Author: Admin

  • Ketua Polis Johor sembah taklimat persediaan, keselamatan PRN

    Ketua Polis Johor sembah taklimat persediaan, keselamatan PRN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat di Istana Flinstones, di Mersing hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

    Dalam pertemuan tersebut, Kamarul Zaman mempersembahkan taklimat mengenai keselamatan serta persediaan pasukan polis Johor dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Kelmarin, Sultan Johor berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

  • PRN Johor:Mazlan tidak bertanding atas tiket Bersatu

    PRN Johor:Mazlan tidak bertanding atas tiket Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang tidak berhasrat untuk bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua BERSATU Bahagian Tebrau itu berkata, keputusan tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat termasuk hala tuju baharu politiknya.

    Jelas beliau yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor, setakat ini masih lagi bersama parti tersebut.

    “Tunggulah sehari dua lagi saya akan buat keputusan muktamad, namun yang pasti saya tidak akan bertanding PRN Johor atas tiket Bersatu.

    “Ini kerana saya tidak sehaluan lagi dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak nampak ada masa depan, jika terus bersama-sama parti itu. Prinsip kami juga tidak sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Pada 20 Januari lalu, Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik, sekiranya PRN Johor diadakan.

    Mazlan sebelum ini dilaporkan menafikan akan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan PRN Johor diadakan.

    Ditanya sama ada beliau sudah tidak lagi mahu bersama-sama BERSATU, Mazlan mengakui perkara itu.

    “Ya, saya tidak mahu bersama-sama BERSATU yang dipimpin bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

    Pada masa sama katanya, masih belum menerima tawaran daripada mana-mana parti lain.

  • Buruh binaan didakwa rompak dua mangsa bersenjatakan parang

    Buruh binaan didakwa rompak dua mangsa bersenjatakan parang

    SEORANG buruh binaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap dua mangsa pada Selasa lalu.

    Abdul Muhaimin Alias, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak dengan bersenjata sebilah parang terhadap seorang lelaki dan rakannya sehingga mendatangkan kerugian sebanyak RM5,000.

    Perbuatan itu dilakukan di rumah kongsi Kampung Pauh Badang, Kota Bharu, pada 3 pagi 18 Januari lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh mengaku salah dan memohon satu tarikh untuk fakta kes serta jatuh hukuman.

    Mahkamah kemudian menetapkan Rabu ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

  • Polis tahan suami isteri dalang edar dadah

    Polis tahan suami isteri dalang edar dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sepasang suami isteri antara tiga individu yang ditahan dalam dua siri tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Rabu lalu, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari, sebanyak lebih tujuh kilogram dadah jenis heroin dan syabu dirampas daripada mereka yang ditahan.

    Katanya, tangkapan pertama dibuat terhadap seorang individu berusia 22 tahun di bawah rumah flat dekat Mergong, Alor Setar.

    “Pemeriksaan terhadapnya menemukan plastik dalam beg silang yang berisi lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 56.3 gram.

    “Lanjutan daripada tangkapan pertama, siri tangkapan kedua dilakukan melibatkan pasangan suami isteri tersebut yang sedang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di tepi Jalan Sungai Petani, Simpang Empat dekat Alor Setar. Pemeriksaan dijalankan kemudiannya menemukan dadah jenis heroin seberat 338.4 gram dalam beg pinggang dipakai oleh si suami,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Tidak berakhir di situ katanya, polis kemudiannya menyerbu ke sebuah rumah di Kampung Radek, Sik kira-kira pukul 7.15 malam hari sama.

    “Dalam bilik rumah tersebut, polis menemukan satu beg galas berwarna kelabu berisi dadah jenis syabu seberat 5.5kg dan lima peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 1.6kg.

    “Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM224,852 dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 62,000 penagih,” katanya.

    Menurutnya, pihak polis turut menyita sebuah motosikal 125Z bernilai RM8,000 serta wang tunai RM835.

    “Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut antara enam hingga lapan bulan lalu. Kesemua mereka direman hingga 26 Januari depan dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

  • JKM kesan waris kanak-kanak ditinggal bawah pokok 4 tahun lalu

    JKM kesan waris kanak-kanak ditinggal bawah pokok 4 tahun lalu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik sedang mengesan waris dan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki yang dirujuk oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sik pada tahun 2018.

    Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, Shamrul Izrin Isahak, kanak-kanak yang dikenali sebagai Adam ini dianggarkan berusia enam tahun ketika menerima aduan orang awam.

    “Adam ditinggalkan seorang diri di bawah pokok di Kampung Kuala Jeneri, di Sik dan tidak ditemui sebarang dokumen pada dirinya.

    “Memandangkan pada ketika itu tiada ahli keluarga atau waris yang tampil untuk menuntut kanak- kanak ini, Mahkamah Kanak-Kanak Sik telah memerintahkan agar kanak-kanak terbabit diletakkan dalam jagaan JKM mengikut Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak Kanak 2001 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Shamrul Izrin, berkata tarikh sebutan yang akan datang di Mahkamah Bagi Kanak Kanak Daerah Sik adalah pada 11 November 2022.

    Katanya, Adam sudah tiga tahun berada dibawah jagaan JKM dan kini sudah berusia sembilan tahun.

    Justeru beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai waris dari Kampung Kuala Jeneri itu berhubung dengan Pegawai Pelindung, Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sik dengan kadar segera di talian 04-4690230.

  • Enam lelaki Rohingya pukul suspek samun diburu polis

    Enam lelaki Rohingya pukul suspek samun diburu polis

    SERAMAI enam lelaki berketurunan Rohingya kini diburu polis selepas memukul seorang lelaki yang juga suspek kes samun dalam kejadian Kampung Pauh Badang, Kota Bharu, Selasa lalu.

    Pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada Jumaat lalu mendakwa anaknya berusia 30 tahun dipukul sekumpulan lelaki sebelum ditahan polis.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, ibu mangsa menyedari kejadian apabila melawat anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas direman selama tujuh hari bermula 19 sehingga 25 Januari ini untuk membantu siasatan.

    “Berdasarkan laporan, mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki Rohingya di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan kemudian mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

    Shafien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang menjejaki kumpulan lelaki Rohingya berkenaan.

    Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menyerahkan suspek jenayah yang ditangkap kepada polis tanpa melakukan sebarang tindakan yang mendahului pihak berkuasa.

  • Peguam positif Covid-19, permohonan Rosmah hakim tarik diri dengar kes ditangguh

    Peguam positif Covid-19, permohonan Rosmah hakim tarik diri dengar kes ditangguh

    PENDENGARAN permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya, ditangguhkan ke 3 Feb.

    Penangguhan itu berikutan peguam utama yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu disahkan positif COVID-19.

    Hakim Mohamed Zaini menetapkan tarikh itu selepas peguam Azrul Zulkifli Stork, bertindak bagi pihak Rosmah memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam utama Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent telah disahkan positif COVID-19 pada 17 Jan lepas dan beliau diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sehingga 26 Jan ini.

    Menurut Azrul, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menjalani kuarantin sehingga 25 Jan kerana merupakan kontak rapat kepada peguam utamanya itu.

    “Turut menjadi kontak rapat kepaan Geethan ialah peguam bela Rosmah yang lain iaitu Datuk Firoz Hussein (Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di Kota Kinabalu, Sabah sehingga 25 Jan manakala peguam Reza Rahim dan P. B Rajivan Nambiar dikuarantin sehingga 24 Jan.

    “Oleh itu, saya memohon kes hari ini ditangguhkan ke 3 Feb ini,” kata peguam itu pada prosiding hari ini.

    Azrul berkata surat berhubung permohonan penangguhan kes berkenaan telah dihantar kepada mahkamah pada 20 Jan lepas. 

    Mengenai permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes pengubahan wang haram dihadapinya, Azrul berkata pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan esok.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata pihaknya telah menerima surat daripada pembelaaan berhubung penangguhan kes, namun memaklumkan pendakwaan bersedia untuk meneruskan prosiding hari ini.

    “Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

    Ini adalah kali kedua Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram (AMLA), selepas  hakim itu yang turut mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid, telah menolak permohonan Rosmah pada 14 Dis.

