Author: Admin

  • Pusat Karaoke tawar wanita Korea Selatan diserbu

    Pusat Karaoke tawar wanita Korea Selatan diserbu

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melakukan serbuan sebuah pusat karaoke di Mont Kiara, Kuala Lumpur pukul 11 malam tadi yang menawarkan wanita warga Korea Selatan yang gebu sebagai peneman berhibur.

    Premis berkenaan menyediakan pakej bilik eksklusif dengan layanan istimewa daripada wanita Korea Selatan itu yang bukan saja dikunjungi pengunjung biasa tetapi juga golongan kenamaan.

    Pengarah JIM Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, menerusi serbuan itu pihaknya menahan enam wanita warga Korea Selatan yang disyaki menjadi pelayan pelanggan (GRO).

    “Kita turut menahan tiga lelaki terdiri daripada dua warga Korea Selatan dan seorang warga Pakistan turut ditahan ketika serbuan itu.

    “Berdasarkan siasatan awal, premis itu menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan wanita warga asing berusia antara 24 hingga 46 tahun sebagai pelayan istimewa dari bilik ke bilik pelanggan.

    “Mereka memperoleh bayaran sebanyak RM500 bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan selain menerima tip daripada pelanggan.

    “Bayaran bagi setiap bilik pula mencecah sehingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas ekspatriat.

    Dalam serbuan berasingan, Syamsul Badrin berkata, JIM Kuala Lumpur menyerbu tiga pusat urut dan refleksologi di Pandan Indah, Ampang.

    Menurutnya, seramai 23 individu diperiksa dan tujuh daripadanya ditahan membabitkan enam wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Vietnam.

    “Bagi mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, pelanggan perlu membayar sebanyak RM200 bagi tempoh satu jam,” katanya.

    Katanya, kesemua suspek dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan susulan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

  • Gaza berhadapan bencana akibat varian Omicron

    Gaza berhadapan bencana akibat varian Omicron

    SEORANG pegawai kesihatan Palestin pada Jumaat berkata Semenanjung Gaza sedang melalui situasi ‘sukar dan bencana’ berikutan penularan pantas varian Omicron COVID-19, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Keluk jangkitan meningkat pada kadar yang pantas berbanding sebelum ini,” kata penasihat kepada menteri kesihatan Palestin Fathi Abu Warda kepada pemberita di Gaza.

    Menurut beliau, 95 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 63 daripadanya dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dan penggunaan katil mencecah 56 peratus.

    Abu Warda menyeru setiap warganegara yang dijangkiti COVID-19 atau mempunyai simptom berkaitan supaya segera ke hospital, dengan menyatakan bahawa 48 peratus daripada pesakit yang dimasukkan ke wad di Semenanjung Gaza adalah kes jangkitan Omicron.

    Cuaca sejuk semasa yang melanda wilayah Palestin dan kekurangan sumber tenaga di Semenanjung Gaza mengakibatkan bekalan elektrik terputus selama 12 jam setiap hari. Kekurangan alat pemanasan menggalakkan lagi penyebaran virus itu, katanya.

    “Setakat ini, hanya 30 peratus daripada populasi di Semenanjung Gaza telah menerima vaksin,” kata Abu Warda, sambil menambah bahawa kementerian kesihatan menggesa orang ramai untuk mengambil suntikan.

    Pada Jumaat, Palestin melaporkan lima kematian dan 5,380 kes baharu COVID-19 di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut laporan harian koronavirus kementerian kesihatan. – Bernama

  • Seludup masuk 24 warga Myanmar:4 lelaki ditahan

    Seludup masuk 24 warga Myanmar:4 lelaki ditahan

    POLIS menahan empat lelaki yang menjadi ejen bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara itu dengan melintasi sempadan Malaysia-Thailand secara haram, hari ini.

    Susulan penahanan empat suspek itu, polis menemukan 24 lagi warga Myanmar terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita disembunyikan di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus, Pasir Mas, pukul 1.20 pagi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun di Kampung Repek.

    “Pemeriksaan polis mendapati nombor plat kereta berkenaan adalah palsu, manakala nombor casis didapati sudah diganggu.

    “Suspek berusia 24 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamin di samping mempunyai lima rekod jenayah.

    “Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku bertugas sebagai ‘penghantar’ yang mengambil warga Myanmar di pangkalan haram Lubok Gong, Pasir Mas untuk dibawa ke satu destinasi dalam negara.

