Author: Admin

  • PRN Johor:Penceramah dibenarkan buka pelitup muka ketika berceramah

    PRN Johor:Penceramah dibenarkan buka pelitup muka ketika berceramah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) membenarkan penceramah membuka pelitup muka semasa berceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut SPR, kebenaran tersebut hanya diberikan semasa berceramah dan selepas menyampaikan syarahan perlu memakai semula pelitup muka.

    “Pindaan pada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor Ke-15 berkuat kuasa serta merta.

    “Sementara semua yang hadir mendengar ceramah dalam kempen hendaklah sentiasa memakai pelitup muka. Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter antara individu hendaklah sentiasa dikekalkan,” jelas SPR dalam kenyataan hari ini.

    SPR memaklumkan, semua ahli atau jentera parti yang hadir dalam mesyuarat parti wajib memakai pelitup muka sepanjang masa serta menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.

    “Aktiviti bersalaman adalah dilarang,” tegas SPR lagi.

    SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan Covid-19 tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

    Ketetapan baharu itu berdasarkan pindaan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Semalam satu sesi ceramah yang dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tegang seketika apabila seorang pegawai kesihatan cuba memberi amaran kepada pemimpin politik itu untuk mematuhi SOP.

    Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meluahkan kekecewaannya apabila ditegur kerana menanggalkan pelitup muka ketika hendak memulakan ucapannya di ketika berucap di Jalan Bakawali di sini.

    Tegas beliau, perkara itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menganggap peraturan sedemikian hanya menyukarkan lagi perjalanan kempen dan ceramah ketika PRN Johor.

  • Dua maut, lori rempuh motosikal berteduh bawah jejambat

    Dua maut, lori rempuh motosikal berteduh bawah jejambat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA penunggang motosikal maut dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah lori dengan sembilan motosikal di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Gurun, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, (ACP) Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.40 petang ketika kesemua motosikal tersebut diletakkan di bawah jejambat berikutan hujan lebat.

    Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua sembilan motosikal tersebut diletakkan secara dua lapis di lorong kecemasan dan kesemua penunggang berada di sisi motosikal masing-masing.

    “Tiba-tiba, sebuah lori yang bergerak di lorong kiri lebuh raya merempuh kesemua motosikal tersebut dari arah belakang.

    “Berikutan itu, dua penunggang motosikal berusia 28 dan 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan,” katanya.

    Tambahnya, pihaknya sudah pun menahan pemandu lori tersebut yang berusia 28 tahun dan berasal dari Bachok, Kelantan bagi membantu siasatan.

    “Permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah dan dia juga didapati bebas dari pengaruh alkohol.

    “Kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • ‘Kita perlu buat perubahan’-Hadi Awang

    ‘Kita perlu buat perubahan’-Hadi Awang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu rakyat membuat perubahan kerana sudah 60 tahun diperintah sebuah parti sehingga berlaku banyak kelemahan, salah laku dan kes rasuah.

    “PRU-14 pula menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang dengan manifesto yang tidak masuk akal. Sehinggakan janji mereka hanya tinggal janji, malah mencabar kedaulatan Islam dan institusi diraja.

    “Akhirnya kita berjaya membuat perubahan di peringkat nasional dengan mengubah kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional,” katanya dalam Facebook miliknya.

    Katanya, sepanjang pemerintahan PN banyak memberikan bantuan kepada rakyat yang ditimpa banyak musibah antaranya paling teruk ketika menghadapi wabak Covid-19 dan banjir di banyak negeri.

    “Tiba-tiba ada sebahagian pimpinan UMNO mahu bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membentuk jajaran baru.

    “Pesanan saya buat rakyat Johor, pilihlah calon yang berintegriti, berkebajikan dan tidak terpalit dengan penyakit rasuah dan salah laku,” katanya.

    Beliau mengakhiri catatan dalam Facebook dengan serangkap pantun.

