Author: Admin

  • Tokoh seniman Rahman B meninggal dunia

    Tokoh seniman Rahman B meninggal dunia

    TOKOH Seniman Negara Abdul Rahman Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Rahman B meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 4.33 petang tadi.

    Berita pemergian Rahman B. dimaklumkan cucunya Hussein Abdul Salam.

    Beliau memberitahu Rahman B., 87, meninggal dunia akibat pendarahan beku di paru-paru.

    “Jenazah akan dibawa dari HKL ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk dimandi dan dikafankan. Setelah itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas Zohor esok,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Dilahirkan pada 18 Mei 1935 di Kapar, Klang, Rahman B. merupakan penerima Anugerah Seniman Negara 2004.

    Allahyarham berkecimpung dalam dunia bangsawan sejak berusia lapan tahun iaitu bermula awal 1940-an dan mewarisi darah seni yang dimiliki oleh ibu bapanya yang juga penggiat bangsawan, Abu Bakar Saleh dan Kasminah Taib. – Bernama

  • Zulkifli bergegas bersihkan surau dilanda banjir kilat

    Zulkifli bergegas bersihkan surau dilanda banjir kilat

    WALAUPUN belum bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Larkin, Zulkifli Bujang tidak menunggu untuk turun padang menabur khidmat apabila membantu mangsa banjir, petang tadi. 

    Zulkifli bergegas ke kawasan berhampiran Surau Jalan Tiong, Larkin, Johor, selepas dimaklumkan kejadian banjir kilat di kawasan itu.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba di situ, sebahagian daripada surau itu ditenggelami air dan lumpur menyebabkan kerosakan teruk pada projek agro yang diusahakan komuniti di kawasan itu.

    “Mereka tanam sayur-sayuran, menternak ikan, udang dan sebagainya. Semuanya habis musnah disebabkan air banjir selepas hujan lebat selama beberapa jam. 

    “Ini menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000. Anak pokok dan semaian yang baru sahaja mereka usahakan habis musnah,” katanya selepas selesai membantu pihak surau membersihkan kawasan yang terjejas.

    Zulkifli turut menunaikan solat Maghrib berjemaaah di surau itu sebelum meneruskan kerja pembersihan. 

    Dalam pada itu, Zulkifli yang juga bekas wartawan Bernama TV itu turut menyeru pihak yang bertanggungjawab untuk menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu.

    “Saya menyeru dan menggesa kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu syarikat pemaju yang melakukan projek jalan keretapi di sebelah Surau Jalan Tiong ini supaya mengambil tindakan yang segera atau membuat langkah yang sewajarnya,” tegasnya.

    Pada tahun 2019, kawasan ini pernah ditenggelami banjir akibat limpahan air sungai sehingga paras air mencecah separuh badan.

    Zulkifli yang juga Bekas setiausaha akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin antara muka baharu yang ditampilkan oleh PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

  • KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar hampir RM24 juta

    KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar hampir RM24 juta

    BAHAGIAN Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) merampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM23,956,851 menerusi serbuan di 1,332 premis sepanjang 2021 hingga 31 Januari tahun ini.

    Menurut jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini, KKM memaklumkan serbuan berterusan ke atas premis-premis atau penjual tersebut berdasarkan pemantauan dalaman dan pengesahan ke atas aduan yang diterima daripada orang awam.

    “Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual produk kesihatan tidak berdaftar akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” menurut KKM menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang mahu kementerian itu menyatakan pemantauan penjualan ubat-ubatan dalam talian memandangkan masih banyak produk berbahaya dan tidak berdaftar diiklankan secara berleluasa.

    KKM memberitahu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melibatkan pengiklanan dan penjualan ubat tidak berdaftar secara dalam talian.

    Sejak 2020, pihak syarikat pengendali platform telah diarahkan untuk menyekat sebarang produk ubat-ubatan tidak berdaftar dan sebanyak 8,145 iklan produk tidak berdaftar telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara sepanjang 2021.

