SERAMAI 2.5 juta pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.
SPR menyediakan 1,021 Pusat Mengundi dan 4,638 Saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 49,290 petugas akan bertugas bagi proses pengundian itu.
“Semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.
“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi. Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.
“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Jelas Indera Ikmalrudin lagi, pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
Katanya pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
PERSONALITI calon Perikatan Nasional (PN) DUN Tenggaroh, Roslan Nikmat yang tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa menjenguk kawasan sekitar menjadikan pengundi lebih tertarik dan merasa dekat dengan beliau.
Menurut seorang guru bahasa, Muhammad Ayub Hazizul, 30, pengundi-pengundi di DUN berkenaan memerlukan seorang wakil rakyat yang mesra dan sentiasa memberi perhatian kepada keluhan masyarakat.
“Kita tak mahu pilih calon yang sekadar menang, dan tinggalkan kita di sini dengan masalah yang tidak selesai. Kalau tengok kepada rekod calon-calon, saya lihat calon yang terbaik adalah daripada PN.
“Memang kita nampak dia sentiasa bersama dengan orang di kampung. Tambahan pula, beliau mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan,” katanya ketika ditemui SatuBerita di sekitar Tenggaroh, hari ini.
Tambahnya, setelah melihat latar belakang Roslan atau Cikgu Lan sebagai seorang bekas pendidik dan Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Ayub yakin beliau mempunyai pengalaman serta tahu selok belok untuk mendekati golongan muda dengan baik.
Bagi Sakinah Omar, 31, diri mula tertarik untuk memberikan sokongan kepada Roslan setelah melihat kesungguhan dan motivasi beliau ketika berkempen selain keikhlasannya untuk membantu golongan muda di kawasan berkenaan.
“Saya tengok apa pun posisi beliau di GIATMARA dan sebagainya kita boleh nampak dia sentiasa lakukan yang terbaik. Dia akan cuba cari juga penyelesaian kepada satu-satu masalah walaupun ada yang kata tidak.
“Walaupun sebelum ini Cikgu Lan pernah kalah dalam Pilihan Raya Negeri, namun dia tetap bekerjasama dengan parti-parti lain untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat.
MAHKAMAH Rayuan Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya di sebuah universiti di United Kingdom 30 Mac ini.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said berkata pasport itu yang akan diserahkan kepada Mohd Isa selaku pemohon pada 14 Mac perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 16 April ini.
Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Ghazali Cha membenarkan permohonan Mohd Isa selepas mendengar hujahan peguamnya, Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.
Terdahulu, Wan Azmir dalam hujahan berkata anak guamnya perlu berangkat ke United Kingdom pada 26 Mac ini untuk menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya dan akan pulang ke Malaysia pada 9 April ini.
“Saya mohon pasport diserahkan kepada pemohon secepat mungkin kerana ia perlu diperbaharui. Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 9 April dan saya mohon pasport dikembalikan selewat-lewatnya 16 April,” katanya dan menambah bahawa pemohon telah menjaga anak tirinya itu sejak kecil.
Pada 3 Februari tahun lepas, Mohd Isa, 72, disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.
Rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron menerusi sidang video pada 11 Mei ini.
TERUJA untuk menjadi sebahagian daripada sejarah, Raja Muhammad Haiqal Raja Jaafar, 20, yang akan mengundi buat pertama kali merancang untuk tiba awal di pusat mengundinya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 anak muda berusia 18 hingga 20 tahun yang layak.
Raja Muhammad Haiqal, pelajar tahun akhir Diploma Kesetiausahaan Pentadbiran di Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru akan mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 3, Permas di Pasir Gudang bagi memilih wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.
“Jujurnya walaupun tidak mengikuti sepenuhnya perkembangan politik, saya tetap berasa gementar kerana ini soal menentukan masa depan tidak hanya untuk kami (anak muda) malah semua pihak.
“Berbekalkan tunjuk ajar ibu bapa yang membimbing bagaimana cara untuk mengundi dan maklumat hasil penyelidikan sendiri…insya-Allah calon yang saya pilih nanti ialah individu yang mesra rakyat dan sering ada ketika rakyat susah,” katanya kepada Bernama.
Kerani di sebuah syarikat swasta, Nursyazlin Najiha Karyadi, 20, berkata beliau sudah meneliti sebaik mungkin latar belakang dan pencapaian calon pilihannya kerana tidak mahu tersilap langkah.
Pengundi di kerusi DUN Kempas itu berkata beliau tidak mahu terpengaruh dengan pilihan yang dibuat ibu bapa dan sanak saudaranya walaupun mereka lebih arif mengenai pilihan raya.
