Author: Admin

  • Muda mampu jadi ‘game changer’ pada masa akan datang

    Muda mampu jadi ‘game changer’ pada masa akan datang

    WALAUPUN masih baharu namun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dianggap mampu menjadi ‘game changer’ dan memberikan impak dalam arena politik negara pada masa depan.

    Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kemenangan satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan parti itu mampu menjadi relevan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Namun, beliau berkata, Muda perlu bijak untuk turut mendekati pelbagai golongan dan bukan hanya memberikan fokus kepada golongan muda semata-mata.

    “Bagi saya, perancangan Muda bukan untuk PRN Johor. Mereka sebenarnya sekadar menguji sokongan akar umbi iaitu adakah golongan muda sahaja yang menyokong atau sebaliknya.

    “Saya berpendapat sasaran sebenar yang Muda perlu lakukan adalah mendekati golongan pertengahan, profesional dan bandar yang dirasakan mampu untuk menyebelahi isu yang dibawa oleh parti itu dalam PRU-15 akan datang.

    “Bagaimanapun di Johor, Muda telah berjaya menang satu kerusi dan ia satu pencapaian kepada Muda. Aliran sokongan kepada Muda juga tidak terlalu sedikit berbanding parti baharu lain yang bertanding,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, selain mendekati golongan yang berbeza, Muda juga memerlukan kerjasama politik dengan parti lain sekiranya mahu memberikan cabaran pada PRU-15.

    Sivamurugan berkata, sukar untuk Muda bergerak sendiri pada PRU akan datang dan ia dibuktikan dengan kekangan logistik untuk mendekati golongan sasar pada PRN Johor.

    “Susah untuk mereka bergerak sendiri kerana mereka parti baharu dan apabila bertanding dalam PRU, mereka memerlukan logistik dan jentera yang kuat untuk masuk ke seluruh kawasan.

    “Sebab itu mereka memerlukan kerjasama politik tetapi perlu bersama parti yang seiring dengan idea dan misi mereka. Jika dapat dilakukan, mereka mampu jadi game changer dan memberikan impak kepada politik negara,” katanya.

  • Kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM1.6 bilion

    Kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM1.6 bilion

    SEBANYAK 51,631 kes membabitkan jenayah dalam talian direkodkan bagi tempoh 2019 sehingga 2021 dengan kerugian bernilai lebih RM1.6 bilion.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, pembelian dalam talian merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 18,857 kes, diikuti pinjaman tidak wujud dengan 15,546 kes.

    “Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memerangi sindiket penipuan termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

    “Pihak berkuasa turut meningkatkan pengoperasian dan tangkapan seterus menjalankan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit dalam penipuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperincikan statistik kes penipuan pembelian dalam talian bagi tempoh 2019 hingga 2021.

  • Kekalkan Muhyiddin teraju PN untuk PRU-15

    Kekalkan Muhyiddin teraju PN untuk PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEKALAHAN Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan satu pengakhiran kepada gabungan tersebut.

    Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berkata, sebaliknya akan terus membakar semangat dan iltizam gabungan itu untuk meneruskan perjuangan agenda pembaharuan landskap politik, tadbir urus negara berteraskan integriti serta mensejahterakan rakyat.

    “Kepemimpinan PN tidak akan terus membiarkan mana-mana pemimpin yang terpalit dengan jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa daripada terus memimpin sebuah parti Melayu serta menerajui kerajaan di negara ini.

    “Kami khuatir, ahli-ahli parti itu pun akan sama-sama mengamalkan rasuah dan menerima gejala tersebut sebagai satu budaya kerana menteladani perlakuan pemimpi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PN menang tiga kerusi yang mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyumbang dua, manakala Pas pula meraih satu kerusi.

    Sementara Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, Parti Keadilan Rakya (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Ketiga-tiga kerusi PN itu dimenangi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong (majoriti 710 undi); Alwiyah Talib di DUN Endau (majoriti 3,041 undi) dan Abdul Aziz Talib di DUN Maharani (majoriti 1,037 undi).

    Mohd Solihan pula bertanding di kerusi DUN Gambir tewas dalam pertembungan empat penjuru menentang Sahrihan Jani (Barisan Nasional), Na’im Jusri (Pakatan Harapan) dan Suraya Sulaiman (Parti Pejuang Tanah Air).

