Author: Admin

  • Mahkamah Tinggi semak hukuman kes lelaki tetak kepala, tangan peguam

    Mahkamah Tinggi semak hukuman kes lelaki tetak kepala, tangan peguam

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan menyemak hukuman kes seorang lelaki yang didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka baru-baru ini.

    Pada Rabu, ditetapkan untuk pendengaran semakan kes itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, namun M Samasiveng, 57, tidak hadir ke mahkamah dan gagal dikesan oleh peguam T P Aravind Raj, yang sebelum ini mewakili lelaki itu pada prosiding kes di Mahkamah Majistret Selayang.

    Semakan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil rekod prosiding mahkamah rendah dan menyemaknya.

    Aravind yang hadir pada prosiding berkata, beliau telah cuba menghubungi lelaki itu tetapi panggilannya tidak dijawab malah tidak mendapat arahan sama ada untuk mewakili Samasiveng dalam prosiding semakan ini.

    “Saya baru sahaja mendapat notis berhubung perbicaraan semakan ini dan saya akan cuba menghubungi Samasiveng berhubung perkara ini. Mohon maaf atas segala kesulitan,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Isa Mohamed memaklumkan kepada mahkamah bahawa rayuan berhubung kes tersebut difailkan di mahkamah oleh Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor.

    Sequerah kemudian mengarahkan pendakwaan membantu pihak polis bagi mengesan lelaki berkenaan dan menetapkan 18 Mac ini untuk pengurusan kes.

    Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 11 bulan jika dia gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu. – Bernama

  • Permohonan rayuan Najib masukkan bukti baharu ditolak

    Permohonan rayuan Najib masukkan bukti baharu ditolak

    RAYUAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir melibatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ditolak Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan memberitahu, Mahkamah Rayuan tidak melakukan sekarang kekhilafan dan tiada sebarang kesalahan yang membolehkan ia dirayu, lapor Astro Awani.

    Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

    Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

    Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang Queen’s Counsel (QC).

    Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang dikatakan sangat kompleks membabitkan isu dan persoalan perundangan baharu bukan sahaja di bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

    Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permohonan Najib untuk menerima masuk QC antara 20 dan 24 Jun ini.

    QC ialah peguam kanan dan berpengalaman dari United Kingdom (UK) yang diberikan tauliah khas oleh Ratu Elizabeth.

    Mahkamah Persekutuan juga sebelum ini menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International, pada 15 Mac dan 16 Mac ini .

  • MoF akan perincikan pengeluaran KWSP dalam masa terdekat

    MoF akan perincikan pengeluaran KWSP dalam masa terdekat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kewangan (MoF) akan memberikan perincian berkenaan pengeluaran khas simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

    Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perincian tersebut akan diberikan dalam masa terdekat.

    “Saya ingin memaklumkan bahawa butir-butir mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat.

    “KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hari ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000.

    Ismail Sabri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP akan akan dibuat MoF dan KWSP.

    “Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan,” kata Perdana Menteri.

  • Syed Hamid tegur pemimpin UMNO

    Syed Hamid tegur pemimpin UMNO

    VETERAN politik, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mendapat penghormatan daripada UMNO meskipun beliau hanya memegang jawatan Naib Presiden.

    Beliau mengemukakan pandangan tersebut sebagai teguran kepada pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Perdana Menteri.

    “Saya ingin menegur pemimpin-pemimpin UMNO tentang layanan kepada Ismail Sabri.

    “Beliau adalah ketua kerajaan Malaysia walaupun dalam parti hanya Naib Presiden UMNO.

    “Justeru perlu diberi kehormatan dan tempat yang sewajarnya. Satu pandangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pandangan itu dipercayai susulan penularan video menunjukkan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) meraikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

    Dalam klip video berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat menarik tangan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada asalnya berada pada kedudukan agak terlindung untuk berada di tengah.

    Tindakan itu menyebabkan Ismail Sabri yang pada awalnya jelas berada di tengah-tengah barisan dilihat terpaksa berganjak sedikit ke belakang dan agak terlindung.

  • PM umum kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000

    PM umum kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

    Perdana Menteri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP akan akan dibuat Kementerian Kewangan dan KWSP.

