SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak lari meninggalkan anaknya untuk menyelamatkan diri selepas panik ketika pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) melakukan serbuan tidur di sebuah rumah di perkampungan setinggan di Segambut Bahagia Tambahan, Kuala Lumpur awal pagi ini.
Semasa serbuan wanita berkenaan tidak sempat membawa lari anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dan sedang nyenyak tidur dalam sebuah bilik.
Bagaimanapun, pegawai Imigresen berjaya menemui ibunya yang merupakan seorang warga Indonesia sedang bersembunyi dalam sebuah lubang yang digali di bawah rumahnya.
Pelbagai helah digunakan, antaranya ada yang terjun ke dalam longkang, menyorok di dalam almari, dan memanjat bumbung untuk mengelak daripada ditahan.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, seramai 211 individu diperiksa manakala 106 PATI warganegara Indonesia, terdiri daripada 45 lelaki dan 61 wanita berusia lingkungan sebulan hingga 55 tahun ditahan dalam operasi yang bermula sekitar jam 2 pagi.
“Kita terima aduan berkenaan penempatan haram ini dan selepas itu pegawai kita pun dah masuk buat risikan sebelum serbuan,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.
Beliau berkata, rata-rata PATI terbabit bekerja dalam sektor pembersihan dan pembinaan serta dipercayai ada yang sudah menetap secara haram di perkampungan setinggan tersebut sehingga lima tahun.
“Mereka (PATI) ini menyewa di sini antara RM200 hingga RM300 sebulan malah ada antara mereka yang tiada langsung dokumen perjalanan,” katanya.
Katanya, penempatan tersebut dipercayai sudah wujud sejak 15 tahun lalu dan kini dianggarkan sekitar 100 buah rumah setinggan dibina secara bertingkat-tingkat di kawasan tersebut.
“Dulu warga Malaysia duduk tetapi lama-kelamaan dipenuhi PATI, mungkin warganegara kita sewakan kepada mereka dan kita akan siasat dengan siapa dia menyewa serta kenal pasti siapa yang bina rumah berkenaan,” ujarnya.
Kesemua tangkapan akan ditahan di Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dalam satu wawancara malam tadi berkata kerajaan hari ini tidak ada mandat rakyat dan kekal ‘Kerajaan PN 2.0’ kerana komposisinya masih sama.
Kalau macam itu penulis tertanya-tanya kenapa UMNO tidak menarik diri atau keluar sahaja daripada kerajaan sedia ada seperti mana mereka lakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Dulu pun, kerajaan Muhyiddin adalah Kerajaan PN jadi kalau sekarang pun dianggap Kerajaan PN tapi 2.0, maka tariklah sokongan dan serahkan kembali mandat kepada rakyat melalui PRU-15 kerana Zahid kata, kerajaan sekarang tidak ada mandat rakyat.
Daripada membazir RM150 juta untuk buat PRN Johor, lebih baik buat sahaja pilihan raya serentak seluruh negara, lagi mudah SPR buat kerja dan tidak menyusahkan rakyat. Tetapi yang anehnya Zahid kata ahli akar umbi UMNO tidak mahu pemilihan parti dilakukan sebelum PRU-15.
Adakah rakyat Johor mahu PRN?
Kata Zahid, hanya enam bahagian UMNO sahaja yang mahu pemilihan parti sebelum PRU, lain-lain tak nak. Justeru beliau berhujah, ‘’ Suara majoriti perlu dituruti atau kita menjadi parti lemah’.
Penulis mahu bertanya, adakah PRN Johor yang dirancang oleh UMNO dalam masa terdekat ini mendapat restu rakyat Johor? Janganlah setakat turun pi buat survey tahap sokongan, cuba tanya rakyat negeri itu betul-betul, mereka mahukan PRN atau tidak?
Sebenarnya kalaupun rakyat Johor tidak mahu, terutamanya pengundi luar, UMNO suka sebab itulah salah satu strategi untuk mereka menang seperti mana mereka bernasib baik di PRN Melaka.
Di Melaka, BN menang besar kerana peratusan mengundi keluar rendah apabila pengundi luar tidak pulang dan ada pula pengundi yang tidak mahu mengundi. Ia disebabkan pada masa itu mereka baru sahaja mahu bangkit semula selepas pandemik Covid-19 agak reda.
