SEBANYAK 169,710 atau 4.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.
PICKids dilancarkan 3 Feb lepas dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.
Sementara itu, berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,258,893 atau 56.4 peratus populasi dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak COVID-19, setakat semalam.
Sejumlah 22,936,644 individu atau 97.5 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,212,859 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,795,507 individu atau 89.8 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,874,510 atau 92.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Vaksinasi harian semalam menyaksikan 118,875 dos vaksin diberikan meliputi 35,441 dos pertama, 649 dos kedua dan 82,785 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65,042,686 dos.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 11 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu lima kes, diikuti Johor dengan empat kes, manakala satu kes masing-masing direkodkan di Kelantan dan Pahang. – Bernama
SEORANG lelaki berusia 36 tahun iaitu bapa kepada dua beradik yang maut akibat memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi semalam, ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, bapa kanak-kanak itu yang berasal dari Myanmar ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Selain itu dia turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen masuk ke negara ini.
“Polis turut melakukan ujian urin terhadapnya dan dia didapati positif dadah. Sehubungan itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam Warta Rakyat melaporkan mengenai kematian dua kanak-kanak berusia empat dan dua tahun dipercayai tidak lama selepas mereka menjamah sisa makanan dari tong sampah.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.40 petang dengan kanak-kanak tersebut didakwa ditemukan dalam keadaan terhuyung-hayang oleh bapa mereka dan mulut kedua-duanya berbuih.
Shariman memaklumkan, mayat dua beradik itu akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat, hari ini.
KERAJAAN Thailand merancang membuka semula sempadan Thailand-Malaysia bulan depan terutama dalam merangsang sektor pelancongan dan ekonomi di wilayah selatan.
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha sudah mengarahkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) serta pusat operasi kecemasan pelancongan dan sukan untuk menggariskan langkah mitigasi pandemik bagi pembukaan semula pusat pemeriksaan sempadan di Songkhla, Yala , Narathiwat dan Satun.
Memetik laporan Bangkok Post, berikutan dasar kerajaan untuk membuka gelembung perjalanan dengan Malaysia, pelancong dari negara jiran akan dibenarkan masuk di bawah skim ‘Test and Go’ tanpa kuarantin ketika ketibaan.
Bagaimanapun, pelawat masih perlu lulus dua ujian RT-PCR selepas tiba di Thailand.
Timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek berkata, Perdana menteri yakin Thailand akan kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia walaupun berdepan pandemik.
“Kerajaan akan menyokong usaha untuk menggiatkan semula pelancongan dengan penekanan pada kesihatan dan keselamatan awam,” kata Rachada memetik laporan Agensi, hari ini.
Inspektor Jeneral yang bertugas di zon kesihatan awam 12, Dr Suthep Phetmak, berkata situasi COVID-19 di Malaysia dan Thailand adalah sama.
Pada 12 Februari lalu, terdapat kira-kira 20,000 kes baharu. Agensi kesihatan awam menjangkakan risiko pembukaan semula sempadan adalah rendah.
Sebelum pembukaan semula, agensi kerajaan akan menyediakan proses imigresen, ujian, hotel dengan standard SHA+ dan perniagaan dengan Tetapan Bebas COVID, termasuk pengangkutan awam, lokasi pelancongan, restoran dan pusat beli belah, katanya.
MALAYSIA dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin berkata, pembukaan semula sempadan secara terancang yang disyorkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing.
“Kerajaan perlu mencontohi pendekatan diambil New Zealand, Australia, Indonesia dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektorsektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.
“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, dalam hal itu ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal berkuat kuasa 18 Mac ini mampu memainkan peranan membolehkan gelembung perjalanan pelbagai hala di rantau ini berjalan lancar dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara.
Pembukaan semula sempadan negara juga katanya, perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.
“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Justeru katanya, MASA menyokong syor pembukaan semula sempadan negara tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pada masa yang sama katanya, MASA menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.
SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia di bawah runtuhan lantai bilik tidurnya di Kuching, petang semalam.
Kejadian menimpa lelaki berkenaan yang berusia 58 tahun dipercayai sudah berlaku beberapa hari lalu.
Insiden tersebut disedari abang mangsa setelah beberapa hari gagal menghubunginya sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Pihak polis kemudian menghubungi Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak pada pukul 2.56 petang untuk meminta bantuan.
Menurut jurucakap bomba, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi di Star Garden.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati lantai bilik tidur yang terletak di tingkat satu telah runtuh dan terdapat seorang lelaki berumur 58 tahun berada di bawah runtuhan berkenaan.
