Author: Admin

  • PAS nafi khabar angin tidak puas hati pembahagian kerusi PRN Johor

    PAS nafi khabar angin tidak puas hati pembahagian kerusi PRN Johor

    PAS menafikan khabar angin bahawa parti itu tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

    Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, rundingan pengagihan kerusi masih berjalan dan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi parti-parti komponen PN ketika ini belum ditentukan.

    “Tidak (wujud isu ketidakpuasan hati), rundingan kerusi tidak selesai lagi…begitu juga calon, dapat kerusi baharu kita sedia calon.

    “Parti-parti yang berkolaborasi dalam PN sedang berunding, agihan kerusi berdasarkan kriteria contohnya kekuatan jentera sesuatu parti di tempat itu, penerimaan pengundi pada calon yang akan dikemukakan, benda-benda itu sedang dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sarapan Silaturahim Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Pulai, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin PAS tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diberikan pada PRN Johor.

    Menteri Besar Kedah itu berkata, calon PAS yang akan bertanding pada PRN Johor adalah terdiri daripada golongan profesional dan orang muda manakala jentera PAS seluruh negara bersedia membantu dalam PRN Johor, namun jumlahnya belum dipastikan kerana bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP).

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata PAS mengharapkan agar kerjasama dalam PN akan membawa kejayaan pada PRN Johor dan meminta rakyat Johor untuk bersama PN membuat pilihan baharu bagi membentuk kerajaan lebih stabil.

    “Saya rasa dalam PN, kestabilan dan keharmonian dapat dipupuk dengan lebih baik seperti yang berlaku di negeri lain,” katanya. – Bernama

  • UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan politik – Sanusi

    UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan politik – Sanusi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan kestabilan politik dalam negara hanya boleh dicapai sekiranya Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak lagi memerintah.

    Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, UMNO dan BN sering ‘menjaja’ pihaknya membawa kestabilan politik sebaliknya, mereka sebenarnya yang berbuat demikian.

    Jelasnya, ini boleh dilihat apabila berlaku beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu selepas diberi peluang kembali memerintah.

    “Formulanya UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang UMNO mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

    “Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai, Johor Bahru, hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, kestabilan dalam pemerintahan negara haruslah mempunyai kesepakatan tetapi BN khususnya UMNO dilihat terus menjadi pihak yang mencetuskan perbalahan itu.

    “Dia macam kita duduk satu rumah, makan satu meja masak satu lauk, tetapi dia tikam belakang kita, inilah perangai BN. Kita kalau nak hidup aman, lidah dengan hati mesti sama.

    “Mereka (UMNO) sudah menerima macam-macam tetapi tetap tamak kerana mereka kalau boleh mahu semua. Tengok apa yang mereka tidak dapat, jika bukan jawatan menteri mesti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

  • Anggota Kastam akan dipasang kamera badan Jun ini

    Anggota Kastam akan dipasang kamera badan Jun ini

    BAGI menangani kes salah laku dalam kalangan anggota dan penguat kuasanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka memulakan pemasangan kamera badan melibatkan anggota bertugas pada Jun ini.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, pemasangan kamera melibatkan seluruh anggota dan pegawai JKDM yang bertugas di lapangan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana membabitkan peruntukan besar.

    Ini kerana katanya, kamera berkenaan bukan hanya digunakan untuk penguat kuasa, ia juga melibatkan pegawai yang bertugas terutama mereka yang berada di barisan hadapan (frontliner) seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan sempadan negara.

    “Dijangkakan lebih 100 anggota kastam termasuk penguat kuasa akan terlibat dalam pemasangan kamera badan untuk fasa pertama,” katanya pada Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) JKDM Terengganu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini.

    Sebelum ini, Penguat kuasa JKDM disaran supaya memakai kamera pada badan sebagai inisiatif menangani kes salah laku dalam kalangan kakitangan agensi berkenaan.