Sekarang rakyat Johor pula ‘akan menjadi mangsa’ ketika mereka baru sahaja mahu menstabilkan kehidupan selepas pandemik Covid-19 berkurangan dan bencana banjir, mereka dipaksa untuk mengundi dalam satu PRN yang dilihat lebih bermotif politik berbanding demi kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Wajarkah rakyat diseret dalam percaturan politik UMNO?
Kalau nak cakap soal kestabilan sebab kerajaan negeri diperintah dengan kelebihan satu kerusi sahaja, penulis anggap tu ‘omong kosong’ dan temberang politik. Sebabnya, parti pembangkang pun dah kata, mereka tidak akan ganggu pentadbiran Menteri Besar Johor Datuk Mohammad Hasni, jadi apa yang UMNO kelam kabut sangat nak buat PRN?
Adakah ini ada kaitan dengan desas desus atau pandangan penganalisis bahawa ia strategi kepemimpinan UMNO untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15, kalau mereka menang besar di Johor?
Penulis tidak menafikan dari segi latar belakang pencapaian politik dan statistik di Johor, UMNO boleh menang, tetapi berapa kerusi belum tentu.
Tetapi soalnya wajarkah rakyat diseret untuk terlibat dalam percaturan politik UMNO untuk kembali berkuasa di negara ini selepas ia terlepas daripada genggaman pada PRU-14?
Apa yang anehnya dalam wawancara itu juga Zahid berkata‘’kerajaan hari ini tidak mempunyai mandat daripada rakyat, dan ia sekaligus menyebabkan ketidakstabilan politik, selain secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi dan pelaburan asing.’’
Ahmad Zahid Hamid bersama Ismail Sabri Yaakob
Penulis nak tanya kerajaan yang dipimpin oleh UMNO di Johor itu dapat mandat rakyatkah? Bukankah UMNO menjadi Menteri Besar sama seperti mana Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, bukan menang pilihan raya tetapi disebabkan manuver dan pergolakan politik yang berlaku?
Hasni menjadi Menteri Besar apabila Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan dan beliau menduduki jawatan itu dengan sokongan ADUN Bersatu dan Pas, sudah hampir dua tahun beliau melaksanakan tugas tanpa masalah dengan kelebihan hanya DUA KERUSI sahaja sebelum berkurangan kepada SATU KERUSI berikutan kematian ADUN Permas, Datuk Osman Sapian.
Ismail Sabri pula menjadi Perdana Menteri apabila 14 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan Ismail Sabri menduduki jawatan itu dengan sokongan ahli Parlimen Bersatu, Pas dan GPRS.
Dalam bahasa mudahnya, kenapa Zahid tidak berhujah sama ada di Johor atau Pusat, kedua-dua kerajaan ‘’tidak mempunyai mandat daripada rakyat, dan ia sekaligus menyebabkan ketidakstabilan politik, selain secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi dan pelaburan asing.’’
Jadi kenapa membuat penilaian berbeza antara kedudukan di Johor dan di Pusat? Adakah UMNO takut untuk mengadakan PRU serentak bagi mewujudkan sebuah kerajaan ‘’yang mempunyai mandat rakyat.’’
Apa bezanya senario pelantikan Hasni dan Ismail Sabri?
Turut penulis tertanya-tanya, apakah maksud Zahid dengan perkataan ‘Kerajaan PN 2.0’’ dan ‘’ Kerajaan hari ini dipimpin seorang ahli UMNO, bukan kerajaan Barisan Nasional (BN)’’, bukankah di Johor keadaannya hampir sama sahaja ‘’dipimpin seorang ahli UMNO, bukan Kerajaan BN’’?
Kalau macam itu kenapa Zahid sebagai seorang yang begitu yakin rakyat sudah kembali menyokong BN dan percaya hanya BN boleh membawa kestabilan tidak minta supaya Parlimen dibubarkan, bukannya mahu mengadakan satu demi satu PRN?
Kenapa mahu bertindak seolah-olah mahu menjadikan Johor bagaikan ‘bahan uji kaji’ sama ada rakyat benar-benar menyokong BN selepas kejayaan di Melaka melalui strategi, ‘’peratusan mengundi rendah,pengundi luar tidak balik mengundi’’.
