POLIS menyerbu sebuah rumah yang dipercayai digunakan sebagai makmal memproses dadah oleh sindiket pengedaran yang aktif sejak Jun tahun lalu, di Meru Raya, Ipoh, Perak
Kegiatan sindiket itu terbongkar susulan beberapa operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Perak dengan kerjasama Bukit Aman.
Harian Metro melaporkan, hasil serbuan, polis menahan enam lelaki dan merampas dadah jenis heroim seberat 9.42 kilogram (kg), serta 1.14 kg syabu dengan nilai keseluruhan RM167,268.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata semua suspek berusia antara 21 hingga 39 tahun ditahan melalui lima serbuan sekitar Perak dan Negeri Sembilan, pada Ahad dan Isnin lalu.
Beliau berkata, hasil siasatan modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menjadikan rumah sebagai makmal untuk memproses dadah.
“Selain rampasan heroin dan syabu, kita turut merampas bahan kimia dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
“Hasil maklumat, heroin dan syabu yang diproses sindiket ini adalah untuk pasaran tempatan, yang mana jumlah dadah dirampas boleh menampung keperluan 52,800 penagih,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, semua suspek direman enam hari bermula Isnin lalu hingga 19 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya, saringan awal mendapati dua suspek positif dadah jenis ganja dan opiate, dengan semuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Selain rampasan dadah, tindakan juga diambil mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan sitaan pelbagai aset milik sindiket yang dianggarkan bernilai RM181,500, meliputi lima kenderaan serta dua barangan kemas.
“Justeru nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM348,768 dan kita akan teruskan usaha mengesan saki-baki anggota sindiket ini,” katanya.
SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah pejabat di jeti nelayan, Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang, Bagan Datuk, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Zulkafle Abdullah berkata, mangsa, Eng Ching Hoe, 43, yang melecur di anggota badan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Katanya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 7.26 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati ada kesan peratusan kecil kebakaran struktur pejabat. Pemadaman telah dilakukan orang awam dengan menggunakan hos air domestik.
“Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki dalam keadaan melecur dan tidak sedarkan diri. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, punca kejadian masih disiasat oleh Pasukan Forensik Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar kembali Pakatan Harapan (PH) untuk memboikot Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak mengganggu undi anti-Barisan Nasional (BN).
Beliau mengembalikan cabaran yang sebelum ini dibuat oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad agar Perikatan Nasional (PN) memboikot PRN tersebut.
Wan Saiful turut mencadangkan agar PH memboikot PRN tersebut sehingga dapat menyelesaikan masalah dalaman mereka dan membiarkan PN yang tidak mempunyai masalah bertanding serta menang sebelum mentadbir Johor.
“Kalau dia berpandangan macam itu apa kata PH yang boikot, biar semua orang undi kita. PH di Johor, kalau tengok betul-betul, realitinya peluang untuk menang besar kerusi yang banyak adalah DAP.
“Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya tidak nampak sangat pegnaruh mereka di Johor. Amanah bergantung kepada undi DAP dan PKR pula berpecah, jadi PH ada cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti, Iskandar Puteri, malam tadi.
Mengenai status bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain merangkap Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi yang didakwa terlibat dengan kes gangguan seksual, Wan Saiful berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak polis.
“Bersatu menyerahkan kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan berhubung kes itu. Keputusan untuk mengenakan tindakan lanjut berkaitan kes tersebut akan diputuskan selepas siasatan selesai.
“Keputusan sama ada Rasman kekal mempertahankan kerusi disandangnya juga akan diputuskan semasa pengumuman calon minggu depan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, senarai calon PN untuk PRN Johor akan diumumkan selepas majlis pelancaran jentera PRN Johor di Kota Tinggi pada 18 Februari ini.
Jelas Wan Saiful, sepatutnya senarai calon tersebut diumum PN pada minggu lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin positif Covid-19.
