PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengumumkan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor minggu depan.
Menurut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pengumuman tersebut akan dibuat secara berperingkat-peringkat.
“Berkenaan calon, nama mereka yang bertanding masih dibincang dan akan maklum dalam tempoh terdekat. Calon pertama akan diumum minggu depan dan bukan saya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Muda dan barisan kepimpinannya hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRN kali ini, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama dalam barisan kepimpinan Muda sambil memaklumkan ramai individu yang layak untuk diangkat.
“Saya ingin pastikan bahawa orang perlu melihat ramai pemimpin lain dalam Muda wajar diberi perhatian yang mana mereka ini jauh lebih baik daripada saya.
“Apa saya nak katakan jika khidmat saya di Parlimen Muar sebegitu, calon yang kita ketengahkan nanti jauh lebih baik dari saya,” katanya memetik laporan FMT, semalam.
Beliau berkata, calon Muda juga datang dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama serta ramai calon wanita akan diketengahkan.
Ditanya mengenai tawaran tiga kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain enam yang diumumkan DAP dan Amanah kepada Muda, Syed Saddiq berkata perkara itu akan dibincangkan secara tertutup.
“Muda telah beri maklum balas kepada sahabat kita PKR berkenaan perkara ini, MUDA dalam rundingan hanya memohon tiga kerusi,” katanya.
Terdahulu, Amanah dan DAP memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di enam kerusi dalam PRN Johor, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai, sementara PKR menawarkan tiga kerusi, namun tidak menyatakan kawasan mana.
Hadir sama pada majlis pelancaran MUDA ialah Presiden Warisan, Shafie Apdal, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok.
SEORANG pemandu kenderaan pacuan empat roda maut apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan roti di Kilometer (KM) 312.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tapah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, mangsa, Shaik Shafiq Shaik Abdul Halim, 31 maut di tempat kejadian akibat parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan sebuah lori muatan roti.
“Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun dalam perjalanan menuju ke utara.
“Tiba di tempat kejadian, dipercayai lori muatan roti terbabit dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa yang menuju ke arah sama.
“Akibat pelanggaran terbabit, mangsa yang beralamat di Perai, Pulau Pinang mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah dan bedah siasat dijadualkan hari ini selepas terima ujian Covid-19.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
JENTERA Wanita Perikatan Nasional (PN) tidak perlu gentar untuk menggempur Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun bilangan mereka dijangka tidak seramai jentera Wanita Barisan Nasional (BN).
Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun berkata, jumlah tidak menjadi ukuran atau penghalang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PN kerana apa yang perlu dilakukan adalah berusaha keras.
Beliau berkata, jentera Wanita PN perlu mengambil roh dan semangat perang Badar iaitu jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit berbanding musuh, namun berjaya memperoleh kemenangan berlandaskan semangat juang yang tinggi.
Katanya, jentera Wanita PN perlu berjuang habis-habisan dengan menjadikan peristiwa perang Badar sebagai inspirasi dan pencetus semangat.
“Dalam tempoh 30 hari ini cukup getir buat jentera Wanita PN yang menggabungkan tiga parti komponen iaitu Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menghadiahkan kemenangan buat PN.
“Ada yang memperlekehkan usaha jentera Wanita PN kerana bilangan kita tidak seramai mereka. Jangan risau, biarlah mereka mencebik dan mengata kita kerana kita mempunyai iltizam yang kuat.
“Jadikan peristiwa perang Badar pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman, bagaimana seramai 313 tentera Islam menewaskan tentera musuh yang jauh lebih ramai,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.
Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.
Rina berkata, jentera Wanita PN sudah bersiap sedia untuk menerima segala arahan daripada pucuk pimpinan parti untuk dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah untuk memastikan kemenangan dalam PRN Johor.
Katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, semua jentera wanita daripada tiga parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan perlu bersatu hati dan bergerak seiring sebagai satu pasukan.
Beliau berkata, Wanita PN perlu buang imej lemah sebaliknya bersedia menunjukkan semangat juang tinggi selain bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan waktu.