Atau ada misi mahu ‘menanam’ Muhyiddin dan ‘membenam’ Bersatu di Johor bagi melemahkan parti tersebut sekaligus memudahkan laluan UMNO dalam PRU-15. Kalau itu antara misinya, kenapa UMNO takut sangat dengan Muhyiddin dan Bersatu? Bukankah UMNO ada 3.5 juta ahli dan organisasi paling teratur, kemas serta sudah mempunyai keyakinan tinggi rakyat sudah serik dengan PH dan PN? Penulis hanya bertanya.
Apapun kita serah kepada rakyat khususnya rakya Johor menilai percaturan dan permainan politik yang sedang dilakukan UMNO.
JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen mengenai Kewangan dan Ekonomi (PSSC) akan memanggil Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Timbalan Pengerusinya, Wong Cheng berkata, proses untuk mengadakan siasatan telah dimulakan pada hari ini dan perkara itu telah dibincangkan dengan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang juga dilaporkan berkata, ini bagi membawa kepada keputusan untuk memanggil SC supaya menjelaskan siasatannya yang baru selesai terhadap Azam.
“Jadi proses sudah bermula, saya bercakap dengan urusetia PSSC pagi ini. Sekretariat sedang menulis surat kepada Kementerian Kewangan sebagai ihsan.
“Mereka juga sedang menghubungi semua ahli Parlimen yang terlibat untuk menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk mereka (mengadakan sesi siasatan),” katanya memetik Malaysiakini.
Sementara itu, Wong Cheng menerusi ciapan di Twitter berkata, langkah memanggil SC adalah disebabkan kenyataan pihak berkuasa mengenai kes Azam tidak memuaskan dan SC perlu memberikan keterangan dan butiran lanjut.
“Soalan utama yang perlu dijawab oleh SC ialah apakah ‘bukti bebas’ yang mereka kumpulkan yang kemudian membimbing mereka kepada kesimpulan bahawa Azam Baki tidak melakukan kesalahan.
“Adakah mereka menemu bual Azam Baki? Adakah mereka bercakap dengan mana-mana pihak ketiga lain seperti broker dan jurubank? Dokumen perdagangan apa yang mereka semak?” katanya.
Menurutnya, persoalan itu penting untuk dijawab SC, terutama sama ada mereka telah menemu bual Azam sebelum menyelesaikan siasatan atau tidak kerana ia akan menentukan sama ada Azam telah berbohong kepada orang ramai apabila mendakwa beliau bertindak sebagai penama untuk adiknya.
“Sekiranya SC menemu bual Azam Baki, maka Azam Baki pasti telah meyakinkan SC bahawa perdagangan itu adalah semata-mata miliknya dan bukan bagi pihak adiknya.
“Jika ini yang sebenarnya berlaku, SC akan berada dalam kedudukan untuk tidak membenarkan apa-apa lagi tindakan terhadap Azam Baki,” katanya.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 22 individu berhubung kes penyelewengan geran dana program pembangunan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Suspek ditahan sekitar negeri Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka dalam operasi Mitra 2.0 semalam.
Menurut sumber SPRM, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
“Individu yang ditahan melibatkan pengarah syarikat, presiden serta setiausaha persatuan dan pertubuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan operasi yang dinamakan Mitra 2.0 ini menumpukan kepada baki 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan yang telah menerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.
Media pada 7 Disember melaporkan bahawa siasatan berhubung penyelewengan dana Mitra berada di peringkat akhir.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihak pendakwa raya bersetuju untuk membuat pendakwaan dan lebih sembilan individu yang terlibat bakal dituduh di mahkamah awal tahun ini.
Isu Mitra mula hangat diperdebatkan semasa sesi penggulungan Bajet 2022 Kementerian Perpaduan di Parlimen berikutan beberapa ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung perkara tersebut.
Menurut sumber berkenaan lagi, sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima peruntukan dari dana dianggarkan berjumlah RM203 juta sejak tahun 2019 hingga 2021.
Katanya, peruntukan paling tinggi yang diluluskan ialah pada 2019 iaitu melebihi RM90 juta yang diberikan kepada 205 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan lapan daripada mereka menerima dana melebihi RM1 juta.
“Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra dari tahun 2019 hingga 2021.
“SPRM telah bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM1 juta,” katanya.
Menurutnya, daripada 22 suspek tersebut, seramai enam individu direman antara empat ke enam hari manakala 16 lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.
TIADA mana-mana pihak yang mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat, kata Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.
