabah (Warisan) berikutan tindakan mereka keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti.

    Warisan setakat ini sudah kehilangan lima ADUN termasuk yang terbaharu ADUN Melalap yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

  • Perjalanan VTL Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini

    Perjalanan VTL Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini

    PENJUALAN tiket bas dan udara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia- Singapura (VTL) dibuka semula berkuat kuasa hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula hari ini akan dikurangkan kepada 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

    Keputusan itu katanya, selepas VTL udara dan darat digantung sementara sejak 23 Disember lepas,

    “Bagaimanapun bagi penumpang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini walaupun akan melebihi kuota yang ditetapkan garis masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket akan bergantung kepada penilaian risiko.

    “Penilaian risiko akan dilakukan dari semasa ke semasa di kedua-dua negara,” katanya.

    Beliau berkata, selaras dengan pengumuman itu, pengembara diingatkan mengenai keperluan melaksanakan ujian pantas antigen kendiri (RTK-Ag) pada hari kedua dan keempat serta keenam selepas ketibaan.

    “Ujian RTK-Ag profesional turut perlu dilakukan pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan,” katanya.

    Khairy berkata, semua pengembara disaran agar bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    Lakukan ujian pengesanan Covid-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.

    “Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.

    VTL darat dan udara dilaksana pada 29 November tahun lalu sebelum penggantungan penjualan tiket dibuat pada 23 Disember susulan Singapura melaporkan satu kes Omicron tempatan dikesan.

  • Khairuddin kekal Setiausaha Majlis Syura, dasar pertahan MN, perkasa PN tetap diperjuang- Hashim

    Khairuddin kekal Setiausaha Majlis Syura, dasar pertahan MN, perkasa PN tetap diperjuang- Hashim

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEDUDUKAN Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas sama sekali tidak terjejas biarpun bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu telah digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, baru-baru ini.

    Malah menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, isu mengenai jawatan disandang Mohd. Khairuddin dalam Majlis Syura Ulama itu juga langsung tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan Majlis Syura Ulama selepas beliau digugurkan daripada AJK Pas Pusat.

    “Mohd. Khairuddin masih kekal sebagai Setiausaha Majlis Syura kerana beliau hanya digugurkan sebagai AJK Pas Pusat. Itu tidak mengganggu tugasnya di Majlis Syura Ulama.

    “Kalau disingkir dari parti, waktu itu automatik beliau bukan lagi Setiausaha Majlis Syura Ulama. Dalam keadaan sekarang, beliau masih Setiausaha Majlis Syura Ulama malah kami juga tidak pernah membincangkan mengenai jawatan disandangnya itu,” katanya kepada Warta Rakyat ketika dihubungi, semalam.

    Sementara itu Hashim memaklumkan, di sepanjang pengetahuannya tidak ada dalam kalangan pemimpin Pas yang tidak bersetuju dengan dasar untuk mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) seperti ditetapkan dalam muzakarah Majlis Syura yang bersidang penghujung tahun lalu.

    Menurutnya rata-rata kepimpinan Pas dilihat sentiasa konsisten dalam memperjuangkan perkara itu.

    “Kepimpinan tertinggi Pas pun tak nampak menolak. Kalau ada seorang dua yang lain bersuara, itu kita tak ambil kisahlah kerana pendapat sedemikian hanya bersifat peribadi.

    “Perkara paling utama adalah, kita semua kena ingat bahawa perpaduan ummah ini bukan idea dan bukan juga idea UMNO. Sebaliknya ini perintah tuhan dan sebagai orang Islam, wajib laksanakan perintah itu.

    Beliau dalam pada itu turut memetik surah Ali-Imran ayat 103 yang membawa maksud mengajak umat Islam agar sentiasa bersatu-padu dan tidak berpecah-belah.

    “Kalau ada suara hendak keluar atau tak suka dengan perpaduan, itu bermakna kita telah menolak apa yang tuhan suruh. Ingat akan ayat itu yang menyeru ke arah perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

    Surah Ali Imran ayat 103 bermaksud;

    Dan berpegangteguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.

  • KKM rampas kit ujian COVID-19 diimport tanpa kebenaran

    KKM rampas kit ujian COVID-19 diimport tanpa kebenaran

    PIHAK Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) menyerbu sebuah syarikat pemasaran produk kesihatan di Dataran Niaga Sungai Besi, hari ini dan merampas 1,530 kit ujian kendiri COVID-19 dianggar bernilai RM10,000 yang dipercayai diimport tanpa kebenaran.

