Author: Admin

  • Perbicaraan kes 1MDB di New York:Tim Leissner mengaku ‘banyak berbohong’

    Perbicaraan kes 1MDB di New York:Tim Leissner mengaku ‘banyak berbohong’

    SAKSI saksi utama pendakwaan jenayah berkaitan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tim Leissner dalam sesi pemeriksaan balas semalam, mengaku banyak berbohong dalam hidupnya.

    Bekas pegawai bank Goldman Sachs itu memberi keterangan dalam perbicaraan Roger Ng, 49, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan penggubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

    Leissner, 52, adalah bos kepada Ng di Goldman, mengaku bersalah atas tuduhan sama pada 2018 dan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan.

    Salah satu bahagian terpenting dalam pembelaan Ng apabila dia cuba menunjukkan Leissner adalah artikek sebenar skim itu dan berbohong mengenai pembabitan Ng bagi mengelak hukuman penjara.

    Pendakwa raya berkata, sejak 2009 hingga 2014, Goldman mengumpul sebanyak AS$6.5 bilion (RM27.247 bilion) untuk 1MDB melalui penjualan bon selain memperoleh bayaran AS$600 juta (RMRM2.51 bilion).

    Tetapi sebanyak AS$4.5 bilion (RMRM18.86 bilion) dilencongkan kepada pegawai, jurubank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah serta sogokan.

    Semalam, peguam Ng, Marc Agnifilo, menggasak Leissner mengenai hubungan romantiknya dengan lima wanita berlainan.

    Bekas pegawai bank itu mengakui dia sudah dua kali berkahwin secara rahsia dengan dua wanita pada masa sama dan sekurang-kurangnya pernah sekali memalsukan sijil perceraian bagi mengelirukan wanita yang mahu dikahwini.

    “Saya telah banyak berbohong tuan dan saya menyesali pilihan itu,” kata Leissner.

    Leissner memberi keterangan dia dan Ng memainkan peranan penting dalam skim terbabit.

    Dia juga secara peribadi memindahkan wang sogokan berjumlah AS$35 juta (RM146.71 juta) kepada Ng, pegawai bank terkemuka Goldman untuk Malaysia.

    Leissner bertanggungjawab menyelia firma itu di Asia Tenggara.

    Kata Leissner, Ng meninggalkan firma Goldman pada 2014.

    Leissner memberi keterangan semalam berkata, selepas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengemukakan sepina kepadanya pada Februari 2016, Ng dan isterinya, Hwee Bin Lim, mencadangkan dia berunding dengan pakar feng shui yang mereka percayai untuk bertanya sama ada mereka ‘akan menghadapi masalah’.

    Pada akhir pertemuan itu, Leissner berkata beliau, Ng dan Lim mencipta ‘cerita muka depan’ yang membabitkan Lim dan isteri Leissner ketika itu, Judy Chan, untuk mewajarkan dana AS$35 juta (RM146.72 juta).

    Pengakuan itu boleh menjadi masalah bagi Ng, yang mempertikaikan bahawa wang yang dinyatakan pendakwa sebagai keuntungan haram sebenarnya diperoleh daripada usaha perniagaan yang sah antara dua isteri lelaki itu.

    Peguam Ng dijangka memanggil Lim untuk memberi keterangan dalam pembelaan suaminya.

    Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion (RM12.57 bilion) dan mengatur supaya unit Malaysianya mengaku bersalah di mahkamah AS. – Reuters

  • Perpaduan, kestabilan, kesegaran politik agenda penting negara:Calon PN

    Perpaduan, kestabilan, kesegaran politik agenda penting negara:Calon PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata perpaduan, kestabilan dan kesegaran politik baharu adalah penting bagi negara ini.

    “Ini memanglah menjadi satu agenda penting untuk kita semua bina dan pelihara,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PN Pusat menerusi kemasi kini dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Sehubungan itu katanya, bagi memastikan agenda tersebut dapat disemai, pengundi di DUN Parit Yaani perlu memilihnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Menerusi satu lagi ‘posting’ sebelum itu, beliau bersimpati dengan 708 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kelantan dan Terengganu yang terkesan dengan banjir dan tidak dapat menduduki peperiksaan itu.

