Author: Admin

  • Tiada PRK Parlimen Pekan – Wan Junaidi

    Tiada PRK Parlimen Pekan – Wan Junaidi

    KERAJAAN tidak akan melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pekan sekiranya sah Datuk Seri Najib Razak hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, status bekas Perdana Menteri itu sebagai Ahli Parlimen Pekan ditentukan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan.

    Sekiranya Najib hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan, katanya, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan PRK di Parlimen itu kerana kekosongan berkenaan berlaku kurang dua tahun sebelum Parlimen perlu dibubarkan.

    “Pengosongan kerusi tidak serta-merta, tetapi selepas 14 hari. Dalam tempoh itu, Najib masih boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja.

    “Selepas tempoh itu, jika Parlimen dimaklumkan bahawa Najib hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka kerusinya akan dikosongkan.

    “Namun, mengikut Perlembagaan juga, tiada keperluan untuk PRK dilaksanakan kerana tempoh kekosongan kurang dua tahun daripada pembubaran Parlimen,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan terhadap bekas Presiden UMNO itu dalam kes SRC International Sdn Bhd.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

    Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat perlu diisi menerusi pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan luar jangka itu berlaku.

    Bagaimanapun, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat itu berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen terbubar, kekosongan itu tidak boleh diisi, melainkan bilangan parti yang membentuk majoriti di Dewan Rakyat terjejas akibat kekosongan berkenaan.

    Mengulas lanjut, Wan Junaidi memaklumkan sekiranya tiada sebarang proses lanjut daripada Najib, sama ada semakan atau permohonan pengampunan diraja, bekas Perdana Menteri itu juga secara rasmi tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Jika tiada pengampunan, ertinya beliau akan berada dalam penjara. Sebagai individu yang didapati bersalah oleh mahkamah, beliau secara automatik tidak lagi layak bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

  • Lelaki ‘larikan’ 13 tong roro majikan ditahan

    Lelaki ‘larikan’ 13 tong roro majikan ditahan

    SEORANG lelaki sanggup mencuri tong sampah pukal (roro) milik majikannya sebelum menjualnya pada harga serendah RM2,500 setiap satu.

    Namun perbuatan lelaki berusia 29 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan polis dalam serbuan di Taman Jasmin, di Kajang, pada 10 Ogos lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat sewa tong sampah roro itu yang mendakwa 13 tong berkenaan hilang dari simpanan di Balakong.

    Katanya, sebanyak lima tong bersaiz 60 sentimeter dan lapan tong bersaiz 121 sentimeter bernilai RM58,500 dilaporkan dicuri dalam kejadian itu.

    “Susulan itu, kami menahan seorang lelaki yang juga pekerja di premis berkenaan di sekitar daerah ini pada 10 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

    “Turut ditahan adalah empat lelaki tempatan yang mengaku membeli tong roro terbabit secara dalam talian menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada 12 hingga 14 Ogos lalu,” katanya.

    Mohd Zaid berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek adalah pekerja syarikat itu sendiri dan disyaki bertindak mengeluarkan tong roro terbabit dari tempat simpanan.

    “Suspek juga mengaku mengiklankan penjualan tong roro berkenaan menerusi aplikasi mymudah.com sejak Mei hingga Julai lalu dan sudah menjual 13 tong di sekitar Selangor dan Perak.

    “Lelaki terbabit dipercayai menjual tong terbabit dengan pada harga antara RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada jenis dan saiz,” katanya.

    Katanya, pihak polis masih mengesan beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

  • Pengasas Bookdoc Chevy Beh meninggal dunia

    Pengasas Bookdoc Chevy Beh meninggal dunia

    PENGASAS Bookdoc, Datuk Chevy Beh dilapor meninggal dunia malam Selasa, namun punca kematian tidak didedahkan.

    Memetik laporan Astro Awani, perkara itu disahkan pembangun aplikasi BookDoc menerusi perkongsian di Facebook pada Rabu.

    “Dengan penuh rasa hiba, kami memaklumkan kematian Datuk Chevy Beh – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BookDoc.

    “Beliau merupakan usahawan yang dihormati dan disayangi ramai.
    “Ucapan takziah dan doa kepada seluruh ahli keluarga mendiang pada waktu sukar ini,” memetik perkongsian itu.

    Ucapan takziah mula membanjiri media sosial antaranya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memuat naik ucapan takziah di akaun rasmi Twitter BAM.

    “Persatuan Badminton Malaysia (BAM) amat berdukacita apabila mengetahui pemergian Datuk Chevy Beh.

    “Presiden, Majlis dan seluruh keluarga BAM mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang,” menurut muat naik tersebut.

    Chevy memulakan kerjaya sebagai pegawai bank pelaburan bersama firma pelaburan terkenal Amerika Syarikat selepas beliau tamat pengajian di Universiti Harvard.

