Author: Admin

  • Kartel PDRM:KDN minta bekas IGP lapor, berikan bukti

    Kartel PDRM:KDN minta bekas IGP lapor, berikan bukti

    TIMBALAN Menteri Dalam Negeri 2, Datuk Jonathan Yasin meminta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diminta melaporkan dan menyerahkan bukti yang beliau miliki susulan dakwaannya mengatakan wujudnya kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Jonathan, bukti itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan bagi membolehkan siasatan dijalankan kerana pendedahan Abdul Hamid itu dakwaan berat dan berpendapat ada baiknya ia tidak dibuat secara umum sebaliknya dilaporkan.

    Bahkan, beliau juga meminta Abdul Hamid mendedahkan semua nama-nama individu yang didakwa terlibat dalam kartel itu, lapor Astro Awani.

    “Saya juga melihat kenyataan beliau ketika sudah hampir bersara dan kita hairan kenapa tindakan tidak dibuat ketika beliau menjadi Ketua Polis Negara.

    “Tapi di akhirnya, ketika beliau sudah mahu meletakkan jawatan, habis tempoh bertugas, barulah beliau membuat dakwaan yang umum.

    “Kita tahu, kalau membuat dakwaan umum, sebenarnya tidak berapa baik kerana menjejaskan nama semua anggota polis terlibat sedangkan mungkin ramai tak tahu dakwaan itu.

    “Sekiranya wujud dakwaan tersebut, kita menjemput beliau untuk mendedahkan nama-nama yang terlibat, semua pihak yang terlibat.

    “Kita sedia disiasat, sedia buka secara terang untuk dapatkan kebenaran,” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan daripada Ramkarpal Singh (PH – Bukit Gelugor) yang bangkit bertanya status siasatan kartel PDRM di Dewan Rakyat pada Selasa.

    Tambah Jonathan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini berkata pihaknya tidak dapat menentusahkan wujudnya kartel yang mengatur kenaikan pangkat dalam PDRM.

    Jelasnya, EAIC memaklumkan mekanisme kenaikan pangkat membabitkan proses teliti dan beberapa laporan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan pihak luar.

    Katanya lagi, setakat ini kerajaan masih belum mendapat bukti yang jelas berkaitan dakwaan didedahkan Abdul Hamid Bador sebelum ini.

  • Hasni hadir majlis angkat sumpah Onn Hafiz sebagai MB baharu

    Hasni hadir majlis angkat sumpah Onn Hafiz sebagai MB baharu

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad hadir ke majlis angkat sumpah Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu hadir dengan menaiki pelbagai guna jenis Toyata Velfire menerusi pintu belakang istana kira-kira pukul 2.30 petang.

    Sumber BN memaklumkan, selepas majlis angkat sumpah Hasni akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok.

    “Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya Hasni hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 pada petang ini.

    “Selesai angkat sumpah Menteri Besar baharu, Hasni akan terus bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO,” katanya ketika dihubungi.

    Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

    Beliau adalah Menteri Besar Johor yang ketiga dilantik selepas, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

  • Maritim bantu bawa keluar budak sesak nafas di Pulau Aur

    Maritim bantu bawa keluar budak sesak nafas di Pulau Aur

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Mersing membantu membawa keluar seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mengalami sesak nafas dari Pulau Aur ke Hospital Mersing, semalam.

    Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Mersing pada 11 pagi memaklumkan Nur Izzara Aliasha Hirwanizam mengalami sesak nafas dan perlu mendapatkan rawatan segera.

    “Sejurus menerima maklumat tersebut, bot Perkasa 31 yang sedang melakukan rondaan operasi telah diatur gerak ke Pulau Aur bagi memberi bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nurul Hizam berkata, bot membawa Nur Izzara Aliasha bersama dua kakitangan PKD Mersing tiba di Jeti Mersing kira-kira 3.30 petang dan kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.

