Author: Admin

  • Polis tahan lelaki rosak Jalur Gemilang di ibu negara

    Polis tahan lelaki rosak Jalur Gemilang di ibu negara

    SEORANG lelaki ditahan polis semalam kerana merosakkan Jalur Gemilang di jejambat Jalan Syed Putra, Brickfields, Kuala Lumpur sebelum membuang bendera tersebut.

    Foto perbuatan lelaki tersebut dikongsikan dalam Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Bagaimanapun, DBKL memaklumkan, pelaku telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Kenapa Jalur Gemilang yang menjadi sasaran? Suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut perkongsian itu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ini adalah kejadian ketiga dilaporkan DBKL membabitkan Jalur Gemilang dirosakkan.

    Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 6 Ogos di Jalan Sultan Ismail manakala kejadian kedua pada 17 Ogos di bangunan MITEC, Jalan Ampang membabitkan pelaku sama yang menggunting bendera tersebut.

  • Remaja 14 tahun hilang, ibu rayu anaknya pulang

    Remaja 14 tahun hilang, ibu rayu anaknya pulang

    SEORANG remaja berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada petang Rabu lepas.

    Menurut ibunya, Siti Noor Mustapa, 47 tahun, anak ketiganya itu dikenali sebagai Ahmad Darwish Daniel, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli.

    Siti Noor berkata, anaknya dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas menyertai sesi latihan kawad kaki pada petang Rabu di sekolahnya.

    “Anak saya tiada masalah dengan saya atau ayahnya atau adik beradik lain, dia anak yang tiada perangai.

    “Namun Selasa lepas, Ahmad Darwish ada memaklumkan mempunyai masalah di sekolah,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

    “Ahmad Darwish pernah menjadi pengawas sekolah dan beliau sering dibuli oleh pelajar senior,” jelasnya lagi.

    Siti Noor berkata, anaknya itu juga ada memaklumkan berkaitan surat disiplin yang dikeluarkan cikgu kepadanya namun ianya tidak membabitkan kes yang serius.

    Beliau juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, kelmarin.

    “Saya dan keluarga serta rakan-rakan sekolahnya telah mencari hampir serata Jeli, kehilangannya juga sudah ditularkan, bahkan ramai yang membantu mencarinya, namun hingga saat ini tiada khabar berita,” tambahnya.

    Ayah tirinya merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli yang turut menjalankan pencarian di segenap tempat, namun tidak menjumpainya.

    Orang ramai yang menjumpai remaja berkenaan, boleh menghubunginya di talian 012 2428619 / 01161027678 atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Kapal tangki Rusia ditahan berlabuh tanpa kebenaran

    Kapal tangki Rusia ditahan berlabuh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kapal tangki dari Rusia ditahan kerana menceroboh peraiaran dan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 23.6 batu nautika timur laut Tanjung Siang, dekat Kota Tinggi, pukul 3 petang semalam.

    Kapal tangki tersebut ditahan kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang melaksanakan penguatkuasaan di perairan Johor timur itu.

    Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki tersebut dikendalikan 19 kru lelaki dan dua wanita termasuk nakhoda berumur lingkungan 32 hingga 62 tahun.

    “Pemeriksaan mendapati semuanya warga Rusia serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Nakhoda kapal tangki terbabit telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidakmelebihiRM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanyasekali.

    Maritim Johor katanya, akan terus memantau dan memastikan perairan negeri Johor bebas dari sebarang cubaan bersauh secara haram.

    Justeru, pemilik atau pengusaha perkapalan dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia serta mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

  • Taktik ubah suai tangki, isi diesel bersubsidi untuk seludup

    Taktik ubah suai tangki, isi diesel bersubsidi untuk seludup

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sedang membuat pengisian minyak dari satu stesen ke stesen secara berterusan di Tumpat, kelmarin.

    Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, siasatan dan serbuan dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah stesen minyak di Chabang Empat Tok Mek Ngah, kemudian berjaya membongkar kegiatan seleweng diesel subsidi.

    Katanya, serbuan dilakukan dalam Operasi Bersepadu yang turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa.

    “Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah lori jenis Isuzu telah menjumpai minyak diesel 274 liter bernilai RM589 di dalam tangki yang dipercayai diubah suai.