“Kita sudah ada tarikh yang sesuai untuk pengumuman calon. Kerusi-kerusi sudah diputuskan pembahagian yang dipersetujui semua parti komponen PH, cuma ada satu dua kerusi lagi dalam perbincangan akhir.
“Calon-calon PN terdiri daripada anak muda, wanita, muka baharu dan mereka yang bersih. Mereka melalui proses tapisan yang ketat supaya nanti calon-calon kita tidak diragui kredibiliti dan integritinya,” katanya.
KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berikrar Perikatan Nasional (PN) akan berjuang habis-habisan sekali gus menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor medan untuk menguburkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, cubaan UMNO dan BN untuk ‘membunuh dan menguburkan’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti itu adalah strategi pembunuhan karakter yang sedang dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
“Kita faham bahawa kehendak UMNO adalah kuburkan Bersatu di negeri Johor tetapi di peringkat kita pula, kita nak UMNO dikuburkan di mana parti itu dilahirkan.
“Apa yang UMNO lakukan ketika ini adalah ‘character assassination’ (pembunuhan karakter), bagi mereka disebabkan Presiden UMNO seorang yang diragui kredibiliti yang sedang menghadapi pelbagai kes mahkamah dalam keadaan takde pilihan, itulah presidennya yang dia ada.
“Dia terpaksa pastikan presiden parti lain jugak dianggap tidak bersih. Jadi saya tidak pelikla UMNO dan BN ini, strategi dia untuk ‘character assassination’ sebab tiada ada pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti di Iskandar Puteri, malam tadi.
Wan Saiful mengulas mengenai dakwaan UMNO akan menjadikan PRN Johor sebagai medan untuk Muhyiddin dan Bersatu berkubur.
Katanya, tindakan pembunuhan karakter yang dilakukan UMNO itu adalah tindakan terdesak kerana Muhyiddin mempunyai rekod bersih.
“Macam saya cakap dalam ceramah saya tadi, kalau ditampal gambar (Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi dengan Tan Sri (Muhyiddin Yassin), saya rasa orang akan gelak bila buat perbandingan itu.
“Jadi ini peluang kita dan ini peluang rakyat untuk menunjukkan pada UMNO yang sudah tu sudahla. Kita dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) fokus untuk pastikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata, rakyat tidak mahu serta menolak parti atau gabungan yang diragui integritinya dan tidak mahu kerajaan yang hanya tahu membina kekayaan untuk diri dan keluarga mereka.
Disebabkan itu katanya, rakyat perlu menolak UMNO dan BN dalam PRN Johor dengan mengundi PN untuk sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan mempunyai integerti demi masa depan mereka.
TINDAKAN seorang lelaki menyamar dan mengaku sebagai anggota polis dengan menghantar rakaman video yang menunjukkan sepasang gari dengan niat menakutkan seorang lelaki membawa padah apabila mangsa membuat laporan polis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video tersebut dengan niat untuk menakutkan mangsa serta meminta mangsa menghormatinya ekoran masalah yang dihadapi mereka sebelum ini berkaitan isu rumah sewa.
Jelas beliau, suspek berusia 30-an berasal dari Sungau Petani, Kedah itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman serta sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Telefon bimbit dan gari yang dirampas.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (Menyamar sebagai penjawat awam) yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Memiliki peralatan polis tanpa kebenaran) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihati agar tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai seorang penjawat awam kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindakan dari sudut undang-undang,” katanya.
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menafikan ada mengeluarkan kenyataan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) menolak pencalonan Dr. Maszlee Malik sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang Layang.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Muda menjelaskan kenyataan tersebut adalah palsu dan dibuat mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Harap semua pihak media tidak melaporkan kenyataan palsu ini. Kenyataan rasmi Muda akan dikongsi kami sendiri terus kepada pihak media,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan tersebut tular dalam media sosial yang memaparkan satu kepala surat dengan logo PH dan Muda menolak pencalonan Dr. Maszlee di kerusi DUN Layang Layang.