“Setiap orang ada kehendak dan matlamat berbeza, jadi tidak usah terbawa-bawa dengan pendapat pihak lain kerana perkara paling penting ialah kami (anak muda) mahukan wakil rakyat yang senang didekati, boleh bekerja pada bila-bila masa dan bukannya ada bila waktu begini (pilihan raya) sahaja,” katanya.
Puteri Wangsa mempunyai paling ramai pengundi dalam kalangan anak muda dengan 11,157 pengundi, diikuti Kota Iskandar (10,941), Tiram (10,613), Permas (8,994), Perling (7,859), Johor Jaya (6,446) dan Skudai (5,949).
Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.
PRN Johor esok melibatkan pertembungan 239 calon di 56 kerusi DUN.
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.
“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan dipatuhi, sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi, dan pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi.
Empat stesen itu ialah di pintu masuk pusat mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran iaitu selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi, dan sebelum keluar dari pusat mengundi.
Ikmalrudin berkata, pengundi yang bergejala tetap dibenarkan mengundi di khemah khas, yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
Pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) yang ingin mengundi, hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.
“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh pegawai kesihatan daerah tersebut, dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya.
Ikmalrudin berkata, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi diingatkan tidak memakai baju, topi, pelitup muka atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding, atau apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen tamat pada 11.59 malam, 11 Mac, Ikmalrudin berkata semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen, termasuk aktiviti merayu undi.
“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.
“Membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi adalah dilarang, dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.
Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi esok.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi dan 4,638 saluran akan dibuka. – Bernama
PENGUNDI-pengundi di DUN Endau yang telah melihat gerak kerja calon Perikatan Nasional (PN) di DUN berkenaan, Alwiyah Talib ketika menjadi wakil rakyat selama dua tahun, menyifatkan beliau lebih sesuai untuk meneruskan kedudukan yang diterajuinya sebelum ini.
Salah seorang pengundi Cina, Alvin Kuek, 59, mengakui dirinya lebih cenderung untuk memilih PN setelah menilai kemampuan dan pengalaman Alwiyah yang banyak menabur bakti serta membawa suara rakyat Endau ketika berkhidmat sebagai ADUN di kawasan itu.
“Saya pilih Perikatan Nasional. Muka Calon PN muka lama, memamg ada pengalaman. bukan muka baru,” katanya ketika ditemui SatuBerita di Medan Ikan Bakar Endau, Mersing.
Pendapat yang sama disuarakan oleh pemilik kedai perkakasan, Wan Sin Hiung, 56, yang turut menyatakan beliau yakin Alwiyah tidak akan berfikir panjang untuk memberikan perhatian sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah penduduk DUN itu sekiranya menjadi wakil rakyat sekali lagi.
ALAWIYAH ketika menyantuni salah seorang pengundi berbangsa Cina sewaktu hadir ke Majlis Minum Petang Bersama Komuniti Cina di Medan Bakar Endau. – SB
“Kali ini, saya tengok Perikatan Nasional agak kuat. Kita harap (parti) Abah ini dapat pegang Johor. Dia boleh buat lebih baik dalam pertadbiran.
“Kalau Alwiyah boleh menang, dia mesti boleh tolong penduduk DUN ini. Walaupun hanya baru dua tahun jadi wakil rakyat tetapi dia sudah boleh faham apa yang diperlukan dan masalah oleh penduduk di DUN ini,” ujarnya.
Bagi Chow Tee Kuan, 59, pula, dengan pimpinan pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dirinya percaya bahawa seluruh negeri Johor mampu untuk bangkit dan diberikan nafas baharu sekiranya parti itu mendapat peluang mentadbir negeri berkenaan.
“Kalau kita pilih PN, dalam jangka masa panjang, saya yakin PN akan dapat naikkan kembali Johor. Muhyiddin mempunyai pengalaman mentadbir negeri ini, dan semasa beliau di menjadi Menteri Besar Johor, ekonomi di Johor sudah dimajukan dengan pesat,” katanya.
WALAUPUN telah dikenakan lima denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi muncul di acara yang penuh sesak, malam tadi.
Ahli Parlimen Pekan itu hadir di Medan Selera 988 di pinggir bandar Iskandar Puteri malam tadi untuk berkempen bagi calon MCA Skudai, Lim Soon Hai.
Kira-kira 200 orang, ramai yang berpakaian biru BN dan memegang sepanduk menyokong Lim, telah menunggu Najib di medan selera dan berkerumun di sekelilingnya sebaik dia keluar dari kenderaannya pada 9.40 malam.
Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi lembaga penasihat BN itu disambut dengan rombongan tarian singa dan kemudiannya diiringi oleh penyokong ke mejanya.
Penyokong mengerumuni meja dan ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.