    Memetik laporan BH, serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan 18 pegawai MDA bersama lapan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta dua anggota polis.

    Menurut Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff Hambali, serbuan dilakukan hasil risikan terperinci pihaknya susulan aduan terhadap syarikat terbabit.

    “Pemeriksaan mendapati syarikat ini melanggar syarat lesen dengan mengimport kit ujian kendiri COVID-19 tanpa kebenaran wakil yang diberi kuasa (AR) dan mengedarkan kit ujian tanpa kelulusan bersyarat daripada MDA.

    “Kita merampas 1,530 unit kit ujian kendiri COVID-19 membabitkan empat jenama dengan nilai keseluruhan dianggar RM10,000,” katanya.

    Ahmad Shariff menambah, kebanyakan kit ujian kendiri itu dijual kepada syarikat, klinik dan individu.

    Beliau memberitahu, syarikat itu dipercayai terbabit dengan pengedaran dan penjualan kit ujian berkenaan sejak April tahun lalu.

    “Keselamatan dan keberkesanan kit ujian yang dirampas itu tidak dapat disahkan dan dikhuatiri berisiko terhadap pengguna memandangkan pengimportan dan pengedarannya tidak mengikut keperluan ditetapkan MDA.

    “Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 19 (1) Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), iaitu tidak mematuhi syarat dikenakan ke atas lesen establismen.

    “Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

    Ahmad Shariff berkata, pemegang lesen di bawah Akta 737 diingatkan sentiasa mematuhi ke semua syarat yang dikenakan ke atas lesen bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

    Menurut beliau, peruncit, penyedia perkhidmatan kesihatan dan orang awam dinasihat menyemak status lesen syarikat yang membekalkan peranti perubatan dan status pendaftaran sesuatu peranti perubatan.

  • JDT tandatangani dua pemain kebangsaan Filipina

    JDT tandatangani dua pemain kebangsaan Filipina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA pemain kebangsaan Filipina menjadi pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuat pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini serta Liga Juara-juara Asia (ACL) 2022.

    JDT dalam satu video berdurasi 48 saat yang dimuat naik dalam media sosial mereka memperkenalkan dua pemain tersebut iaitu Bienvenido Maranon dan Carli De Murga.

    Dalam video berkenaan, pemain itu dilihat keluar daripada sebuah limosin hitam yang berhenti di depan pintu utama ibu pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Maranon, 36, yang bermain di posisi penyerang itu dilahirkan di Sepanyol bermain untuk pasukan kebangsaan Filipina dan mewakili kelab United City FC di negara berkenaan.

    Tangkap layar video yang dimuat naik dalam Facebook Johor Southern Tigers

    Sementara itu, De Murga, 34, yang juga lahir di Sepanyol namun turut beraksi untuk pasukan kebangsaan Filipina itu sebelum ini merupakan pemain Terengganu FC.

    Maranon bakal menyarung jersi bernombor 27 manakala De Murga bakal menyarung jersi bernombor 23.

    Kedua-dua pemain itu akan menyertai rakan sepasukan yang lain bagi menyertai perlawanan persahabatan skuad di Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk latihan pra-musim.

    Sebelum ini, skuad Harimau Selatan mengumumkan kehadiran pemain import baharu mereka iaitu Fernando Forestieri, yang sebelum ini beraksi dalam Liga Serie A, Itali dan bekas pemain Selangor, Syahmi Safari.

  • ADUN Yong Peng umum bersara daripada politik

    ADUN Yong Peng umum bersara daripada politik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Chew Peck Choo membuat kejutan apabila menyatakan mahu bersara daripada politik selepas bergiat aktif selama kira-kira 20 tahun.

    Wakil rakyat DAP Johor itu berkata, keputusan tersebut dibuat bukan kerana mempunyai isu atau masalah politik.

    Jelasnya, persaraan itu juga dibuat atas pilihannya sendiri dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

    “Selepas terlibat dalam empat pilihan raya utama, saya membuat keputusan untuk tidak lagi terlibat dalam mana-mana pilihan raya atau kerja kempen.

    “Saya akan bersara daripada politik kerana mahu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga.

    “Sebenarnya saya mahu buat keputusan bersara selepas kena strok ringan pada November 2108, kemudian 2020 sihat sepenuhnya dan sekarang baharu ambil keputusan bersara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Pengumuman persaraan ADUN DAP itu sedikit mengejutkan beberapa pihak memandangkan terdapat khabar angin bahawa akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh terdekat.