Beliau menjelaskan, ini termasuk parti-parti dalam kerajaan atau komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
“Pas Johor mengikut perkembangan politik yang sedang berlaku di Johor khususnya kemungkinan akan berlaku PRN Johor dalam masa terdekat.
“Pas Johor masih kekal dengan pandangan bahawa PRN Johor bukan satu keperluan untuk diadakan ketika ini walaupun diakui bahawa kerajaan Johor yang dipimpin Datuk Hasni Mohammad hanya berkelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.
Abdullah Hussin
“Pas Johor melihat bahawa tiada mana-mana pihak yang mahukan PRN Johor diadakan, sama ada parti-parti dalam kerajaan mahupun parti-parti Pembangkang di Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang jua bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Perkembangan itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika dihubungi media pada Khamis menafikan menerima surat permohonan pembubaran DUN bagi membolehkan PRN diadakan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, Pas Johor melihat bahawa perkara yang perlu diberikan keutamaan ketika ini adalah kepentingan rakyat dalam membina semula kekuatan ekonomi akibat terkesan dari wabak Covid-19.
Pas Johor katanya, akan kekal dengan pendirian parti iaitu akan terus mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sambil memperkasa kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.
Namun dalam masa yang sama, Pas Johor katanya, sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akan berlakunya PRN Johor.
“Pas Johor mengharapkan kerjasama di atas nama MN akan diteruskan seperti mana kerjasama Pas bersama PN di negeri bertuah ini,” katanya.
POLIS sedang melakukan siasatan terhadap perkongsian seorang lelaki menerusi Facebook Live di sebuah kedai di Sayong Lembah, Kuala Kangsar yang mendakwa bakal berlaku perhimpunan ulama dan Imam Mahdi akan muncul.
Siasatan awal polis mendapati, siaran langsung berdurasi 8 minit 56 saat itu dilakukan ketika individu berkenaan mengunjungi sebuah kedai yang menjual pelbagai senjata antaranya pedang dan keris.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, pihaknnya telah mengarahkan ketua jabatan siasatan jenayah negeri dan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar untuk jalankan siasatan.
“Benda ini (video) memang dibuat di Sayong Lembah, Kuala Kangsar. Polis akan dapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat Polis Perak bersama penduduk Lubuk Merbau di Masjid Jamek Al-Marbawi, Kuala Kangsar, hari ini.
Ditanya kemungkinan perkongsian video itu ada kaitan dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, Mior Faridalathrash berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Biar kita siasat dulu, nanti kita akan kongsikan (butiran siasatan).
“Siasatan perkara berkaitan tular menggunakan rangkaian tidak wajar ini biasanya akan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sejak Khamis tular dalam media sosial video seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.
Dalam rakaman itu, individu terbabit memberitahu bakal berlaku sebuah perhimpunan dihadiri hampir 300 ulama untuk menyaksikan kebangkitan khalifah Allah iaitu Imam Mahdi.
Dia turut meminta agar orang ramai mempersiapkan diri dengan busur panah dan pedang bagi menyahut seruan jihad daripada Imam Mahdi.
“Sesiapa yang belum ada busur dan pedang, silalah dapatkan sekarang.
“Kalau tak ada busur panah, ikhtiarlah untuk miliki pedang, RM265 sahaja siap pos,” kongsinya merujuk kepada pedang yang dijual di premis itu.
KEPERLUAN untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu petanda bahawa corak dan halatuju politik kini hanya digerakkan oleh keinginan dan kerakusan ahli politik yang mementingkan kuasa semata-mata.
Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kestabilan dan halatuju politik negara kini bergantung di hujung jari parti politik besar yang mendominasi di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat.
“Dominasi parti-parti besar ini berupaya untuk menentukan halatuju struktur, perkembangan dan pembangunan politik negara kerana mereka mempunyai sokongan yang kuat seperti UMNO, PKR, DAP dan sebagainya.
“Sama juga seperti di Johor, mereka berupaya untuk menukar kestabilan politik dalam menukar kepimpinan apabila mereka merasakan ada keperluan. Ini adalah keputusan daripada parti politik, bukan kerana isu-isu berkaitan kehendak rakyat,” katanya ketika dihubungi SatuBerita, hari ini.