    Kalau hendak memilih cincin,
    Pilihlah cincin muat di jari,
    Kalau hendak memilih pemimpin,
    Pilih pemimpin bermaruah diri.

  • Rekod penjara 1,050 tahun, rogol anak tiri dikurangkan kepada 42 tahun

    Rekod penjara 1,050 tahun, rogol anak tiri dikurangkan kepada 42 tahun

    MAHKAMAH Tinggi di Klang hari ini mengetepikan hukuman penjara 1,050 tahun yang disifatkan rekod hukuman penjara tertinggi setakat ini bagi kesalahan merogol dijatuhkan terhadap seorang lelaki kerana merogol anak perempuan tirinya.

    Hakim Datuk Azmi Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan lelaki berusia 34 tahun itu terhadap hukuman penjara berkenaan dan mengurangkan hukuman kepada 42 tahun tetapi mengekalkan hukuman 24 sebatan dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Januari tahun lalu.

    Hakim Azmi menyemak semula hukuman penjara 1,050 tahun yang dijatuhkan sebelum ini selepas lelaki itu mengaku bersalah atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya sejak remaja itu berusia 12 tahun dan meminda hukuman itu kepada 14 tahun penjara bagi setiap tahun kesalahan itu dilakukan pada 2018, 2019 dan 2020.

    Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berasingan. Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman itu selama 42 tahun.

    Dalam penghakimannya, beliau berkata hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen adalah bersifat suatu mengikut perasaan dan jelas terlampau berlebihan serta ia adalah suatu ‘crushing sentence’.

    “Mahkamah ini mendapati hukuman 1,050 tahun adalah satu hukuman yang sememangnya tidak munasabah kerana ia tidak mungkin akan dapat dijalani kerana perayu tidak mungkin akan mencapai umur itu. Malahan umur 100 tahun pun jarang dicapai seisi penduduk dunia,” katanya.

    Beliau berkata dari segi hukuman, Seksyen 377B Kanun Keseksaan (kesalahan rogol) memperuntukkan bahawa hukuman penjara yang boleh dijatuhkan adalah mencapai 20 tahun dan dengan itu hukuman 10 tahun penjara bagi setiap pertuduhan adalah satu hukuman yang berada di dalam kerangka hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen.

    “Hakim Mahkamah Sesyen di dalam kes ini menggunakan budi bicaranya untuk kesemua 10 tahun itu berjalan secara berasingan dan ini menjadikan hukuman itu mencecah 1,050 tahun penjara iaitu satu jumlah yang boleh dikatakan sebagai satu rekod untuk pemenjaraan di negara kita.

    “Setakat ini, tidak ada nas yang mengatakan bahawa jumlah hukuman yang boleh dijatuhkan tidak boleh melebihi suatu angka yang disifatkan maksimum. Namun begitu, mahkamah dalam menjatuhkan hukuman perlu menilai banyak faktor,” katanya.

    Bagaimanapun Hakim Azmi berkata mahkamah tidak boleh memandang sepi terhadap apa yang dialami mangsa yang baru berusia 12 tahun semasa kejadian jenayah bermula.

    Pada 27 Januari tahun lalu, lelaki itu mengaku bersalah atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020 mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin manakala perayu diwakili peguam V Vemal Arasan dan K A Ramu. – Bernama

  • Ikrar PN tiada rakyat yang tertinggal

    Ikrar PN tiada rakyat yang tertinggal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) memberi jaminan tiada seorang pun rakyat yang akan tertinggal jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Juseru kata calon PN bagi DUN Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz , rakyat terutama perlu memberi kepercayaan kepada gabungan itu.

    “Ikrar PN tiada tiada yang tertinggal. Kita akan bantu dan terus bantu. Cari yang mana perlu dibantu. Parit Yaani perlu dibangunkan.
    Misi kita mentadbir dan memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Pejuang isu peluang pekerjaan anak tempatan di RAPID

    Pejuang isu peluang pekerjaan anak tempatan di RAPID

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Mohd. Faizal Asmar nekad memperjuangkan isu berkaitan peluang pekerjaan untuk anak tempatan di Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

    Mohd. Faizal yang juga bekas pemain bola sepak Johor mendakwa, anak jati Pengerang cuma meliputi kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan sedia ada di RAPID kerana banyak dimonopoli oleh pekerja asing dan rakyat Malaysia dari negeri lain.

