Author: Admin

  • Rakyat terus ditindas jika lantik pemimpin tidak amanah, rasuah

    Rakyat terus ditindas jika lantik pemimpin tidak amanah, rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz mengingatkan pengundi supaya tidak tersalalah memilih pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda PN Pusat berkata, mereka perlu memilih gabungan itu yang menawarkan pentadbiran bersih dan berintegriti.

    “Berkobar-kobar saya ingin memastikan aspirasi Perikatan Nasional dapat dilaksanakan.

    “Orang kata politik kotor. Namun tidak pada saya. Politik adalah satu tuntutan untuk kita mentadbir rakyat dengan adil dan saksama.

    “Bayangkan jika ketua yang dilantik itu makan rasuah dan tidak amanah, pasti rakyat akan terus ditindas dan hilang potensi,” katanya dalam entri terbaharu menerusi Facebook miliknya, hari ini

    Katanya, pilihan kini berada pada tangan pengundi untuk memilih parti yang akan mencorakkan masa depan mereka.

    “Jadi anda mahukan politik seperti apa? Bersih atau kotor? Biar saya beri jawapan.

    “Pilihlah ahli politik yang bersih dan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat,” ujar Ketua Pemuda Pas Johor itu.

  • RM19.4 bilion dana 1MDB diperoleh semula sehingga 31 Januari 2022

    RM19.4 bilion dana 1MDB diperoleh semula sehingga 31 Januari 2022

    KEMENTERIAN Kewangan pada Khamis mengumumkan jumlah dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah berjaya diperoleh semula sehingga 31 Januari lalu bernilai kira-kira RM19.14 bilion.

    Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata dana tersebut dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA).

    Katanya sebahagian besar dana diperoleh adalah daripada lima sumber utama merangkumi AS$1.23 bilion atau RM5.17 bilion daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) daripada Goldman Sachs, sebagai sebahagian jumlah penyelesaian yang dimuktamadkan pada Julai 2020 dan dikreditkan pada September 2020.

    “Sebanyak AS$80 juta atau RM336 juta diterima daripada Deloitte hasil penyelesaian global pada 24 Mei 2021 (dikreditkan pada Jun 2021); RM2.315 bilion daripada AmBank hasil penyelesaian global pada 5 Mei 2021 (dikreditkan pada Julai dan Disember 2021); dan AS$80 juta atau RM336 juta daripada KPMG hasil penyelesaian global pada 16 Disember 2021 (dikreditkan pada Januari 2022),” menurut kementerian itu.

    Dalam pada itu, katanya 1MDB telah melantik Parker Randall sebagai juruaudit untuk melaksanakan pengauditan ke atas penyata kewangan syarikat termasuk aset dan liabilitinya.

    Bagaimanapun, laporan penyata kewangan beraudit terkini masih belum dapat dimuktamadkan kerana juruaudit lama iaitu KPMG (2010, 2011 dan 2012) dan Deloitte (2013 dan 2014) telah menarik balik laporan dan pandangan mereka terhadap penyata kewangan syarikat.

    “Justeru itu, jumlah kerugian sebenar 1MDB pada masa ini tidak dapat ditentusahkan,” katanya. – Bernama

  • Muhyiddin terima 100 borang keahlian baharu Bersatu

    Muhyiddin terima 100 borang keahlian baharu Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima 100 kemasukan ahli baharu parti tersebut.

    Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Nasional (PN) memberitahu, keahlian baharu Bersatu itu datangnya dari sekitar Sungai Terap, Muar.

    Bekas Perdana Menteri itu turut memuat naik foto penyerahan borang keahlian tersebut dalam Facebook rasmi beliau.

    “Alhamdulillah, hari ini saya menerima 100 keahlian baharu BERSATU. Borang disampaikan oleh Saudara Khalil bin Mohamed yang mewakili penduduk sekitar Sungai Terap, Muar.

    “Terima kasih atas sokongan anda kepada BERSATU dan Perikatan Nasional,” tulisnya dalam kemas kini terbaharu Facebook beliau.

  • ‘Integriti mengikat kewibawaan seseorang’:Zulkifli Bujang

    ‘Integriti mengikat kewibawaan seseorang’:Zulkifli Bujang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang menyifatkan integriti amat penting malah mengangkat martabat seseorang terutama pemimpin.

    “Integriti adalah frasa yang mengikat soal kewibawaan seseorang. Integriti yang tinggi sentiasa menjadi ukuran paling penting apabila menyentuh soal kepimpinan.