    Mersing mempunyai lima kepulauan utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

    Jarak dari Jeti Mersing ke Pulau Aur mengambil masa lebih dua jam perjalanan dengan menaiki bot.- Bernama

  • Onn Hafiz sah MB Johor yang baharu

    Onn Hafiz sah MB Johor yang baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERSOALAN tentang siapa Menteri Besar Johor yang baharu terjawab apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru kira-kira pukul 3 petang ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu mengangkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    On Hafiz juga merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dipilih selepas UMNO menyerahkan tiga nama kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Semalam, Barisan Nasional (BN) memberikan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Johor iaitu Onn Hafiz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

  • Rafizi kembali dalam arena politik, bertanding Timbalan Presiden PKR

    Rafizi kembali dalam arena politik, bertanding Timbalan Presiden PKR

    BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengambil keputusan kembali dalam bidang politik selepas lebih dua tahun berehat.

    Malah beliau mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu akan datang.

    Keputusan itu yang diambilnya berdasarkan perkembangan terbaharu dan politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

    “Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

    “Sumbangan saya menubuhkan PH pada tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Rafizi yang merupakan Naib Presiden PKR berkata, sejak 2019 beliau telah menyuarakan pandangan tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat demi untuk mendapat kuasa.

    “Suara saya menjadi suara minoriti dalam kalangan pimpinan PKR, apatah lagi di kalangan PH. Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju.

    “Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian daripada pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawapan,” katanya.

    Rafizi turut mendedahkan bahawa beliau berterusan mendapat desakan daripada pendukung parti itu dan PH daripada kalangan rakyat biasa agar kembali ke gelanggang politik.

    “Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti dalam kalangan pimpinan PKR dan PH.

    “Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat.

    “Jika PKR dan PH ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan rakyat,” jelasnya.

    Tegas Rafizi, mereka seharusnya bukan sahaja menuding jari antara satu sama lain tetapi membawa penyelesaian yang masuk akal bagi meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika memilih PKR dan PH.

    “Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik.

    “Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik daripada menambat hati rakyat,” katanya.

  • Dua beranak diberkas, dadah bernilai RM1.95 juta dirampas

    Dua beranak diberkas, dadah bernilai RM1.95 juta dirampas

    DUA beranak yang menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak awal Januari lalu diberkas dalam satu serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom Kuala Langat, Khamis lalu.

    Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan

    Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor itu di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor simpanan bahan terlarang terbabit.

    Pihaknya berjaya merampas 53 bungkusan teh dipercayai berisi dadah jenis syabu bernilai RM1.95 juta dalam rumah itu, lapor Sinar Harian.

    “Dua beranak itu merupakan seorang bapa dan anak lelakinya dan kedua-duanya diberkas di tempat letak kereta di Bandar Saujana Putra.

    “Serbuan dijalankan pada pukul 4.50 petang memberkas dua suspek terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Thailand masing-masing berumur 26 dan 49 tahun.

    “Pemeriksaan yang dijalankan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dinaiki suspek menemukan polis dengan satu kotak berisi 10 bungkusan plastik teh mengandungi dadah jenis syabu seberat 10.2 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini.

    Beliau berkata, tangkapan yang dijalankan ke atas kedua suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra kira-kira jam 6.20 petang.

    “Pemeriksaan dijalankan menemukan dua kotak berisi 43 bungkusan teh dipercayai turut mengandungi dadah jenis syabu seberat 43.86 kilogram.

    “Siasatan mendapati rumah teres berkenaan disewa untuk dijadikan lokasi penyimpanan dadah tersebut,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati kedua suspek menetap di Kelantan dan menjalankan perniagaan menjual barangan mainan.

    “Siasatan awal mendapati kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai dari negara jiran untuk pengedaran di Selangor.

    “Kedua suspek dipercayai telah menyewa sebuah inap desa di negeri ini untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

    Tambahnya, semakan mendapati seorang suspek memiliki rekod kesalahan lampau.