    “Suspek berusia 24 tahun juga mengaku hanya dia dan seorang adiknya yang mengenali seorang warga Myanmar yang dipanggil ‘Apik’, dalam urusan membawa masuk pendatang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Nasaruddin berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus dan berjaya menahan 24 warga Myanmar berusia 20 hingga 40-an,.

    Menurutnya, pukul 2.40 pagi tadi, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun yang juga adik suspek berusia 24 tahun itu, di sebuah rumah tidak bernombor di Lubok Setol untuk siasatan lanjut.

    “Suspek mengaku sudah 14 kali bertindak sebagai ‘penghantar’ dengan menerima arahan daripada “Apik” bagi mengangkut pendatang haram Myanmar.

    “Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah tidak bernombor di Kampung Tasik, Rantau Panjang dan berjaya menahan suspek warga Myanmar dikenali sebagai ‘Apik’ di luar rumah itu,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek warga Myanmar berusia 40-an itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) dan berperanan sebagai ‘ejen’ membawa masuk pendatang Myanmar ke negara ini dengan mengupah penduduk tempatan sebagai penghantar.

    Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

  • Peruntukan RM2.38 juta bantuan persekolahan untuk 14,000 pelajar kurang berkemampuan

    Peruntukan RM2.38 juta bantuan persekolahan untuk 14,000 pelajar kurang berkemampuan

    KERAJAAN menerusi Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM2.38 juta daripada kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk pemberian bantuan persekolahan kepada 14,000 pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara tahun ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata bantuan sempena Program Jom Ke Sekolah bernilai RM170 bagi setiap pelajar itu turut disalurkan kepada pelajar bukan islam yang layak menerima bantuan berkenaan.

    “Di Sabah dan Sarawak, bantuan diberikan masing-masing kepada 1,200 pelajar kerana dua kawasan negeri ini luas, ada juga penerima program ini bukan beragama Islam, tapi sebahagian besarnya ialah untuk orang Islam kerana ia dari wang zakat,” katanya. 

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Program Jom Ke Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan serta penutupan Program Dekat Di Hati Anak Malaysia di Desa Kencana Felda Sahabat, Lahad Datu, hari ini. 

    Katanya sumbangan itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anysccak pada tahun ini selain menyuntik semangat belajar dan berjaya dalam kalangan pelajar. – Bernama

  • Langkah tidak naik tarif elektrik tunjuk kerajaan letak rakyat sebagai keutamaan

    Langkah tidak naik tarif elektrik tunjuk kerajaan letak rakyat sebagai keutamaan

    LANGKAH untuk tidak menaikkan tarif elektrik membabitkan lebih sembilan juta pengguna domestik di negara ini menunjukkan bahawa kerajaan meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara utama ketika ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan terkesan melihat rakyat terjejas akibat penularan COVID-19 yang membawa kepada kehilangan pekerjaan dan perniagaan serta bencana banjir baru-baru ini yang menjadi kesan tambahan kepada rakyat.

    Beliau berkata bagaimanapun, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah tidak mudah memandangkan subsidi elektrik perlu diteruskan.

    “Ini dilakukan bukan mudah kerana dengan keputusan itu kerajaan perlu meneruskan subsidi, bukan tidak naik bererti tiada kos kepada kerajaan, tidak.

    “Apabila tidak naik ertinya kerajaan perlu ambil satu duit lain, dana lain untuk memberikan subsidi supaya Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal sebagai satu penjana yang ‘viable’. Jangan pula ia mengalami bankrap dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program temu bual Johor FM di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Che Roslan Che Daud.

    Menurut Annuar, selepas TNB membuat pengesyoran untuk menaikkan tarif melibatkan pengguna domestik berikutan kenaikan harga bahan api, Kabinet telah mengadakan enam siri perbincangan yang membawa kepada keputusan pada Rabu lepas bahawa kerajaan bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik.

    “Kita kena tengok pelbagai sudut, pemegang saham, kedayahidupan TNB itu sendiri. Tetapi setelah berbincang panjang lebar, Jemaah Menteri di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan tidak boleh dinaikkan tarif,” kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Ismail Sabri semalam, mengenai kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih sembilan juta pengguna domestik.