    “Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga terlibat dalam operasi dan aktiviti antarabangsa yang memberi tumpuan kepada laman sesawang dan media sosial yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya seperti Operasi Pangea, Projek Energia dan penyediaan Toolkit to Combat Illegal Internet Medical Product Sales.

    “Begitu juga kerjasama dengan pihak Interpol (Polis Antarabangsa) dan agensi penguatkuasaan lain dalam dan luar negara juga diadakan secara berkala bagi memastikan ubat-ubatan yang dijual secara dalam talian tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia,” menurut KKM. – Bernama

  • Pakar ekonomi sangkal kenyataan Najib hutang 1MDB tak guna dana awam

    Pakar ekonomi sangkal kenyataan Najib hutang 1MDB tak guna dana awam

    KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak benar dan tepat.

    Pakar ekonomi, Datuk Dr. Nungsari Ahmad Radhi menegaskan, semua hutang 1MDB mempunyai kadar faedah yang perlu dilangsaikan dan itu perlu dibayar oleh kerajaan.

    “Dalam konteks 1MDB, syarikat pelaburan tersebut juga mengeluarkan bon untuk berhutang.

    “Jadi dakwaan Najib tidak betul. Bon itu ada faedah. Jadi, siapa yang membayar faedah ini? Kerajaanlah yang bayar.

    “Ini tak termasuk dengan duit pokok (prinsipal). Hutang ini perlu dibayar pada ketika ia matang. Mungkin pada tahun ini, tahun depan atau tahun seterusnya.

    “Perlu diingat 1MDB mengeluarkan bon menggunakan jaminan kerajaan. Oleh itu ia dikira sebagai liabiliti kerajaan. 1MDB tidak ada duit nak bayar, sebab itu kerajaan yang kena bayar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bon merujuk kepada sijil pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau perbadanan, yang menunjukkan bahawa sejumlah wang telah dipinjamkan dan akan dibayar balik berserta faedah.

    Najib pada sidang Parlimen pada Rabu memberitahu, tiada satu sen dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

    Bagaimanapun, Nungsari berkata, dalam mahkamah di Amerika Syarikat, bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku membantu menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1MDB.

    “Malah pada tahun lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan juga mengumumkan telah memperoleh semula RM1.9 bilion lagi dana 1MDB yang dicuri dengan bantuan DOJ yang menyerahkan wang itu ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

    “Jadi, wang dan harta yang disita daripada individu yang mencuri duit 1MDB datang secara berperingkat. Ini akan melibatkan beberapa tahun setelah bon dikeluarkan,” katanya.

  • Projek ‘meNajib dan mengZahidkan’ UMNO di Johor

    Projek ‘meNajib dan mengZahidkan’ UMNO di Johor

    OLEH SALADIN HASAN SALLEH

    SETELAH menganalisis senarai calon BN di PRN Johor, kesimpulan yang boleh dibuat ialah : ‘Kluster mahkamah semakin mengukuhkan cengkaman ke atas UMNO.’

    Tiada lagi orang Hishamuddin Hussein atau Khaled Nordin (dua warlord Johor), jauh sekali orang-orang PM, Ismail Sabri Yaakob. Sebaliknya, kesemua mereka loyalist Najib Razak dan Zahid Hamidi.

    Pembersihan dibuat sehingga 70 peratus calon yang diketengahkan adalah muka baharu. Zahid dakwa ia bukti bahawa UMNO sudah berubah.

    Padahal, muka baharu sebenarnya lebih mudah diikat kesetiaannya, cukup dengan bermodalkan watikah pelantikan calon ditandatangani Zahid selaku Pengerusi BN.

    Baki 30 peratus calon pula, terdiri daripada muka lama yang berada dalam senarai putih. Kesetiaan mereka tidak perlu disangsikan lagi.

    Sebagai ‘pengawas’ kepada pasukan yang ingin dibentuk ini, Puad Zakarshi, loyalist nombor satu Najib dan Zahid diturunkan buat kali pertama di kerusi DUN.

    Banyak suara mengatakan Puad yang juga ahli MT UMNO ada kualiti sebagai Menteri Besar Johor atau sekurang-kurangnya Exco Kanan (a.k.a Menteri Besar di sebalik tabir).