    “Semakan mendapati suspek berumur 26 tahun tersebut memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala bapanya tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

    “Ujian saringan yang dijalankan mendapati kedua suspek negatif dadah,” katanya.

    Ahmad Jefferi berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • BN gesa SPR kira semula kertas undi DUN Bukit Batu

    BN gesa SPR kira semula kertas undi DUN Bukit Batu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BARISAN Nasional (BN) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengira semula kertas undi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu berikutan MIC tewas hanya 137 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

    S. Suppayah yang menjadi calon BN bagi kerusi DUN Bukit Batu berkata, MIC juga akan menggunakan saluran perundangan kerana dipercayai berlaku ketirisan ketika proses pengiraan undi.

    Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat itu mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak.

    “Saya dimaklumkan ejen kira undi, terdapat banyak bantahan dan sepatutnya kertas undi boleh diterima. Tetapi bila ada bantahan daripada PKR, mereka (SPR) tolak semula kertas undi itu.

    “Berdasarkan asas itu, kami kurang senang dengan apa yang berlaku, jadi kami lihat menerusi perundangan boleh menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Kulai, hari ini.

    Suppayah menunjukkan salinan laporan berkenaan keputusan PRN Johor yang dibuat di IPD Kulai

    Pada PRN Johor, Suppayah tewas kepada calon PKR, Chiong Sen Sern di kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi selepas beberapa kali pengiraan undi dilakukan.

    Sen Sern berjaya memenangi kerusi itu dengan jumlah undi sebanyak 9,439, menewaskan Supayyah yang memperoleh 9,302 undi.

    Dalam pada itu, Supayyah berkata, laporan polis yang dibuat itu adalah salah satu proses perundangan bagi membolehkan bantahan dilaksanakan dan dibawa ke Mahkamah Tinggi.

    Katanya, dalam laporan polis berkenaan, pihaknya memohon SPR membuat pengiraan semula bagi undi yang ditolak membabitkan sebanyak 612 undi.

    “Itu adalah satu jumlah yang sangat tinggi kerana jumlah majoriti di kerusi DUN itu adalah sebanyak 137 sahaja, ia sukar diterima akal dan dilihat tidak munasabah.

    “Oleh itu, kami berpendapat adalah adil sekiranya perlu diadakan pengiraan semula mengikut undang-undang sepatutnya.

    “Kami bukan bertindak sesuka hati tetapi ia termaktub dalam peruntukan Akta SPR,” katanya.

  • Penganggur bunuh pesara polis terlepas hukuman mati

    Penganggur bunuh pesara polis terlepas hukuman mati

    MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini melepaskan seorang penganggur terlepas daripada hukuman mati atas pertuduhan membunuh pesara polis empat tahun lalu, selepas mahkamah memutuskan tertuduh gila ketika kejadian.

    Berita Harian melaporkan, Mohd. Rozani Yahaya, 43, yang memakai kemeja putih dan berseluar jeans kelihatan tenang selepas keputusan mahkamah itu dibaca.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Ab. Halim Che Yusoff yang berusia 69 tahun ketika kejadian di tepi rumah di Kampung Apa-Apa Bunut Susu, Pasir Mas pada 12 tengah hari, 25 Januari lalu 2018.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

    Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

    Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika membacakan penghakiman di akhir pembelaan berkata, berdasarkan kepada keterangan pakar perubatan, tertuduh didapati tidak siuman ketika kejadian pada 25 Januari 2018.

    “Mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah kerana ketika kejadian lelaki itu didapati gila.

    “Mahkamah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 348 (2) Kanun Prosedur Jenayah supaya Mohd. Rozani diletak di bawah penjagaan selamat di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, dekat Perak sehingga mendapat perintah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya.

    Wan Ahmad Farid memaklumkan Mohd. Rozani mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mental sejak 2004 selepas dirawat di wad sakit jiwa Hospital Raja Perempuan Zainab II.