    Selain meningkatkan lagi integriti pasukan, ia turut dilihat dapat membantu dijadikan bukti kepada anggota kastam yang kerap dituduh terbabit dalam aktiviti rasuah.

  • Polis rampas dadah bernilai RM25,700, berkas 12 individu

    Polis rampas dadah bernilai RM25,700, berkas 12 individu

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    DADAH jenis heroin dan syabu seberat 487.38gram bernilai RM25,700 berjaya dirampas polis dalam empat serbuan dilakukan di sekitar daerah Rompin bermula Jumaat hingga Khamis lalu.

    Dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rompin itu turut menahan 12 individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 45 tahun untuk siasatan lanjut, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Janglau 3, Rompin pada pukul 4.20 petang, 4 Februari lalu.

    Menurut beliau, dalam serbuan itu polis telah menahan tiga lelaki dan merampas satu peket dadah jenis heroin seberat 36.35 gram.

    Katanya, serbuan kedua dilakukan pada 7 Februari lalu di dalam ladang kelapa sawit Felda Selancar Tiga, polis menemukan dadah jenis heroin seberat 60.56 gram dan syabu seberat 15.32 gram sebaik menahan tiga lelaki.

    Mohd Azahari (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai kenderaan yang disita selepas penahanan 12 individu yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di daerah Rompin, Pahang.

    “Serbuan berasingan pada hari yang sama di Perwira Jaya, Muadzah Shah pula, polis menemukan 53.52 gram dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 16.64 gram selepas menahan tiga lagi lelaki,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd Azahari, dalam serbuan keempat di sebuah hotel bajet di bandar Rompin pada Khamis lalu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 205 gram.

    Tambah beliau, polis turut menyita lapan motosikal, sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda dipercayai milik suspek yang berjumlah RM147,300.

    Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah serta pelbagai kesalahan lain.

    “Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” ujar beliau.

    Ujarnya, siasatan awal mendapati keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 100 hingga 150 orang penagih pada satu-satu masa.

  • 92 projek sakit akibat kontraktor-Mustapa

    92 projek sakit akibat kontraktor-Mustapa

    KERAJAAN mengenal pasti 92 projek sakit dan bermasalah yang berpunca daripada pemilihan kontraktor.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini termasuk membabitkan projek mega.

    “Projek sakit adalah projek yang mengalami kelewatan melebihi dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual pelaksanaan.

    “Antara punca utama dikenal pasti menyumbang kepada kelewatan penyiapan projek adalah masalah kontraktor dan perunding serta isu pelaksanaan projek seperti aspek koordinasi antara klien, agensi pelaksana serta pihak ketiga.

    “Projek-projek ini sedang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM. Sebanyak 22 projek sakit berkenaan adalah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    “Sabah pula merekodkan projek sakit paling tinggi iaitu 16 projek,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Jalan dari Chedok ke Nibong, Jeli, hari ini.

    Mustapa berkata, tindakan sewajarnya sedang diambil untuk memantapkan kriteria pemilihan dan pelantikan kontraktor serta perunding selain usaha meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam menguruskan projek pembangunan negara.

    “Kerajaan memandang serius isu penyelarasan dalam pelaksanaan projek dan ingin menekankan bahawa semua pihak yang berkepentingan harus bergerak seiring secara terancang dan bersepadu.

    “Ia bagi memastikan matlamat pelaksanaan projek pembangunan negara dapat dicapai dengan jayanya.

    “Pada masa sama, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan projek pembangunan kerajaan dapat disiapkan mengikut jadual, supaya rakyat mendapat manfaat mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, ekonomi negara mencatatkan peningkatan sebanyak 3.1 peratus, selaras dengan sasaran kerajaan antara tiga dan empat peratus sepanjang tahun lalu.

    Namun katanya, pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada paras terendah sasaran rasmi dan nilai KDNK masih belum mencapai paras sebelum pandemik Covid-19 dengan jurang 2.7 peratus atau RM38.2 bilion pada harga malar berbanding 2019.

