Author: Admin

  • Bekas MB yakin pertahan Bukit Kepong

    Bekas MB yakin pertahan Bukit Kepong

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal yakin akan dicalonkan semula di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac ini.

    Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor itu berkata, beliau turut berkeyakinan untuk mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

    “Inshaallah saya cukup yakin bahawa saya merupakan antara calon yang akan bertanding di Bukit Kepong. Jika saya calon di sana saya yakin kekal boleh menang di sana

    “Ini kerana sepanjang empat tahun berkhidmat di Bukit Kepong, banyak pembangunan dan program-program saya jalankan berjaya.

    “Kebanyakkan masjid dan surau serta semua jenis sekolah saya santuni di kawasan itu terutama untuk membangunkan institusi pendidikan yang penting kepada masyarakat Pagoh khususnya,” katanya.

    Beliau terdahulu menyertai majlis ramah mesra PN bersama pengamal media di Iskandar Puteri, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Md. Nasir Hashim.

    Pada PRU-14, Dr. Sahruddin menang dengan majoriti 1,271 undi setelah mendapat 11,665 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Noor Taib (10,392) dan calon Pas, Iqbal Razak (1,761).

    Beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Johor pada 9 Mei 2018.

    Pada 14 April 2019, pengamal perubatan yang kini berusia 47 tahun mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Johor ke-17 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan.

    Sementara itu, ketika ditanya berkaitan PN menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan, Dr. Sahrudin berkata, belum masanya beliau mengulas perkara itu.

    “Saya tak mahu komen isu calon Menteri Besar, saya mudah dan ikut pandangan atau pun arahan pucuk pimpinan parti serta PN,” katanya.

  • Anak tempatan keutamaan PN sebagai calon

    Anak tempatan keutamaan PN sebagai calon

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERIKATAN Nasional (PN) sehabis mungkin akan memastikan anak tempatan diberi keutamaan untuk menjadi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.

    Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal berkata, mereka akan menampilkan calon yang hampir seimbang merangkumi golongan berpengalaman, orang muda serta wakil wanita.

    Kata beliau, jumlah berapa ramai muka baharu yang akan dinamakan PN hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada esok petang.

    “Memang kita akui apabila banyak calon dan parti bertanding akan ada kesan kepada PN tetapi saya yakin pengundi akan pilih calon terbaik di kawasan mereka.

    “Kami di PN ada gabungan anak muda, orang berpengalaman dan di PN kita ingin pastikan setiap calon kita merupakan anak tempatan dan mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra PN bersama pengamal media di Iskandar Puteri, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Md. Nasir Hashim.

    Tambah Dr. Sahrudin, sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, PN sudah bersiap sedia untuk terlibat dalam PRN Johor dengan meletak calon di kesemua 56 kerusi DUN.

    Katanya lagi, gabungan yang dibentuk antara parti Bersatu, Pas dan Gerakan itu turut yakin boleh menang dan membentuk kerajaan negeri.

    “Apatah lagi kami di PN pernah memerintah, kami ada bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar.

    “Dengan pengalaman yang ada Inshaallah kita yakin dapat mentadbir Johor dan seterusnya Malaysia dengan lebih baik, sempurna, integriti, amanah dan jujur,” katanya.

    Pada masa sama, penyandang kerusi Bukit Kepong itu berkata, PN turut menjalankan beberapa program yang khusus untuk mendekati pengundi baharu termasuk golongan muda yang berjumlah lebih 700,000.

    “Undi muda memang ramai, PN buat beberapa program untuk mendekati mereka. Anak-anak muda ini sebenarnya mereka mahu atau mementingkan pemimpin yang integriti dan boleh bekerja untuk mereka,” katanya.

  • Pengarah syarikat ditahan disyaki terlibat dalam kes rasuah RM2 juta

    Pengarah syarikat ditahan disyaki terlibat dalam kes rasuah RM2 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pengarah sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM2 juta.