Menerusi kenyataan palsu tersebut yang bertarikh 15 Februari turut disertakan nama Setiausaha DAP Johor, Chen Kah Eng, Naib Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz.
Kelmarin, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas Menteri Pendidikan diumumkan sebagai calon kerusi tersebut bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan zon tengah.
SECARA tiba-tiba Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ‘membidas’ Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yasssin.
Bekas Timbalan Perdana Menteri yang diarah oleh Mahkamah Tinggi membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi itu berkata, Muhyiddin kekurangan idea untuk memulihkan ekonomi negara.
“Saya tidak pasti sama ada MPN akan memulihkan negara kita atau barangkali negara sebenarnya yang perlu memulihkan MPN. Dalam hal ini (memulihkan ekonomi), mereka yang menggalas tanggungjawab untuk mengepalai MPN wajib melihat semua ini sebagai satu keperluan mendesak. Carilah idea besar untuk membawa keluar negara kita daripada belenggu ekonomi dan trauma pandemik. Berhentilah menyalahkan semua pihak,” kata Ahmad Zahid dalam Facebook.
Penulis tidak pasti kenapa Ahmad Zahid ‘menyerang’ Muhyiddin. Adakah ia ada kaitan dengan PRN Johor kerana khabarnya, populariti bekas Perdana Menteri itu jauh mengatasi Ahmad Zahid?
Tetapi apa yang pasti, Ahmad Zahid boleh dianggap membuat kenyataan yang menampakkan hakikatnya beliau sendiri ‘kekurangan idea’ untuk bercakap soal ekonomi. Kalau setakat memetik beberapa berita berkaitan ekonomi negara jiran, Indonesia, rasanya pelajar universiti pun boleh berbuat demikian.
Kata Ahmad Zahid, baru-baru ini Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno, telah berkongsi di halaman Instagramnya petikan berita “Bye-Bye Malaysia-Thailand, Ekonomi RI Sudah Pulih Duluan” yang dilaporkan portal Detik Finance 10 Feb lalu.
“Secara ringkasnya ia menunjukkan Indonesia sudah keluar daripada belenggu kelembapan ekonomi dan berada dalam jajaran kedudukan sebelum pandemik. Keadaan itu sekali gus meletakkan Indonesia sebagai negara Asia tenggara yang berikutnya menyusul langkah Singapura, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat,” katanya
Kata Ahmad Zahid, kejayaan Indonesia bangkit itu disebabkan kerajaannya yang stabil dan kuat bagi membuat banyak keputusan besar dengan berkesan.
SEKEJAP! SEKEJAP!…sebelum Ahmad Zahid ‘membebel’ dengan lebih jauh lagi soal kestabilan, penulis mahu ingatkan beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin sudah menegaskan;
‘’ Kita dah tunjuk (buktikan) kerajaan ini stabil, saya sendiri Perdana Menteri UMNO dan disokong oleh rakan-rakan parti yang lain,”
Maknanya kestabilan sudah ada selepas ia digugat oleh tindakan penarikan sokongan oleh 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Ahmad Zahid kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan.
Penulis faham, Ahmad Zahid mungkin sebelum ini tidak ada masa untuk membaca berita memandangkan beliau terpaksa berulang alik ke mahkamah bagi menghadiri kes rasuah dan salah kuasanya tetapi mungkin pembantu-pembantu beliau boleh memaklumkan kepada beliau apa yang dilakukan oleh MPN dalam memulihkan ekonomi negara.
Paling terbaru, Muhyiddin memaklumkan MPN bersetuju dengan cadangan supaya pintu sempadan negara dibuka bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.
Pengumuman bekas Perdana Menteri itu mendapat reaksi positif daripada pakar ekonomi, pemain industri malah Bursa Saham juga menunjukkan reaksi yang sama. Bagaimanapun Ismail Sabri memaklumkan pembukaan sempadan negara pada 1 Mac seperti disyorkan MPN belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut.