    “Atas tanggungjawab ini, lafaz yang diungkap dan kata yang disebut akan sentiasa dijadikan ingatan paling penting dalam kehidupan,” katanya menerusi kemas keini dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Menurutnya, beliau bersama-sama semua calon PN mengangkat sumpah akujanji serta menandatangani akuan integriti di sebuah majlis khas, di sebuah hotel di Senai, Kulai, hari ini.

    Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan semua 56 calon PN mengangkat sumpah akujanji serta menandatangani akuan integriti di sebuah majlis khas, di Senai, Kulai, hari ini

    “Tengah hari tadi, disaksikan seluruh rakyat Malaysia, calon-calon parti PN telah melafaz dan menandatangani Ikrar Aku Janji Integriti Calon termasuk juga saya yang menjadi calon Nombor 4 di kerusi N.44 Larkin,” katanya.

    Majlis bacaan ikrar dan angkat sumpah itu diketuai Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bagi membuktikan kesungguhan parti gabungan berkenaan untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti dan bersih.

    Akuan sumpah itu adalah kali kedua dilakukan PN, selepas kali pertama ketika PRN Melaka, tahun 2021 dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pendekatan itu akan dijadikan amalan selepas ini bagi menghadapi mana-mana pilihan raya.

  • Pilih PN untuk politik matang, sejahtera:Ahmad Nawfal

    Pilih PN untuk politik matang, sejahtera:Ahmad Nawfal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz yakin kira-kira 700,000 belia Johor mampu membuat perubahan terhadap negara.

    Ketua Pemuda PN Pusat itu menyifatkan anak muda mahukan perubahan dalam landskap politik tempatan.

    “Anak muda merupakan pewaris generasi kepimpinan pada masa hadapan. Kita tidak boleh memandang rendah terhadap potensi belia Bangsa Johor. Walhal potensi mereka lebih hebat dari jangkaan!

    “Melalui aspirasi kesegaran politik, saya yakin dan percaya anak muda Parit Yaani sangat matang dalam memilih corak politik semasa.

    “Pilihlah calon bersih daripada rasuah. Pilihlah calon yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Anak muda memilih Perikatan Nasional,” tulisnya dalam Facebook milik beliau, hari ini.

    Dalam ‘posting’ sebelum itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Johor bersyukur kerana semasa berkempen diterima masyarakat Parit Yaani.

    “Bila dapat saya kenalkan diri. Cukup bersyukur rasanya bila diterima dalam #KeluargaParitYaani ini.

    “Bersedia untuk mengundi pada 12 Mac nanti. Jadilah sebahagian daripada sejarah Johor atas kejayaan Perikatan Nasional,” katanya.

  • Kanak-kanak 11 tahun maut terjatuh tingkat empat

    Kanak-kanak 11 tahun maut terjatuh tingkat empat

    SEORANG budak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat empat di sebuah pangsapuri di Puncak Alam, Sungai Buloh, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9 pagi.

    Menurutnya, mangsa disyaki terjatuh dari tingkap bilik yang terbuka di kediaman berkenaan dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

    “Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Shafa’aton berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Setakat ini, kita tidak menemui sebarang unsur jenayah, kita sedang menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Pegawai penguat kuasa direman, miliki lombong bitcoin, terima bayaran bulanan sindiket

    Pegawai penguat kuasa direman, miliki lombong bitcoin, terima bayaran bulanan sindiket

    SEORANG pegawai penguat kuasa di Perak ditahan awal pagi tadi kerana disyaki melindungi pusat-pusat perlombongan bitcoin dengan bayaran RM12,000 sebulan di negeri itu.

    Menurut sumber, suspek yang berusia 34 tahun itu juga disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri bekalan elektrik, dan penahanannya dibuat susulan soal siasat ke atas seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara.

    Beliau berkata suspek kini direman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengenai kegiatan sindiket perlombongan bitcon, dan disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    “Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh. Selain itu, hasil soal siasat juga mendedahkan bahawa wujud kegiatan pemilikan pusat-pusat perlombongan bitcoin dalam kalangan pegawai tinggi agensi penguatkuasa, namun pusat-pusat ini dijalankan oleh ahli sindiket bagi pihak pegawai terbabit,” kata sumber itu kepada Bernama.

    “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak bahawa akan ada lagi tangkapan berhubung perkara ini dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” tambahnya.

    Selasa lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik dari 2018 hingga 2021 mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian mencecah RM2.3 bilion.

    Susulan itu SPRM menahan 18 lelaki warga tempatan termasuk dalang berusia antara 30-an hingga 60-an di seluruh negara.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur seorang pengarah syarikat pendawaian direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) membabitkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Farahain Roslan selepas membenarkan permohonan reman oleh SPRM.

    Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009. – Bernama

  • Calon PN hasrat wujud peluang pekerjaan, perniagaan di DUN Semarang

    Calon PN hasrat wujud peluang pekerjaan, perniagaan di DUN Semarang

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A. Hamid menyeru pengundi terutama di kawasan itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Katanya, ini bagi menentukan kerajaan yang bakal dibentuk benar-benar menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta negeri ini.

    Sekiranya diberi mandat kata Shazani, antara tumpuan yang akan diberikan adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan agar dapat menjana ekonomi setempat dan juga menyumbang pembangunan ekonomi negeri.

    “Apa yang saya harapkan supaya anak-anak muda dapat sama-sama membangunkan Ayer Hitam, khususnya DUN Semarang agar dapat mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih lagi kepada masyarakat di sini.

    “Di samping itu, saya juga akan meneliti peluang warga DUN Semarang untuk memiliki rumah mampu milik, bukan sahaja sekadar mampu tengok,” katanya ditemui selepas Majlis Ikrar Calon PN PRN Johor dan Menandatangani Akuan Integriti di di Hotel Impiana, Senai, Kulai, hari ini.

    Seramai 56 calon PN hadir dalam Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon PN PRN Johor 2022.

    Pada PRN Johor bagi kerusi DUN Semarang, Shazani akan menentang penyandang kawasan itu Datuk Samsol Bari Jamali (BN), Adzlan Raju (Parti Pejuang Tanah Air), dan Haryati Abu Nasir (Parti Keadilan Rakyat).

  • Dr Mahathir ‘geli’ Najib cakap bayar hutang 1MDB tak guna wang rakyat

    Dr Mahathir ‘geli’ Najib cakap bayar hutang 1MDB tak guna wang rakyat

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau ‘geli’ apabila mendengar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa wang rakyat tidak digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “SAYA geli mendengar Najib bercakap dalam Dewan Rakyat bahawa kononnya hutang (1MDB) ditanggung kerajaan, tak perlu bayar satu sen pun,” katanya seperti dilaporkan Utusan TV hari ini.

    Beliau membidas Ahli Parlimen Pekan tersebut yang mendakwa tiada satu pun wang rakyat digunakan untuk membayar hutang prinsipal 1MDB, semalam.

    Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mendakwa, banyak wang kerajaan terpaksa digunakan untuk menghapuskan hutang dan faedah membabitkan 1MDB.

    Atas dasar itulah, kata beliau, kerajaan kekurangan wang untuk membangunkan negara serta memberi khidmat kepada rakyat.

    “Inilah Najib, hutang tak bayar (tapi) curi duit, tambah lagi hutang, sebab itulah orang ketawa terhadap dakwaannya yang dibuat dalam Dewan Rakyat.

    “Najib ini satu manusia yang luar biasa, dia curi duit depan, dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah tetapi dia tak malu,” katanya dalam program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam, hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani semalam, Najib ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat semalam berkata, tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

    Menurut Najib, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

    Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.

    Dr Mahathir turut menyeru pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan kedewasaan menolak parti yang terpalit dengan rasuah.

    Kata beliau, sekiranya pengundi tetap memilih UMNO mahu pun Perikatan Nasional (PN) tiada perubahan yang dapat dinikmati dari segi pentadbiran negeri Johor.

    “Mereka ini terperangkap dengan dasar iaitu apabila memerintah mereka lihat peluang utk curi duit dan rakyat menderita terpaksa bayar hutang yang banyak,” jelas beliau.

  • PN berpeluang cipta kemenangan dalam PRN Johor-Tuan Ibrahim

    PN berpeluang cipta kemenangan dalam PRN Johor-Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang untuk mencipta kemenangan.

    Beliau berkata, keyakinan itu selepas melihat ‘mood’ sebahagian pengundi di negeri tersebut.

    “Kempen berjalan lancar, tiada sangat apa. Yang bercanggah dengan peraturan cuma kita nampak satu dua kain rentang nakal yang akan diturunkan oleh pihak berkuasa.

    “Tapi setakat ini perjalanan baik, pematuhan kepada SOP juga tinggi, dari segi sambutan kita jangka dan harap PN catat kejayaan berdasarkan respon daripada tinjauan kita buat positif,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Jelas Tuan Ibrahim, sepanjang kempen berlangsung setakat ini, sebahagian peraih undi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Suasana kempen juga sihat dengan tiada insiden yang menjejaskan perjalanan kempen.

    Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada juga sepanduk dan kain rentang yang nakal dan mengundang provaksi dan mungkin bertentangan dengan peraturan.

    Pun begitu, pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau perjalanan kempen parti politik supaya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).