    Inilah projek ‘meNajib dan mengZahidkan’ UMNO di Johor. Untuk tunjuk mereka masih relevan, sambil menyusun kekuatan untuk berdepan sesiapa sahaja pada pemilihan parti akan datang, waima dari kem Ismail Sabri.

    Cengkaman total amat penting kerana kluster mahkamah cukup yakin UMNO akan kembali berkuasa melalui PRU-15 (benarkah begitu?).

    Sekiranya didapati bersalah di mahkamah sewaktu UMNO sudah kembali memerintah, masih ada cara sah boleh diusahakan untuk dapat pembebasan.

    Formula pembebasan Anwar Ibrahim (guru Zahid) oleh PM kerajaan PH, Dr Mahathir Mohamad boleh dikitar semula kerana politik itu adalah seni serba kemungkinan.

    Lebih-lebih lagi di tangan kluster mahkamah yang terdesak kerana sebelah kakinya sudah berada dalam penjara akibat mengkhianati rakyat dan negara.

    Sebagai rekod, Mahkamah Tinggi, menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

    Tiga hakim Mahkamah Rayuan juga mengekalkan sabit kesalahan dan hukuman penjara itu.

    Zahid pula, diperintahkan Mahkamah Tinggi supaya membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi – sebuah yayasan yang ditubuh untuk membantu orang miskin.

    Berdasarkan senario ini, kemaraan kluster mahkamah wajib disekat dan kuasa itu hanya ada pada tangan Bangsa Johor. Tidak mungkin Bangsa Johor yang ada class sanggup bersekongkol dengan kemungkaran.

    Malulah sikit BossKu!

  • 21 kompaun langgar SOP ketika kempen PRN Johor

    21 kompaun langgar SOP ketika kempen PRN Johor

    JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan 21 kompaun sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula Sabtu lepas, kata Pengarahnya Datuk Dr Aman Rabu.

    Beliau berkata setakat 2 petang tadi, kompaun yang dikeluarkan ke atas individu dan penganjur program yang termasuk dalam kempen PRN Johor itu disebabkan kesalahan umum tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

    “Saya menasihati agar semuanya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

    Dr Aman berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan JKNJ melibatkan kompaun yang dikeluarkan sepanjang kempen PRN tersebut.

    Pada 14 Februari lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengarahkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun kepada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Bendahari Agung Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

    Selain itu, penganjur program tinjaun mesra Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen Pulai, Ahad lepas, turut dikompaun.

    Sehari sebelum itu, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Azrol Ab Rahani yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikompaun RM1,000 kerana gagal membuat penjarakan fizikal iaitu melakukan laga penumbuk di Dewan Raya Bandar Putra, Kulai.

    Terbaharu, tiga kompaun bernilai RM3,000 dikenakan terhadap penganjur ceramah mega pertama anjuran Pakatan Harapan, malam Selasa. – Bernama

  • Isu Najib:Muhyiddin jawab tuduhan Tun Mahathir

    Isu Najib:Muhyiddin jawab tuduhan Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau yang mengakibatkan usaha menolak Datuk Seri Najib Razak terbantut.

    Sebaliknya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, beliau yang menentang Najib sehingga dihadapkan ke mahkamah.

    “Apa saya pula yang dikatakan menggagalkan usaha untuk menghadapkan Najib kepada apa-apa perkara yang mereka telah lakukan?

    “Saya menentang mereka sebab itu saya jatuh. Saya tidak sedia untuk kompromi dengan apa yang telah dilakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi santai petang bersama masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Muar, hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan sepanjang sesi santai bersama-sama dengan pengundi Cina di DUN Gambir, beliau turut memaklumkan mengenai kerosakan yang telah dilakukan Barisan Nasional (BN) kepada negara.

    “(Ia melibatkan) kecurian wang yang besar, kes yang dibicarakan di Amerika Syarikat (AS) membabitkan Datuk Seri Najib…

    “Jadi, saya bercakap dan mereka seperti faham. Saya katakan, (adalah) terbaik untuk pilih PN,” ujarnya.

