Author: Admin

  • [TIDAK RASMI] Dr Sahruddin mendahului di DUN Bukit Kepong

    [TIDAK RASMI] Dr Sahruddin mendahului di DUN Bukit Kepong

    CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Sahruddin Jamal mendahului lawannya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.

    Setakat 56 saluran undi yang dikira, Dr Sahrudin yang juga penyandang memperoleh 7,260 undi, diikuti calon BN dengan 6,187 undi.

    Calon dari MUDA, Afiqah Zulkifli pula memperoleh sebanyak 1,334 undian dan calon Pejuang, Md Taib Suhut hanya mendapat sebanyak 74 undi.

    DUN Bukit Kepong yang terletak di bawah Parlimen Pagoh mempunyai 79 saluran.

  • PRN Johor:BN dahului pengiraan 40 kerusi DUN

    PRN Johor:BN dahului pengiraan 40 kerusi DUN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Nasional (BN) kini mendahului pengiraan undi untuk 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengiraan tersebut setakat pukul 7.40 malam melibatkan 40 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang ditandingi BN pada PRN Johor.

    Melibatkan kerusi DUN Buloh Kasap, Kemelah, Tenang, Bekok, Tangkak, Serom, Bukit Naning, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Seri Medan, Yong Peng, Semarang, Senggarang, Rengit dan Machap.

    Ini termasuk Layang-Layang, Mahkota, Paloh, Kahang, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Larkin dan Kempas.

  • Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    Pengawal keselamatan, jurusolek maut dalam kemalangan

    SEORANG pengawal keselamatan dan jurusole maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 1.25 tengah hari itu mengakibatkan Mohammad Faiz Azmi Harun, 31 yang beralamat di Kampung Tanjung Sabtu, Manir dan Annur Izatul Dawiah Mohd Razali, 24, dari Kampung Kesom Che Nordin, Manir, maut di lokasi kejadian.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah kereta Proton Waja dipandu Mohammad Faiz dari arah Jambatan Sultan Mahmud hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

    Menurutnya, kereta mangsa kemudian merempuh dua buah kenderaan lain termasuk Honda Civic yang dipandu Annur Izatul Dawiah.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu Mohammad Faiz tercampak ke kawasan semak di seberang jalan dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Ismail, pemandu Perodua Viva yang turut dirempuh tidak mengalami kecederaan manakala penumpangnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

    “Mayat mangsa yang maut dalam nahas itu dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • PRN Johor: Warga emas meninggal dunia ketika mengundi

    PRN Johor: Warga emas meninggal dunia ketika mengundi

    SEORANG warga emas dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di sebuah pusat mengundi di daerah Muar, pagi tadi. 

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa berusia 78 tahun rebah secara tiba-tiba ketika tiba di pusat mengundi.

    Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke tempat kejadian. 

    “Siasatan dijalankan setakat ini tiada membabitkan sebarang unsur jenayah dan mayat dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Zaharudin berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian. 

    Beliau berkata, pihaknya  menyeru kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang isu sensitif sebelum mendapat kenyataan rasmi daripada polis. 

    Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

  • PRN Johor:BN sedang mendahului di 34 kerusi DUN?

    PRN Johor:BN sedang mendahului di 34 kerusi DUN?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Twitter miliknya memberitahu, BN kini sedang mendahului dalam proses pengiraan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “BN sedang mendahului di 34 kerusi Dun, Alhamdulillah,” ciapnya dalam Twitter miliknya, sebentar tadi.

    Proses pengundian PRN Johor, yang bermula 8 pagi tadi, tamat selepas 1,021 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

    Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi dari 4,638 saluran dibawa ke 56 pusat penjumlahan undi sebelum keputusan rasmi PRN Johor diumumkan malam ini.

    PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN kali ini layak mengundi hari ini.

  • PRN Johor: Pusat mengundi ditutup, proses kira undi bermula

    PRN Johor: Pusat mengundi ditutup, proses kira undi bermula

    PROSES pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang bermula 8 pagi tadi, tamat selepas 1,021 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

    Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi dari 4,638 saluran dibawa ke 56 pusat penjumlahan undi sebelum keputusan rasmi PRN Johor diumumkan malam ini.

    Pada 8 Mac, sebanyak 36,729 kertas undi pos dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi awal.

    PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN kali ini layak mengundi hari ini.  