    Beliau kemudan menyertai BP Healthcare Group selaku Pengarah Urusan sebelum menubuhkan platform penjagaan kesihatan dalam talian dan mobile, Bookdoc pada 2014 bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Groupon Asia Pasifik, Joel Neoh.

    Di bawah kepimpinan beliau, BP berjaya meningkatkan asas pelanggan mereka melebihi 2 juta orang, meningkatkan jumlah tenaga kerja kepada 1,300 orang.

    Kumpulan itu juga memainkan peranan penting sewaktu proses vaksinasi COVID-19 negara melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    Selain itu ia juga dilantik sebagai penyedia ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja di bawah Program Saringan Prihatin Perkeso.

    Chevy juga merupakan pemain polo terkenal yang pernah menjadi kapten pasukan bawah 21 tahun England.

    Minat yang tinggi dalam bidang sukan menyaksikan Chevy pernah dilantik sebagai ahli Panel Pakar Kementerian Belia dan Sukan.

  • Penyokong Najib perlu kembali kepada kebenaran

    Penyokong Najib perlu kembali kepada kebenaran

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Akhirnya kebenaran yang dicari-cari dan diperjuangkan selama ini menemui kejayaan apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menyeleweng wang RM42 juta syarikat SRC International Sdn Bhd.

    Rentetan keputusan mahkamah itu, Najib dihantar ke penjara Kajang bermula semalam dan perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan lima tahun lagi penjara jika gagal membayar denda RM210 juta.

    Apa yang diputuskan hakim itu juga telah menjawab segala perkara yang melingkari isu itu yang menjadi perdebatan sejak ia pertama kali dibongkar lapan tahun lalu dan perbicaraan mahkamah terhadap Najib bermula Julai 2018.

    Walaupun berdepan dengan pelbagai drama dan penangguhan, keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwa berdasarkan banyak bukti yang menunjukkan Najib menyeleweng wang berkenaan.

    Bagi penulis, keputusan itu amat bermakna kerana ia sedikit sebanyak dapat mengubah pandangan rakyat yang masih percaya bahawa Najib tidak bersalah.

    Mereka – sebahagian daripadanya merupakan orang kampung dan bandar yang mudah terpengaruh dengan pemesongan fakta yang digunakan Najib dan sekutunya bahawa skandal 1MDB dan penyelewengan yang banyak itu adalah isu lapuk senjata pembangkang.

    Mereka juga mudah terpedaya dengan senjata mempergunakan agama sepertimana dilakukan Najib yang mana terakhir ini melakukan sumpah mubahalah untuk menafikan bahawa dia menyeleweng wang.

    Bukan sahaja sekali tetapi tiga kali sumpah penafian sedangkan di mahkamah yang paling sesuai untuk mempertahankan diri, Najib dan barisan peguamnya tidak mampu mengemukakan bukti bagi menunjukkan Najib tidak bersalah.

    Bagi yang bersedih dan tidak kurang yang menangis sebak dengan hukuman terhadap Najib terutamanya makcik-makcik yang datang daripada jauh seperti Pekan Pahang, sedarlah bahawa mahkamah tidaklah sewenang-wenangnya dalam membuat sesuatu keputusan.

    Banyak bukti yang secara terang-terangan menunjukkan perjalanan bagaimana wang yang banyak itu berakhir di akaun Najib dan digunakan untuk tujuan peribadi.

    Yang patut ditangisi adalah betapa banyak wang rakyat telah dijarah oleh Najib dan sekutunya untuk kepentingan peribadi mereka.

    Lihatlah kembali bagaimana wang-wang tersebut digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk membeli barangan mewah dan berjoli sakan.

    Bukti nyata bahawa wang tersebut telah hilang juga sudah terpampang apabila kerosakan yang ditinggalkan Najib perlu dibayar kerajaan dengan duit rakyat apabila hutang 1MDB adalah lebih RM30 bilion.

    Jumlah itu amat besar dan jika tidak diselewengkan, ia dapat disalurkan ke tempat yang sepatutnya.

    Susulan keputusan mahkamah semalam juga, penulis berharap penghargaan dapat diberikan kepada pemimpin yang berani ke depan dalam membongkarkan apa yang telah dilakukan Najib.

    Antaranya pada masa itu, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang kerap menggerakkan usaha dalam membongkarkan penyelewengan.

    Begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini dipecat oleh Najib kerana menyuarakan penyelewengan dalam 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

    Jasa mereka cukup besar kerana sanggup kehilangan jawatan demi mempertahankan prinsip amanah dan integriti.

    Tidak lupa kepada pemimpin lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang yang sentiasa bersuara supaya kes berkaitan penyelewengan itu terus dibongkar sehingga Najib didakwa.