    Terdahulu, Dr. Mahathir dalam suratnya mendakwa rakyat Johor merupakan antara rakyat Malaysia yang berjaya menyekat kemaraan Najib.

    Malangnya, kata Dr. Mahathir lagi, perbuatan Muhyiddin yang ingin menjadi Perdana Menteri, menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

    Dr. Mahathir menambah, kerana (Muhyiddin) mengejar nafsu untuk jadi Perdana Menteri, beliau dan beberapa rakan yang berpegang kepada prinsip dan menolak kerjasama dengan UMNO telah disingkir.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kes melibatkan Najib tidak ada kaitan dengan politik.

    “Saya fikir Najib sudah dihadapkan ke muka pengadilan.

    “Jadi mahkamah akan buat keputusan… jadi ini bukan soal politik lagi, ini lebih kepada undang-undang.

    “Itu saya fikir itu adalah lebih utama,” ujar Muhyiddin.

  • Percubaan kedua Rosmah mohon hakim tarik diri satu penyalahgunaan proses mahkamah

    Percubaan kedua Rosmah mohon hakim tarik diri satu penyalahgunaan proses mahkamah

    PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan percubaan kedua beliau untuk memohon Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes berkenaan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

    Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga mengetuai pendakwaan dalam kes itu,  Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata memandangkan Mohamed Zaini telah menolak permohonan sama supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu sebelum ini, ia hanya percubaan ulangan ke atas apa yang gagal tahun lepas.

    “Tetuan Geethan Ram memfailkan permohonan supaya hakim menarik diri itu sebelum ini dan kini permohonan sama difailkan oleh firma berbeza dan bermakna pada masa akan datang kami akan menyaksikan permohonan sama daripada firma lain. 

    “Ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, Yang Arif sudah mengeluarkan keputusan ke atas permohonan sama Disember tahun lepas. Permohonan ini tidak boleh diteruskan,” kata Sri Ram.

    Ini adalah kali kedua isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan sama selepas Mohamed Zaini  yang merupakan hakim sama di dalam perbicaraan kes hibrid solar Rosmah telah menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu pada 14 Dis lepas.

    Dalam keputusannya pada 14 Dis itu, Mohamed Zaini berkata berkata beliau berhati-hati untuk memastikan beliau tidak berprasangka terhadap Rosmah dalam kes pengubahan wang haram apabila merujuk kepada kenyataan dalam kes hibrid solar kerana seorang hakim perlu membuat pertimbangan secara berasingan dan bebas terhadap bukti ke atas tertuduh. 

    “Sebarang dapatan yang saya peroleh dalam kes solar kekal di sana.  Ia tanggungjawab saya yang berat atau kepada mana-mana hakim untuk memastikan tertuduh dibicarakan secara adil sebagaimana termaktub dalam Perkara 5  Perlembagaan Persekutuan, katanya.

    Sementara itu, peguam Rosmah Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata hujah pendakwaan yang menekankan permohonan ini tidak boleh dikatakan sebagai menyalahgunakan proses mahkamah kerana ia berdasarkan faktor yang berbeza.

    “Peranan Hakim Mohamed Zaini dalam beberapa kes jenayah berkaitan keluarga Rosmah termasuk Najib mungkin menyebabkan hakim itu tidak boleh menjalankan fungsi kehakimannya tanpa membuat pengadilan terlebih dahulu ke atas isu-isu, maka ini mengundang bahaya sebenar, iaitu berat sebelah kepada anak guam saya. 

    Kelemahan manusia adalah faktor penting untuk dipertimbangkan malah apabila ia menyentuh mereka yang dilatih supaya mempunyai minda adil dan bebas kerana seorang hakim tetap juga seorang manusia,” katanya.

    Firoz berkata penglibatan Mohamed Zaini dalam pelbagai kes melibatkan Rosmah mungkin mendedahkan anak guamnya kepada kesilapan mahkamah dan natijahnya mungkin mengurangkan keyakinan orang ramai ke atas badan kehakiman.

