Author: Admin

  • ‘Hilang kata-kata lihat rumah dibadai ribut’

    ‘Hilang kata-kata lihat rumah dibadai ribut’

    BELUM pun reda resah dan penat berdepan banjir yang melanda pada Januari lepas, hampir 30 buah rumah Kampung Belimbing Dalam, Melaka, sekali lagi diuji apabila dibadai ribut dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam.

    Tinjauan Bernama hari ini mendapati penduduk mula membersihkan rumah mereka sejak awal pagi tadi dan masih trauma dengan kejadian semalam yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut dan tidak kurang yang bimbang sekiranya ribut berlaku lagi dalam masa terdekat.

    Bagi Muhamad Nuruddin Salman, 31, beliau yang ketika itu sedang bekerja di Kuala Lumpur, bergegas pulang ke rumahnya apabila mendapat panggilan daripada seorang ahli keluarganya mengenai kejadian ribut tersebut.

    “Bila melihat keadaan rumah, memang saya hilang kata-kata. Hanya tinggal dinding rumah. Bumbung semua habis diterbangkan ribut.

    “Bagaimanapun, saya syukur apabila sampai, dua anak saya, sepupu dan makcik saya yang ada di dalam rumah ketika ribut selamat,” katanya yang menjelaskan sebelum ini rumahnya itu turut dinaiki air namun hanya di kawasan luar rumah. 

    Mengenai nilai kerosakan yang dialami, beliau yang bekerja sendiri itu masih belum dapat membuat anggaran kerana mahu membersihkan dahulu rumahnya itu.

    “Saya rasa nilai kerosakan lebih dari RM10,000. Selain bumbung, kebanyakan yang rosak adalah barangan elektrik serta tilam akibat hujan,” katanya yang akan memulakan kerja-kerja baik pulih dalam masa terdekat.

    Turut terkesan dalam kejadian ribut semalam, Salina Mohd Ali, 42, yang ketika itu baharu saja tiba di tempat kerjanya di sebuah kilang di Batu Berendam.

    “Memang sedih lihat rumah. Bumbung jenis zink dan genting di bahagian hadapan, ruang tamu dan tepi rumah, habis diterbangkan dan jatuh ke perkarangan rumah. Mujur dalam rumah tidak dimasuki air hujan dan barang-barang masih selamat.

    “Atas faktor keselamatan dan kerana elektrik pun masih belum ada, saya dan empat anak yang berumur sembilan hingga 17 tahun kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya yang sebelum ini juga berdepan bencana banjir.

    Dalam kejadian ribut semalam, kira-kira 70 buah rumah membabitkan dua buah daerah di Alor Gajah dan Melaka Tengah terjejas susulan hujan lebat yang berlaku lewat petang semalam.

    Bencana itu juga menyaksikan satu PPS di buka di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam yang menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga selepas kediaman mereka rosak teruk selain terputus bekalan elektrik. 

    Antara yang turut terjejas akibat ribut semalam adalah sekolah, kedai dan warung makan dan berlaku insiden pokok tumbang namun tiada kecederaan dilaporkan. – Bernama

  • Penggunaan logo pun tidak sehaluan, macamana nak wujud kestabilan politik

    Penggunaan logo pun tidak sehaluan, macamana nak wujud kestabilan politik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Ketua Pemuda MCA Johor, Tai Chee How membidas kenyataan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Muhammad Shakir Ameer bahawa kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) penting untuk permulaan kestabilan politik negara.

    Beliau yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai retorik dan tidak berpijak di bumi nyata kerana realitinya tidak menggambarkan situasi politik yang kini dihadapi PH dan Muda.

    “Melihat kepada situasi yang berlaku sekarang ini, ‘stabil’ bukanlah perkataan yang sesuai untuk ditakrifkan dalam kerjasama politik PH dan Muda. Ini jelas terbukti apabila mereka akan menggunakan logo berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Jika hal logo pun anda tidak sehaluan, bagaimana anda yakin kerjasama ini untuk kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semasa PRN Melaka, PH sebulat suara bersetuju menggunakan logo PH manakala dalam PRN Sarawak, parti komponen PH iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo masing-masing.