    Menurut sumber, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan kira-kira pada pukul 3.10 petang tadi di pejabat SPRM Kuala Lumpur selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan lelaki terbabit ditangkap selepas disyaki memberi suapan sebanyak RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai dorongan membantu syarikatnya bagi mendapat kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di wilayah Songkhla, Thailand.

    Suspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk mendapatkan permohonan reman.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

  • Doktor palsu kahwini 18 wanita akhirnya diberkas

    Doktor palsu kahwini 18 wanita akhirnya diberkas

    SEORANG lelaki yang menyamar sebagai doktor berjaya memperdaya dan mengahwini 18 wanita di seluruh India.

    Bagaimanapun lelaki berusia 67 tahun itu ditangkap beberapa minggu menjelang dua majlis perkahwinannya yang lain.

    Semasa disoal siasat polis, Bibhu Prakash Swain mengaku menyamar sebagai doktor berusia 51 tahun dan kesemua mangsanya adalah terdiri daripada wanita bekerjaya seperti profesor, peguam, pegawai perubatan termasuk seorang pegawai separa tentera.

    “Dia melakukannya hanya untuk mendapatkan wang dan keseronokan seksual,” kata pegawai kanan polis, Sanjiv Satpathy.

    Satpathy dan pasukannya menangkap Swain baru-baru ini selepas berbulan-bulan menjejakinya.

    Swain yang memiliki pelbagai identiti dipercayai merancang dua perkahwinan pada Februari dan Mac.

    “Dia pandai meyakinkan mangsa dan hanya menyasarkan wanita bujang, balu atau janda dalam usia 40-an,” kata Satpathy.

    Polis melancarkan siasatan ke atas Swain pada Mei 2021 selepas menerima aduan daripada salah seorang isterinya berusia 48 tahun yang mendapati dia sudah berkahwin dengan kira-kira tujuh wanita lain. – AFP

  • SPR perlu kaji pengundian elektronik – Bekas Pengerusi SPR

    SPR perlu kaji pengundian elektronik – Bekas Pengerusi SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa mencari kaedah terbaik dalam memperkenalkan undian secara elektronik pada pilihan raya akan datang.

    Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, langkah itu dijangka dapat meningkatkan peratusan mengundi dalam kalangan rakyat terutama ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.

    “Kita memang lama dah bincang perkara ini, saya dah pergi beberapa negara seperri di Kanada dan United Kingdom, tetapi di UK belum lagi membuat ikhtiar membuka undian secara dalam talian.

    “Tapi (undian dalam talian) ada dijalankan di Kanada cuma tidak terlalu meluas, saya diberitahu pihak berkuasa di sana, orang lebih gemar hadir secara fizikal di tempat mengundi. Tapi kita ada masalah sekarang ini (Covid-19), kita perlu atasi masalah itu.

    “Tidak ada pilihan melainkan kalau kita nak peratusan pengundian purata kekal 85 peratus, kita amat bangga sebelum Covid-19 walaupun tidak paksa orang mengundi tapi masyarakat kita sedar untuk keluar mengundi.

    “Di Kelantan, Terengganu peratusan mengundi tinggi sampai 95 peratus sebelum pandemik,” katanya memetika laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam Wacana resensi buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’ yang berlangsung menerusi Facebook Institut Kajian Etnik (KITA), hari ini.

    Ab. Rashid berkata, meskipun masih terdapat kelemahan dari sudut infrastruktur dalam menjalankan kaedah tersebut, namun ujarnya, tiada pilihan lain selain menjalankan undian secara dalam talian.

    “Tapi amat tepat disebutkan Dr. G. Manimaran (penganalisis ploitik), bahawa peratusan ini salah satu sebab menurun disebabkan orang takut nak keluar mengundi, ada juga mangsa Covid-19 yang mengambil pendirian untuk tidak mengundi.

    “Cara paling sesuai ialah pengundian elektronik, kena carilah caranya. Ketika ini banyak teknologi moden, saya rasa kita tidak ada masalah kalau negara mahu.