    Hari ini, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang turut membuat kenyataan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bersara daripada politik sekiranya benar PRN Johor diadakan.

    Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tebrau dilaporkan berkata, sudah tidak aktif sangat dengan aktiviti bersama parti sebaliknya lebih banyak memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai exco kerajaan negeri.

  • Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

    Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LONG Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak hari ini kerana melarikan diri daripada tahanan polis pada 15 Disember lalu.

    Tertuduh yang merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingya berusia 33 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zaridah Y. Abdul Jaapar.

    Zaridah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang.

    Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana tertuduh ditahan secara atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

    Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan meminta anggota polis yang ditugaskan membuka gari.

    Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

    Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

    Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari ini bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

    Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

    Tertuduh pula diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md. Yusoff.

  • “Tiada ‘move’, saya akan bersara politik jika PRN Johor diadakan”- Mazlan

    “Tiada ‘move’, saya akan bersara politik jika PRN Johor diadakan”- Mazlan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang sedia menimbang untuk bersara daripada dunia politik sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.

    Beliau yang disebut-sebut sebelum ini akan memulakan langkah menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada
    PRN Johor bagaimanapun berkata, keputusan pelaksanaan PRN tertakluk kepada Menteri Besar dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu akan menurut sahaja dan tidak bantahan sekiranya PRN diadakan dalam masa terdekat.

    “Kita ikut sahaja, PRN kuasa Menteri Besar dan Sultan Johor. Menteri Besar ada strategi dia, dia nak buat (PRN) bila itu hak dia dengan perkenan Tuanku, kita sebagai Exco kerajaan negeri hanya menurut perintah, jika bubar kita bubar sahaja.

    “Saya mungkin bersara agaknya, bersara daripada politik, duduk diam-diam, saya tiada ‘move’ (langkah politik) apa-apa,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita
    dalam Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Bandar Medini, Iskandar Puteri, hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad serta Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

    Hasni ketika berucap dalam majlis tersebut sebentar tadi, memberi jaminan PRN Johor jika diadakan dalam masa terdekat tidak akan mengganggu pentadbiran dan semua perancangan kerajaan negeri terutama dalam Belanjawan 2022.

    Kenyataan terbaharu Hasni itu mengukuhkan lagi khabar angin bahawa Johor bakal berdepan pelaksanaan PRN dalam waktu terdekat selepas kedudukan kerajaan negeri dilihat goyah kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 28 berbanding 27 kerusi pembangkang.

    Perkembangan itu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

    Sementara itu, Mazlan sekali lagi menafikan andaian segelintir pihak yang mendakwa beliau bakal keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Tiada cerita, pandai-pandai mereka buat cerita kata saya nak keluar, kalau berlaku PRN mungkin bersara, tengok nanti mcm mana,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tebrau.

    Mengenai pendirian parti itu berkenaan PRN tersebut, beliau yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor berkata, pertanyaan itu perlu diajukan kepada Pengerusi Bersatu negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Saya pun sudah tidak aktif sangat dengan aktiviti parti, saya banyak buat kerja Exco sahaja sekarang, parti sudah kurang,” ujarnya sambil memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang kekesalan sepanjang berpolitik.

  • PRN Johor tak ganggu pentadbiran, perancangan kerajaan negeri – Hasni

    PRN Johor tak ganggu pentadbiran, perancangan kerajaan negeri – Hasni

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor jika diadakan dalam waktu terdekat tidak akan mengganggu urusan pentadbiran dan pelbagai program yang dirancang kerajaan negeri.

    Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad ketika memberi jaminan itu berkata, ini termasuk pelbagai inisiatif yang dibentangkan kerajaan negeri dalam Belanjawan Johor 2022.

    “Sekiranya PRN Johor diadakan, saya beri jaminan urusan pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terganggu manakala pelbagai program yang telah dirancang juga akan berlangsung seperti biasa.

    “Ia (PRN) tidak akan ganggu pelbagai perancangan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2022,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di Bandar Medini, Iskandar Puteri, hari ini.

    Kenyataan terbaharu Hasni itu mengukuhkan lagi khabar angin yang mengatakan Johor bakal berdepan pelaksanaan PRN dalam waktu terdekat selepas kedudukan kerajaan negeri dilihat goyah kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 28 berbanding 27 kerusi pembangkang.

    Perkembangan itu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.