“Wanita PN kena bagitahu suami, anak dan keluarga bahawa tempoh sebulan ini mahu fokus kepada membantu kemenangan buat parti.
“Ikatan yang ada ini (Bersatu, Pas, Gerakan) kita ikat kemas-kemas jangan biarkan ada pihak cuba meleraikannya dalam memacu hala tuju memenangi PRN Johor,” ujarnya.
WANITA Perikatan Nasional (PN) mengemukakan 16 calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, calon-calon itu adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Menurutnya yang juga Ketua Srikandi Bersatu, senarai nama calon itu sudah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan.
“Mereka adalah berkelayakan dan harap diberi peluang untuk bertanding dalam PRN Johor. Pemilihan calon itu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai kategori dan latar belakang setiap individu terbabit.
“Sudah pasti hendak peluang ini turut diberikan kepada wanita untuk bertanding bahkan kita harap mereka ini bukan sahaja dipilih sebagai calon tetapi juga mampu menjadi Yang Berkhidmat (YB) pada 12 Mac nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.
Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.
Mengulas lanjut, Rina berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada calon Wanita PN pada PRN Johor.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Wanita PN sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN Johor sebelum pengumuman pembubaran DUN Johor dilakukan.
“Kita akan ketengahkan isu yang dekat dengan wanita antaranya usaha membantu menaikkan taraf ekonomi mereka, bimbing mereka untuk bangkit semula dan sebagainya,” katanya.
Rina memberitahu, Wanita PN mempunyai kira-kira 10,000 ahli berdaftar yang akan bergerak membantu PN di seluruh pelusuk negeri ini.
RAKYAT Johor diseru untuk tidak menggadaikan masa depan mereka dengan kembali memilih kerajaan yang kleptokrasi, rasuah dan tidak amanah.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pengundi perlu memilih PN yang menawarkan kerajaan negeri yang bersih, amanah dan bebas rasuah apabila menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Hamzah yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, mereka tidak perlu sangsi kerana boleh meneliti rekod bersih pemimpin PN di peringkat Pusat atau negeri perlu dijadikan rujukan.
Jelasnya, itu merupakan asas dan keyakinan rakyat Johor untuk memilih PN dan atas sebab itu, pengundi pedrlu kembali meletakkan PN ke tampuk pemerintahan negeri ini dengan memilih gabungan tersebut untuk masa depan mereka.
“Semua pemimpin PN berjiwa besar dan mempunyai integriti yang tidak boleh dipisahkan dengan mereka. Kita boleh buktikan sekiranya diberikan kuasa dan kita tidak akan sia-siakan kepercayaan yang rakyat berikan.
“Kalau mahu negeri yang maju perlu pilih PN dan PN akan buktikan. Sudah sampai masanya untuk Bangsa Johor ketahui, parti yang akan meneruskan perjuangan yang benar-benar bersih adalah PN.
“Itu sebenarnya yang kita ketengahkan. Kita akan menjadi pelindung kepada seluruh rakyat Johor,” katanya ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan;
Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan dua Timbalannya, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.
Hamzah yang juga Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN berkata, PN juga menawarkan kerajaan yang stabil dan prihatin, malah PN adalah gabungan yang menstabilkan kerajaan Pusat ketika ini.
Katanya, pihak yang mengganggu kerajaan Pusat dan menyebabkan ketidakstabilan politik adalah UMNO apabila mereka menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, bukan sahaja di peringkat negara UMNO mencetuskan ketidakstabilan politik, di peringkat negeri juga berbuat demikian apabila berusaha mengadakan PRN walaupun rakyat tidak mahu.
“Mereka dengan angkuh, bongkak dan sombong mahukan PRN, kononnya akan menang besar. Kita akan buktikan dalam PRN pada 12 Mac ini bahawa kita yang akan tentukan masa depan rakyat Johor,” katanya.
ARENA politik negara selama berpuluh-puluh tahun sejak 1951 telah menyaksikan bagaimana Pas terus berjuang di persada politik berbekalkan tiga ‘azimat’ iaitu kesetiaan,ketaatan dan semangat.