    “Saya harap SPR akan bertindak lebih sensitif perkara ini kerana Covid-19 ini dilihat akan kekal masa lama, saya setuju cadangan kita kena lekas mengkaji dan kerajaan mesti bagi sokongan yang seharusnya kepada SPR menjalankan perubahan itu,” jelasnya lagi.

    Dalam pada itu, penganalisis pilihan raya, Manimaran pula berpendapat kaedah itu perlu diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

    Jelasnya, langkah yang diambil Amerika Syarikat dan Korea Selatan dalam memperkenalkan undian secara elektronik termasuk menerusi emel juga perlu diambil perhatian.

    “Kita memperluaskan kemudahan infrastruktur digital atau bukan digital, undi pos, kita kena pelbagaikan, sebagai contoh di Melaka, Sarawak peratus keluar mengundi hanya 60 hingga 65 peratus, di Johor pun dalam lingkungan tersebut sedangkan kita akan belanjakan RM1 billion dalam PRU akan datang berbanding PRU pada tahun 1959 iaitu RM2 juta sahaja.

    “Kalau hanya keluar mengundi 60 peratus apakah maksudnya? Ada kita bimbang dan tidak yakin mungkin kerana Covid-19 atau lain-lain. Jadi kita kena bagi perubahan, di Korea Selatan dan Amerika Syarikat orang keluar mengundi ketika Covid-19 lebih ramai berbanding sebelum Covid-19,” ujarnya.

    Tambah Manimaran, jika perkara itu dapat dilakukan, beliau menjangkakan peratusan keluar mengundi setiap kali pilihan raya akan meningkat sekali gus menyuburkan demokrasi di negara ini.

    “Bermaksud kita boleh meninggikan jumlah peratusan keluar mengundi, kita kena berfikir di luar kotak dan luar norma baharu.

    “Kita sediakan undi pos, bukan hanya di luar negara tapi dalam negara. Ada pesakit Covid-19 mereka tidak boleh keluar mengundi, jadi apakah pilihan kita berikan kepada mereka.

    “Kita bukan hanya perlukan sistem undang-undang dan mekanisme tetapi infrastruktur perlu ada, sebab itu di AS undi pos dan email dibenarkan, sebab itu peratus keluar meningkat ketika pandemik,” jelasnya lagi.

  • Animas nafi calon Muda tulang belakang animasi Anak-anak Sidek, Keluang Man

    Animas nafi calon Muda tulang belakang animasi Anak-anak Sidek, Keluang Man

    PERSATUAN Animasi Malaysia (Animas) hari ini menafikan Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Azrol Rahani sebagai tulang belakang dalam animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man.

    Pelukis Papan Cerita (storyboard) Keluang Man dan Pelantun Suara Tiong Man, Azhar Saad berkata, pihak produksi tidak pernah melihat
    Azrol di studio mereka.

    “Animas menafikan kenyataan berita ini mengenai salah seorang calon Muda PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor yang dikaitkan sebagai tulang belakang animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man.

    “Jangankan tulang. Sisa pun kami tidak pernah nampak kelibat beliau di studio kami,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasmi Animas, hari ini.

    Semalam media melaporkan Azrol yang sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man berazam mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda Felda jika menang dalam PRN Johor.

    Beliau yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai itu berkata, keazamannya itu selepas melihat generasi ketiga dan keempat Felda terpaksa keluar dari tanah rancangan kerana tiada peluang pekerjaan.

    Dalam hantaran sama, bekas Animator Keluang Man, Abdul Rahman Mohamad berkata, anak muda seharusnya tidak melakukan pembohongan dan sentiasa berlaku jujur dalam setiap percakapan yang dikeluarkan.

    Selain itu, seorang tenaga penting di sebalik animasi Anak-Anak Sidek, Salim Salleh berkata, sepanjang mengetuai produksi, beliau tidak pernah mengenali calon Muda tersebut.