    Ismail Sabri dipetik sebagai berkata subsidi elektrik sebanyak lebih RM700 juta juga akan diteruskan agar pengguna domestik tidak terkesan. – Bernama

  • ‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

    ‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

    “Saya hanya sempat mendengar arwah isteri menyebut Allahuakhbar sebelum kami dirempuh kenderaan itu,” demikian diceritakan Mohd Nazri Hamid, 44, mengenai kejadian kemalangan yang meragut nyawa isteri serta tiga anaknya di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, Pahang petang semalam. 

    Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan kejadian itu menyebabkan guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang, Raihan Mohamad, 43, serta tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, maut.

    Mohd Nazri, yang juga seorang guru di sekolah sama berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah di kuarters kediaman guru di sekolah itu pada pukul 10 pagi menuju ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri anak saudara kepada Allahyarham isterinya di Kajang yang akan berlangsung pada hari ini.

    Menurutnya, perjalanan itu turut diiringi abang iparnya yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Pajero bersama dua anaknya lagi Ahda Fasihah, 11, dan Ahmad Awaz, 12, yang terselamat dalam kejadian itu. 

    “Ketika tiba berhampiran lencongan di Sungai Koyan, ada sebuah treler terbalik sekali gus membuatkan perjalanan tergendala sekitar 30 minit. Selepas itu, saya meneruskan perjalanan untuk ke Karak-Kuala Lumpur dan ketika itulah kenderaan yang dipandu saya dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

    “Kejadian itu menyebabkan isteri dan tiga anak kami tercampak keluar dari kenderaan…saya tidak sempat berbuat apa-apa dan tidak nampak kehadiran kenderaan itu di hadapan kereta kami,” ujarnya sebak ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Jenazah empat beranak yang maut dalam kejadian itu dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan tersebut pada 9.50 pagi tadi. 

    Terdahulu, jenazah tiba dengan van jenazah pada 8.30 pagi dan disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin, Panchor di sini yang diimamkan oleh suami mangsa. – Bernama

  • PRN Johor: Pas, Bersatu bertanding di bawah Perikatan Nasional

    PRN Johor: Pas, Bersatu bertanding di bawah Perikatan Nasional

    PAS dan Bersatu mengumumkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional (PN).

    Keputusan itu dicapai bersama dan disahkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membacakan resolusi Muzakarah Pas-Bersatu kepada media di Grand Ballroom Glenmarie Hotel, Shah Alam, Selangor, hari ini.

    Menurut beliau, ia bagi memperkukuhkan jalinan bersama Pas-Bersatu sebagai satu pasukan sehingga peringkat akar umbi dan mempertegaskan sokongan terhadap kerajaan persekutuan adalah bersyarat.

    “Memperkukuhkan jalinan bersama Pas-Bersatu sebagai satu pasukan sehingga peringkat akar umbi.

    “Mempertegaskan sokongan Pas dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat; perlu dihormati dan dirundingi diatas nilai integriti, anti-rasuah dan berkebajikan,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Pas-Bersatu menerusi Muzakarah tersebut turut melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat. 

    Sementara itu Muhyiddin berkata, PN akan memutuskan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen dalam tempoh sehari, dua lagi.

    “Kita akan memutuskan perkara itu dalam tempoh sehari, dua ini insyaAllah.

    “Hasrat kita untuk bertanding ialah untuk mendapat sokongan dan mandat rakyat Johor membentuk kerajaan PN di peringkat negeri,” katanya.

    Untuk rekod, sebanyak 56 kerusi akan dipertandingkan pada PRN Johor yang diberi laluan untuk diadakan  selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) 22 Januari lalu. 

    Perkara itu sekaligus menamatkan desas-desus mengenai PRN di negeri berkenaan selepas kematian Ahli DUN Kempas, Datuk Osman Sapian bulan lalu yang menyebabkan perbezaan majoriti antara kerajaan negeri dan pembangkang hanya satu kerusi.

  • Khaled Nordin minta Pas berhenti berpura-pura

    Khaled Nordin minta Pas berhenti berpura-pura

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengakui Pas adalah sebuah parti yang besar serta hebat.

    Justeru bekas Menteri Besar itu berharap, kekuatan dan kehebatan PAS berkenaan dapat dibuktikan pada PRN Johor tidak lama lagi.

    Pun begitu, bekas menteri besar Johor itu mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menumpang kehebatan dan kekuatan Pas.

    Dengan langkah diambil UMNO itu, tambahnya, Abdul Hadi tidak wajar memarahi mereka.