Inilah ‘senjata’ yang menjadi kekuatan Pas sehingga memungkinkan Pas berada dalam kedudukan sekarang dengan berkongsi kuasa di peringkat pusat, memerintah Kelantan sejak 1990, ‘bertukar-tukar’ dengan UMNO memerintah Terengganu sejak 1999 dan memimpin Kerajaan Negeri Kedah ketika ini.
Semua itu dicapai hasil perjuangan tidak mengenal penat dan pengorbanan tanpa terhitung pemimpin,ahli dan penyokong Pas. Dan sudah pastilah kesetiaan, ketaatan dan semangat menjadi landasannya.
Kesetiaan, ketaatan dan semangat itulah yang memperkukuhkan Pas dalam perjuangannya. Walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kerana ‘azimat’ itu termasuklah ahli-ahli Pas dituduh oleh musuh-musuh politiknya sebagai setia ‘membabi buta’, taat ‘tidak bertempat’ dan bersemangat ‘tidak tentu hala’, namun mereka tidak pernah tergugat untuk meneruskan perjuangan bersama parti tersebut.
Hasilnya, Pas berjaya menjadi sebuah parti yang digeruni oleh lawan dan dihormati kawan. Atas sebab itulah Pas tidak layak dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ dan mana-mana pihak khususnya parti politik.
Namun apa yang berlaku sejak kebelakangan ini agak menyedihkan. Pas yang bersedia menamatkan persengketaan berpuluh-puluh tahun dengan UMNO melalui piagam perpaduan ummah dan menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional yang diketuai Bersatu menerima pelbagai kecaman daripada segelintir UMNO.
Kecaman yang dilemparkan kadang kala sudah sampai pada tahap menghina dan semua itu terjadi selepas Pas yang sebelum ini berjasa besar kepada UMNO dengan membantu parti menenangi beberapa pilihan raya kecil memutuskan untuk bersama Bersatu dalam PRN Melaka.
Kegagalan Pas memenangi kerusi di pilihan raya itu bagaikan ‘memberi peluru’ kepada segelintir pemimpin UMNO untuk memperlekehkan Pas habis-habisan.
Malangnya ketika serangan itu dilakukan, di dalam Pas berlaku perpecahan apabila ada segelintir pemimpin Pas masih lagi tetap mahu mempertahankan Muafakat Nasional bersama UMNO biarpun Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang tetap mempertegaskan prinsip, ‘’bersama Muafakat Nasional, mempertahankan Perikatan Nasional’.
Keadaan itu menyebabkan ramai mentafsirkan tiga ‘senjata’ yang selama ini menjadi kekuatan Pas semakin tergugat. Kesetiaan semakin goyang, ketaatan semakin longgar dan semangat semakin luntur.
Kononnya atas nama perpaduan ummah mereka berhujah Muafakat Nasional perlu dipertahankan tanpa berfikir, apakah perpaduan ummah itu hanya berkisar kepada hubungan UMNO dan Pas sahaja?
Berikutan senario perpecahan itulah rasa hormat kawan dan rasa gerun lawan terhadap Pas semakin mencair. Dan apabila PRN Johor bakal diadakan, Pas diperlekeh habis-habisan oleh segelintir pemimpin UMNO negeri itu seolah-olah tidak ada secebis pun berjasa kepada UMNO.
Sepatutnya kalau pun mahu mengkritik biarlah beradab, kalau menegurpun janganlah sampai menghina, rajinlah sikit untuk mengimbas kembali bagaimana tanpa sokongan atau persetujuan Pas sudah pasti UMNO tidak kembali menjadi kerajaan sehingga pada tahap ini menguasai jawatan Perdana Menteri.
Tetapi soalnya adakah pemimpin, ahli dan penyokong Pas akan membiarkan penghinaan berterusan? Adakah mereka akan membiarkan parti kesayangan mereka itu terus dipandang rendah dan dilihat berada dalam kedudukan ‘ada pun tak untung, tak adapun tak rugi’ oleh UMNO?
Kesemua penghinaan, cacian dan sikap memandang rendah kepada Pas harus dihentikan. Dan PRN Johor adalah platform terbaik untuk Pemimpin, ahli dan penyokong Pas membuktikan bahawa kesetiaan mereka masih utuh, ketaatan mereka masih teguh dan semangat masih membara demi perjuangan parti di bawah kepemimpinan ulama itu.