    Katanya, isu itu yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi mewujudkan keseimbangan sosioekonomi tempatan.

    “Penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menjadi antara punca pengangguran anak muda tempatan yang kini aktif mencari peluang pekerjaan, turut mendesak penyelesaian segera.

    “Saya mendapat maklumat bahawa projek minyak dan gas di Sarawak, Sabah serta Terengganu amat mengutamakan anak tempatan, namun mengapa Pengerang tidak melakukan perkara yang sama?

    “Kalau boleh, kita hendak memberi mereka pekerjaan tetap yang ada manfaat SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) agar nasib mereka terbela dan terjamin untuk jangka panjang berbanding pekerjaan yang mengamalkan sistem kontrak,” katanya ketika ditemui di Bandar Penawar.

    Penawar adalah satu daripada dua DUN, termasuk Tanjung Surat dalam kawasan Parlimen Pengerang.

  • Jurujual parah ditikam rakan mabuk

    Jurujual parah ditikam rakan mabuk

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BAHANA mabuk, seorang jurujual lelaki parah ditikam rakannya selepas kedua-dua mereka menikmati minuman keras di sebuah restoran, Jalan Simpang Empat, Alor Setar, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa yang berusia 38 tahun dikatakan minum bersama suspek berusia 60-an di restoran tersebut sebelum kedua-duanya dipercayai mabuk.

    “Saksi mendakwa, kedua-dua mereka berperang mulut dalam keadaan mabuk sebelum berlaku pergelutan.

    “Dalam pergelutan itu, mangsa dikatakan ditikam suspek yang merupakan seorang mekanik menggunakan gunting. Ekoran itu, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta Alor Setar,” katanya.

    Berikutan kejadian itu katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan selain terdapat pendarahan di paru-paru kanan.

    “Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Suspek pula berjaya diberkas dan pihak kami turut merampas gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

    Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

  • KPM hentikan sistem penggiliran di sekolah rendah apabila beralih fasa endemik

    KPM hentikan sistem penggiliran di sekolah rendah apabila beralih fasa endemik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SISTEM penggiliran kehadiran murid di sekolah rendah akan dihentikan mengikut keadaan semasa ketika negara beralih fasa endemik.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sistem itu tidak akan dihentikan sehingga kadar vaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) mencapai 100 peratus.

    Beliau menjelaskan, dalam konteks tersebut, KPM kita melihat peratusan vaksinasi murid sekolah rendah sebagai rujukan kerana tidak tahu bila akan mampu mencapai kadar 100 peratus.

    “Jika peratusan vaksinasi tidak meningkat jadi sampai bila kita hendak gilirkan anak-anak?

    “Adakah kita tidak akan buka sekolah sepenuhnya? Jadi, kita tidak memutuskan (melihat) kepada nisbah atau peratusan vaksinasi tetapi kita akan melihat kepada keadaan semasa dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Penerangan Akujanji Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Renaissance Johor Bahru
    hari ini.

    Dr. Mohd. Radzi mengulas sama ada pihak kementerian akan meletakkan satu sasaran pengambilan vaksinasi dalam program PICKids untuk menghentikan sistem penggiliran sekolah rendah.

    Kelmarin, beliau dilaporkan berkata, sekolah rendah yang mempunyai jumlah enrolmen melebihi 600 murid perlu mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima pada Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023, tidak lama lagi.

    Mengulas lanjut, Dr Mohd Radzi berkata, apa yang penting apabila sampai masa yang sesuai KPM akan kembalikan murid sekolah rendah termasuk sekolah yang muridnya melebihi 600 orang tanpa sistem penggiliran.