“Pihak bomba membongkar timbunan peralatan dalam runtuhan tersebut dan berjaya menemui mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lepas.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut setelah operasi selesai pukul 4.28 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
TINDAKAN sebuah tiga nelayan warga Myanmar menceroboh ke perairan negara ini untuk menangkap ikan membawa padah apabila bot mereka ditahan berhampiran Pulau Terong, Kuala Kurau, malam kelmarin.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau mengesan pergerakan mereka pada kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Terong pukul 8.10 malam lalu menahannya.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, tangkapan dilakukan bot Maritim Malaysia yang membuat rondaan rutin selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berumur lingkungan 24 hingga 29 tahun.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.
Mohd. Sharenliza berkata, pemeriksaan turut menemukan 150 kilogram ikan campur.
Ekoran itu, katanya kesemua kru bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan campur dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Dua beradik meninggal dunia selepas kedua-duanya dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi, petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 petang apabila bapa k mereka yang dikenali sebagai Jamaludin, 36, ternampak anak-anaknya berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang.
“Melihat keadaan itu, Jamaludin mengangkat kedua-dua anaknya iaitu Nizambudin, 4, dan Ngei, 2, ke rumah jiran. Ketika itu, mulut kedua-duanya didapati berbuih.
“Dalam beberapa minit, didapati anak-anaknya sudah tidak bernafas. Sehubungan itu penduduk kampung menghubungi pihak polis bagi melaporkan mengenai kejadian itu,” katanya.
Shariman menambah, siasatan awal mendapati Jamaludin yang berasal dari Myanmar bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja-kerja kampung.
“Mereka tiada rumah tetap dan hanya menumpang di rumah jiran. Kanak-kanak yang meninggal dunia itu dipercayai memakan sisa makanan di tong sampah berhampiran,” katanya.
Katanya, pengesahan kematian kedua-dua anak Jamaludin dibuat oleh kakitangan Hospital Sultanah Maliha (HSM).
“Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Unit Forensik HSM untuk saringan ujian Covid-19 sebelum dibedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
TIMBALAN Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching bersedia bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) sekiranya dicalonkan oleh partinya.
Memetik laporan Bernama, beliau menyerahkan sebarang keputusan berhubung perkara itu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Kepimpinan DAP ada berpandangan bahawa Ahli Parlimen boleh dicalonkan sebagai calon PRN Johor. Tetapi setakat ini, tiada keputusan muktamad (untuk saya menjadi calon) jadi saya bersedia mengikut arahan parti untuk bertanding.
“Kalau parti rasa saya perlu dicalonkan, saya akan ikut,” kata Ahli Parlimen Kulai itu ketika ditemui selepas meninjau projek baik pulih kemudahan awam di Taman Eko Rimba, Gunung Pulai di Kulai, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, DAP kini berada pada peringkat akhir bagi menentukan baki calon yang bakal bertanding pada PRN Johor yang dijadualkan pada 12 Mac depan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Pilihan Raya DAP Johor itu berkata nama-nama calon itu dijangka diumumkan minggu hadapan.
Setakat ini, DAP telah mengumumkan empat calon yang akan bertanding iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri Tangkak, Paloh, Mengkibol dan Penggaram.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.
KES keganasan rumah tangga dan kes jenayah seksual meningkat di seluruh negara pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, bagi kes keganasan rumah tangga mencatatkan 7,468 kes dicatatkan pada 2021 berbanding 5,260 kes pada 2020.
Jelas beliau, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 2,208 kes atau 42 peratus sepanjang pada tahun lalu.
Katanya, turut mencatatkan peningkatan ialah kes jenayah seksual yang merekodkan 3,271 kes pada 2021 berbanding 3,177 kes pada 2020.
“Keadaaan ini didorong perubahan norma baharu kehidupan akibat berlakunya pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan serta aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana itu memberi impak bukan sahaja pada tingkah laku seseorang bahkan terhadap emosi dan kesihatan mental juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian itu, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff pada Majlis Pelancaran Skuad Waja Johor di Johor Bahru, hari ini.
Katanya, berdasarkan situasi semasa itu pihak kementerian mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Waja (Skuad Wanita Anti Jenayah) yang berperanan sebagai ‘first responder’ dan pendengar yang baik.
Menurutnya, sejak skuad tersebut dilancarkan pada tahun lalu sehingga 3 Februari tahun ini, seramai 123,721 individu di seluruh negara mendaftar sebagai sukarelawan.