Katanya, situasi sedemikian di dalam landskap politik negara sudah terbukti apabila parti besar seperti UMNO menarik sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kerajaan itu tumbang dan sepertimana yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Malah, Noor Nirwandy berpandangan perkara ini akan terus berlarutan dalam jangka masa panjang disamping berharap kepentingan rakyat perlu diberikan perhatian dan dikaji dengan serius sebelum sebarang keputusan dibuat oleh mereka.
“Malangnya, gelanggang ini bukan gelanggang rakyat. Rakyat hanya boleh memilih apabila berlakunya pilihan raya atas sebab-sebab tertentu sepertimana di PRN Melaka. Rakyat hanya boleh menyuarakan kebimbangan mereka. Namun, halatuju politik negara dibawah kuasa ahli politik sendiri.
“Apabila mereka merasakan perlunya perubahan politik, mereka perlu memikirkan apakah kesannya kepada rakyat. Ini juga satu tanggungjawab yang besar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi lain,” ulasnya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan kancah politik semasa di negara pada ketika ini menimbulkan lebih banyak suasana yang pasif terhadap politik dalam kalangan rakyat yang mana agenda politik bukan lagi satu kepentingan untuk difikirkan oleh rakyat.
“Apabila masyarakat sudah pasif terhadap politik, parti-parti politik besar yang mempunyai ahli yang ramai mengambil peluang ini untuk memenangi pilihan raya.
“Rakyat kini hanya mahukan yang terbaik dalam aspek selain politik seperti pengurusan banjir, pengurusan penambahbaikan bantuan atau sistem negara dan sebagainya,” katanya lagi.
Sementara itu, pakar kesihatan awam (epidemiologi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman menjangkakan pelaksanaan PRN Johor dalam masa terdekat mampu mengakibatkan peningkatan kes positif Covid-19 sepertimana yang berlaku di PRN Sabah mahupun PRN Melaka.
“Lebih-lebih lagi jika kita mempertimbangkan penularan varian Omicron yang sedang meningkat di Malaysia. Kita boleh atasi perkara ini dengan pelaksanaan dan pematuhan SOP yang lebih ketat dan sebagainya.
“Namun, kalau kita tengok dari segi realitinya, kemungkinan besar akan ada pelanggaran SOP. Secara tidak langsung, kita boleh jangka keboleh jangkitan yang tinggi daripada varian yang baharu. Kita mungkin boleh nampak peningkatan kes akibat PRN ini,” katanya ketika dihubungi.
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan atlet yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan masih berpeluang mewakili negara di kejohanan antarabangsa.
Katanya, pengguguran itu juga tidak bermakna mereka dilarang menjalani latihan di venue dan fasiliti milik Majlis Sukan Negara (MSN) di seluruh negara dalam meningkatkan prestasi masing-masing.
“Cuma kita tidak meletakkan mereka di bawah Program Podium, seperti sebuah akademi yang kita jaga di bawah satu bumbung. Itu perkara yang perlu difahami semua,” katanya dalam program Inklusif terbitan TV1, malam tadi.
Ahmad Faizal turut menangkis dakwaan bahawa Program Podium di bawah MSN itu dihentikan.
Katanya, Kementerian Kewangan berpandangan perbelanjaan negara perlu diutamakan ke arah proses pemulihan pasca pandemik COVID-19, dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima pandangan itu.
“Walaupun (penurunan) daripada lebih kurang RM40 juta yang telah diperuntukkan tahun lepas kepada kosong, tetapi kami di KBS telah mencari jalan, dan kami dapat mengumpulkan dana RM17 juta untuk meneruskan Program Podium demi kelangsungan atlet berprestasi tinggi kita,” katanya.
MSN sebelum ini menggugurkan 144 atlet kebangsaan dan hanya mengekalkan 293 atlet (248 normal, 45 para) bagi tahun ini, selain mengurangkan elaun latihan.
Menyentuh mengenai pengurangan dana terhadap program penyediaan atlet, Ahmad Faizal berkata jumlah jurulatih serta ahli fisoterapi disediakan kepada seseorang atlet dan jumlah kejohanan adalah aspek yang terpaksa dikompromi.
“Sebelum ini kita boleh bermewah seorang atlet kita bekalkan dengan seorang jurulatih dan ahli fisioterapi bergaji tetap, dengan pemakanan tahap terbaik dan boleh hantar ke semua kejohanan. Sekarang kita kurangkan, seorang jurulatih serta ahli fisioterapi untuk menjaga beberapa atlet dan kejohanan yang terpilih saja kita hantar,” katanya. – Bernama
PIHAK polis telah memutuskan untuk menutup beberapa jalan utama dan stesen kereta api di Kuala Lumpur pada Sabtu sebagai langkah untuk menghalang perancangan beberapa pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam baki.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semua trafik akan dilencongkan dari Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail mulai 7 pagi.