    Menurutnya, pihak hospital mengesahkan tertuduh mengalami masalah mental kerana pengambilan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

  • Sesiapa cuba tebuk, ubah hala tuju bahtera Pas akan tercampak keluar – Hadi

    Sesiapa cuba tebuk, ubah hala tuju bahtera Pas akan tercampak keluar – Hadi

    PARTI  Islam Se-Malaysia (Pas) yang berprinsip Islam mewajibkan supaya tidak berganjak dengan dasarnya yang termaktub dalam Perlembagaan Pas di bawah Majlis Syura Ulama (MSU). MSU diberikan kuasa untuk mempertahankan pelaksanaan Fasal 3 dan 7 bagi mengawal segala pendekatan dan strategi yang diberikan hak kepada Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat dan segala cabangnya supaya tidak terpesong.

    Tidak diizinkan kepada sesiapa dan mana-mana pihak bagi merungkai dasar tersebut dengan akalnya yang cetek, jauh sekali merombak atau merobohkannya sama ada dari dalam ataupun anasir luar yang mahu merosakkan asas dan matlamat perjuangan Pas.

    Tidak diizinkan juga mencelarukan peranan MSU yang menjaga dasar dan prinsip, manakala AJK Pas Pusat yang mentadbir dan mengatur pengurusan dan strateginya. Bahkan, Fasal 26 (9)(m) Perlembagaan Pas juga menjelaskan antara tugas-tugas AJK Pas Pusat adalah pada amnya menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh Presiden serta melaksanakan apa saja usaha untuk kemajuan parti akan keutuhan umat Islam. 

    Fasal 3 dan 7 itu ialah Islam menjadi aqidah perjuangan dan hukum tertingginya ialah Kitabullah (al-Quran), Sunnah Rasul, Ijma‘ Ulama’, dan Qiyas. Namun, tidak boleh berlawanan antara MSU dengan AJK Pas Pusat dan tidak boleh dilagakan oleh mana-mana pihak kerana diketahui sempadan masing-masing mengikut perlembagaan dan adab berjemaah yang ditarbiah. Sesiapa yang gagal dalam tarbiahnya, maka akan tersingkir atau disingkirkan.

    Pas banyak pengalamannya sejak ditubuhkan sebelum kemerdekaan lagi, ketika ramai yang menyerah kalah kepada penjajah dan ada yang paling ekstrem melawannya. Sehingga dalam arena politik selepas merdeka, Pas mengambil pendekatan konsep demokrasi tanpa kekerasan dalam negara sendiri dan masyarakat bersaudara walaupun bermasyarakat majmuk.

    Pas juga mengambil pendekatan bermuamalat dengan pihak lain daripada jemaahnya, sama ada Islam ataupun bukan Islam. Usaha pihak yang mahu merosakkan pendekatan ini dapat disingkirkan sepanjang perjalanannya, sehingga Pas langsung tidak rebah tersungkur. Mereka yang tersungkur ialah mereka yang mengacau perjalanannya, sama ada yang menipu, ekstrem, ataupun tiada kebijaksanaan.

    Fiqh politik Islam mengajar beberapa amalan seperti baiah (bersetia), mu‘ahadah (berjanji), dan islah (berdamai) dengan kumpulan Islam secara khusus bagi mendapatkan jumlah anggota jemaah yang dituntut oleh amalan demokrasi dan mengukuhkan ikatan saf perjuangan Islam yang sama-sama diimani. Pas tidak menganggap jemaahnya sahaja yang berhak menegakkan Islam, malah apa yang penting adalah tidak memecahkan saf perjuangan Islam tersebut.

    Pada masa yang sama, Pas menjalinkan hubungan dengan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membanyakkan sokongan kepada kebaikan bersama dalam kehidupan bermasyarakat majmuk. Firman Allah SWT:

    “Mudah-mudahan, Allah menimbulkan kasih sayang antara kalian dengan orang-orang yang kalian musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7) Allah tidak melarang kalian untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kalian kerana agama dan tidak (pula) mengusir kalian dari negeri kalian. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8 ) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kalian menjadikan sebagai kawan kalian orang-orang yang memerangi kalian kerana agama dan mengusir kalian dari negeri kalian, dan membantu (orang lain) untuk mengusir kalian. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 7–9)

    Semua pendekatan tersebut ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dengan pihak lain yang dinamakan himayah (perlindungan), tahaluf (persefahaman), dan ta‘awun (tolong-menolong).