Najib turut menyampaikan ucapan, dan menggambarkan DAP sebagai parti yang membelakangkan masyarakat Cina.
Lim dari BN berdepan Marina Ibrahim dari DAP dan Khoo Kong Ek dari Perikatan Nasional (PN).
SEMASA Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, kerajaan Persekutuan telah berusaha mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan menerusi Majlis Pekerjaan Negara (MPN) ketika negara menghadapi keadaan ekonomi yang getir berikutan pandemik Covid-19.
Susulan itu ditubuhkan Majlis Pekerjaan (Negara) yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri, bertujuan menentukan ekonomi negara dapat terus lebih tersusun dan cari jalan bantu rakyat, yang sebahagian besar hilang pekerjaan dan tiada pendapatan.
Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Perikatan Nasional (PN) akan berusaha meneruskan rancangan sama dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan masyarakat.
Inilah yang dijanjikan oleh calon PN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Pemanis, Uzzair Ismail sekiranya diberi mandat.
Uzzair berkata, perkara tersebut merupakan antara fokus utama dalam memastikan supaya masa depan masyarakat Johor terbela.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Muhyiddin, kita boleh mewujudkan peluang pekerjaan daripada pelbagai industri seperti pertanian, makanan dan sebagainya,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Uzzair berkata, hala tuju golongan generasi muda Johor juga perlu diperkasa melalui pembangunan pendidikan ke arah vokasional.
SERAMAI 45 penumpang bas kilang selamat dengan hanya 10 mengalami cedera ringan, selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik berhampiran Bandar Datuk Onn, menuju ke lebuh raya arah Johor Bahru di Johor Bahru, Johor, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Shamsul Khomari Bakar, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 8.39 malam.
Katanya terdapat 45 penumpang bas kilang terbabit, namun 35 daripadanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, orang awam turut membantu mengeluarkan mangsa.
“Tujuh mangsa termasuk enam wanita dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), manakala tiga lagi mangsa dibawa ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, selain BBP Tebrau, operasi turut dibantu BBP Larkin dan BBP Kempas yang keseluruhan membabitkan 24 anggota.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melancarkan Ikrar PN Untuk Johor iaitu manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’ mempunyai visi dan misi yang jelas untuk negeri itu.
Menariknya dan perlu diketahui terutama pengundi PRN Johor, gabungan tersebut menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.
Lapan tunjang utama itu ialah Kepemimpinan Berintegriti dan Bebas, Keutuhan Ekonomi Johor, Keprihatinan Kepada Rakyat, Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup, Kesejahteraan Sosial, Kecekapan Infrastruktur, Kerancakkan Sektor Pelancongan dan Kelestarian Alam Sekitar.
Dapat dilihat semua lapan tunjang tersebut sebenarnya adalah asas permulaan yang bersifat fundamental dalam memacu perkembangan dan pertumbuhan Johor dalam tempoh lima tahun ke atas.
Lapan tunjang tersebut menjadi kerangka serta hala tuju sebelum dikembang dan ditambah baik. Ini merupakan tawaran terbaik dan realistik sekali gus merupakan jalan keluar kepada kerosakan sistem pemerintahan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Semua asas tunjang tersebut sebenarnya dibuat berdasarkan denyut nadi rakyat yang amat dahagakan pembaharuan selain tidak sanggup lagi terperangkap dalam kitaran ganas kerajaan kleptokrat terdahulu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.
Ikrar PN yang pertama, Kepemimpinan Berintegriti dan Bebas. Ini adalah asas kepada pemerintahan adil, bertanggungjawab dan Islamik. Jika tidak, ia akan dirosakkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan karenah biokrasi yang melumpuhkan sistem pentadbiran.
PN melihat elemen ini sangat penting dalam kerajaan negeri yang dibentuk nanti kerana rakyat sendiri sudah menyaksikan korupsi dan kletokrasi membinasakan negara, sebagai contoh kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tunjang kedua adalah Keutuhan Ekonomi Johor, ini juga penting kerana Johor adalah negeri progresif dan mempunyai pelbagai sumber untuk terus diteroka dengan sumber manusianya yang kompeten dan berdaya saing.
Ini amat penting apatah lagi Johor yang bersempadan dengan Singapura menerima banyak manfaat limpahan ekonomi, kelebihan dan peluang yang dinikmati itu tidak perlu dipersia-siarkan.
PN memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor merangkumi Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 termasuk menyediakan pelbagai bantuan khas. Ini perlu dinilai rakyat Johor kerana menyediakan tawaran inklusif bagi memastikan tiada yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat di negeri ini.
Tunjang ketiga dan keempat iaitu Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup serta Keprihatinan Kepada Rakyat adalah saling berkait dengan tunjang kedua malah saling lengkap melengkapi.