Pemimpin dan ahli Pas harus memperkukuhkan tiga senjata tersebut bagi memastikan calon-calon Perikatan Nasional mencapai kemenangan. Pas perlu memastikan bahawa mereka mampu membuktikan kehadiran mereka di PRN Johor mendatangkan impak supaya segelintir pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi memandang rendah kepada mereka.
Bagi mencapai tujuan itu, semua pemimpin dan ahli Pas harus benar-benar ikhlas dan istiqomah untuk bersama-sama Abdul Hadi memastikan panji-panji perjuangan Pas tidak lagi diperlekehkan oleh mana-mana pihak.
Tidak boleh ada lagi kesetiaan yang luntur, ketaatan yang pudar dan semangat yang lemah dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas di PRN Johor.
Di Johor lah, mereka perlu bangkitkan semula bahawa Pas adalah parti bermaruah, Pas adalah sebuah parti yang harus digeruni dan Pas perlu dihormati.
Penulis yang membuat liputan dan mengikuti perkembangan politik Pas sejak tahun 1991 merindui untuk melihat bagaimana hebat kesetiaan, ketaatan dan semangat pemimpin dan ahli parti itu dalam mana-mana pilihan raya.
Ada yang sanggup berkorban meredah perjalanan beratus-ratus kilometer ke mana-mana juga tempat yang ada pilihan raya dengan belanja sendiri demi matlamat memenangkan parti.
Penulis turut mengagumi semangat jentera parti bekerja siang dan malam, hujan mahupun panas demi memastikan parti mencapai kemenangan. Strategi ‘peperangan’ Pas dalam mana-mana pilihan raya ketika itu cukup hebat sehinggakan lawan tidak senang duduk…perang saraf mereka begitu jitu dan hitungan jangkaan undi cukup tepat.
Kalau menang mereka bersyukur, bila kalah mereka tidak patah semangat. Inilah Pas yang penulis kenali dan ketahui sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Penulis tidak menyebelahi sesiapa tetapi sebagai orang Melayu dan Islam, penulis turut terasa apabila ada pemimpin Melayu dari parti Melayu memperlekehkan Pas sesuka hati seolah-olah Pas sebuah parti picisan yang tidak ada maruah!
Justeru pemimpin dan ahli Pas perlu bangkit di Johor…bangkit demi maruah Pas..bangkit untuk menutup keceluparan segelintir pemimpin UMNO yang parti mereka sendiri bergantung kepada pemimpin bermasalah untuk memimpin…dan bangkit untuk membuktikan kesetiaan,ketaatan dan semangat Pas masih wujud!
Bangkitlah! Jangan biarkan Pas terus dihina, jangan izinkan Pas diperlekeh dan jangan benarkan maruah Pas diperkotak-kotik…PRN Johor medannya..
UMNO dan Barisan Nasional (BN) bercita-cita untuk menamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kali ini.
Bersatu dan PN pula berazam untuk membenamkan UMNO dan BN buat selama-lamanya menerusi pilihan raya yang sama, dengan memfokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa di Johor dan di merata Malaysia. Oleh itu, mampukah UMNO-BN merealisasikan cita-cita di atas, berjayakah Bersatu dan Perikatan Nasional mencapai azamnya, dan sejauh manakah prestasi dua gabungan politik ini dalam PRN Johor?
UMNO dan BN dijangka sukar untuk mencapai cita-cita di atas kerana sebilangan besar pengundi di Johor mentafsirkan PRN ini menerusi pelbagai perspektif kemungkaran Umno dan BN mutakhir ini.
Pertama, pengundi Johor mentafsirkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini sebagai pengkhianatan UMNO-BN terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional. Ini kerana pembubaran tersebut dilaksanakan tanpa sebarang perundingan dengan Perikatan Nasional selaku rakan politik dalam mentadbirkan Kerajaan Negeri Johor.