    Bagi PRN Johor pula katanya, Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH selepas PKR mengumumkan bertanding dengan menggunakan logo sendiri.

    “Keadaan ini membuatkan rakyat keliru. Parti mana yang memperjuangkan PH? Mengapa ia berbeza setiap kali pilihan raya berlaku,” soalnya.

    Beliau berkata, umum mengetahui, PKR dan Muda tidak sehaluan dalam rundingan pembahagian kerusi untuk PRN Johor dan itu dapat dibuktikan menerusi laporan media-media tempatan.

    Justeru katanya, adakah Pemuda Sosialis DAP berpendapat bahawa ‘kerjasama’ antara mereka itu boleh menstabilkan politik?

    “Atau Pemuda Sosialis DAP telah ‘mensisihkan’ PKR daripada PH dan tidak lagi menganggap mereka sebagai sebahagian daripada PH? Jika itu yang berlaku, saya sarankan agar Pemuda Sosialis DAP membuat kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut dan secara tidak langsung Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi Pengerusi PH supaya rakyat tidak lagi salah faham,” katanya.

    Chee How turut menekankan bahawa penyatuan dalam sesebuah pakatan merupakan perkara asas yang perlu ada sebelum mengorak langkah seterusnya dalam melaksanakan dasar, membangunkan pelan tindakan dan merancakkan ekonomi negara.

    “Kini jelas, PH tidak mempunyai perkara asas itu, mereka bukan sebuah pakatan yang bersatu-padu, jauh sekali untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan juga negara.

    “Sekali lagi saya menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP ini hanya retorik semata-mata dan pastinya ia mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk menarik minat pengundi muda sahaja,” katanya.

  • Polis berkas 9 ahli sindiket penipuan pelaburan dalam talian

    Polis berkas 9 ahli sindiket penipuan pelaburan dalam talian

    POLIS melakukan serbuan dan melumpuhkan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak sempat beroperasi sepenuhnya di sebuah kondominium mewah di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur, semalam.

    Semasa diserbu pihak polis mendapati sindiket berkenaan sedang menyediakan keperluan teknikal, pekerja dan peralatan untuk menjalankan aktiviti jenayah itu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, sembilan individu termasuk dua wanita warga China berusia 22 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan pukul 4.30 petang.

    “Pihak polis merampas satu set komputer, 15 unit telefon pelbagai jenama, satu unit router dan satu modem yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan pelaburan yang menyasarkan warga luar negara.

    “Kesemua individu ditahan reman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Mahidisham menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti yang mencurigakan agar menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • PSM bertanding bukan mahu pecah undi, tidak perkauman

    PSM bertanding bukan mahu pecah undi, tidak perkauman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Sosialis Malaysia (PSM) menafikan mereka bertanding hanya untuk memecah undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Timbalan Pengerusinya, S. Arulchelvan berkata, PSM mempunyai iltizam yang kuat serta mampu memberikan saingan dengan membawa isu-isu pekerja kolar biru yang sering dipinggirkan.

    “PSM bukan sekadar parti yang menunggu untuk menghadapi pilihan raya sahaja, parti kita telah lama berkhidmat dan mempunyai kelebihan yang ingin dibawakan. Kita membawa suara rakyat tidak berkemampuan.

    “Pekerja ladang, pemandu, petani dan pekerja pembersihan. Ini suara-suara rakyat yang tidak dipandang. Kita merupakan parti yang dekat dengan golongan ini.

    “PSM juga merupakan parti yang mempunyai pendirian, kita juga bukan parti yang mengamalkan perkauman, walaupun kita tahu PRN ini bukan pertandingan yang senang, kita tetap akan berjuang dengan pendirian yang kami ingin bawa,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dalam Majlis Pengumuman Calon PSM pada PRN Johor di bilik gerakan N49 PSM di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, malam tadi.