    Rosmah menfailkan permohonan pertama atas alasan  untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berat sebelah berlaku sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar dan memutuskan kes pengubahan wang haram dihadapinya kerana hakim sama turut mendengar kes solar dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

    Dalam permohonan kedua, Rosmah antara lain mendakwa tindakan pihak pendakwaan untuk membawa masuk percakapan beramaran kes pengubahan wang haramnya di dalam perbicaraan kes solar semestinya akan mempengaruhi Mohamed Zaini apabila beliau mendengar perbicaraan kes AMLA.

    Rosmah juga merayu terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan pertamanya dan rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

    Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – Bernama

  • Jurujual kereta maut dirempuh lori

    Jurujual kereta maut dirempuh lori

    SEORANG jurujual kereta meninggal dunia akibat dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di KM 34 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu, berhampiran Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi.

    Dalam kejadian jam 7.45 malam, mangsa, Mohd. Rozimi Daud, 40 meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala.

    Sementara itu, rakannya, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 45, mengalami cedera ringan di bahagian pinggang.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa dan rakannya menaiki kereta jenis Proton Preve manakala lori dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dan rakan berusia 21 tahun.

    Katanya, sebelum kejadian mangsa dan rakannya dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

    “Sampai di lokasi kemalangan, tiba-tiba sebuah lori datang dari arah bertentangan, gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan kereta mangsa dan bertembung,” katanya hari ini.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian pemandu lori yang masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

    Katanya, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif .

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis,Pasir Puteh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Terdahulu, Rozimi yang bekerja sebagai jurujual kereta di Kota Bharu sempat memuat naik gambar menikmati teh tarik buih di Facebook pada jam 10 pagi, kira-kira sembilan jam sebelum kejadian.

    Gambar terakhir itu kini dibanjiri komen dan ucapan takziah daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan kenalan arwah yang meninggalkan seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.

    Menerusi perkongsian Ashraf Proton di Facebook, dia menyatakan bahawa arwah selamat dikebumikan pada pukul 7:30 pagi tadi.

  • PRN Johor: MKT UMNO tentukan sama ada akan bekerjasama dengan Pas atau tidak

    PRN Johor: MKT UMNO tentukan sama ada akan bekerjasama dengan Pas atau tidak

    UMNO akan memutuskan sama ada akan bekerjasama dengan PAS atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tidak lama lagi.

    Memetik laporan BH, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pucuk pimpinan parti mengambil maklum pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang lebih cenderung untuk bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan PAS atau parti lain.

    Menurut beliau, pandangan yang disuarakan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, akan diambil kira sebelum pimpinan tertinggi parti memutuskan pendekatan UMNO dalam PRN Johor.

    “Itu (kerjasama Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Johor) belum kita putuskan, tapi mengikut apa yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Pengerusi BN Johor, mereka lebih cenderung untuk berseorangan.

    “Jadi kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pusat dan akan putuskan dalam mesyuarat khas MKT mengenai bagaimana cara kita hadapi PRN Johor,” katanya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, Mohamad berkata, UMNO menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.

    “Minimum UMNO sahaja, 42 kerusi daripada 56,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

    Pada 22 Jan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

    Semalam, dilaporkan BN Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN itu nanti.

    Ditanya sama ada kes mahkamah melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjejaskan peluang parti itu untuk memenangi PRN Johor, Mohamad berkata, beliau yakin ia tidak akan menjadi faktor utama kepada keputusan para pengundi.

    “Kami mengharapkan yang terbaik, apa yang kami lakukan adalah demi kebaikan parti dan negara,” katanya.

    Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Mengenai pelaksanaan Undi18, Mohamad berkata parti itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pada PRN itu.

  • Penunggang motosikal wanita maut digilis lori

    Penunggang motosikal wanita maut digilis lori

    SEORANG wanita maut selepas digilis lori dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 57, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, Tapah, pada pukul 7.50 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian tersebut, M. Sarasa, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan menuju ke Ipoh.

    “Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh di atas jalan.

    “Sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 67 tahun dari arah sama tiba-tiba menggilis mangsa. Mangsa yang parah maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.