    Ketua Pemuda Pas Johor itu berkata, mereka terpaksa menduduki peperiksaan SPM kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua yang akan diadakan April ini.

    “Ramai calon SPM di Kelantan dan Terengganu tidak dapat meneruskan peperiksaan SPM kerana banjir besar yang berlaku baru-baru ini. Buat calon SPM negeri Johor, selamat maju jaya dan buat yang terbaik dalam peperiksaan,” katanya.

  • Covid-19: 137 calon tidak dapat duduki SPM di Pulau Pinang

    Covid-19: 137 calon tidak dapat duduki SPM di Pulau Pinang

    SERAMAI 137 pelajar di Pulau Pinang tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini akibat terjejas dengan wabak Covid-19.

    Mereka terdiri daripada seramai 98 calon yang disahkan positif Covid-19 manakala 39 yang lain sedang menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat.

    Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, kesemua calon yang terjejas itu akan menduduki peperiksaan SPM fasa dua pada tarikh yang akan diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan kelak.

    Dalam pada itu tambahnya, secara keseluruhan seramai 20,051 calon menduduki peperiksaan itu di 150 pusat peperiksaan di seluruh negeri tersebut bermula hari ini.

    “Daripada jumlah itu seramai 18,427 merupakan calon di 122 buah sekolah kerajaan; 369 calon di tiga buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 158 calon di lapan Sekolah Agama Negeri (SAN).

    “Turut menduduki SPM tahun ini juga ialah seramai 123 pelajar calon berkeperluan khas (CBK),” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Georgetown, hari ini.

    Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, sebanyak 15 buah hospital di lima daerah di negeri ini turut dijadikan pusat persediaan kepada calon yang berdepan dengan isu kesihatan ketika SPM berlangsung.

    “Setakat hari ini, terdapat seorang calon SPM di negeri ini sedang menduduki peperiksaan di hospital,” katanya.

  • Banjir:Lelaki OKU dikhuatiri lemas

    Banjir:Lelaki OKU dikhuatiri lemas

    SEORANG lelaki kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Tok Derpah, Alor Pasir, Pasir Mas, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, mangsa, Muhamad Faizal Abd Rahman, 20, dikatakan mengikut ibunya, Che Fatimah Che Kob, 60, membersihkan kedai makan yang dilanda banjir.

    “Mangsa tiba-tiba dipercayai hilang dan menurut anak saudara mangsa, Nor Ariana Natasha, 12, bapa saudaranya itu dilihat bermain di kawasan masjid berdekatan yang juga menjadi lokasi banjir.

    “Keluarga dan penduduk kampung berusaha mencari mangsa di seluruh kawasan namun gagal menemuinya, sebelum datang membuat laporan polis berkenaan kejadian terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Akhbar sebelum ini melaporkan sebanyak empat individu menjadi korban banjir di Kelantan sepanjang bah melanda sejak Jumaat lalu.

    Mohd. Nasaruddin berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas berkaitan kejadian itu untuk misi mencari dan menyelamat.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan banjir yang melanda selain mengelak daripada bermain air terutama di kawasan arus deras bagi mengelak perkara tidak diingini.

    “Golongan kanak-kanak juga perlu diberi perhatian kerana kita tidak mahu ada lagi pertambahan kes mangsa banjir di Kelantan,” katanya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat pagi ini dengan 26,447 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,384 orang daripada 4,549 keluarga berbanding 16,756 orang daripada 4,269 keluarga semalam dan mereka ditempatkan di 87 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 27 di Kemaman, Dungun (24), Hulu Terengganu (19), masing-masing lima di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Besut (empat) dan Setiu (tiga).

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan Kemaman menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,245 orang, diikuti Hulu Terengganu (3,845), Dungun (2,795), Kuala Nerus (502), Kuala Terengganu (490), Besut (355) dan Setiu (152).

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai sudah berada di paras normal dan ketika ini hanya satu sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 9,063 orang setakat 8 pagi ini berbanding 8,678 orang semalam yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu 22 di Pasir Mas, Tumpat (tiga), Tanah Merah dan Pasir Puteh, masing-masing dua.

