Author: Admin

  • Tular Lelaki OKU curi pakaian dalam pelajar wanita ditahan

    Tular Lelaki OKU curi pakaian dalam pelajar wanita ditahan

    SIKAP pelik seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang mencuri pakaian dalam pelajar wanita di sebuah universiti awam di Kuala Nerus, Terengganu terbongkar setelah kegiatannya itu disedari pelajar universiti berkenaan.

    Perbuatan suspek berusia 37 tahun itu diketahui selepas beberapa pelajar perempuan ternampak lelaki itu berlegar-legar di sekitar asrama tersebut sebelum menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 7 petang hari yang sama di lokasi terbabit.

    “Suspek yang juga OKU pendengaran telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

    “Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing suspek juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mencuri dan menceroboh.

    Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi lapan saat yang memaparkan seorang lelaki berlegar di kawasan ampaian asrama wanita di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Nerus.

  • Kertas siasatan ADUN positif dadah perlu tindakan susulan

    Kertas siasatan ADUN positif dadah perlu tindakan susulan

    KERTAS siasatan berhubung penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak, kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai pada 13 Jan lepas, telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, hari ini.

    Namun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata kertas siasatan itu, telah dikembalikan kepada polis dengan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh pihaknya.

    Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan tindakan atau maklumat yang perlu dikemas kini, seperti di minta oleh Pengarah Pendakwaan Negeri.

    “Hari ini polis telah serahkan kertas siasatan kes itu dan ia turut ditaklimatkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, atas permintaan beliau (Pengarah Pendakwaan Negeri) kertas siasatan tersebut dikembalikan dengan beberapa tindakan untuk diambil oleh pihak polis.

    “Polis akan lengkapkan tindakan yang diminta itu, dan kita jangka kertas siasatan tersebut akan diserahkan kembali dalam tempoh dua minggu lagi.

    “Kami juga masih menunggu laporan patologi berhubung sampel air kencing ADUN berusia 54 tahun berkenaan, bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai itu, seramai 48 individu ditahan, dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala, 12 lagi berkaitan kes jenayah.

    Mereka yang ditahan kerana positif dadah termasuk ADUN tersebut, dan dua anggota polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak dan Pulau Pinang.

    ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu yang ditahan itu, kemudiannya mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta – Klinik 02 di Pulau Pinang didapati negatif, dan meminta polis menjalankan siasatan segera. – Bernama

  • Tun M semakin sihat, masih dirawat di IJN

    Tun M semakin sihat, masih dirawat di IJN

    PERKEMBANGAN kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) semakin baik dan menunjukkan peningkatan.

    Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan, selera makan Ahli Parlimen Langkawi itu juga bertambah baik dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisi beliau di IJN.

    “Tun Dr Mahathir juga diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan oleh begitu ramai pihak termasuk pemimpin-pemimpin negara asing serta orang ramai.

    “Tun Dr Mahathir berserta keluarga berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih.
    “Beliau juga memohon agar orang ramai tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelas Marina, Dr Mahathir akan terus mendapatkan rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan dan buat masa ini, pihak IJN masih tidak membenarkan pelawat selain dari keluarga terdekat.

    Dr. Mahathir sebelum ini dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.

    Negarawan itu dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar pada 13 Januari.

    Pada 16 Disember tahun lalu, beliau dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

  • Lapan warga asing dipenjara 12 bulan miliki minyak masak tanpa lesen

    Lapan warga asing dipenjara 12 bulan miliki minyak masak tanpa lesen

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas tujuh rakyat Myanmar dan seorang warga Thailand   kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu 31,630 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen, tahun lepas.

    Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shofi Habi Ullah, Adumujib Ismail, Mohammad Ali Ali Ahmad, Hamid Hussein Nobi Husson, Abdul Mubarik Abdul Malik, Nor Hamod Basir Ahmed dan Mohammad Ali Harun Ali yang kesemuanya warga Myanmar serta Doloh Cheloh, rakyat Thailand selepas mereka mengekalkan pengakuan bersalah pada hari ini.

    Mahkamah memerintahkan kesemua lelaki berusia antara 18 hingga 45 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Oktober 2021. 