    “Taktik penyeludup adalah dengan mengubah suai tangki serta membuat pembelian minyak diesel dari stesen ke stesen berjaya digagalkan.
    Minyak diesel tersebut dipercayai akan diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, seorang lelaki turut ditahan dan kes tersebut akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.

    Aswadi berkata, siasatan lanjut akan dijalankan ke atas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan yang diperolehi.

    Beliau berkata, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

    “Kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan sentiasa giat dijalankan dari masa ke masa bagi membanteras kegiatan tersebut,” jelasnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Gabungan parti Islam ‘perintah Tuhan’, Hashim minta UMNO kembali ke MN

    Gabungan parti Islam ‘perintah Tuhan’, Hashim minta UMNO kembali ke MN

    UMNO diminta mempertimbangkan semula kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), kata Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang menggunakan frasa ‘perintah Tuhan’ untuk menegaskan keperluan penyatuan tiga parti Islam untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hashim berkata, PAS tetap dengan pendirian mewujudkan perpaduan ummah membabitkan MN yang dahulunya dianggotai partinya serta UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu kerana ia telah diterima akar umbi.

    Menurutnya, gesaan supaya umat Islam bekerjasama adalah perintah Tuhan bukannya seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Perpaduan ummah ini perintah dari Tuhan, bukan dari presiden UMNO, presiden PAS atau presiden Bersatu. Ini Tuhan yang suruh, jadi UMNO pun Islam, PAS pun Islam, Bersatu pun Islam kita kena tunduk kepada Tuhan,” katanya kepada FMT.

    Sehubungan itu, Hashim meminta UMNO kembali kepada perpaduan MN dan mengingati semula piagam perpaduan ummah ditandatangani yang pada perenggan akhir menjelaskan sebarang perselisihan perlu dirujuk kepada “Allah dan Rasul”.

    “Kenapa tak rujuk? Allah suruh apa, Rasul suruh apa, memang ada perselisihan (antara UMNO, Bersatu) jadi yang boleh maaf, maaflah.

    “Sebab itu apa pun keputusan UMNO ke arah perpisahan dan pembatalan perjanjian, PAS tak batal, kita terbuka kalau sekiranya pemimpin yang ada sekarang tak mahu tetapi pemimpin akan datang mungkin mahu perpaduan,” katanya.

    UMNO sebelum ini menolak penyertaan Bersatu dalam MN menyebabkan hubungan dengan PAS semakin renggang sehingga membawa kepada pembentukan PN.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, parti itu memuktamadkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.

    Pada pilihan raya negeri di Johor dan Melaka, berlaku pertembungan di antara calon Pas, UMNO dan Bersatu yang menyaksikan kebanyakan kerusi UMNO mewakili Barisan Nasional (BN).

  • Kertas siasatan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC – Peguam Negara

    Kertas siasatan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC – Peguam Negara

    KERTAS siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Perkara itu disuarakan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika ditemui pada Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

    “(Kertas siasatan) tidak berada dengan kami. Saya tidak tahu. Ia tidak berada dengan kami,” katanya ringkas seperti dilaporkan Malay Mail.

    Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

    SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

    SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, yang mana Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.

    Ia susulan Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

    Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

  • Jangan salahkan Muhyiddin jika tak dapat kuota TPM

    Jangan salahkan Muhyiddin jika tak dapat kuota TPM

    PIMPINAN dan akar umbi Bersatu diminta tidak menyalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang gagal mendapatkan kuota jawatan timbalan perdana menteri (TPM) seperti dijanjikan kepada Perikatan Nasional (PN) oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata seorang pemimpin parti.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata presiden Bersatu itu telah melakukan yang terbaik dengan mencadangkan calon dari PN menerusi pelbagai rundingan, namun hak melantik TPM adalah hak prerogatif perdana menteri.

    “Tan Sri (Muhyiddin) dah bagi nama, jadi hak melantik itu hak eksklusif PM, kalau PM tak mahu lantik, kita terima sajalah. Jadi MPT dan ahli tak boleh desak atau marah sebab Tan Sri dah buat yang dia mampu.

    “Bagi saya, untuk jawatan TPM, cukuplah… benda itu dah selesai. Cukuplah kita desak PM dengan jawatan-jawatan yang dijanjikan,” katanya kepada FMT.