    Portal JPS pula melaporkan dua sungai utama di negeri berkenaan iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Air Bol di Jeli berada pada paras waspada.

  • DUN Tenggaroh: Cikgu Lan mahu tingkat kemahiran, peluang pekerjaan belia

    DUN Tenggaroh: Cikgu Lan mahu tingkat kemahiran, peluang pekerjaan belia

    PENGALAMAN dan kasih kepada anak bangsa sebagai seorang guru selama 30 tahun, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Roslan Nikmat lebih tekad mahu memberi sinar harapan kepada golongan belia yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran.

    Roslan atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Lan berkata, ramai anak-anak muda atau golongan belia di DUN berkenaan akan cemerlang dalam bidang pekerjaan sekiranya diberi peluang untuk menggilap kemahiran mereka biarpun tidak mempunyai kelayakan pelajaran yang tinggi.

    Beliau yang pernah memegang portfolio strategik dan keusahawanan sebagai Ahli Lembaga Pengarah GiaT Mara, akan menggunakan pengalamannya bagi memacu golongan belia mengasah kemahiran mereka menerusi program yang ditawarkan oleh Giat Mara.

    “Sekiranya mereka berpeluang untuk mengikuti program yang disediakan oleh Giat Mara, saya yakin dan percaya, mereka akan jadi belia-belia berkemahiran malah usahawan berjaya. Mereka perlukan saluran yang betul,” katanya kepada SatuBerita.

    Bagi persediaan awal berkenaan perkara itu, Roslan telah berbincang dengan beberapa syarikat berkenaan kemahiran yang diperlukan sebagai kelayakan untuk diberi peluang pekerjaan.

    “Sebagai contoh, saya telah berbincang dengan Syarikat Air Melaka mengenai kemahiran apa yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada mereka. Di syarikat seperti itu, mereka memerlukan pekerja yang mahir dalam bidang perpaipan misalnya.

    “Jadi, kami akan menyediakan kursus yang bersesuaian dengan syarikat-syarikat berkenaan. Setelah mereka selesai menjalani kursus Insyaallah, mereka terus mendapat peluang pekerjaan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Roslan juga membawa aspirasi untuk membantu penduduk Felda generasi kedua di DUN Tenggaroh mendapatkan kediaman mereka sendiri.

    Katanya, perkara itu menjadi antara keutamaannya apabila sering mendengar keluhan penduduk Felda generasi kedua di Felda Tenggaroh yang tidak mendapat perhatian sepatutnya oleh pihak tertentu dalam mendapatkan rumah sendiri.

    “Sekarang kita nampak, peluang untuk mereka dapatkan rumah kurang diberikan perhatian oleh pihak-pihak tertentu. Seperti tiada keperluan untuk membantu mereka. Saya akan berjuang habis-habisan untuk membantu generasi kedua ini memiliki rumah mereka sendiri.

    “Generasi kedua ini mereka ramai duduk di rumah orang tua mereka, dalam bilangan adik beradik yang ramai malah sudah ada yang berkeluarga. Tambahan pula ramai juga yang bekerja di luar Tenggaroh hilang pekerjaan kerana pandemik,” ujarnya lagi.

    Mengulas mengenai pengundi muda dan baharu, beliau akan mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan mesej dalam media sosial khususnya kepentingan mereka bagi melakukan perubahan di DUN Tenggaroh.

    “Mereka mesti membuat perubahan dengan memilih parti atau calon yang benar-benar memberikan perhatian kepada mereka di masa depan,” ujarnya lagi.

  • KPM jamin PRN Johor tidak ganggu perjalanan SPM

    KPM jamin PRN Johor tidak ganggu perjalanan SPM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memberi jaminan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini tidak akan terganggu walaupun 147 buah sekolah menengah di negeri ini digunakan sebagai pusat mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, jaminan itu diberi kerana tiada masalah kerana proses membuang undi tidak akan melibatkan bilik peperiksaan.

    “Sebelum ini kita memang berbincang dengan SPR sekiranya boleh agar tidak menggunakan sekolah menengah, namun disebabkan kekangan tertentu, sebanyak 147 sekolah menengah akan digunakan.