  • Bekas calon PKR saman 8 individu selepas tidak dicalonkan semula

    Bekas calon PKR saman 8 individu selepas tidak dicalonkan semula

    BEKAS calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada pilihan raya umum (PRU) lalu mengambil tindakan undang-undang selepas tidak dicalonkan semula di kerusi itu.

    Malik Faishal Ahmad mengemukakan saman terhadap Khairuddin A. Rahim yang sebelum ini keluar daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan menyertai PKR serta tujuh individu lain.

    Dalam surat tuntutan yang dilihat Malaysiakini, Malik mendakwa tindakan itu telah menyebabkan dia hilang peluang untuk bertanding apabila mereka menghantar memorandum yang mengandungi tuduhan ‘fitnah’ kepada kepimpinan PKR.

    Individu-individu terbabit mendakwa mereka mendapat maklumat bahawa Malik meminta suapan puluhan ribu ringgit daripada kontraktor semasa menjadi menjadi ketua whip PKR di Majlis Perbandaran Batu Pahat ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

    Bagaimanapun Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, lapor Malaysiakini hari ini.

    “Akibat daripada perkataan-perkataan fitnah tersebut, anak guam kami telah kehilangan peluang untuk dilantik sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan N25 DUN Rengit yang telah dijanjikan,” menurut surat tuntutan yang dihantar melalui peguam Malik, Manian K Marappan.

    “Perkataan-perkataan fitnah yang memfitnah anak guam kami dibawa ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh rakan-rakan, kenalan-kenalan dan masyarakat awam di sekitar Batu Pahat dan Rengit dan juga pimpinan Parti Keadilan,” tambahnya.

    Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, lapan individu itu menghantar memorandum berkenaan kepada pemimpin tertinggi PKR dengan mendakwa pemimpin tertentu dari PKR, Amanah dan Bersatu menerima suapan puluhan ribu ringgit di atas kelulusan kerja-kerja yang ditawarkan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat kepada kontraktor.

    Mereka memaklumkan kepimpinan PKR bahawa Pakatan Harapan (PH) Batu Pahat tidak boleh menerima individu yang didakwa menerima rasuah dan tidak berintegriti untuk memimpin mereka dan ‘apatah lagi untuk menjadi calon pilihan raya’.

    Malik, yang dilantik sebagai penyelaras PKR Rengit tahun lepas, menuntut Khairuddin dan tujuh yang lain menarik balik kenyataan mereka dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

    Dia juga menuntut ganti rugi dan kos yang dialami berikutan kenyataan mereka dengan jumlah kuantum harus dipersetujui pihak terlibat.

    Mereka juga diberi tempoh selama tujuh hari daripada tarikh notis itu untuk memberikan sebarang maklum balas.

    Sementara itu, Khairuddin ketika dihubungi mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada Malik dan telah merujuk perkara itu kepada peguamnya.

    Beliau hanya menyokong ‘rakan’ yang melaporkan dakwaan rasuah kepada parti itu dengan harapan siasatan dijalankan.

    “Saya kata saya menyokong siasatan tu. Apa-apa pun kalau orang bawa saya sokong untuk disiasat. Sesiapa pun tapi tak semestinya bersalah.

    “Ia bukan tuduhan. Pasal dia kata kita tuduh, kita tak tuduh dia.

    “Ini internal problem (masalah dalaman), ia bukan dibawa keluar. Sebab dia kata dia tak dapat bertanding sebab benda (tuduhan) tu. Saya pun tak tahu, saya pun tak dapat komenlah kerana benda tu ke, wallahualam,” katanya.

    Khairuddin berkata dia percaya kes itu tidak akan menjejaskan kempennya di kerusi DUN Rengit.

    Malaysiakini difahamkan nama Malik pada awalnya disenarai sebagai calon yang sepatutnya diumumkan pada 14 Feb.

    Bagaimanapun, pengumuman untuk kerusi DUN Rengit dan enam kerusi lain ditangguhkan pada saat-saat akhir.