“Bagi memastikan keselamatan awam dan ketenteraman awam, termasuk daripada risiko dijangkiti Covid-19, polis akan melakukan beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk lencongan jalan raya,” kata Noor Dellhan pada sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan, semua pengendali rel juga telah diarah menghentikan perkhidmatan di stesen terpilih di sepanjang laluan LRT Ampang-Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, MRT Sungai Buloh, monorel dan KTM.
Stesen LRT termasuk Bandaraya yang menghubungkan terus ke kompleks beli-belah Sogo di mana penganjur merancang untuk mengadakan perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ mulai 11 pagi esok.
Noor Dellhan berkata, perhimpunan yang dirancang itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang tidak membenarkan perarakan atau perhimpunan besar-besaran.
Selain itu, kata beliau, polis Dang Wangi telah mendapat perintah mahkamah berkuat kuasa selama tujuh hari mulai esok bagi menghalang sebarang perhimpunan di Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.
“Polis tidak akan berkompromi atau teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati masih berdegil dan menganjurkan atau menyertai mana-mana perhimpunan,” katanya.
Noor Dellhan dalam masa sama memberitahu, polis setakat ini telah merekodkan kenyataan daripada 16 individu, termasuk lima ahli politik, berhubung siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Bagaimanapun, Noor Delhan berkata, polis tidak mengenal pasti penganjur perhimpunan kerana tiada notis rasmi dikemukakan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Protes #TangkapAzamBaki hadir susulan skandal pemilikan saham yang membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM.
Azam menjadi tumpuan baru-baru ini selepas timbul dakwaan mengenai dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.
Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Pada masa itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.
Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Januari lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang hanya menggunakan namanya.
SEBANYAK 11 permohonan diterima Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan warga asing.
Jelasnya, dalam tempoh dua bulan sebanyak 15 peserta (prinsipal dan tanggungan) mendapat kelulusan dengan tiga daripadanya sudah menetap di negara ini.
Katanya, baki sebanyak 96 permohonan belum diluluskan kerana ada antaranya tidak lengkap dokumentasi termasuk masih dalam penelitian Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi JIM.
“Hanya peserta yang memenuhi syarat diterima (menyertai MM2H). Antara syaratnya adalah mesti membawa sekurang-kurangnya RM1 juta setiap seorang berbanding dulu hanya disyaratkan RM300,000 saja.
“Sekiranya secara purata kita meluluskan 1,000 permohonan setiap tahun, dengan itu kita membawa masuk RM1 bilion, bezanya dulu kita bawa hanya RM300 juta,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Executive Lounge MM2H di Ibu Pejabat JIM, Putrajaya, hari ini.
Permohonan menyertai program yang dibuka secara dalam talian dimulakan pada November lalu selepas diambil alih daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) pada Ogos tahun sama.
Program yang diperkenalkan pada 2002 itu khusus untuk menarik warga asing yang ingin menjalani kehidupan bermakna dan mampu dimiliki di Malaysia untuk tempoh yang panjang menggantikan ‘Silver Hair Programme’ yang ditubuhkan pada 1996.
Mengenai kebimbangan rakyat susulan kemasukan warga asing menerusi program berkenaan sekali gus menambah lambakan warga asing di negara ini, Hamzah menjelaskan, kerajaan menyasarkan peserta yang berkualiti, berkemampuan dan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, pelbagai syarat ketat dikenakan termasuk berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi negara sama ada dalam bentuk sewaan, pembelian hartanah, perkhidmatan kesihatan, insuran atau pelbagai lagi yang seterusnya akan menjana pendapatan kepada rakyat tempatan.
Antara lain pembaharuan pas, pertukaran kewarganegaraan peserta dan tanggungan perlu menjalani dan lulus tapisan keselamatan serta keperluan mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik untuk semua peserta.
Katanya, program itu akan ditambah baik setiap masa dengan kerjasama daripada Motac, Bank Negara Malaysia (BNM) dan ejen pengendali MM2H sebelum ini bagi memastikan program itu lebih berjaya di masa hadapan.