    “Jadi keputusan dibuat walaupun sekolah itu digunakan, ia tidak akan sentuh bilik peperiksaan, walaupun sukar kerana peperiksaan kali ini hampir semua bilik digunakan kerana jarak yang lebih jauh.

    “Tetapi mereka (SPR) ada kaedah dan sedang usahakan yang terbaik bagi memastikan proses peperiksaan berjalan lancar dan teratur,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Pasir Gudang, hari ini.

    Dr. Mohd. Radzi berkata, proses sanitasi akan dilakukan sejurus sahaja tamat proses pengundian bagi memastikan kawasan berkenaan dinyah cemar.

    “Sekolah-sekolah rendah yang dijadikan sebagai pusat membuang undi dalam PRN Johor ini jauh lebih banyak, beratus-ratus jumlahnya,” katanya.

    Sebelum ini beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini membantah keputusan SPR menggunakan sekolah menengah sebagai pusat pembuangan undi dalam PRN Johor.

  • 903 calon terpaksa tangguh ambil SPM di Kedah akibat jalani HSO

    903 calon terpaksa tangguh ambil SPM di Kedah akibat jalani HSO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 903 daripada keseluruhan 29,769 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kedah, tidak dapat mengambil peperiksaan tersebut yang bermula hari ini kerana dijangkiti Covid-19 dan berstatus kontak rapat.

    Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad kesemua calon SPM tersebut kini terpaksa menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

    “Berikutan itu, mereka dijadualkan untuk mengambil peperiksaan ini pada April depan.

    “Langkah ini dibuat selari dengan garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau perjalanan peperiksaan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra , hari ini.

    Dalam pada itu katanya, seramai 33 calon berkeperluan khas dikenal pasti di negeri ini dengan sebahagiannya mengalami masalah pembelajaran, kurang upaya penglihatan serta kurang upaya pendengaran.

    “Selain itu terdapat dua calon yang terpaksa mengambil peperiksaan di Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani kerana menghidap demam campak dan apendiks,” katanya.

  • Calon SPM positif Covid-19, boleh duduki sidang kedua April ini

    Calon SPM positif Covid-19, boleh duduki sidang kedua April ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang didapati positif Covid-19 atau sedang menjalani tempoh kuarantin dibenarkan menduduki peperiksaan itu pada sidang kedua April ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, mereka tidak perlu bimbang dan hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada sekolah masing-masing.

    “Ini harus jelas. Sekiranya murid ini didapati positif maka mereka perlu buat surat deklarasi kepada pengetua atau pihak sekolah menulis bahawa mereka positif.

    “Pengetua akan sahkan sama ada benar murid itu positif atau tunjukkan bukti MySejahtera dia, selain ada tiga borang deklarasi MySejahtera dan surat kepada pengetua,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di
    di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini.

    Beliau berkata, bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan pihak sekolah baru mendapat maklumat ada calon positif, pelajar berkenaan akan diletakkan dalam bilik khas di sekolah berkenaan.

    Begitu juga katanya, bagi calon SPM yang menjadi kontak rapat dan perlu dikuarantin juga tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan.

    “Bagaimanapun calon perlu mengemukakan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM). Sama seperti mereka yang positif,” katanya.

    Dr Radzi memberitahu, seramai 407,097 pelajar yang menduduki SPM di seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 50,317 calon menduduki SPM di Johor.

    Sementara itu, beliau berkata, SPM 2021 berlangsung dalam skala lebih besar dan dilaksanakan dengan menggunakan hampir semua kelas di sekolah terbabit.

    “Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM berlangsung dengan teratur dan selamat,” katanya.

  • Pengantin baru melangsungkan perkahwinan terus ‘bulan madu’ di medan perang

    Pengantin baru melangsungkan perkahwinan terus ‘bulan madu’ di medan perang

    PASANGAN pengantin yang baru beberapa jam melangsungkan perkahwinan pada hari pertama Rusia melancarkan kempen pencerobohan pada Khamis lalu, bertekad untuk menyertai menyertai misi mempertahankan tanah air mereka.

    Yaryna Arieva dan Sviatoslav Fursin pada mulanya dijadualkan berkahwin pada Mei depan, namun mereka mempercepatkan tarikh untuk mengikat tali cinta pada minggu lalu.