    Nurul Mardhiah turut menjatuhkan hukuman denda RM200,000 ke atas lelaki warga tempatan, Ku Mohd Fahmi Ku Mat, 44, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas kesalahan sama dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

    Kesemua mereka mengaku bersalah sebelum ini pada 15 Oktober  2021 dan hari ini merupakan hari mahkamah menjatuhkan hukuman. 

    Kesemua mereka didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 31,630 kilogram minyak masak dalam keadaan yang mendatangkan syak.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di sebuah premis tanpa nama di Bandar Bukit Beruntung, Rawang di sini, pada 11.30 pagi, 11 Oktober 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya hendaklah didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama

  • Selepas Warisan, PBM pula bertapak di Pulau Pinang

    Selepas Warisan, PBM pula bertapak di Pulau Pinang

    SELEPAS Parti Warisan Sabah (Warisan) secara rasmi memperkenalkan barisan kepemimpinan mereka di Pulau Pinang semalam, Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula melakukan perkara sama hari ini.

    Jika parti Warisan Pulau Pinang diketuai bekas pemimpin DAP, berbeza dengan PBM yang mana ia diketuai bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Alan Oh yang sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Bagan.

    Namun, apa yang pasti matlamat kedua-dua parti itu adalah sama iaitu mengurangkan pengaruh DAP di Pulau Pinang dan mahu memberikan alternatif kepada pengundi di negeri itu kepada pihak ketiga (third force) selain DAP yang kini dilihat begitu dominan.

    Bagi Alan Oh yang merupakan Pengerusi PBM Pulau Pinang, beliau secara peribadi menyifatkan penerimaan dan sambutan yang diberikan penduduk negeri itu terhadap parti tersebut sebagai sesuatu yang amat memberangsangkan dan di luar jangkaan.

    Ini kerana jelasnya, meskipun hanya kira-kira sebulan bertapak di Pulau Pinang, namun parti itu kini sudah berjaya menarik seramai 8,000 orang menjadi ahli.

    Lebih meyakinkan katanya, majoriti pemimpin PBM Pulau Pinang juga merupakan mereka yang pernah terlibat dalam politik di negeri itu khususnya dari kem PKR sekali gus sangat berpengalaman dalam isu-isu melibatkan negeri berkenaan.

    “Selain itu, PBM juga merupakan parti alternatif yang lebih baik buat pengundi Pulau Pinang kerana kita merupakan parti dengan latar belakang pelbagai kaum dan tidak hanya didominasi satu-satu kaum tertentu.

    “Kita juga membuka peluang yang luas kepada golongan muda dan wanita untuk terlibat dalam parti ini selain memberi penekanan terhadap aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan teknologi,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan PBM Pulau Pinang hari ini.

    Selain Alan Oh, antara bekas pemimpin PKR yang turut menyertai PBM Pulau Pinang ialah bekas Ketua Cabang PKR Jelutong, David K. P Ong.

    Dalam pada itu, Alan Oh berkata, PBM Pulau Pinang mempunyai misi dan matlamat besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu untuk merampas pemerintahan kerajaan negeri daripada DAP.

    Jelas beliau, perkara itu bagaimanapun hanya boleh dicapai sekiranya PBM Pulau Pinang bertanding di semua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 13 kerusi Parlimen di negeri tersebut.

    Namun dalam masa sama ujar beliau, pihaknya tetap realistik yang mana sebagai parti baharu mungkin sukar untuk meletakkan calon di kesemua kerusi, justeru akan memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang boleh dimenangi terlebih dahulu.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU-15 untuk merampas Pulau Pinang, Alan Oh berkata, pihaknya terbuka kepada tersebut.

    “Namun, keputusan akhirnya (kerjasama dengan parti lain) tetap bergantung kepada ketetapan yang dibuat pemimpin di peringkat Pusat kelak,” katanya.

  • Dua premis judi di Baling tamat operasi

    Dua premis judi di Baling tamat operasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian mula dilaksanakan apabila dua buah premis perjudian di Baling sudah menamatkan operasi mereka baru-baru ini.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, terdapat lebih 50 premis perjudian di negeri ini turut akan menamatkan operasi secara berperingkat selepas ini.

    Ini berikutan katanya, keputusan itu sudah dikuatkuasa kerajaan negeri serta merta pada November lalu.