Jelasnya, peranan skuad tersebut adalah menyantuni dan membantu komuniti bagi mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk.
Hasil daripada pelaksanaan skuad tersebut katanya, sebanyak 945 kes telah berjaya dibimbing manakala seramai 6,837 individu berjaya disantuni menerusi program psikososial.
“Saya juga difahamkan bahawa seramai 5,331 individu telah dibantu oleh Skuad Waja dari seluruh negeri menerusi Misi Skuad Waja Santuni Mangsa Banjir,” katanya.
Rina berkata, pelaksanaan skuad itu di Johor mendapat penglibatan seramai 8,886 ahli yang berdaftar melibatkan 8,727 wanita dan 159 lelaki.
Ahli Skuad Waja Johor ujarnya, turut bergiat aktif dengan menyantuni komuniti dan mangsa yang memerlukan dengan seramai 1,113 orang telah dibantu dan disantuni melibatkan 84 program psikososial.
“Sebanyak 52 kes juga telah dilaporkan dan dibantu merangkumi kes keseimbangan, kewangan, kemahiran dan kepimpinan,” katanya.
SALAH satu dari penegasan yang masih segar dalam ingatan kita ialah pesanan almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemimpin-pemimpin PAS, apabila berceramah jangan sekali-kali lupa untuk mengemukakan nas atau dalil Al Quran sebagai asas kepada point-point ceramah.
Almarhum Ustaz Yahya Othman ketika menyampaikan tausiahnya kepada pemuda-pemuda PAS dalam satu siri Ijtimak Tarbawi anjuran pemuda PAS, almarhum menegaskan pemimpin PAS mesti menjadikan asas ceramahnya di pentas politik adalah berdasarkan Al-Quranul Karim.
Sebagaimana difahami oleh semua, bahawa PAS adalah merupakan sebuah gerakan Islam dan politiknya adalah berteraskan dakwah. Dalam erti kata lain, pentas politik PAS adalah pentas PAS untuk berdakwah menyampaikan risalah Islam kepada ummah.
NASRUDIN HASSAN (Gambar: Facebook)
PAS mesti berbeza dengan parti politik biasa. Berbeza dengan sebuah parti yang berorientasikan politik semata-mata. Berbeza dengan parti yang menjadikan pentas pidatonya hanya untuk membelasah dan memaki hamun lawan politiknya.
Pentas pidato atau ceramah PAS adalah medan untuk membina pemikiran ummah agar memahami Islam yang syumul lantas menyedarkan mereka dari kealpaan sehingga menggamit mereka menyokong lalu menyertai perjuangan Islam.
Sarana penyampaian ceramah PAS dimedan politik adalah untuk menarik sokongan masyarakat dan melunakkan pemahaman mereka terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
Boleh berintonasi dengan nada membakar semangat pejuang serta membangkitkan kesedaran masyarakat berasaskan petunjuk al-Quran dan Sunnah.
Namun jangan sekali-kali mencerca dan mempersenda pihak lain secara terbuka dengan perkataan dan nada yang tidak sesuai atau tidak selayaknya sebagai seorang pejuang dan pemimpin Islam.
Pentas pidato PAS bukan medan melampiaskan amarah pada lawan politik. Juga bukan medan laga untuk menunjuk jaguh. Tetapi adalah medan untuk menyuarakan kebenaran Islam dan mempamerkan keindahan syariat.
Ia juga merupakan medium untuk PAS menjelaskan apa yang diperjuangkan oleh PAS, apakah tawaran PAS kepada masyarakat melalui perjuangan yang didukung. Bagaimana PAS mempraktiskan Islam dalam pemerintahan dan kenapa masyarakat perlu memberi sokongan kepada perjuangan PAS.
Antara prinsip PAS dalam gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ialah mengelak politik retorik. Jauh sekali bercakap besar dan kasar serta berlagak angkuh di depan khalayak.
Sebaliknya kita diajar oleh Islam yang dititip melalui usrah, tamrin, ijtimak tarbawi dan lainnya yang telah kita lalui dalam tarbiyah PAS agar kita sentiasa tenang, matang, sabar, lunak, berjiwa besar, sopan santun, berkarisma dan 1001 sikap serta sifat yang positif.
Kita ceramah adalah untuk tarik sokongan orang ramai kepada perjuangan Islam bukan untuk menyemarak rasa benci dan marah mereka kepada PAS dan perjuangan yang dibawa.
Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka dan mohonlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.