    Semasa pengumuman calon pada 19 Feb, Presiden PKR Anwar Ibrahim sebaliknya mengumumkan Khairuddin sebagai calon di Rengit.

    Khairuddin merupakan penyandang kerusi DUN Senggarang.

  • Mahkamah tolak saman Tajuddin terhadap Khalid

    Mahkamah tolak saman Tajuddin terhadap Khalid

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman difailkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, The New Straits Time Press (M) Berhad (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd berhubung kenyataan fitnah pada sidang media di lobi Parlimen, enam tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu setelah mendapati kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khalid selaku defendan pertama tidak bersifat fitnah dan dibuat berdasarkan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.

    “Defendan kedua (NSTP) dan ketiga (KiniTV) telah membuat terbitan dengan bona fide (niat yang baik) tentang perkara kepentingan awam dan terbitan yang dibuat adalah adil saksama dan tepat. Oleh itu, tuntutan plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak dan mengambil kira kepentingan awam tiada kos diberikan,” katanya.

    Latifah dalam penghakimannya berkata, komen Khalid berlaku berikutan sikap keterlaluan plaintif (Tajuddin) semasa prosiding di Parlimen yang menggunakan kenyataan yang tidak mengikut peraturan parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

    Beliau berkata, ini disokong oleh keterangan keterangan saksi-saksi Ahli-Ahli Parlimen yang memberi keterangan di mahkamah semasa perbicaraan.

    “Mahkamah juga berpuas hati bahawa komen yang dibuat oleh defendan pertama pada sidang media pertama adalah komen yang berpatutan, berdasarkan kepercayaan yang jujur dan tanpa niat jahat yang berdasarkan fakta-fakta yang berada dalam pengetahuan defendan pertama sendiri,” katanya.

    Latifah berkata, kes itu berlaku berpunca dari plaintif (Tajuddin) semasa di Parlimen pada 21 Nov 2016 yang telah mengeluarkan satu kenyataan yang seksis dan menggunakan bahasa ‘yang tidak mengikut peraturan parlimen’ di dalam ucapannya terhadap Ahli Parlimen Seputeh yang telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Khalid.

    Beliau berkata, mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk plaintif mengungkapkan perkataan kesat tersebut kepada Ahli Parlimen Seputeh yang pada masa itu tidak timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu.

    “Semasa menjawab kepada wartawan, plaintif menyatakan bahawa dia menyebut nama keluarga Teresa Kok dan tidak ada motif lain,” katanya dan menambah bahawa alasan plaintif semasa prosiding Parlimen bahawa kenyataan itu hanya merujuk kepada nama Ahli Parlimen wanita itu adalah tidak berasas jika diambil kira konteks keseluruhan kenyataan tersebut dibuat.

    Menurut Latifah, tindakan plaintif yang enggan menarik balik kenyataan seksis tersebut dan memperli serta mengejek Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah menimbulkan provokasi terhadap Khalid.

    “Mahkamah juga berpendapat kenyataan yang dikatakan fitnah oleh defendan pertama (Khalid) bukanlah suatu fitnah jika diambil pada konteks ketika itu dan perkataan ‘sial’ yang digunakan defendan pertama adalah akibat daripada provokasi plaintif,” katanya.

    Latifah berkata, kenyataan yang dibuat oleh plaintif yang ketika itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah tidak wajar dan mencemarkan institusi Parlimen yang merupakan antara institusi tertinggi negara.

    Beliau berkata, mahkamah juga berpandangan kebebasan bersuara dan perlindungan reputasi terutama dalam Sidang Parlimen yang dihormati perlu diberi perhatian walaupun imuniti diberikan.

    Latifah berkata, mahkamah bersetuju bahawa tindakan defendan kedua (NSTP) hanya melaporkan tentang kejadian secara adil dan tidak bersifat fitnah kerana terdapat justifikasi munasabah terhadap laporan yang dibuat kerana ia dilindungi oleh perlindungan bersyarat.