    “Saya difahamkan baru-baru ini dua premis ini sudah menghentikan operasi mereka di Baling. Jumlah sebenar saya belum dapat lagi. Tapi di Kedah ini ada lebih 50 premis perjudian akan tamat operasi mereka berperingkat pada tahun ini,” katanya selepas menyerahkan hamper dan ang pau sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

    Pada 14 November lalu, media melaporkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah tidak lagi akan memberikan kelulusan lesen baharu bagi pengoperasian premis perjudian di negeri itu, berkuat kuasa serta merta.

    Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan mengenai dasar kerajaan negeri untuk tidak lagi memperharui lesen premis perjudian.

    Katanya, surat mengenainya sudah dihantar SUB Kerajaan Tempatan negeri agar kementerian terbabit tidak lagi mengeluarkan lesen berkenaan.

    “Prosesnya memang begitu, kita perlu maklumkan kepada Kementerian Kewangan yang kita tidak lagi memperharui lesen premis perjudian, jadi kita harap Kementerian Kewangan tidak lagi perbaharui lesen premis perjudian di Kedah..Ini adalah jalan yang betul kita ambil,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memberitahu pihaknya mengesan terdapat aktiviti menyiram pokok durian menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam sehingga dikhuatiri menjadi antara punca berlaku tekanan air rendah yang lebih serius di daerah Sik .

    Katanya keadaan itu berlaku berikutan kedudukan dusun ini jauh dari kawasan sumber air seperti tali air.

    Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan luas kawasan dusun durian terbabit.

    “Tekanan air ini selalunya kuat pada tengah malam, jadi penduduk akan simpan air dalam tangki untuk kegunaan waktu siang tapi yang kita kesan ada juga petani yang siram dan simpan air untuk siram pokok durian di dusun mereka guna air terawat ini. Walaupun petani ini bayar bil air, saya harap mereka dapat guna alternatif lain untuk siram pokok durian mereka,” katanya.

    Pada majlis itu seramai 20 warga emas dan keluarga miskin berketurunan Cina menerima sumbangan berkenaan.
    Habis….

  • Lebih RM133,000 rokok seludup, minuman keras tidak bercukai dirampas

    Lebih RM133,000 rokok seludup, minuman keras tidak bercukai dirampas

    POLIS Marin Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenama rokok seludup dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM133,000 dalam serbuan di Bukit Mertajam semalam.

    Dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina oleh Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Batu Uban itu, seorang lelaki warga Bangladesh turut ditahan bagi membantu siasatan.

    Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai sebanyak 11 peti rokok dan 17 peti minuman keras yang disyaki tidak bercukai.

    Hasil pemeriksaan lanjut katanya, peti-peti rokok itu didapati mengandungi sebanyak 590 karton atau 216,800 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM123,490.

    “Turut dirampas ialah pelbagai jenama minuman keras sebanyak 143.4 liter bernilai RM9,970 dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM133,460,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Shamsol, suspek dan kesemua barang rampasan itu kemudian diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) untuk tindakan lanjut.

    Jelasnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967m

    “Kejayaan ini adalah sebahagian daripada  beberapa siri tangkapan di bawah Op Khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang dijalankan pasukan Polis Marin Wilayah 1 sejak dilaksanakan bermula Jumaat lalu,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi-operasi yang sama pada masa depan dalam mengekang aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok dan minuman keras tanpa cukai yang merugikan kerajaan.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian 04-6558222,” katanya.

  • JDT dijangka ambil seorang lagi pemain import-TMJ

    JDT dijangka ambil seorang lagi pemain import-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KELAB bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) dijangka membawa masuk seorang lagi pemain import sebagai persiapan untuk saingan Liga Super dan Liga Juara-juara Asia (ACL) musim ini.

    Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas laman Malaysia Football League memaklumkan, pemain kelahiran Mali, Moussa Sidibe adalah pemain import terakhir ditandatangani bagi menyertai skuad Harimau Selatan.

    “Pemain terakhir yang akan menyertai JDT, Moussa Sidibe. Dari Divisyen Dua Liga Sepanyol ke Liga Malaysia. Selamat datang @moussajr10,” tulis halaman sukan tersebut.

    Membalas tulisan itu, Tunku Ismail menulis, “ada lagi seorang,” yang mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati dan peminat bolasepak tanahair ini.