    Sehingga 4 petang tadi, separuh daripada jumlah pengundi biasa itu melaksanakan tanggungjawab mereka di pusat-pusat pengundian.

    PRN Johor kali ini adalah pilihan raya pertama negara yang menyaksikan anak muda keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka, yang melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

    Anak muda dibenarkan mengundi susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat membentuk Kerajaan Negeri Johor selepas memenangi 36 kerusi DUN dengan DAP memperoleh 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan), PKR (lima) manakala Bersatu (lapan).

    Barisan Nasional (BN) mendapat 19 kerusi manakala PAS hanya satu kerusi.

    Bagaimanapun, kerajaan PH di Johor jatuh selepas Bersatu mengumumkan keluar daripada PH di peringkat Persekutuan pada 24 Feb 2020.

    Susulan itu, Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai parti-parti di bawah BN serta PAS, sekali gus membentuk kerajaan negeri di Johor dengan 29 kerusi. – Bernama

  • Pengantin baharu turut mengundi dalam PRN Johor

    Pengantin baharu turut mengundi dalam PRN Johor

    SEPASANG pengantin baharu dari Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, menunaikan tanggungjawab mengundi sebaik sahaja selesai majlis persandingan mereka.

    Pereka grafik, Zaimah Nassir, 27, ditemani pasangannya, Faiq Basri, 29, yang juga pegawai kerajaan, tiba di pusat mengundi Dewan Kampung Melayu, Johor Bahru pukul 4 petang tadi.

    Berita Harian melaporkan, ketibaan pasangan itu di pusat mengundi berkenaan dengan lengkap berpakaian pengantin berwarna putih gading, mendapat perhatian pengundi lain, yang sempat merakamkan gambar mereka.

    Zaimah berkata, beliau bersyukur apabila dapat menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun sibuk dengan majlis persandingan.

    “Risau juga tak sempat pada mulanya kerana jalan sesak di kawasan rumah untuk ke sini.

    “Kami sudah menetapkan tarikh persandingan lebih awal dan sudah mengedarkan kad jemputan sebelum tarikh PRN diumumkan.

    “Selepas berbincang bersama keluarga, kami sepakat meneruskan majlis persandingan hari ini kerana segala persiapan sudah dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi.

    Sementara itu, Faiq berkata, mereka akan bergegas ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja pula untuk membolehkannya mengundi.

    “Saya harap sempat tiba ke pusat mengundi di Parit Raja sebelum pukul 6 petang ini,” katanya.

  • PM pakai baju BN tinjau pusat mengundi satu kesalahan pilihan raya

    PM pakai baju BN tinjau pusat mengundi satu kesalahan pilihan raya

    KEHADIRAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau pusat pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di luar Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2, Johor Bahru, hari ini, dilihat sebagai satu kesalahan.

    Ini kerana dakwa kumpulan reformasi pilihan raya Bersih, Perdana Menteri memakai baju Barisan Nasional (BN) berwarna biru itu merupakan satu kesalahan dalam pilihan raya.

    Penyelaras pemantau pilihan raya Bersih Ashraf Sharafi berkata, aktivis parti tidak dibenarkan membawa bahan kempen dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi.

    Selain itu, katanya kempen juga tidak dibenarkan di mana-mana kawasan pilihan raya pada hari pengundian.

    “Sesiapapun yang berkempen pada hari pengundian, termasuk perdana menteri telah melakukan kesalahan pilihan raya,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

    Ashraf memetik Seksyen 26(1)(f) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyatakan: “Bagi pihak mana-mana calon, merayu undi pemilih di dalam mana-mana bahagian pilihan raya bagi menyokong atau menentang mana-mana calon atau parti politik dalam sesuatu pilihan raya dengan apa-apa cara jua termasuk melawat pemilih di rumah atau di tempat kerja mereka atau menemu ramah orang ramai.”

    “Semangat undang-undang pada hari pengundian tidak boleh berkempen,” kata Ashraf.

    Dia juga mengambil maklum beberapa juru kempen terus menyiarkan bahan di media sosial pada hari pengundian, yang diakui Ashraf sebagai tiada peraturan jelas yang menangani hal tersebut.

    Sementara itu, Ismail Sabri turut memuat naik foto beliau meninjau proses pengundian itu dalam Facebook miliknya.

