TIMBALAN Menteri Dalam Negeri 2, Datuk Jonathan Yasin meminta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diminta melaporkan dan menyerahkan bukti yang beliau miliki susulan dakwaannya mengatakan wujudnya kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Jonathan, bukti itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan bagi membolehkan siasatan dijalankan kerana pendedahan Abdul Hamid itu dakwaan berat dan berpendapat ada baiknya ia tidak dibuat secara umum sebaliknya dilaporkan.

Bahkan, beliau juga meminta Abdul Hamid mendedahkan semua nama-nama individu yang didakwa terlibat dalam kartel itu, lapor Astro Awani.

“Saya juga melihat kenyataan beliau ketika sudah hampir bersara dan kita hairan kenapa tindakan tidak dibuat ketika beliau menjadi Ketua Polis Negara.

“Tapi di akhirnya, ketika beliau sudah mahu meletakkan jawatan, habis tempoh bertugas, barulah beliau membuat dakwaan yang umum.

“Kita tahu, kalau membuat dakwaan umum, sebenarnya tidak berapa baik kerana menjejaskan nama semua anggota polis terlibat sedangkan mungkin ramai tak tahu dakwaan itu.

“Sekiranya wujud dakwaan tersebut, kita menjemput beliau untuk mendedahkan nama-nama yang terlibat, semua pihak yang terlibat.

“Kita sedia disiasat, sedia buka secara terang untuk dapatkan kebenaran,” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan daripada Ramkarpal Singh (PH – Bukit Gelugor) yang bangkit bertanya status siasatan kartel PDRM di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambah Jonathan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini berkata pihaknya tidak dapat menentusahkan wujudnya kartel yang mengatur kenaikan pangkat dalam PDRM.

Jelasnya, EAIC memaklumkan mekanisme kenaikan pangkat membabitkan proses teliti dan beberapa laporan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan pihak luar.

Katanya lagi, setakat ini kerajaan masih belum mendapat bukti yang jelas berkaitan dakwaan didedahkan Abdul Hamid Bador sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here