    “Kami menghabiskan detik ‘bulan madu’ dengan mengangkat senjata untuk melawan tentera Rusia,” tegas pasangan itu yang turut memakai jaket ‘camouflage’ sambil masing-masing memegang selaras raifal.

    Menurut Arieva yang berasal dari Kiev, situasi di ibu kota tersebut adalah realiti baharu yang perlu dihadapi rakyat negara itu.

    “Pada hari pertama musim bunga, kami biasanya menyemai benih bunga matahari yang merupakan bunga kebangsaan Ukraine. Tetapi, kini kami akan menentang serangan Rusia secara habis-habisan.

    “Tiada sesiapa di sini yang menyatakan kami akan kalah. Kami percaya akan menang dalam perjuangan ini. Ramai penduduk tidak gentar untuk berjuang demi mempertahankan tanah air ini malah bersedia untuk gugur di medan perang,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, suaminya, Fursin yang berasal di bandar barat Lviv menegaskan rakyat negara itu sentiasa mahukan kebebasan dan akan berjuang untuk mencapai matlamat tersebut.

    “Saya akan melakukan apa sahaja untuk melindungi keluarga dan isteri saya,” jelasnya yang menyertai misi tempur sejak beberapa hari lalu.

    Pasangan tersebut turut menggesa komuniti antarabangsa untuk memberi bantuan kepada Ukraine termasuk bekalan makanan, perubatan dan mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Moscow.

    “Saya berharap masanya akan tiba apabila kami dapat berkumpul semula bersama rakan dan ahli keluarga. Pada masa itu, kami akan bersorak gembira kerana menang dalam perjuangan tersebut.

    “Tetapi, sebelum kemenangan itu dapat dicapai, kami mahu semua pihak termasuk Rusia sentiasa ingat bahawa kami berjuang demi untuk kebebasan dunia,” jelas Fursin. – Agensi

  • Pengundi matang menilai calon terbaik-Dr. Ronald

    Pengundi matang menilai calon terbaik-Dr. Ronald

    PENGUNDI Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan terpengaruh dengan taktik UMNO yang memainkan sentimen lompat parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Mersing.

    Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ini kerana pengundi sudah matang malah akan menilai perkhidmatan penyandang kerusi DUN tersebut, Alwiyah Talib sebelum ini.

    Jelasnya, Alwiyah yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan khidmatnya selama empat tahun menjadi wakil rakyat di situ.

    “Kita tidak boleh hentikan mereka (guna kempen lompat parti) tetapi saya yakin pengundi di sini matang boleh bezakan calon terbaik. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau sudah buktikan peranan sebagai wakil rakyat selama empat tahun di sini.

    “Kita tidak boleh hentikan mana-mana pihak yang cuba untuk lemahkan calon PN, tetapi saya yakin pengundi DUN Endau boleh menilai wakil terbaik untuk menjadi wakil rakyat mereka,” katanya.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Dialog Industri Agromakanan Bersama Komuniti Agromakanan Negeri Johor di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, hari ini.

    Ronald berkata, kesemua 56 calon ditampilkan PN terdiri daripada pelbagai latar belakang, kumpulan umur dan mempunyai pengalaman.

    “Kita sudah tawarkan yang terbaik daripada segi calon termasuklah latar belakangnya dan komitmen mereka terhadap penduduk. Gabungan parti-parti PN juga telah bekerja keras untuk pastikan calon kita menjadi calon pilihan pengundi dan akan mengundi mereka,” katanya.

    Terdahulu, beliau memaklumkan 126 nelayan kelas Zon A telah diberikan lesen baharu selepas terlibat dalam proses pemutihan nelayan di Endau.

    Katanya, itu merupakan pendekatan baharu kementerian bagi memastikan nelayan tulen dibela dan diberi peluang kelangsungan hidup menerusi hasil tangkapan laut secara berterusan tanpa masalah.

    Jelasnya, setakat ini secara keseluruhan seramai 2,000 hingga 3,000 nelayan baharu dipilih dan ditawarkan lesen berkenaan di seluruh negara menerusi proses pemutihan itu.