    Bagi defendan ketiga (KiniTV) pula, yang telah menyiarkan dua video pada sidang media, yang diterbitkan pada 24 Nov 2016, beliau berkata, mahkamah berpuas hati tiada sebarang sifat fitnah dalam kedua-dua video itu.

    “Liputan dalam video tersebut oleh defendan ketiga adalah neutral dan menjadi tanggungjawab profesional kewartawanan untuk melaporkan berita yang neutral dan benar terutama melibatkan kepentingan awam,” katanya yang membuat keputusan itu menerusi emel hari ini.

    Pada 26 April 2017, Tajuddin memfailkan saman itu mendakwa, Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 Nov 2016.

    Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 Nov 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 Nov tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di Youtube yang boleh diakses oleh orang ramai.

    Tajuddin mendakwa kedua-dua kenyataan itu antara lain bermaksud, beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan bertindak bertentangan dengan ajaran serta budaya Islam. – BERNAMA

  • Tiada jaminan tidak berlaku pertindihan kerusi PKR-Muda

    Tiada jaminan tidak berlaku pertindihan kerusi PKR-Muda

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) tidak dapat memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara tersebut terpulang kepada Muda namun berharap perkara tersebut tidak berlaku.

    “Soal pertindihan kerusi saya tidak dapat beri jaminan kerana perkara itu terpulang kepada mereka (Muda). Tetapi saya harap kerjasama ini akan dihormati.

    “Tetapi saya percaya dalam soal menolak korupsi dan salah guna kuasa, PKR dan Muda mempunyai pendirian yang sama dan jelas untuk menolaknya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Baju T-shirt Tolak Korupsi di Bilik Gerakan Utama PKR Johor , Johor Bahru, hari ini.

    Sabtu lalu, Syed Ibrahim menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandinginya.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon itu menjejaskan sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

    Syed Saddiq juga seperti membayangkan kemungkinan pertindihan kerusi susulan gagal mencapai kata sepakat dengan PKR.

    Mengulas lanjut, Syed Ibrahim Muda berharap, tidak akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PKR.

    Katanya, rundingan pembahagian kerusi antara dua parti itu sudah ditamatkan dan diharap juga tidak menjejaskan fokus mereka untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, penting untuk Muda memahami kepentingan parti blok pembangkang dalam PH untuk bekerjasama dan tidak bertembung antara satu sama lain.

    “Dalam PRN Johor ini, pembangkang perlu bekerjasama, jadi walaupun tiada perkongsian kerusi antara PKR dan Muda, tetapi saya telah tegaskan keperluan kerjasama untuk capai kemenangan.

    “Ini kerana musuh utama kita adalah UMNO, BN dan juga PN. Sesama mereka yang berada dalam kerajaan juga bergaduh, bahagian rakyat boleh hendak mempercayai mereka lagi,” soalnya.

  • Kemelut sepak takraw:KBS, PJS bincang cari penyelesaian terbaik

    Kemelut sepak takraw:KBS, PJS bincang cari penyelesaian terbaik

    MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkembangan sukan sepak takraw dan menjaga aktiviti melibatkan pemain jauh lebih penting berbanding permasalahan politik persatuan.

    Beliau berkata, dengan wujudnya dua entiti sepak takraw di peringkat kebangsaan pada masa ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mencari penyelesaian yang terbaik.

    “Apabila perkara sebegini berlaku, kita kena melihat juga badan manakah yang mendapat pengiktirafan lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia.

    “Tetapi akhirnya, apa yang KBS dan kerajaan perlu pastikan ialah sukan itu berkembang, maju dan aktiviti-aktiviti bagi atlet sepak takraw seperti pertandingan terjaga,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan KBS di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

    Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menyingkirkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021.

    Ia susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari.

    Ahmad, yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF, namun, ASTAF pada awal bulan ini menegaskan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.

    Berikutan itu, PJS membenarkan penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.

    Ahmad Faizal berkata, beliau belum berjumpa dengan kepimpinan baharu PSM, yang dilaporkan berkata mahu menemuinya