Cadangan MPN itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.
Katanya, perkara itu juga bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar, selain keupayaan kerajaan dalam mengatasi COVID-19 dan varian Omicron.
Itulah antara usaha yang dilakukan oleh MPN untuk memulihkan ekonomi tetapi apa boleh buat Perdana Menteri sudah membuat ketetapan demikian.
Mungkin Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO boleh meminta kerajaan mempercepatkan pembukaan sempadan memandangkan ‘’bukankah kita harus belajar hidup bersama Covid-19 dan menuju ke fasa endemik’ sehinggakan PRN Johor tidak perlu ditangguhkan biarpun kes mencecah melebihi 20,000’?.
Selain itu Ahmad Zahid rajin-rajinlah buka link di bawah untuk mengetahui bagaimana MPN mengemukakan syor kepada kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi dalam mesyuaratnya pda 17 Disember lalu.
Muhyiddin berkata, tiga syor itu dibuat selepas meneliti tiga pembentangan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin dan Jawatankuasa Tindakan Khas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah, berkaitan suntikan dos penggalak, bantuan kepada sektor PKS serta isu kekurangan tenaga kerja.
Syor pertama, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan COVID-19 kendiri dan mendapatkan suntikan dos penggalak sebagai langkah berwaspada dalam penularan virus COVID-19.
Syor kedua, setelah meneliti cadangan-cadangan Jawatankuasa Tindakan Khas PKS ini dan secara dasarnya, majlis bersetuju supaya ia disusuli lebih lanjut, malah berpandangan bahawa cadangan-cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang kritikal.
Syor ketiga pula, isu kekurangan tenaga kerja sering dibangkitkan, maka majlis mengesyorkan agar pengambilan tenaga pekerja asing juga perlu diperluaskan untuk sektor-sektor ekonomi, selain peladangan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang sudah dibuka semula ini dapat beroperasi dengan kapasiti pra-pandemik.
Sebenarnya ada beberapa lagi mesyuarat MPN yang dipengerusikan oleh Muhyiddin dalam usaha memulihkan ekonomi negara justeru apabila Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin kekurangan idea bagi memulihkan negara, rasanya Ahmad Zahid yang ‘kekurangan maklumat’ dan ‘’kekurangan masa’ untuk mengetahui apa yang dilakukan oleh MPN.
Sudah pasti mereka mempunyai pandangan dan idea bagaimana hendak memulihkan negara tetapi segala cadangan atau syor boleh dilaksanakan atau tidak, ia terserah kepada kerajaan…kalau dalam bab keluarkan RM10,000 simpanan KWSP, Ahmad Zahid bagai ‘nak rak’, tak kanlah beliau tidak boleh memainkan peranan untuk meminta Perdana Menteri melaksanakan syor-syor oleh MPN termasuk paling penting pembukaan semula sempadan?
Kalau Ahmad Zahid rasa UMNO mempunyai pandangan bagaimana mahu memulihkan ekonomi, kemukakan sahaja kepada Perdana Menteri yang juga daripada parti itu.
Lagi ramai memberi idea, lebih cepat kita memulihkan ekonomi negara, tetapi malangnya kita berada dalam ‘wabak’ politiking yang tidak berkesudahan sehingga MPN pun mahu dipolitikkan walaupun dalam setiap mesyuarat pasti ada menteri-menteri UMNO ‘yang hebat-hebat’ menghadirinya – adakah apabila Ahmad Zahid kata, Muhyiddin ‘kekurangan idea’, menteri-menteri itu juga ‘kekurangan idea’?
Penulisan berpendapat, tidak payahlah Ahmad Zahid cuba mencari kesalahan Muhyiddin lagi, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana bukankah Ahmad Zahid berkata, ‘’ UMNO, BN sedang melakukan kebangkitan’’?, Jadi sama-samalah kita lihat sejauh manakah kebangkitan itu kerana bimbang jugak nanti ‘UMNO sudah pulih, pemimpin parti itu pula yang harus dipulihkan’.