Misalnya penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar PN itu merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi di seluruh negeri. Ini amat melegakan peniaga selepas kehidupan dihimpit pandemik Covid-19.
Begitu juga tawaran PN berkenaan penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan. Tawaran lain seperti pemberian kad prihatin Johor dan skim pemberian air percuma 20 meter padu kepada golongan berpendapatan rendah melihatkkan PN faham dengan keadaan terkini rakyat.
Bagi satu keluarga yang mempunyai pendapatan RM2,000 tetapi mempunyai dua anak, berbeza dengan satu keluarga lain pendapatan sama tetapi anak empat, perkara ini akan ambil kira. Ini adalah contoh dasar yang prihatin.
Sementara tunjang kelima iaitu Kesejahteraan Sosial adalah tepat pada masanya kerana Johor memerlukan satu lonjakan progresif selepas dilanda pandemik tersebut yang mengakibatkan banyak sektor terbantut dan perlahan perkembangannya.
Banyak perkara dan usaha yang perlu disusun semula menurusi tunjang tersebut selepas Johor terjejas teruk terumata aktiviti ekonominya dan ini memerlukan pelan tindakan jangka masa pendek serta panjang.
Usaha untuk mensejahterakan sosial dan menaik taraf infrastruktur akan dilakukan kerana tiada guna jika dapat tingkatkan kualiti hidup, turunkan kos sara hidup tetapi tidak wujud rasa selamat dalam diri rakyat kerana bergaduh antara kaum.
Strategi tunjang kelima itu juga dilihat sebagai langkah kepada keselamatan dan perpaduan sosial yang terkandung sekali gus memperkukuh perpaduan bangsa Johor serta memperkasa keselamatan dan ketententeraman awam.
Tunjang itu juga menggariskan lima strategi – tiga daripadanya adalah Memperhebat Generasi Pewaris Johor Melalui Pendidikan Berkualiti, Meningkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kesihatan dan Meningkatkan Akses Rumah Mampu Milik.
Bagi tunjang keenam pula iaitu Kecekapan Infrastruktur, ini perlu dilakukan secara holistik kerana sebelum ini pembangunan seakan-akan banyak tertumpu di kawasan bandar terutama tiga bandar raya yang terdapat di Johor.
Bayangkan Johor ketika ini sebagai sebuah negeri yang maju dan bersebelahan dengan Singapura masih tidak mempunyai jaringan dan capaian internet yang pantas selain tidak menyeluruh di beberapa kawasan luar bandar.
Begitu juga kemudahan asas antaranya jalan raya masih berada pada tahap kurang memuaskan. Cuba bayangkan bandar Pasir Gudang yang dinaik taraf sebagai bandar raya pada tahun lalu, keadaan jalan raya sedia ada masih tidak memuaskan dan tidak sesuai dengan status tersebut.
Tunjang ketujuh, Kerancakkan Sektor Pelancongan adalah juga elemen yang penting kerana Johor mempunyai pelbagai destinasi pelancongan menarik malah ada pulau-pulau di Mersing yang masih ‘kosong’ dan tidak dibangunkan.
Setiap daerah di Johor mempunyai tarikan tersendiri apatah lagi bersempadan dengan negeri lain. Kelebihan dan kedudukan Johor yang berjiran dengan Singapura pula dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan pelancongan.
Sementara Kelestarian Alam Sekitar yang merupakan tunjang kelapan, amat penting dan selari dengan tuntutan milennial. Kita semua sedang bergerak ke hadapan dan sebagai sebuah negara serta negeri yang maju, aspek itu tidak boleh diabaikan.
Ini adalah tuntutan global dan tunjang kelapan itu dilihat amat tepat pada masanya kerana isu pencemaran alam sekitar bukan baharu. Contohnya pencemaran Sungai Kim Kim yang sehingga kini tiada penyelesaian.
Kita tidak tahu apa tindakan yang diambil malah pencemaran bahan buangan sisa kimia masih terus berlaku tanpa dapat dikawal terutama di Pasir Gudang yang mempunyai lebih 5,000 kilang.
Begitu juga sungai-sungai di Johor yang dikategorikan sebagai antara ‘sungai mati’ dan sungai paling teruk tercemar di Malaysia. Sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan bertambah parah.
Kesimpulannya semua tunjang dalam Ikrar PN bukan retorik, sebaliknya komitmen realistik dan praktikal bahawa PN yang bakal membentuk kerajaan negeri nanti kelak adalah bersih, cekap dan prihatin rakyat.
Pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangi kepemimpinan berintegriti dan bebas rasuah selain mempunyai pelan komprehensif dan sentiasa memandang jauh ke hadapan.