    Tanpa usaha semua pemimpin yang berani itu, rakyat tidak akan dapat menyaksikan Najib diheret ke muka pengadilan dan seterusnya dihukum setimpal dengan apa yang dilakukannya.

    Jika tidak, kita semua akan terus menangisi dan sedih melihat harta negara yang merupakan hak rakyat diselewengkan secara berterusan tanpa ada rasa malu oleh pemimpin-pemimpin korup.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Peniaga Pakistan didenda jual minyak masak botol lebih harga siling

    Peniaga Pakistan didenda jual minyak masak botol lebih harga siling

    TINDAKAN seorang pemilik sebuah kedai runcit warga Pakistan di Ketereh Kelantan menjual minyak masak botol melebihi harga siling runcit mengundang padah apabila didenda pihak berkuasa semalam.

    Lelaki warga Pakistan yang juga pemilik sebuah kedai runcit di Ketereh di sini, didenda kerana menjual minyak masak botol melebihi harga siling runcit.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan Aswadi Jaafar menerusi kenyataannya berkata, operasi dibuat ke atas premis itu berdasarkan aduan pengguna yang diterima.

    Katanya, anggota KPDNHEP kemudian menyamar sebagai pembeli dan membeli sebotol minyak masak lima kilogram.

    “Pemeriksaan mendapati minyak masak botol itu dijual pada harga RM41.90 dan ia melebihi harga siling runcit ditetapkan kerajaan.

    “Melalui bukti termasuk resit pembelian, kami menyita lima botol minyak masak lima kilogram berjumlah RM209.50. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan2011,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Aswadi memberitahu, lelaki itu perlu mengemukakan maklum balas dalam masa yang ditetapkan berkaitan kes terbabit.

    Harga siling runcit minyak masak botol ketika ini ditetapkan kerajaan pada RM7.70 untuk sekilogram, RM14.70 (dua kilogram), RM21.70 (tiga kilogram) dan RM 34.70 untuk lima kilogram.

  • Empat termasuk ustaz didakwa membunuh penghuni pusat pemulihan dadah

    Empat termasuk ustaz didakwa membunuh penghuni pusat pemulihan dadah

    SEORANG ustaz dan tiga warden sebuah pusat pemulihan dadah di Padang Rengas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan membunuh seorang penghuni pusat berkenaan, minggu lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Keempat-empat tertuduh iaitu Noor Ashraf Ikhmal Jaafar, 22; Nasri Wafi Jamaludin, 25; Ahmad Anat Fairuz Anak, 27; dan Muhammad Luqmanulhakim Abdul Aziz, 20, sekadar mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara bersama.

    Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat lelaki itu secara bersama dalam mencapai niat bersama melakukan bunuh yang menyebabkan kematian Muhamad Shahrul Samion, 25,.

    Perbuatan itu dilakukan di Pusat Pemulihan Darul Islah, di Lot 3318, Batu 17, Padang Asam, Padang Rengas di daerah ini antara jm 12.30 tengah hari hingga 7.45 malam, 17 Ogos lalu.

    Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari, dengan Peguam Tan Chak Seng.

    Tiada jaminan ditawarkan kepada empat tertuduh berkenaan, sebelum mahkamah kemudian menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

    Media sebelum ini melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian berkenaan yang pada mulanya dikatakan kes mengamuk kepada kes bunuh.

    Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, dilaporkan berkata maklumat awal kejadian diterima daripada doktor bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar memaklumkan mangsa yang sudah tidak bernyawa dibawa ke hospital itu oleh tiga suspek terbabit.

  • Sarjan polis tidak mengaku minta, terima rasuah

    Sarjan polis tidak mengaku minta, terima rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada dua individu yang terbabit dalam kes curi tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Azlan Mohd. Nor, 36, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd. Azlan sebagai anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) secara rasuah meminta masing-masing RM1,500 daripada dua individu yang berusia 36 dan 45 tahun.

    
Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka yang terbabit dalam kes curi dalam bangunan.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik nombor 11 Jabatan Siasatan Jenayah IPD SPT, di sini kira-kira pukul 5.40 petang pada 15 Julai 2021.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

    Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan apabila didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,300 daripada salah seorang individu terbabit.

    Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di lokasi sama kira-kira pukul 6.25 petang pada 8 Ogos 2021.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam, Chandra Segaran.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Kes akan disebut semula pada 26 September ini.

  • Kemenangan Kedaulatan Undang-Undang dan Keluhuran Perlembagaan

    Kemenangan Kedaulatan Undang-Undang dan Keluhuran Perlembagaan

    Oleh HASSAN KARIM

    SAYA berasa lega. Bukan kerana mantan Perdana Menteri Najib Razak masuk penjara. Saya lega kerana akhirnya kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dapat ditegakkan di Malaysia ini.