    “Sempat meninjau kelancaran proses pengundian di Pusat Daerah Mengundi Taman Siantan (SK Perumahan Tampoi 2) DUN Kempas.

    “Kepada Datuk Ramlee yang berdepan saingan tujuh penjuru di Kempas, saya doakan semoga kemenangan berpihak kepada kita,” kata Ismail Sabri melalui hantaran menerusi Facebook bersama-sama gambarnya di tempat itu.

    Di Kempas, calon BN, Datuk Ramlee Bohani berdepan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nornekman Osman, Nur Faizal Abdullah daripada Perikatan Nasional, Napsiah Khamis daripada Parti Keadilah Rakyat (PKR) dan calon Bebas Azwan Abd. Rahman dan Hambali Munadi.

  • Suspek tembak pengawal keselamatan guna pistol polis mati dibunuh

    Suspek tembak pengawal keselamatan guna pistol polis mati dibunuh

    PENJENAYAH yang disyaki merompak dan menembak mati pengawal keselamatan di depan sebuah bank di Puchong Prima semalam dipercayai menggunakan senjata yang dicuri daripada anggota polis yang dibunuh lebih empat tahun lalu.

    Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam hari ini.

    Memetik laporan BH, beliau memberitahu, pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang ditembak mati di Pondok Polis Komuniti Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017.

    “Siasatan mendapati pistol berkenaan dirampas daripada anggota kita yang meninggal dunia selepas diserang ketika bertugas.

    “Dengan tertangkapnya suspek warga tempatan berusia 38 tahun itu, kita dapat merampas kembali pistol berkenaan.

    “Kita percaya suspek terbabit dalam enam kes samun bersenjata api yang masih dalam siasatan dan dia dipercayai bergerak secara solo,” katanya.

    Valentino ditemukan meninggal dunia oleh anggota Unit Peronda MPV yang pulang daripada rondaan pada jam 3.25 pagi dengan kesan tembakan pada badan di pondok polis terbabit.

    Arjunaidi berkata, suspek dipercayai melepaskan tiga das tembakan dan mengenai dua pengawal syarikat keselamatan yang memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta dari bank berkenaan ke van keselamatan.

    Katanya, satu das tembakan mengenai belakang seorang pengawal keselamatan yang maut dalam kejadian itu.

    “Dua das tembakan lagi dilepaskan yang mana satu das mengenai tulang rusuk seorang lagi pengawal keselamatan, yang kini mendapat rawatan di Hospital Serdang.

    “Suspek melarikan wang dianggar berjumlah RM500,000 dan ketika ditahan di hadapan sebuah bank di Seksyen 20, polis merampas wang tunai RM350,000, sepucuk pistol, 10 butir peluru dan dua kelopak peluru,” jelasnya.

    Tambah beliau, suspek kini direman seminggu bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971.

  • Tidak ramai pengundi muda keluar mengundi di DUN Larkin – calon PN

    Tidak ramai pengundi muda keluar mengundi di DUN Larkin – calon PN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang berkata, trend pengundi muda yang keluar membuang undi di kawasan itu dilihat agak perlahan sejak pagi tadi.

    Menurutnya, perkara itu dilihat berdasarkan tinjauannya sendiri di beberapa pusat mengundi pagi tadi.

    “Saya sempat ke beberapa lokasi mengundi dan berdasarkan pemerhatian, walaupun ada saluran yang tinggi jumlah keluar mengundinya, namun golongan muda di saluran 7 dan 8 agak perlahan.

    “Saya seru kepada anak muda khusus yang boleh mengundi secara automatik supaya keluar mengundi. Mungkin mereka tidak perasan bahawa mereka sebenarnya layak mengundi.

    “Masa tinggal beberapa jam saja lagi untuk menunaikan tanggungjawab bagi memilih pemimpin yang dirasakan layak. Ia menjadi satu kerugian jika tidak keluar mengundi dan akhirnya pemimpin dipilih bukan individu yang mereka mahukan,” katanya memetika laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi sekitar Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

    DUN Larkin menyaksikan pertembungan enam penjuru antara iaitu Zulkifli, Rasid Abu Bakar mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Hairi Md Shah daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Zamil Najwah Arbain.

    Selain itu, pakar motivasi dan pendakwah bebas, Norramadan Buan turut bertanding sebagai calon Bebas manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diwakili calonnya, Mohamad Riadz Mohamad Hashim.