    SM menjadi parti politik terbaharu menyertai PRN Johor dengan mempertaruhkan calon, R. Arangkannal, 46 sebagai calon tunggal yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

    Pengumuman itu sekali gus menyaksikan PSM akan menyertai Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kerusi yang kini disandang Dzulkefly Ahmad daripada PH-Parti Amanah Negara (Amanah).

    Dalam pada itu, Arulchelvan berkata, PSM berjanji tidak akan membawa sentimen politik perkauman sama ada ketika bertanding pada PRN Johor mahupun setelah dipilih sebagai wakil rakyat.

    Arangkannal yang juga merupakan seorang penggiat seni berkata, perkara itu adalah matlamat dirinya untuk menampilkan PSM sebagai parti yang tidak menggunakan rasisme sebagai senjata utama.

    Beliau yang mesra dengan panggilan Ara itu berkata, PSM berserta aktivis mereka akan terus berjuang untuk memastikan tiada tempat untuk diskriminasi kaum di negara dan negeri ini.

    “Walaupun kita berbilang kaum tetapi semua adalah rakyat Malaysia dan PSM bukan sebuah parti berasaskan kaum, sebaliknya ia adalah parti yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum.

    “Saya juga berjanji untuk menentang isu-isu diskriminasi perkauman di negara ini, termasuklah perkauman terhadap golongan imigran,” katanya.

  • Khairuddin letak jawatan bagi elak krisis perlembagaan dalam PAS

    Khairuddin letak jawatan bagi elak krisis perlembagaan dalam PAS

    TINDAKAN Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meletak jawatan sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS adalah bagi mengelakkan berlaku krisis perlembagaan dalam parti itu.

    Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berbuat demikian demi menjaga keharmonian dalam PAS.

    Memetik laporan BH, beliau berkata, tindakan Jawatankuasa PAS Pusat menggugurkan beliau daripada Majlis Syura sebelum ini adalah tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti kerana ahli majlis itu tidak boleh dipecat oleh sesiapa, melainkan ahli itu meletak jawatan atau hilang kelayakan.

    “Justeru, kita kena betulkan perkara ini dan saya berbincang dengan Mursyidul Am PAS (Datuk Hashim Jasin), kemudian dipanggil satu mesyuarat Majlis Syura Ulama dan saya hadir sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura.

    “Pada mesyuarat itu, saya meletak jawatan secara rasmi bagi menjaga keharmonian parti dan untuk meraikan hasrat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mahu menghantar orang lain menjadi ahli Majlis Syura,” katanya.

    Mohd Khairuddin yang juga Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyiapan Seksyen 1 Pakej 10 dan 12, Loji Rawatan Air Langat 2 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd Khairuddin, semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulama PAS, yang dilakukan mengikut Fasal 8(7) dan Fasal 8(5) Perlembagaan PAS.

    Pada 11 Februari lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan, Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, selepas perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

    Beliau sebelum itu digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kerana dikatakan mempunyai masalah disiplin dan berkaitan perkara dalaman parti itu.

    Mengenai masalah disiplin itu, Mohd Khairuddin berkata, perkara itu perlu ditanyakan kepada Abdul Hadi dan beliau sebagai ahli, menerima semua keputusan yang dibuat parti, namun perlu dilakukan mengikut peraturan.

    Berhubung dakwaan yang beliau cenderung menyokong kerjasama PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN), berbanding dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN), yang mungkin membawa kepada penggugurannya sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Khairuddin berkata, perkara itu tidak benar dan beliau hanya berpegang kepada keputusan yang dibuat parti.

    “Pada 31 Disember tahun lalu, Majlis Syura Ulama menegaskan mengenai memperkasa PN dan MN, berbanding sebelum ini, pertahankan PN, perkasakan MN. Jadi, kita ada kewajipan kepada dasar yang dibuat ini dengan cara kita dan bukan cara orang lain.

    “Justeru, tiada istilah cenderung kepada MN atau PN. Saya sebagai Setiausaha pada ketika itu bertanggungjawab untuk memastikan semua ahli parti, tidak kira siapa termasuk Presiden parti sendiri mesti terikat dengan dasar ini,” jelasnya.