    Dalam semua bentuk atau pendekatan kerjasama itu, wajib berpegang kepada prinsip asas yang menjadi sempadan yang tidak boleh berganjak. Apabila sudah terkeluar dari sempadan itu, maka wajib diperbetulkan. Jika tidak, maka hendaklah diputuskan hubungan, termasuk dengan sesama kumpulan Islam sendiri yang terpesong dari segi fikrah sehingga melakukan kekerasan.

    Firman Allah SWT:

    “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan Uli al-Amr antara kalian. Kemudian, jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

    Uli al-Amr itu ialah para umara (pemimpin) dan ulama (ilmuwan Islam). Firman Allah SWT lagi:

    Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang, hendaklah kalian damaikan antara kedua-duanya! Akan tetapi, kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kalian perangi sampai surut kembali kepada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara kedua-duanya menurut keadilan, dan hendaklah kalian berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat: 9)

    Dalam keadaan yang paling lemah sekalipun ketika Marhalah Makkiyyah, semasa umat Islam masih belum memiliki negara yang berkuasa, Rasulullah SAW dan para sahabat RA membatalkan himayah dan tahaluf yang diberikan oleh kalangan keluarga mereka dan para pemimpin Makkah yang bukan Islam apabila diminta membatalkan perjuangan Islam walaupun ditawarkan takhta dan harta. Sabda Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya, Abu Talib:

    “Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam), sehingga Allah memenangkannya atau aku mati dalam perjuangannya, nescaya aku tidak meninggalkannya sekali-kali!” (Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, ms. 240)

    Akhirnya, Abu Talib berjanji untuk terus mempertahankan Rasulullah SAW. Peristiwa ini menunjukkan ketegasan kepada prinsip dan pendekatan yang anjal (fleksibel).

    Terkini, PAS memperkenalkan pendekatan ta‘awun (kerjasama) dengan parti-parti Melayu Islam, bumiputera, dan bukan Islam yang tidak ekstrem berkonsepkan firman Allah SWT:

    “...Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Ma’idah: 2)

    Itulah dua pendekatan yang nyata: Bertolong-menolong dalam perkara kebajikan dan taqwa (mentaati Allah) serta tidak bertolong-menolong dalam perkara kejahatan dan permusuhan. Perkara ini berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar.

    Pas berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan umat manusia, termasuk mereka yang bukan Islam dalam masyarakat majmuk melalui Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), dan lain-lain. Hal ini adalah bagi menegakkan konsep keadilan kepada semua dan menentang segala salah laku dan salah tadbir urus.

    Pas menentang segala keburukan dan kemungkaran seperti rasuah, salah tadbir urus, dan salah laku yang berleluasa. Maka, Pas tidak boleh berta‘awun bagi tujuan yang salah dan terpesong daripada prinsipnya walaupun ditawarkan kerusi, jawatan, harta, dan sebagainya.

    Politik wang dan pangkat diharamkan dalam Pas.

    Ahlinya yang setia tetap beristiqamah dan bersabar, walaupun tidak mendapat sokongan masyarakat yang tidak memahami.

    Pas berwawasan keredaan Allah daripada dunia sehingga akhirat, bukan sekadar mencari publisiti bagi memenangi pilihan raya dan mendapat kerusi atau jawatan tanpa prinsip dan akhlak. Lebih-lebih lagi jika membisu terhadap kemungkaran dan perpecahan yang memburukkan keadaan umat dengan menipu masyarakat umum.