    “Ini disebabkan kejatuhan pelaburan terutama pelaburan awam yang menguncup sebanyak -11.4 peratus.

    “Kejatuhan itu sejajar dengan penguncupan sektor pembinaan yang merosot sebanyak -12.2 peratus, terutama dalam aktiviti pembinaan kejuruteraan awam dan bangunan kediaman,” katanya.

  • Penduduk gempar jumpa mayat lelaki terapung

    Penduduk gempar jumpa mayat lelaki terapung

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SUASANA menjadi gempar seketika apabila penduduk di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung di kawasan jeti lama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, pagi semalam, lapor Sinar Harian.

    Mayat yang tidak mempunyai identiti itu ditemukan pada pukul 10.25 pagi oleh seorang penduduk kampung berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal, sebaik sahaja menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pihaknya terus bergegas ke lokasi.

    Katanya, berdasarkan pemeriksaan luaran ke atas mayat mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah.

    Menurut beliau, mayat tersebut kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk pemeriksaan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Terima bantuan, Ebby bina rumah baharu

    Terima bantuan, Ebby bina rumah baharu

    PELAWAK Ebby Yus bersyukur apabila menerima sumbangan daripada kerajaan berbentuk rumah mesra rakyat bernilai RM56,000 setelah rumah lamanya musnah baru-baru ini.

    Rumah yang dibina sendiri olehnya sebelum ini musnah pada Disember lalu dalam kejadian banjir besar yang berlaku di sekitar Hulu Langat, Selangor.

    “Saya bersyukur kerana menerima bantuan rumah mesra rakyat yang diberikan bantuan oleh kerajaan.

    “Pembinaan rumah ini baru sahaja bermula dan dijangka siap beberapa bulan lagi. Rumah baharu ini masih dibina atas tapak lama cuma dibuat jauh sedikit daripada sungai,” katanya.

    Jelas lelaki yang berusia 56 tahun ini lagi, dia mengubah sedikit kedudukan tapak rumah baharunya itu kerana bimbang kejadian yang sama berulang kembali.

    Dalam pada itu, Ebby bersyukur kerana banyak menerima bantuan daripada orang perseorangan, rakan artis dan beberapa kenamaan yang tidak mahu nama mereka didedahkan.

    Malah ada juga peminat dari Singapura yang mewakili kelab di sana turut memberikan sumbangan kepadanya untuk membina kembali rumah baharunya itu.

    “Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberikan sumbangan kepada saya sejak dahulu.

    “Jasa anda tak mungkin saya dapat balas. Apa sahaja bantuan saya amat hargainya dan ucapkan terima kasih sekali lagi,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Ebby yang sebelum ini diserang sakit paru-paru mengakui sudah semakin pulih dan boleh bekerja seperti biasa.

  • Bomba tumpang orang awam ke lokasi kemalangan maut

    Bomba tumpang orang awam ke lokasi kemalangan maut

    BIASANYA orang awam akan meminta bantuan pihak bomba, namun lain pula dengan apa yang berlaku di Luasung Jalan Imbak Canyon, Kalabakan, Tawau, semalam.

    Sepasukan anggota bomba terpaksa menumpang kenderaan orang awam sejauh 50 kilometer selepas jentera mereka tidak dapat melepasi laluan berlumpur.

    Ketika itu, mereka dalam perjalanan ke operasi mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan dalam kejadian di jalan berkenaan.

    Mangsa kemalangan, Jamaludin Raga, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai akibat kecederaan parah selepas tersepit di bahagian hadapan lori 10 tan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.05 petang.

    “Seramai sembilan anggota bersama tiga jentera serta lapan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan bergegas ke lokasi sejauh 84 kilometer.

    “Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah lori 10 tan yang terbabas sendiri dan terbalik di bahu jalan serta terdapat seorang mangsa yang tersepit.