Tindakan ini mencetuskan kemarahan penyokong Bersatu dan Perikatan Nasional, dan menimbulkan kekecewaan rakyat Johor yang sedang memulihkan kehidupan masing-masing akibat serangan COVID-19 dan banjir besar, baru-baru ini.
Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, bahawa pembubaran di atas dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO pula menunjukkan kerakusan Umno untuk mengadakan PRN Johor.
Lantas PRN Johor ditafsirkan sebagai hasil salah guna kuasa pemimpin UMNO dan BN di peringkat Pusat dan di peringkat negeri.
Dengan ini, PRN Johor adalah dibayangi oleh persoalan salah guna kuasa yang mahu ditentang habis-habisan oleh Bersatu dan Perikatan Nasional.
Kedua, PRN Johor juga digerhanai isu rasuah yang membabitkan segolongan pembesar Umno dan BN di peringkat Pusat.
Khususnya adalah tuduhan rasuah yang dihadapi oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, serta isu rasuah yang dihadapi oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku bekasPerdana Menteri dan bekas Presiden UMNO.
Isu di atas menyebabkan PRN Johor ditafsirkan oleh sebilangan besar pengundi di negeri ini sebagai usaha untuk menyelamatkan dua pemimpin di atas daripada pelbagai tuduhan rasuah.
Lantaran itu, PRN Johor juga dibayangi persoalan rasuah yang membabitkan segolongan pemimpin Umno dan BN, serupa dengan isu 1MDB yang menyebabkan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketiga, PRN Johor adalah dibayangi pelbagai kisah ribut dalam cawan dan citra pergolakan dalaman membabitkan UMNO pusat, UMNO Johor serta beberapa bahagian UMNO di Johor.
Kisah ribut dalam cawan dan pergolakan dalaman UMNO mutakhir ini dikatakan amat jelas dalam proses menentukan bakal calon BN bagi PRN Johor.
Dipercayai bahawa masalah ini muncul kerana sesetengah bakal calon BN bagi sesetengan Dewan Undangan Negeri (DUN) diketengahkan oleh Zahid dan Najib, ada yang condong kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan ada yang hanya memihak kepada Menteri Besar Johor serta kuasa ghaib di belakangnnya.
Ini menyukarkan UMNO Johor untuk memuktamadkan calon BN bagi PRN Johor, dan mungkin memunculkan keretakan jentera BN dalam menguruskan PRN Johor secara berkesan. Ia membayangkan PRN Johor turut diwarnai ribut dalam cawan serta dilema dalaman Umno yang menyukarkan proses pemilihan bakal calon BN.
Selain di atas, UMNO dan BN Johor berhadapan kemunculan pengundi atas pagar yang terdiri daripada penyokongnya dalam PRU14. Pada waktu sama, PRN Johor dijangka memunculkan pengundi atas pagar daripada kalangan komponen BN dan komponen Pakatan Harapan (PH) yang dipercayai akan mengundi calon PN.
Isu pembubaran DUN Johor yang ditafsirkan sebagai salah guna kuasa, tuduhan rasuah ke atas Zahid dan Najib, dilema UMNO, dan pengundi atas pagar membabitkan penyokong BN dan PH dalam PRU14 yang dihuraikan di atas mungkin menjejaskan cita-cita UMNO dan BN untuk menamatkan Bersatu dan Perikatan Nasional menerusi PRN Johor.
Oleh itu, PRN Johor mungkin menafikan cita-cita Umno dan BN untuk menamatkan Bersatu dan Perikatan Nasional. Sebaliknya, seluruh isu di atas mungkin memudahkan Bersatu dan Perikatan Nasional untuk menguburkan Umno dan BN di Negeri Johor.
Kesimpulannya, tahap keselamatan Umno dan BN dijangka merosot, dan tahap keselamatan politik Bersatu dan Perikatan Nasional pula mungkin meningkat menerusi PRN Johor.
UMNO dan BN Johor yang berhadapan pelbagai isu di atas, mungkin tidak mudah untuk memenangi semua kerusi DUN yang diperolehinya dalam PRU14.
Sebaliknya, Bersatu dan Perikatan Nasional mungkin menambah jumlah kerusi DUN yang akan diperolehinya menerusi PRN Johor.