    Pas dan pendukungnya yang setia, sedia bersabar walaupun memakan masa yang panjang kerana pesanan Rasulullah SAW:

    “Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarahi oleh manusia, nescaya Allah meredainya dan Allah menjadikan manusia meredainya. Sesiapa yang mencari keredaan manusia sahaja walaupun dimurkai oleh Allah, nescaya Allah memurkainya dan Allah menjadikan manusia memarahinya.” (Riwayat Ibn Hibban 276)

    Hanya mereka yang sabar dan beristiqamah dapat melangsungkan perjuangan ini bersama PAS. Mereka yang tidak ikhlas dan istiqamah akan terkeluar atau dikeluarkan daripada PAS. Allah SWT menceritakan doa Nabi Musa AS dan syarat diperkenankan doa Baginda:

     “Musa berkata: ‘Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan Kami – akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih.’ (88) AlIah berfirman: ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonan kalian berdua, sebab itu tetaplah kalian berdua (beristiqamah) di jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali kalian mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’ (89)” (Surah Yunus: 88–89)

    Para ulama menceritakan bahawa jarak masa kemenangan yang dijanjikan adalah selama 40 tahun.

    Orang yang tidak mengetahui keadaan ini, sama ada dia mahu kemenangan yang gopoh ataupun tidak percaya kepada janji kemenangan sehingga tidak istiqamah, lalu mengambil pendekatan pintas yang terpesong daripada prinsip dan matlamat perjuangan. Keadaan ini berlaku sama ada kerana kebodohan dirinya ataupun digoda oleh pelbagai pihak sepanjang perjalanannya.

    Maka, Pas teguh dan tegas dalam pelaksanaan disiplin jemaah yang dilaksanakan. Oleh kerana itu, berlakulah perkara yang dinyatakan oleh Allah:

    ﴿لَ “Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ‘Jikalau kami sanggup, tentulah kami berangkat bersama-sama kalian.’ Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya, mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Tawbah: 42)

    Kita melakukan penapisan terhadap apa yang zahir dan dapat dipandang sahaja. Apa yang tersembunyi, maka Allah yang menapisnya bagi membersihkan jemaah yang benar-benar menegakkan Islam yang diredai-Nya.

    Kita mengharapkan supaya kita mencapai ciri-ciri kumpulan Islam yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bertahan dan beristiqamah di atas prinsipnya yang teguh:“Tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku mereka yang bangkit menegakkan perintah Allah (bagi menegakkan agama-Nya), mereka tidak boleh dimudaratkan (dihapuskan) oleh kalangan yang mengecewakan atau melawan mereka, sehingga datangnya ketentuan Allah (kemenangan) dalam keadaan mereka terus-menerus menzahirkan diri mereka di tengah-tengah khalayak manusia.” (Riwayat Muslim 1037 dan Ahmad 16932)

    Kita wajib mewujudkan kumpulan Islam yang beristiqamah di atas prinsip aqidah, syariah, dan akhlak supaya dipelihara oleh Allah laksana bahtera yang kukuh dan betul perjalanannya yang berprinsip. Sesiapa yang mencuba untuk mengubah hala tujunya atau menebuknya bagi ditenggelamkan, nescaya akan dicampak keluar atau tercampak sendiri dengan kehendak Allah yang sentiasa memelihara agama-Nya (Islam).

    • Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas. Artikel ini dipetik daripada ruangan Minda Presiden.
  • Sultan Johor perkenan, Onn Hafiz angkat sumpah MB Johor ke-19

    Sultan Johor perkenan, Onn Hafiz angkat sumpah MB Johor ke-19

    AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dikatakan sudah mendapat perkenan Sultan Johor sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di salah sebuah istana di Johor Bahru, hari ini.

    Onn Hafiz, 43, merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dipilih selepas UMNO menyerahkan tiga nama kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Selain beliau, turut dinamanakan calon Menteri Besari Johor ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

    Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    Terdahulu dalam satu kenyataan, Hasni yang juga pengerusi BN Johor mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

    Hasni berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.