    Saya gembira. Bukan kerana rayuan Najib Razak ditolak. Saya gembira kerana institusi Kehakiman dapat kembali tegak, bebas dan bermaruah.

    Saya bukan seorang sadist yang bertempik bersorak sorai kerana Najib Razak akhirnya dibawa ke Penjara Kajang.

    Saya pernah berasa sedih ketika Anwar Ibrahim dibawa ke Penjara Sungai Buluh beberapa tahun yang lalu. Maka saya berasa simpati kepada penyokong-penyokong Najib Razak terutama mereka yang beramai-ramai datang menaiki bas dari Pekan, Pahang.

    Seperti Anwar, Najib juga ada penyokong.

    pakatan harapan SPRM nazlan muda saddiq hassan abdul karim ph melaka oportunis
    HASSAN ABDUL KARIM

    Benar, Najib telah tumbang hari ini. Tetapi dia telah melawan dan memberi tentangan hebat dan sekuat yang mungkin di mahkamah. Najib tidak mudah menyerah kalah. Ini watak seorang pahlawan.

    Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang menjadi peguam utama Najib adalah rakan peguam kami di Johor. Kenalan baik kami.Najib memiliki pasukan peguam yang hebat.

    Saya bukan penyokong Najib, bukan simpatisan Najib. Malah dari segi politik kami bertentangan pendirian.

    Di Parlimen Najib di blok Kerajaan dan saya di blok pembangkang.

    Tetapi saya masih ada sedikit sebanyak rasa hormat kepada Najib sebagai mantan Perdana Menteri dan juga anak sulung kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, pemimpin yang saya hormati.

    Ketika Najib menjadi Perdana Menteri,  Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Ini satu fakta yang perlu diakui.

    Apabila  lima orang hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan Najib Razak dan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta ke atasnya, maka saya secara jujur, menarik nafas lega.

    Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini adalah satu hadiah yang paling berharga kepada 33 juta rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

    Saya mulai percaya bahawa Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesamarataan ternyata dapat dipraktikkan.Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang di Malaysia.

    Ini dapat dibuktikan apabila buat kali pertama di dalam sejarah Malaysia, bekas seorang Perdana Menteri berjaya diheret ke Mahkamah, didakwa  dan dibicarakan dan apabila sabit bersalah dihukum penjara dan didenda.

    Kini saya boleh berjalan dengan penuh yakin bahawa situasi di Malaysia selepas ini akan menjadi lebih baik dan memberi harapan.

    • Hassan Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang
  • Angkara minta wang perlindungan RM100, buruh dicekup polis

    Angkara minta wang perlindungan RM100, buruh dicekup polis

    TINDAKAN seorang lelaki memeras ugut pemilik kedai runcit di Pandan Perdana untuk membayar wang perlindungan RM100 mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

    Difahamkan, suspek berusia 41 tahun bekerja sebagai buruh itu tinggal berhampiran kedai runcit terbabit mencuba nasib dengan memeras ugut lelaki berusia 64 tahun itu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian 6 petang Sabtu lalu, mangsa berada di kedai didatangi suspek seorang diri yang meminta untuk membayar wang bulanan RM100 sebagai wang perlindungan.

    “Suspek turut mengugut akan rosakkan barangan kedai milik mangsa, malah sewaktu kejadian, suspek turut menendang barangan milik kedai dan menggugut akan datang memukul mangsa di kemudian hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa, polis mengesan suspek sebelum menahannya pada pukul 12.05 tengah malam di Pandan Perdana.

    “Suspek mempunyai lapan rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

    “Turut dirampas, sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatann,” katanya.

    Katanya, suspek direman empat hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

  • Ugut bunuh bekas teman wanita, mekanik 19 tahun ditahan

    Ugut bunuh bekas teman wanita, mekanik 19 tahun ditahan

    POLIS menahan seorang mekanik semalam selepas lelaki itu disyaki mengugut bekas teman wanitanya dengan pisau dan cota kerana enggan meneruskan hubungan mereka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari Sabtu lalu, remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspek berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

    Katanya, mangsa mahu menuntut ganti rugi perbelanjaan RM700 ketika mereka menjadi pasangan kekasih.

    Namun katanya, semasa di dalam rumah, suspek bertindak kasar dengan menolak mangsa lalu mengacu dua bilah pisau berlainan sebanyak dua kali.

    “Suspek juga mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana pengadu tidak mahu meneruskan hubungan dengan suspek

    “Suspek juga merampas telefon bimbit dan menghempaskan ke lantai menyebabkan telefon remaja terbabit rosak,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, berikutan laporan dibuat mangsa, sepasukan polis kira-kira pukul 8.30 malam tadi menahan suspek berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

    Katanya, polis turut merampas sebatang cota, dua pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan ketika kejadian.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Reman terhadap suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” tambahnya.