DATUK DR RUHANIE AHMAD adalah Penasihat Pilihan RayaBersatu Bahagian Parit Sulong
PERIKATAN Nasional (PN) melahirkan keyakinan akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus memberi tamparan dan menundukkan pihak yang angkuh serta tamak kuasa.
Pengarah PRN Johor PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keyakinan itu juga kerana rakyat Johor mahukan kerajaan yang bersih, berintigriti, prihatin serta tidak menyusahkan mereka.
“Rakyat akan bersama-sama kita untuk membuktikan bahawa kita adalah yang lebih baik bagi mencapai kemenangan yang besar pada PRN Johor ini sekali gus mengulangi kejayaan PRN Sabah.
“Bukan hanya di Johor, bahkan PN akan bangkit untuk tentukan masa depan rakyat di negeri ini. Saya lihat sambutan hari ini cukup luar biasa, jika UMNO tak takut saya tak tahulah, katanya.
Setiausaha Agung PN itu berkata demikian ketika berucap dalam Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.
Hamzah berkata, ketika ini tumpuan harus diberikan terhadap usaha untuk memenangkan calon PN dan tidak timbul lagi persoalan mengapa perlu mengadakan PRN Johor.
“Isu siapa punca Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan lagi isu penting kerana sudah dibubarkan. Yang penting adalah untuk pastikan kuasa itu akan kembali kepada PN,” katanya.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, sudah sampai masa untuk PN membuktikan sebagai pasukan yang selama ini tunduk dan diam untuk bangkit memberi tentangan habis-habisan.
Katanya, ada sesetengah pihak hanya pandai mengkritik PN dan parti komponennya tetapi tidak sedar bahawa mereka yang mendatangkan masalah di Johor.
“Saya tahu kita akan capai kemenangan, kita akan buktikan kepada mereka yang angkuh, sombong dan tamak kuasa bahawa rakyat tidak mahu lihat mereka sebaliknya mahu kumpulan yang prihatin seperti PN.
“PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa beranggapan seluruh rakyat harus dibantu dan keprihatinan ini telah dibuktikan beliau semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.
“Kalau rakyat mahukan pemimpin yang memberi bantuan dan prihatin, berilah kemenangan yang besar buat PN. Ini adalah jihad rakyat demi membantu perjuangan parti,” ujarnya.
SEMUA 56 calon Perikatan Nasional (PN) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dipastikan bersih dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kes-kes mahkamah.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini termasuk tiada mempunyai rekod atau masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau yang juga Setiausaha Agung PN berkata, perkara itu penting kerana tidak mahu calon bermasalah bertanding dalam PRN itu.
Jelas beliau, semua mereka akan melalui proses tapisan ketat sebelum disenaraikan sebagai calon PRN tersebut.
“Kita akan pastikan calon-calon daripada semua parti komponen diteliti semua rekod mereka, sama ada pernah terlibat dengan kegiatan jenayah, kes mahkamah atau ada masalah dengan LHDN.
“Lepas itu baru kita umumkan secepat mungkin, mungkin minggu depan. Pembahagian kerusi akan dilakukan selepas kita mendapat kepastian (jawapan) daripada agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Chong Fat Full yang juga Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat dan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Datuk Abdull Bakar Ali.
Berkenaan pembahagian kerusi PN, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, proses itu masih belum dimuktamadkan kerana terdapat pertukaran kerusi pada saat akhir.
Berkenaan dakwaan Pas tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi, beliau berkata, perkara itu sekadar khabar angin dan kebenarannya hanya diketahui pihak yang menyebarkan cerita tersebut.
SEORANG pekerja kilang warga asing meninggal dunia selepas terjatuh dalam mesin pengisar kayu di sebuah kilang di Nilai, Seremban, hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Fadli Abd. Wahab berkata, mangsa merupakan warga Nepal dikenali sebagai Haque Shekh Amirul, 40.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.13 pagi dan pemeriksaaan mendapati seorang lelaki berada dalam sebuah mesin pengisar kayu.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin berkenaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Mangsa katanta, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.