    Sebelum ini, Tunku memberi bayangan pemain tersebut adalah pemain kelahiran Sepanyol seperti yang dikongsikan sebelum ini dalam akaun Instagram miliknya.

    Ramai juga dalam kalangan peminat setia JDT menjangkakan Gonzalo Cabrera yang dilepaskan sebelum ini akan kembali menyertai pasukan.

    Setakat ini, JDT mempunyai sembilan pemain import termasuk termasuk import bagi kuota Asia dan Asia Tenggara (ASEAN).

    Selain Sidibe, tiga lagi muka baharu yang diperkenalkan ialah pemain kelahiran Fernando Forestieri dan dua pemain kelahiran Sepanyol iaitu Carli De Murga dan Bienvenido Maranon.

    De Murga dan Maranon merupakan pemain import bagi kuota ASEAN setelah kedua-dua mereka beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina.

    Sementara itu, pemain import sedia ada yang masih dikekalkan ialah Bergson Da Silva, Mauricio Dos Santos, Leandro Valesquez, Shane Lowry dan Fernando Rodriguez yang beraksi bersama JDT II.

    JDT turut diperkuatkan dengan enam pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula, Mohamadou Sumareh, Natxo Insa, Matt Davies, Corbin Ong, Nathaniel Shio Hong Wan.

  • Warga emas didenda RM1,900 buat video jelik

    Warga emas didenda RM1,900 buat video jelik

    SEORANG aktivis didenda RM1,900 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pindaan membuat video bersifat jelik mengaitkan pendatang asing dan jenayah di Pasar Borong Selayang, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Mustapa Mansor Amer Mohd. Isa, 60, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy..

    Mahkamah turut memerintahkan Mustapa Mansor selaku orang kena saman (OKS) dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi Youtube dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, pada 26 April 2020.

    Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

    Mengikut fakta kes, video itu dimuat naik yang mana kandungannya adalah mengenai kegiatan jenayah seperti dadah, gengsterisme serta pemerdagangan manusia di Pasar Borong Selayang.

    Hasil siasatan mendapati kandungan video itu mengandungi hantaran yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Peguam Jadadish Chandra yang mewakili OKS, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda minima dengan alasan video yang dimuat naik berhubung isu rakyat.

    “OKS juga merupakan bapa lapan orang anak dan kesalahan kali pertama dilakukan. OKS berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan akan lebih berhati-hati dalam menbangkitkan sesuatu isu,” katanya.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS

  • Ahmad Faizal beri bayangan kemelut BAM-Zii Jia selesai dalam tempoh terdekat

    Ahmad Faizal beri bayangan kemelut BAM-Zii Jia selesai dalam tempoh terdekat

    MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia, mampu diselesaikan dalam masa terdekat.

    Ahmad Faizal yang mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor tujuh dunia itu dan bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei semalam, berkata semua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai aspek paling utama, dalam menyelesaikan kemelut tersebut.

    “Saya juga bercakap dengan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, memang kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara, hari ini.

    Mengulas mengenai pertemuan dengan Zii Jia dan Jin Wei yang diadakan secara tertutup semalam, Ahmad Faizal berkata kedua-dua pemain itu menyatakan dua alasan berbeza untuk keluar daripada BAM.

    “Saya dengar dan percaya BAM juga akan mendengar apa sahaja yang mereka bawa, jadi kita doakan yang baik-baik. Perkara lain yang kita bincangkan (semalam), amat tidak manis untuk saya kongsikan kepada orang ramai, kerana jika ada pun lebih sebagai nasihat saya, umpama nasihat seorang abang kepada adik.

    “Jadi saya harap perkara itu dihormati. Apa jua masalah dapat diselesaikan dan ada solusi terbaik jika kepentingan peribadi, kumpulan, dapat dikorbankan demi kepentingan negara. 

    “Itu yang saya sampaikan kepada mereka berdua, dan saya nampak mereka faham perkara itu. Saya juga mendoakan agar perjumpaan Zii Jia dengan kepimpinan BAM hari ini, akan mencapai solusi terbaik,” jelasnya.

    Jumaat lepas, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari ini.

    Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lepas, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup yg tetapkan di BAM.

    Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lepas, sebelum mula bergerak sebagai pemain profesional, turut dikenakan tindakan oleh BAM untuk tidak akan didaftarkan untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Oktober 2021. – Bernama