  • Cari punca pasukan belasahan boleh atasi Malaysia – Faizal Azumu

    Cari punca pasukan belasahan boleh atasi Malaysia – Faizal Azumu

    PASCANILAI perlu dilakukan untuk mencari punca kekalahan pasukan Bawah-23 tahun (B-23) kebangsaan kepada Laos pada Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

    Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak bertanggungjawab khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlu mengkaji bagaimana pasukan yang sebelum ini kurang menyerlah dalam arena bola sepak Asia Tenggara, boleh mengejutkan Malaysia kali ini.

    “Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

    Skuad bimbingan Brad Maloney tersingkir di peringkat Kumpulan B kejohanan itu, selepas dua kali tewas kepada Laos, iaitu kekalahan 2-1 pada Jumaat lepas dan 2-0 pada malam tadi.

    Format kejohanan terpaksa diubah apabila dua lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan iaitu juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri susulan pandemik COVID-19, menyaksikan Malaysia perlu bertemu Laos sebanyak dua kali, dengan hanya satu pasukan mara ke separuh akhir.

    Ahmad Faizal berkata semua pihak yang terlibat, termasuk pemain dan penyokong, perlu melihat perkara itu secara holistik untuk memulihkan keadaan bola sepak di negara ini.

    “Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan. Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan menentang atau merosakkan,” jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berharap agar skuad yang beraksi dengan baik di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, meneruskan momentum kemenangan tersebut pada kejohanan-kejohanan akan datang.

    “Saya melihat dalam sukan badminton, ketahanan mental amat penting, jadi perkara-perkara yang melilbatkan isu luar daripada sukan itu tidak perlu disensasikan agar ketahanan mental para pemain kita sentiasa berada pada tahap terbaik bagi mengatasi mana-mana pemain di dunia ini.

    “Semua pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan penyokong telah bekerjasama dengan baik, kita ada pasukan baik yang boleh diangkat ke kejohanan-kejohanan lain akan datang, insya-Allah kita akan menjadi antara terbaik dunia,” katanya.

    Pada kejohanan yang berlangsung 15-20 Feb itu, skuad lelaki negara muncul juara selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada final, manakala skuad wanita tewas 0-3 kepada Korea Selatan pada pusingan separuh akhir.

    Kejayaan itu juga memastikan skuad negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan Mei ini di Bangkok, Thailand. – Bernama

  • Polis nafi tutup kes lelaki simbah minyak panas pada isteri

    Polis nafi tutup kes lelaki simbah minyak panas pada isteri

    POLIS Melaka menafikan menutup kes lelaki menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayinya awal bulan ini.

    Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kes itu tidak pernah ditutup dan pihaknya kini sedang melengkapkan siasatan kes itu bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

    Kertas siasatan katanya, sudah dihantar kepada pejabat pendakwa raya sebelum ini dan dikembalikan semula kepada polis untuk dilengkapkan beberapa lagi keperluan daripada segi undang-undang dan fakta kes, lapor Sinar Harian.

    “Saya jangkakan ia dalam disiapkan dalam minggu ini sebelum diserahkan kembali kepada pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya selepas Majlis Perasmian Balai Polis Bemban, Melaka, hari ini.

    Beliau berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun terbabit kini dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan remannya tamat.

    Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayi perempuannya berusia empat bulan selepas berlaku pertengkaran antara mereka pada 11 Februari lalu.

    Kejadian berlaku pukul 5.50 petang di Semabok Dalam, Semabok, Melaka, menyebakan mangsa berusia 21 tahun serta bayinya terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan akibat melecur di beberapa bahagian badan.

  • Nik Zawawi akui dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

    Nik Zawawi akui dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

    AHLI Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengesahkan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas baharu.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan menggantikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkuat kuasa kelmarin.

    Nik Muhammad Zawawi berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam satu mesyuarat MSU Pas pada hari sama.

    Sinar Harian melaporkan, beliau yang menganggotai MSU sejak 15 tahun lalu berkata, tanggungjawab diamanahkan itu akan digalas dengan sebaiknya untuk bekerjasama dengan kepimpinan Pas.