    Mohamed Zaini kemudian menetapkan 21 Mac ini untuk membuat keputusan permohonan itu.

    Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – Bernama

  • 56 calon PN angkat sumpah tolak rasuah esok-Muhyiddin

    56 calon PN angkat sumpah tolak rasuah esok-Muhyiddin

    SEMUA 56 calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan mengangkat sumpah menolak rasuah dan salah guna kuasa esok.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut bagi membuktikan kesungguhan gabungan itu dalam membentuk sebuah kerajaan Johor yang berintegriti dan berpegang kepada prinsip bersih.

    “Esok saya akan ke Johor Bahru lagi di mana semua calon kita seramai 56 orang akan angkat sumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak akan melakukan rasuah dan salah guna kuasa ataupun perkara yang boleh merosakkan negeri Johor.

    “Ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti yang berpegang kepada prinsip bersih, cepat dan tidak melakukan apa-apa yang boleh memudaratkan.

    “Jadi, bagi saya itu penting dan kita kekalkan soal pembangunan ekonomi dan pemulihan ekonomi negeri Johor,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita selepas sesi santai bersama masyarakat Cina di Dewan Undangan Negero (DUN) Gambir, Pagoh, hari ini.

    Jelasnya, sebuah jawatankuasa khas akan ditugaskan bagi memantau ikrar yang dibuat oleh PN, sekiranya parti tersebut diberikan mandat oleh pengundi Johor pada PRN Johor, 12 Mac ini.

    Tambah bekas Perdana Menteri itu, jawatankuasa khas tersebut akan dipilih daripada golongan profesional dan tokoh-tokoh Johor.

    “Kita telah membentuk banyak perkara jadi saya harap pengundi Johor akan meneliti perkara itu.

    “Kalau kita terpilih dan berupaya membentuk kerajaan, apa yang kita ikrarkan ini akan dipantau oleh sebuah jawatankuasa khas.

    “Janji ini bukan janji kosong… kita berpendapat di mana sekarang adalah cepatkan pemulihan negeri Johor,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berpandangan pembukaan sempadan negara perlu dilakukan demi memulihkan ekonomi Johor dengan lebih cepat.

    Pada PRN Johor kali ini, PN bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, Pas (15) dan Gerakan (lapan).

  • PRN Johor: Pilih calon berintegriti tinggi, tolak calon perasuah

    PRN Johor: Pilih calon berintegriti tinggi, tolak calon perasuah

    PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menyenaraikan lima panduan kepada pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan yang pertama ‘mesti pilih calon berintegriti tinggi dan tolak calon perasuah’.

    Menerusi satu kenyataan hari ini, panduan kedua yang diberikan MCW ialah memilih calon yang petah bercakap dan memahami isu setempat yang bukan sekadar bermain dengan emosi sahaja atau tersenyum kelat melayan rakyat.

    MCW pada masa sama turut menyeru para pengundi memerhatikan pergerakan jentera calon agar tidak memberi sogokan dan pastikan mereka patuh prosedur operasi standard (SOP) terkini.

    “Pastikan anda benar-benar kenal calon yang bertanding. Dari mana asalnya? Apakah sikapnya menepati karisma pemimpin berintegrti? Sejauh manakah mutu perkhidmatan calon tersebut selama ini? Adakah benar-benar layak atau ‘bidan terjun’?

    “Wakil rakyat terbaik ialah mereka yang sanggup mendengar sendiri aduan dan rintihan rakyat terutamanya golongan muda dan mampu membawanya ke peringkat atasan untuk diselesaikan,” jelas badan itu.

    Pada masa sama, MCW meminta orang ramai yang melihat atau mengesyaki berlaku pelanggaran peraturan berkempen atau undang-undang pilihan raya supaya menyampaikan maklumat itu di talian 010-8011472.

    “MCW adalah Pemerhati NGO Tempatan yang ditauliahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk PRN Johor.

    “Mohon bantu viralkan Siri Pendidikan Pengundi ini kepada semua rakyat negeri Johor yang akan mengundi pada minggu hadapan. Terima kasih,” jelasnya.