    “Jentera bomba mengalami kesukaran untuk tiba ke lokasi kerana keadaan jalan yang berlumpur dan sempit. Sementara menunggu bantuan kenderaan pacuan empat roda bomba tiba, anggota terpaksa mengambil inisiatif menumpang kenderaan pacuan empat roda orang awam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Julius turut dimaklumkan bahawa tiada liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan rangkaian telefon bimbit di lokasi kejadian.

    “Pasukan bomba bersama PBS Kalabakan dapat mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas tetapi disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Penumpang mengamuk, pesawat mendarat cemas

    Penumpang mengamuk, pesawat mendarat cemas

    SEORANG penumpang lelaki dalam sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari New York ke Orlando, Florida dikatakan mengamuk dan mengugut mahu membunuh semua penumpang dan menyebabkan pesawat tersebut terpaksa membuat pendaratan cemas di Carolina Utara.

    Pesawat Frontier Airlines dengan nombor penerbangan 1335 itu berlepas dari Lapangan Terbang LaGuardia di Bandar Raya New York dan menuju ke Orlando pada malam Rabu lalu.

    Lelaki terbabit difahamkan secara tiba-tiba mengamuk dan menjerit sebelum dia dikelilingi oleh penumpang lain yang cuba mengikatnya pada kerusi.

    Menurut seorang penumpang lain dalam pesawat tersebut, dia memberitahu stesen televisyen WTVD bahawa lelaki yang identitinya tidak diketahui itu mengancam untuk mencederakan seorang bayi dan mengaku mahu membunuh semua penumpang di dalam pesawat tersebut.

    Lelaki tersebut juga dilaporkan menuduh seorang wanita sebagai cuba untuk mencuri asid deoksiribonukleik (DNA) miliknya dengan menggunakan picagari.

    “Jangan, lepaskan saya. Tidak!” jerit lelaki berkenaan seperti yang dapat didengari menerusi sebuah rakaman video kejadian yang tular di Twitter.

    Selain itu, dapat didengari seorang penumpang lain yang turut menjerit meminta orang ramai untuk mengikat lelaki tersebut.

    Bagaimanapun, penerbangan Frontier Airlines itu akhirnya terpaksa membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham di Carolina Utara, di mana lelaki berkenaan dibawa pasukan keselamatan untuk disoal siasat.

    Pesawat tersebut juga dikatakan ditahan seketika selama dua jam sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Orlando. 

  • Perhilitan Pahang, Perak kesan tapak kaki Pak Belang di Cameron Highland

    Perhilitan Pahang, Perak kesan tapak kaki Pak Belang di Cameron Highland

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERISAUAN penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Ubi, Cameron Highlands, Pahang mengenai kehadiran harimau belang di kampung tersebut, Khamis lalu, hampir menjadi kenyataan.

    Ini kerana, menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md. Yasin, hasil siasatan dijalankan, pihaknya berjaya menjumpai kesan tapak kaki harimau belang pada jarak satu kilometer (km) dari perkampungan berkenaan.

    Justeru katanya, kakitangan Perhilitan Pahang dan Perak kini sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya, lapor Sinar Harian.

    Menurut Rozidan, ia dilakukan bagi memastikan harimau belang itu kembali ke habitatnya disamping tidak mengancam penduduk di kampung tersebut.

    Sebelum ini tular rakaman video berdurasi 26 saat berhubung penemuan seekor harimau belang yang dikatakan dikesan di kawasan Cameron Highlands, Pahang, dua hari lalu.

    Ia merupakan video kedua tular selepas video pertama sekitar seminggu lalu di mana seekor harimau belang dikatakan berkeliaran di sekitar jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

    Difahamkan harimau belang berkenaan dipercayai dari hutan simpan berhampiran dan kemungkinan tersesat di kawasan berkenaan ekoran mengejar haiwan buruan.