    “Saya mengakui dilantik semula oleh MSU yang merupakan badan terbesar dalam Pas.

    “Saya akan bekerjasama dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, Timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta seluruh ahli parti agar ia berjalan mengikut perlembagaan parti,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Program SMART SBB di Tali Air 3 Sekinchan, Sabak Bernam, hari ini.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, jawatan yang disandangnya itu membolehkannya menyatu padukan ahli parti dan masyarakat di negara ini.

    “Kita hendak kejar jadi negara maju, tapi kalau berkelahi sesama sendiri ini tidak cerdik,” jelasnya.

    Mengulas mengenai peletakan jawatan Mohd. Khairuddin, Nik Muhammad Zawawi menyifatkan ia sebagai tindakan bermoral.

    “Ini memberi petanda beliau tidak hadapi sebarang masalah kerana meletak jawatan secara terhormat,” katanya.

    Mengulas mengenai terdapat kemungkinan akar umbi yang inginkan Pas bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) dan sebahagian lagi Perikatan Nasional (PN), Nik Muhammad Zawawi menjelaskan, Pas merupakan parti yang mengikut apa jua arahan parti.

    ‘Ini keputusan yang dibuat parti kalau parti buat keputusan ‘A’ maka A, apabila parti buat keputusan ‘B’ kita ikut B.

    “Ini kelebihan Pas, contohnya kalau calon ditukar dalam Pas ia tidak menimbulkan masalah 100 peratus sebab kalau sebut manusia tetap ada tetapi insya-Allah dikawal dengan baik,” ujarnya.

  • Suspek bakar jengkaut di tapak pembinaan diburu

    Suspek bakar jengkaut di tapak pembinaan diburu

    POLIS sedang memburu suspek yang bertindak membakar sebuah jengkaut di tapak projek pembinaan pencawang di Jalan Ubi Kampung Seri Chodoi, Kuala Langat, pada 14 Februari lalu.

    Pihak polis yang tiba di lokasi selepas menerima panggilan pukul 2.09 petang mendapati jengkaut milik syarikat kontraktor itu terbakar.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, susulan itu, tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

    “Bagaimanapun, mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah direkod keterangan.

    “Siasatan awal tiga individu ini juga tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. Punca kejadian belum dikenal pasti dan polis sedang mengesan pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang melakukan jenayah ini.

    Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

  • Pengumuman buka semula sempadan negara dalam masa terdekat – Muhyiddin

    Pengumuman buka semula sempadan negara dalam masa terdekat – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman pembukaan semula sempadan negara akan dibuat dalam masa terdekat.

    Memetik laporan FMT, beliau memaklumkan perkara itu selepas mendengar taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hari ini.

    Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan berada dalam proses akhir.

    “Majlis juga mengambil maklum pihak KKM dalam proses akhir untuk memuktamad SOP bagi pembukaan sempadan negara untuk persetujuan Jemaah Menteri.

    “Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN.

    Muhyiddin berkata, jika sempadan negara lambat dibuka semula, ia akan memberi kesan besar dan negara akan menanggung kos kerugian amat besar.

    Katanya, cadangan awal MPN supaya sempadan dibuka 1 Mac sebelum ini juga tidak dibantah agensi lain termasuk KKM apabila mereka mengatakan pintu sempadan negara boleh dibuka.

    “Mereka (kerajaan) maklum telah mengambil kira apa yang telah diputuskan MPN dan sememangnya wajar dipercepat buka sempadan.

    “Jangan lambat sebab sehari lambat, kos kerugian bagi negara amat besar terpaksa ditanggung, cepat buka untung kepada Malaysia amat banyak,” katanya.

    Sementara itu, katanya, pihak MPN menyokong supaya aktiviti gelembung pelancongan ke Langkawi ditambah baik dengan mengambil kira penelitian semula saringan secara harian.

    Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 akan disiapkan sebelum dikemukakan kepada kerajaan bagi membawa negara kepada keadaan seperti sedia kala sepertimana sebelum penularan pandemik Covid-19.