    Khaled juga mengingatkan Abdul Hadi dan Pas bahawa ‘kluster mahkamah’ tidak ada kena-mengena dengan PRN Johor.

    Bahkah Khaled sendiri berpendirian isu mahkamah membabitkan pemimpin Umno wajar ditangani di mahkamah.

    “Cuma, hakikatnya, kerajaan Johor sebelum ini berdiri dengan hanya satu majoriti. Berhentilah berpura-pura. Terimalah hakikat bahawa kedudukan sebegitu adalah kedudukan yang sangat lemah dan tidak menentu.

    “Jadi, jalan terbaik untuk mendapatkan kembali sebuah kerajaan yang kukuh, dengan mandat yang sah, adalah melalui PRN.

    “Kita tidak boleh terus-menerus mempunyai kerajaan yang terbentuk hanya dengan percaturan ahli politik yang sekali gus menafikan pilihan rakyat,” katanya seperti dipetik Malaysiakini, hari ini.

    Semalam Abdul Hadi berkata, PRN di Johor berpunca daripada percaturan berkaitan ‘kluster mahkamah’ dan tidak wajar diadakan pada ketika ini.

    Duta khas bertaraf menteri itu juga mengibaratkan UMNO sebagai itik patah kaki yang kini mahu berenang bersendirian selepas ‘dirawat’ Pas sesudah pilihan raya umum (PRU) pada 2018 lalu.

    Abdul Hadi juga berkata, Muafakat Nasional (MN) tidak boleh hanya melibatkan parti Melayu seperti Umno dan Pas sebaliknya mesti memperlihatkan kemajmukan masyarakat Malaysia.

    Kenyataan itu adalah antara kritikan terbaru dibuat Pas ke atas UMNO ketika PRN Johor semakin menghampiri.

    Khaled berkata, mungkin Pas dan Abdul Hadi gemar dengan pendekatan politik melalui percaturan sesetengah orang dan menafikan hak rakyat untuk mengundi, ia adalah amalan tidak matang serta gagal menyantuni prinsip demokrasi yang jujur.

    Khaled juga berkata, sehingga kini dia tidak faham bagaimana Perikatan Nasional (PN) dan MN merupakan agenda kemajmukan ketika BN sendiri – yang sudah dianggotai parti pelbagai kaum – dianggap Abdul Hadi sebagai tidak relevan.

    “Apa-apa pun, dalam keseriusan Tan Sri (Abdul Hadi) untuk menyatukan semua pihak di bawah kemajmukan PN dan MN, saya harap jangan lupa untuk turut menjemput PAN (Amanah) dan DAP bersama. Barulah benar-benar majmuk,” katanya.

  • Tok Mat dilantik Pengarah PRN Johor BN

    Tok Mat dilantik Pengarah PRN Johor BN

    TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Sementara Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Muhammad pula dilantik sebagai ketua penyelarasnya.

    Lantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang pada malam tadi.

    Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mesyuarat sebulat suara bersetuju atas lantikan itu bagi memperkukuhkan jentera BN dan bergerak atas lambang BN secara bersama.

    “Mesyuarat juga turut menegaskan kebulatan tekad seluruh pimpinan parti komponen untuk terus mempertahankan dan mengemaskini kedudukan BN yang menjadi wadah politik negara selama ini,” katanya menerusi kenyataan.

    PRN Johor akan diadakan tidak lama lagi ekoran pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN) setelah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu.

    Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni yang sebelum ini penyandang Menteri Besar Johor hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

    Katanya, mesyuarat itu keseluruhannya membincangkan tentang perkembangan mutakhir dalam negara dan perencanaan pada tahun 2022.

  • Bekas TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia

    Bekas TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia

    BEKAS Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 100, meninggal dunia pada 11.47 malam tadi di Pusat Perubatan Normah di sini akibat sakit tua.

    Perkara itu disahkan oleh menantu Allahyarham, Wan Ibrahim Omar kepada Bernama. 

    Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.

    Tun Salahuddin, yang lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014. 

    Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.

    Pada 2000, Tun Salahuddin menjadi pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak kerana penyandang jawatan itu Tun Ahmad Zaidi Adruce tidak dapat menjalankan tugas kerana jatuh sakit.

    Tun Ahmad Zaidi meninggal dunia pada Disember 2000 yang menyaksikan Tun Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan itu pada Februari 2001 dengan penggalnya berakhir secara rasmi pada 28 Feb 2014. – Bernama