    Ismail dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia berkata, tiada keperluan melantik TPM kerana sudah pun disokong oleh empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri pimpinannya.

    Perdana menteri berkata demikian setelah PN dilapor mahu mengatur pertemuan rasmi untuk mendesaknya menunaikan janji melantik TPM daripada Bersatu.

    Bagaimanapun, Razali berpendapat perjumpaan antara wakil PN dan perdana menteri masih perlu diteruskan kerana banyak perkara yang berbangkit masih belum dibincangkan.

    Beliau yang juga ketua Bersatu Terengganu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci perkara berbangkit itu.

    “Jangan kata apabila PM dah cakap untuk tidak lantik TPM, maka perjumpaan dengan wakil PN terhenti. Perjumpaan itu perlu ditunaikan segera untuk bincang perkara berbangkit, bukan isu jawatan (TPM) saja.

    “Banyak lagi benda yang kita perlu bincang elok-elok,” katanya.

    Kalangan pemimpin Bersatu sebelum ini menyelar Ismail kerana dikatakan tidak mematuhi perjanjian yang diikat dengan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berhubung perlantikan TPM dan beberapa perkara lain.

    Perjanjian itu dikatakan dimeterai sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

  • ‘Kerajaan sementara’ ini berjaya capai banyak perkara jangka masa panjang

    ‘Kerajaan sementara’ ini berjaya capai banyak perkara jangka masa panjang

    PENTADBIRAN yang dianggap sebagai ‘kerajaan sementara’ ketika ini oleh sesetengah pihak dilihat telah berjaya mencapai banyak perkara jangka masa panjang.

    Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk usaha mewujudkan rang undang-undang yang memastikan negara bebas daripada asap rokok.

    “Dalam tempoh masa setahun, kerajaan yang dianggap sebagai ‘kerajaan sementara’ ini sebenarnya telah berjaya mencapai perkara-perkara yang long term dan long reaching in nature.

    “Tadi Datuk Seri Wan Junaidi sebut reformasi Parlimen, macam-macam undang-undang yang sebelum ini sangat susah nak dilakukan, dapat diluluskan dalam tempoh 12 bulan sahaja.

    Dalam isu kesihatan, saya maklum pada beliau, “Sir (Perdana Menteri), let do something for the future. Jangan ingat kepada next election sahaja, tetapi ingat kepada generasi yang akan datang dan sebab itu beliau sokong saya bawa rang undang-undang untuk kita wujudkan negara bebas asap rokok di Malaysia, pada Oktober kita akan luluskan RUU ini,” katanya.

    Khairy berucap pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di sini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

    Sementara itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan negara ini disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia.

    Jelas Khairy, kajian dilakukan kementeriannya mendapati, program itu berjaya menyelamatkan lebih dari 17,000 nyawa.

    Walaupun mengakui sebelum ini ramai yang marah dengan sikap tegasnya dalam menangani COVID-19, Khairy berkata, beliau tidak akan memohon maaf di atas ketegasannya itu.

    “Saya tahu ada juga ramai yang marah saya sebab paksa, tegas dalam vaksinasi. I don’t apologize for it, sebab kalau kita melihat kepada hari ini, antara kejayaan kita keluar dari COVID-19 adalah kejayaan program imunisasi COVID-19 kebangasaan, antara terbaik di dunia yang dilaksanakan di Malaysia.

    “Kajian dibuat oleh institut penyelidikan klinikal di bawah KKM menunjukkan program vaksinasi kita telah menyelamatkan tidak kurang dari 17,000 nyawa,” ujarnya.

  • “Siapa yang khianati siapa? “Tok Mat nafi UMNO tinggalkan PAS

    “Siapa yang khianati siapa? “Tok Mat nafi UMNO tinggalkan PAS

    TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengulangi kenyataan parti itu tidak pernah memilih untuk meninggalkan Pas dalam kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN).

    Sebaliknya ujar beliau, Pas yang cenderung untuk bersama gabungan lain seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.

    Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jentera Barisan Nasional (BN) bagi PRN Melaka November lalu mendedahkan, UMNO telah menawarkan lima kerusi kepada Pas meskipun parti itu hanya mahukan tiga daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Katanya, senario itu jelas menunjukkan UMNO tidak pernah mengkhianati Pas, malahan parti itu yang kekal tidak mahu bersama dalam perjuangan.