    Mengulas lanjut, beliau berkata, PN Johor mahu Muhyiddin perlu dipertahankan sebagai Pengerusi PN dan Pengerusi PN Johor sekali gus kekal menerajui kepemimpinan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Katanya, ini kerana cabaran lebih besar menanti pada PRU15 yang boleh diadakan dalam lingkungan tempoh sehingga pertengahan 2023.

    “Penerangan PN Johor mahu menegaskan, kepemimpinan Muhyiddin juga masih diperlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kepemimpinan PN sebagai gagasan yang memperjuangkan sebuah kerajaan berintegriti, cekap mentadbir urus dan prihatin rakyat bersama parti komponen iaitu Pas serta Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).

    “Kami tahu, ada pihak menggunakan sentimen kekalahan calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin untuk mengadu domba bahawa punca utamanya konon disebabkan kesilapan pendekatan mahupun strategi Muhyiddin.

    “Namun kami tahu beliau, barisan kepemimpinan PN serta jentera pilihan raya parti telah melakukan yang terbaik untuk memenangi pilihan raya berkenaan tetapi banyak faktor lain menyumbang kepada kekalahan tersebut,” katanya.

    Selepas keputusan PRN Johor dikeluarkan pada malam Sabtu, Muhyiddin Yassin menyatakan kesediannya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN susulan kekalahan teruk PN pada PRN tersebut.

    Muhyiddin berkata, kekalahan PN pada PRN Johor adalah tanggungjawabnya namun keputusan mahu melepaskan jawatan itu memerlukan persetujuan daripada rakan-rakan dalam gabungan PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

  • PRN Johor:BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

    PRN Johor:BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

    BARISAN Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

    Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, kerusi DUN Bukit Batu itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

    Menurutnya, calon PKR tersebut berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S. Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

    Beliau berkata, petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

    “Sebanyak 650 undi rosak dan kita telah buat bantahan tetapi saya diberitahu bahawa bantahan itu seharusnya dibuat mengikut saluran-saluran sepatutnya.

    “Maka, kita akan membuat rayuan di mahkamah supaya kita boleh memastikan bahawa pengiraan undi itu dibuat secara betul,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu beliau menyampaikan 32 komputer riba kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan India Perak di Pejabat BN Sungai Siput, hari ini.

    Vigneswaran berkata, kemenangan lebih dua pertiga yang diperolehi pada PRN Johor kali ini bukti pengiktirafan rakyat negeri itu kepada calon BN.

    Katanya, undi kaum India kembali kepada BN juga menunjukkan peningkatan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

    “Sokongan padu rakyat majmuk termasuk kaum Cina kepada calon BN dapat dilihat menerusi kemenangan pada PRN Johor dan Melaka.

    “Kita melihat sokongan pengundi bukan kepada calon tetapi lebih kepada parti yang diwakilinya. Ini suatu perkara yang baik yang mana calon kita telah mendapat undi pelbagai kaum,” katanya.

    Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

    “Kita tidak ada banyak masa lagi namun terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengadakan PRU pada waktu yang sesuai. Jentera kita sudah mula bekerja.

    “Bagi jumlah kerusi pula, kita akan bincang dalam kalangan kepimpinan BN. Meminta kerusi setakat untuk bertanding tidak berguna, jika mahu minta kerusi pun mestilah ada peluang tinggi untuk menang,” katanya.

  • Pas akan terus bersama PN santuni rakyat

    Pas akan terus bersama PN santuni rakyat

    PAS akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) menyantuni rakyat sambil berlapang dada dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, kata Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, walaupun PN hanya memenangi tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Maharani dan Endau, gabungan tersebut akan terus bersama-sama menyuburkan konsep perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

    “Jangan diukur keputusan pada PRN Melaka dan Johor. Kita baru lagi bersama. Kita terima kekalahan dan akan sediakan satu perancangan untuk bergerak ke hadapan menghadapi PRU15. Apa yang penting adalah perpaduan,” katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan futsal Parlimen Bukit Gantang, Bukit Gantang hari ini.

    Pada PRN Johor, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (11), PN (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (satu) dan Parti Keadilan Rakyat (satu).

    Dalam pada itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, para agamawan termasuk ustaz diminta menyebar luas kepentingan mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

    “Pas bukan cakap mengenai agama Islam sahaja tetapi juga berkaitan kesihatan kerana ia sebahagian daripada Islam. Kalau kita sakit kita kena cari ubat, penawar. Begitu juga untuk melawan mitos, kita kena bercakap menggunakan fakta kenapa pentingnya mengambil vaksin melalui kuliah dan ceramah,” katanya. – Bernama

  • PRN Johor:Jika bersama PH, PN boleh menang 3 tiga lagi kerusi

    PRN Johor:Jika bersama PH, PN boleh menang 3 tiga lagi kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menang tiga lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika membuat rundingan persefahaman bersama Pakatan Harapan (PH).

    Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, rundingan boleh dibuat melibatkan kerusi DUN Bukit Pasir, Serom dan Tenggaroh.

    “Politik serba mungkin. Di DUN Bukit Pasir, (jumlah undian) PN 5,850 dan PH 4,676 boleh mengalahkan BN (6,048).

    “Di DUN Serom, (jumlah undian) PN 7,808 dan PH 5,509 boleh mengalahkan BN (8,507).

    “Di DUN Tenggaroh, (jumlah undian) PN 9,172 dan PH 1,529 boleh mengalahkan BN (10,528),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, difahamkan sudah ada cadangan seperti itu sebelum PRN Johor tetapi ditolak oleh Pas kerana berpegang pada prinsip.

    “Jika benar, harapnya jangan ada yang cuba melontarkannya untuk kali kedua demi mencapai kemenangan kerusi.

    “Dalam politik yang tidak berprinsip, musuh boleh bertukar kawan dan kawan boleh menjadi lawan demi mencapai matlamat,” ujarnya.

    PRN Johor yang melabuhkan tirainya pada Sabtu menyaksikan PN memenangi tiga kerusi DUN.

    Ketiga-tiga kerusi itu dimenangi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong (majoriti 710 undi); Alwiyah Talib di DUN Endau (majoriti 3,041 undi) dan Abdul Aziz Talib di DUN Maharani (majoriti 1,037 undi).

  • TDM bina jambatan sementara ke SJSM

    TDM bina jambatan sementara ke SJSM

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) menerusi Projek Jiwa Murni telah membina jambatan sementara berhampiran Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kampung Jenagor dekat Hulu Terengganu bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir bulan lepas.

    Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata jambatan ‘Compact Bailey 200’ sepanjang 30 meter itu sangat penting sebagai laluan keluar masuk pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke SJSM yang kini terpaksa menggunakan bot sebagai alternatif.

    “Jambatan ini telah mula dipasang semalam dan dijangka siap sepenuhnya esok (14 Mac). 

    “Tanggungjawab pemasangan jambatan ini diberikan kepada Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (MK RAJD) 2 Div yang melibatkan lima pegawai dan 64 anggota dari 7 SKN RAJD Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu dengan dibantu oleh 1 SKN RAJD dan 91 Rejimen Bantuan RAJD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya TDM sentiasa komited dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat, menepati tonggak kelima perintah ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan hubungan dengan orang awam.

    “Terima kasih kepada kerajaan negeri, semua agensi kerajaan dan TNB yang terlibat secara langsung dalam membantu pemasangan jambatan ini,” katanya. – Bernama

  • ADUN Muda, Amira Aisya kekok disapa YB

    ADUN Muda, Amira Aisya kekok disapa YB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR BAHRU – Amira Aisya Abd Aziz mengakui mengakui masih kekok apabila disapa dengan panggilan Yang Berhormat semasa melakukan walk about pertama dan bertemu orang ramai hari ini selepas sah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.

    “Semasa melakukan ‘walk-about’ dan bertemu dengan masyarakat setempat pagi tadi, baharu terasa apabila mereka memanggil saya dengan gelaran YB, agak kekok juga sebenarnya.

    “Tetapi saya ingat apa yang pernah dikatakan Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) bahawa gelaran YB itu perlu dilihat dalam konteks membawa maksud Yang Berkhidmat dan bukannya Yang Berhormat,” katanya.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walk about dan bertemu orang ramai di Taman Adda Heights, Johor Bahru, hari ini.

    Pada PRN Johor, Muda bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin namun hanya Amira Aisya menang dalam pertandingan enam penjuru.

    Amira Aisya yang juga merupakan wakil rakyat paling muda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor turut mengakui air matanya menitis apabila disahkan sebagai wakil rakyat bagi kawasan berkenaan pada malam tadi.

    “Ibu saya ketika ini dikuarantin akibat positif Covid-19, jadi saya tinggal bersama-sama abang dan kakak ipar ketika ini, tetapi kami ada berhubung melalui panggilan telefon dan kiriman mesej selepas mendapat keputusan semalam.