SEORANG pesakit mental bertindak melulu apabila menumbuk dan menendang bapa tirinya setelah warga emas tersebut enggan memberikannya wang untuk membeli dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Superitendan Shahnaz Akhtar Haji, kejadian di Kampung Ruat, Yan, Kedah itu berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi dengan suspek yang berusia 29 tahun dikatakan masuk ke rumah lalu meminta duit untuk membeli dadah daripada bapa tirinya berumur 72 tahun.
Katanya, mangsa dikatakan enggan mengikut kehendak anak tirinya itu menyebabkan suspek menjadi marah lalu menumbuk belakang kepala sebelah kiri warga emas berkenaan.
“Selepas ditumbuk, suspek duduk di luar rumah bersama isterinya. Suspek bagaimanapun tiba-tiba mendekati mereka berdua lalu menendang belakang warga emas tersebut dengan memakai kasut getah.
“Susulan itu mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Yan. Pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan antaranya bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk suspek,” katanya,
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek merupakan pesakit mental dan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Difahamkan anak tiri pengadu merupakan penagih tegar dan sering memukul mangsa sekiranya warga emas tersebut enggan memberikan duit kepadanya untuk membeli dadah.
Shahnaz menambah, suspek kemudiannya ditahan kira-kira pukul 6.45 petang tadi di Lubuk Boi, Yan.
“Siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012,” katanya.
SELEPAS Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kini sebuah lagi parti turut mengumumkan akan bertanding.
Kali ini, Parti Warisan Sabah (Warisan) pula mengesahkan akan meletak calon mereka pada pilihan raya itu susulan pelancaran parti itu di negeri ini, sebentar tadi.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang memaklumkan perkara itu ketika berucap berkata, tidak ada salahnya jika kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.
“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi sebaliknya semua kaum. Jika pemimpin UMNO boleh datang dari Bagan Datuk, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong serta Koordinator Johor, Datuk Sunther Subramaniam dan Wong Siew Poh.
Menurut Mohd. Shafie, Warisan bukan sahaja mahu bertanding PRN Johor dan menubuhkan kerajaan negeri, tetapi juga mahu tubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Saya telah bekerjasama dengan semua pemimpin politik di negara ini, ketika bersama UMNO selama lebih 30 tahun, saya bekerja bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain.
“Kemudian enam tahun ketika bersama Pakatan Harapan (PH), saya juga telah bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, jadi saya tahu dan kenal mereka semua.
“Saya yakin Warisan adalah pilihan terbaik buat masyarakat negara ini dalam menubuhkan kerajaan yang akan membela mereka, kita mahu tubuhkan kerajaan,” ujarnya.
SEGELINTIR pemimpin UMNO dilihat cuba bermain wayang apabila seringkali berkeras mengatakan keputusan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kali kedua adalah keputusan terdesak Perdana Menteri.
Menurut Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri yang mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tiada hasrat untuk menbenarkan pengeluaran i-Citra KWSP kali kedua.
“Bagaimana ada sebahagian pemimpin UMNO berkeras menyebut ia keputusan ‘tanpa rela’ Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan yang pernah dikeluarkan Perdana Menteri pada 26 Disember tahun lalu berkenaan isu berkenaan.
Dalam kenyataan itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.
“Akuilah hakikatnya Perdana Menteri dari UMNO sendiri sebenarnya tidak bersedia laksanakan keputusan ini. Kenapa masih bermain wayang,” soal Ahmad Fadhli lagi.
Tegasnya lagi, beri ruang selesa kepada Perdana Menteri untuk buat pertimbangan berasaskan kemampuan kerajaan.
“Janganlah perlekehkan Perdana Menteri dari parti sendiri seolah-olah jadi ‘puppet’ semata-mata,” ujarnya.