    “Kita akan pastikan anak-anak ini dapat hadir ke sekolah tanpa penggiliran dalam mana negara sedang berpindah ke fasa endemik,’ katanya.

    Menurutnya, ketika ini data KKM merekodkan 32.3 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mengambil vaksinasi berbanding pelajar sekolah menengah yang mencapai lebih 50 peratus.

    Katanya, kadar vaksinasi sekolah masih rendah berbanding sekolah menengah dan untuk itu, KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM supaya dapat membantu dalam memudah cara proses vaksinasi mereka.

  • 1MDB:Dewan Rakyat minta Najib beri penjelasan

    1MDB:Dewan Rakyat minta Najib beri penjelasan

    SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun meminta Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengemuka penjelasan berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat, minggu lalu.

    Beliau memaklumkan, bekas Perdana Menteri itu perlu memberi penjelasan Rabu ini berkenaan intipati perbahasannya yang menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kewangan negara.

    “Sebagaimana amalan biasa, saya sudah menulis kepada Yang Berhormat Pekan untuk meminta penjelasan serta Menteri Kewangan untuk memberi penjelasan apa yang beliau katakan dalam dewan.

    “Saya sedang menunggu jawapan. Saya meminta beliau memberi penjelasan Rabu ini. Tapi tidak tahulah beliau dapat beri penjelasan atau tidak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

    Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangun meminta penjelasan Azhar sama ada usul dikemuka Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua untuk merujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sudah diterima atau sebaliknya.

    Usul itu antara lain mendakwa perbahasan Najib berkaitan isu 1MDB serta hutang dan kewangan negara pada minggu lalu, didakwa cuba mengelirukan dewan.

    Rayer juga mendakwa, usul itu perlu diputuskan segera memandangkan ia boleh memberi kesan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, iaitu hari mengundinya ditetapkan pada Sabtu ini.

    Ketika sesi perbahasan Najib minggu lalu, Rayer turut digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama sehari, selepas beliau ingkar arahan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor untuk duduk selepas berkali-kali cuba mengganggu perbahasan Najib.

    Dalam perbahasan Najib itu, Rayer dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkali-kali membangkitkan isu 1MDB dan meminta Ahli Parlimen Pekan itu supaya menghentikan perbahasannya.

    Najib bagaimanapun, tidak memberi laluan kepada sebarang pencelahan.

  • Pasangan kekasih antara tiga ditahan, dadah hampir 5 kg dirampas

    Pasangan kekasih antara tiga ditahan, dadah hampir 5 kg dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEPASANG kekasih antara tiga individu yang ditahan polis di Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat di Langkawi petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah sejak sekian lama di destinasi pelancongan terkenal itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, penahanan tiga individu berkenaan dibuat menerusi serbuan dilakukan di rumah tersebut kira-kira pukul 5 petang semalam.

    Katanya, selain penahanan tiga individu tersebut, pihaknya turut menemukan dadah jenis heroin dan syabu seberat hampir lima kilogram.

    “Kami mulanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di luar rumah. Selepas itu, seorang lagi lelaki serta seorang perempuan yang masing-masing berumur 27 dan 41 tahun, ditahan dalam rumah tersebut.

    “Pemeriksaan dijalankan dalam rumah tersebut mendapati terdapat beg galas berwarna kelabu mengandungi 10 peket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk berwarna putih, disyaki dadah jenis heroin seberat hampir 4.1 kilogram.

    “Selain itu terdapat juga beg plastik bercorak kartu berwarna putih dan hitam mengandungi 15 peket plastik lutsinar berisi bahan kristal, disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 776 gram dalam rumah itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, hari ini.

    Tambahnya, nilai heroin tersebut dianggarkan sebanyak RM53,600 manakala harga bagi syabu pula dianggarkan kira-kira RM20,000 bagi pasaran tempatan.

    “Ujian urin dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine. Selain dadah, pihak kami turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda City bagi membantu siasatan.

    “Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih berjalan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.