    “Kami tidak tinggalkan sesiapa, kami tidak tinggalkan MN, mereka yang tinggalkan MN. Kami hendak bersama di Melaka, dia minta tiga (kerusi) kami bagi lima, macam meniaga kat Mekah, beli tiga dapat lima free, tapi masih tak mahu bersama, siapa yang mengkhianati siapa?

    “Begitu juga di Johor, tak ada masalah, kita pun tak ada isu. Muafakat Nasional ini tidak mengikat sesiapa. MN ini bukan perjanjian, dia cuma piagam, itu piagam kita untuk menjadi landasan Melayu dan Islam, jika ada apa-apa berkenaan Melayu Islam dan Pribumi, ini landasan yang baik untuk perjuangkannya, not so much on politics. Sudah pun, parti telah buat keputusan,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis perjumpaan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada Ahad.

    Turut hadir Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata usul memutuskan hubungan dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) tidak diterima dari mana-mana perwakilan daripada keseluruhan 197 kawasan di seluruh negara untuk dibahaskan pada Muktamar Pas kali ke-68.

    Menurutnya, hanya terdapat beberapa perkara dibangkitkan mengenai hubungan di dalam MN namun ianya tidak lebih daripada penekanan atau fokus terhadap memperkasakan penyatuan ummah.

  • Harga barang stabil, peniaga digesa turun harga makanan

    Harga barang stabil, peniaga digesa turun harga makanan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa peniaga termasuk yang menjual makanan bermasak mengenakan harga munasabah selaras harga barangan asas yang kini semakin stabil hasil intervensi kerajaan.

    Memetik Harian Metro, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, kenaikan harga barangan asas yang bersifat sementara sebelum ini tidak wajar diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga makanan secara kekal dan membebankan pengguna.

    Beliau berkata, penurunan harga makanan dilihat perlu dibuat selaras dengan harga barangan yang semakin stabil hasil intervensi dan langkah penyelesaian diambil kerajaan dalam mengatasi isu kenaikan harga bahan mentah sebelum ini.

    Katanya, harga ayam, minyak masak dan barangan keperluan lain kini stabil menerusi pemberian subsidi dan penetapan harga siling, malah usaha kerajaan menerusi program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dengan menawarkan harga barangan sehingga 20 peratus lebih rendah dari pasaran semasa turut memanfaatkan peniaga makanan.

    “Kita memandang serius isu ini yang mana sering kali berlaku apabila harga barangan mentah naik, harga makanan dinaikkan, tetapi apabila turun (bahan mentah), makanan bermasak yang dinaikkan harga sebelum itu tidak turun.

    “(Sebagai contoh), dahulu bila harga ayam naik, harga makanan pun naik daripada RM8 jadi RM12 tetapi sekarang harga ayam sudah turun tetapi kita perhatikan harga makanan tak turun.

    “Jadi ini masalah dan kita sentiasa memikirkan cara untuk atasi isu ini sebab kita tak boleh nak kawal harga makanan bermasak ini sebab ia bukan barang kawalan.

    “Dalam hal ini, ada pegawai kita yang sentiasa turun padang buat pemeriksaan, termasuk melakukan penyamaran untuk memantau isu berkaitan kepenggunaan termasuk membabitkan harga makanan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu (PPSNT) Tahun 2022 di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu merangkap Penasihat PPSNT Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

    Rosol berkata, walaupun kerajaan tidak boleh mengawal harga makanan yang sudah dimasak tetapi tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) boleh diambil sekiranya terdapat aduan dan peniaga terbukti cuba mengaut untung berlebihan.

    Katanya, terdapat beberapa faktor diambil kira terhadap peniaga atau premis yang dilaporkan meletakkan harga yang tidak munasabah.

    “Jadi kita harap semua peniaga dapat terus berperanan dalam mengawal inflasi dengan tidak mencatut dan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa alasan yang munasabah.

    “Pengguna juga boleh mainkan peranan dengan salurkan aduan ke saluran rasmi KPDNHEP sekiranya ada peniaga didapati cuba mencatut,” katanya.