    “Dalam panggilan telefon berkenaan, ibu saya berpesan agar sentiasa menjalankan amanah kerana Allah dan lakukan terbaik untuk rakyat, kerana mereka akan menilai,” katanya.

    Sementara itu, beliau akui tidak sabar menghangatkan sidang DUN Johor untuk pertama kali selepas menang kerusi DUN Puteri Wangsa.

    Beliau tidak berdepan masalah untuk berdebat dengan ahli-ahli politik senior dan mempunyai nama besar seperti Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

    “Saya bukan sekadar bersedia tetapi sebenarnya tidak sabar hendak menunggu bila tarikh sidang DUN Johor akan diadakan.

    “Bagi saya biarlah ia satu perdebatan yang sihat, saya mahu buktikan bahawa kita boleh berdebat tanpa keluarkan kata-kata kasar, debat secara profesional berpaksikan isu-isu rakyat,” katanya.

  • Tewas dalam PRN Johor, Warisan susun strategi untuk PRU15

    Tewas dalam PRN Johor, Warisan susun strategi untuk PRU15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Warisan (Warisan) yang tewas di semua enam kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan berputus asas sebaliknya menyusun strategi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti tersebut perlu melihat ke hadapan dan melakukan persediaan untuk PRU-15.

    “Keputusan PRN Johor tidak seperti apa yang kita harapkan dan masa juga tidak menyebelahi kita, namun ini bukan masanya untuk kita berputus asa.

    “Kini adalah masa untuk kita menyusun semula strategi dan mengorak langkah maju ke depan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Perjuangan kita ke arah Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan. Pada tuhan kita yakin, berpadu kita mesti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada PRN Johor, Warisan tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Pekan Nanas, Bekok, Johor Jaya, Mahkota dan Bukit Batu.

    Sementara itu, Mohd. Shafie mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan mereka dalam PRN Johor.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerja keras dan usaha berterusan ditunjukkan jentera parti itu serta rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan mereka.

    “Paling penting, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan tanpa jemu untuk Parti Warisan,” ujar Ahli Parlimen Semporna itu.

  • Muda lakukan postmortem menyeluruh keputusan PRN Johor

    Muda lakukan postmortem menyeluruh keputusan PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MESYUARAT Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan melakukan postmortem keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara menyeluruh pada Selasa ini.

    Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ini bagi membincangkan dan mengadakan kajian keputusan PRN tersebut termasuk kekalahan mereka di enam kerusi yang ditandingi.

    “Saya sudah mengeluarkan memo panggilan kepada semua ahli jawatankuasa tersebut, kita akan buat analisis tentang PRN Johor dan bincang jalan kehadapan untuk parti Muda,” katanya

    Beliau yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Setia Wangsa berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walk about dan bertemu orang ramai di Taman Adda Heights, Johor Bahru, hari ini.

    Pada PRN Johor, Muda bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin namun hanya Amira Aisya menang dalam pertandingan enam penjuru.

    Berkenaan kemenangan di DUN Puteri Wangsa, beliau berkata, antaranya kerana parti tersebut dapat menarik pengundi baharu terutama saluran empat dan lima serta pengundi atas pagar.

    Beliau terkejut kerana Muda menang besar di saluran satu dan dua melibatkan pengundi-pengundi tua termasuk di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini Pakatan Harapan (PH) kalah pada Pilihan Raya Umum ke15.

    Walaupun begitu, Amira Aisya, 27, yang merupakan calon paling muda menang dalam PRN Johor berkata, Muda kurang mendapat sokongan pengundi berusia 18 tahun di luar bandar dalam DUN berkenaan dan mereka perlu bekerja kuat selepas ini.

    Mengenai pandangan pihak tertentu bahawa Muda menang di kerusi DUN berkenaan kerana kawasan tersebut merupakan kubu Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau menafikan dakwaan tersebut.

    “Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) terutama jentera parti mereka yang bersama kami dari awal hingga akhir. Sebenarnya Puteri Wangsa bukan kerusi kuat dalam PH kerana sebelum ini dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Bersatu kini dalam Perikatan Nasional (PN) dan sebelum itu lagi dimenangi Pas, dakwaan ini merupakan kerusi kuat PKR belum ada bukti yang kukuh tetapi tidak dinafikan bila saya turun di lapangan ramai kenal kerja-kerja PH di sini sebelum ini,” katanya.