    “Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

    “Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

    “Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya yang mengumumkan perkara tersebut hari ini.

    Katannya, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

    Beliau berkata, berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan daripada segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

    “Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP,” katanya.

  • Onn Hafiz mulakan tugas rasmi sebagai MB Johor

    Onn Hafiz mulakan tugas rasmi sebagai MB Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Onn Hafiz Ghazi memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Menteri Besar Johor yang bahru di Pejabat Menteri Besar, Kota Iskandar, Iskandar Puteri pagi ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu tiba di Bangunan Dato Jaafar Muhammad pada pukul 10 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

    Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan.

    Upacara ringkas kemudian dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

    Beliau kemudian menandatangani perakuan memulakan tugas rasminya di pejabat Menteri Besar.

    Semalam, cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar itu dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

    Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.

    Sebelum ini, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu, Onn Hafiz berjaya memenangi kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi.

    Beliau menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

  • Operasi SAR runtuhan kuari guna kaedah letupan terkawal

    Operasi SAR runtuhan kuari guna kaedah letupan terkawal

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang masuk hari kelapan hari ini, dipertingkatkan dengan menggunakan kaedah letupan terkawal.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kaedah itu dilakukan bagi membersihkan laluan yang terhalang oleh bongkah batu besar, bagi mengesan kedudukan sebenar dua mangsa berkenaan.

    “Operasi SAR masih giat dijalankan di lokasi kejadian, dengan dipantau ketat oleh pakar cerun daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya telah memberi bantuan kebajikan yang sewajarnya kepada waris kedua-dua mangsa, termasuklah mengadakan lawatan prihatin dan sumbangan bekalan makanan kering melalui Skuad Aman Wanita (Amanita) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

    “Pihak polis juga memaklumkan perkembangan operasi SAR kepada waris kedua-dua mangsa dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada orang awam agar tidak menyebarkan maklumat atau fakta yang tidak benar mengenai operasi SAR, dengan cara menularkannya di media sosial sehingga menjejaskan operasi berkenaan, mahu pun menyinggung perasaan waris kedua-dua mangsa dalam kejadian ini.

    Kejadian pada 9.15 pagi Selasa lepas itu, menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki dan Pan Tam, 38, cedera ringan. – Bernama

  • UMNO perlu jawab kepada pengundi mengapa MB Johor bukan Hasni

    UMNO perlu jawab kepada pengundi mengapa MB Johor bukan Hasni

    UMNO perlu menjawab kepada pengundi Johor mengapa Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad tidak dilantik sebagai Menteri Besar sedangkan sebelum ini beliau dijanjikan untuk jawatan tersebut jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Penyelidikan Ilham Center, Yusri Ibrahim berkata, perkara itu perlu dijelaskan sedangkan Hasni sendiri merupakan faktor yang membantu memberi pecutan sehingga membawa kepada kemenangan bergaya UMNO pada PRN tersebut.

    “UMNO Johor perlu menjawab kepada pengundi kerana itu (Hasni sebagai calon menteri besar) adalah kempen (pilihan raya). Sebenarnya dalam sistem kita, hak untuk melantik menteri besar adalah hak istanakah?

    “Tapi UMNO yang meletakkan tawaran kepada pengundi Johor bahawa jika ia diberi mandat oleh rakyat, Hasni akan dilantik sebagai menteri besar. Jadi UMNO harus menjelaskan kepada pengundi apakah yang berlaku,” katanya memetika laporan FMT, hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Onn Hafiz Ghazi, 43, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu semalam.

    Terdahulu, Hasni yang juga ADUN Benut dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen PRN Johor.

    Sabtu lalu, BN memperoleh mandat besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa untuk membentuk kerajaan negeri.

    “Penerimaan (sokongan pengundi) kepada Hasni agak tinggi. Memang agak popular Hasni, tapi kalau dibandingkan dengan beberapa bekas menteri besar sebelum ini, sebenarnya Dartuk Seri Mohamed Khaled Nordin lebih popular,” katanya.

    Yusri juga menjangkakan polemik pengguguran Hasni sebagai Menteri Besar akan menjadi isu hangat pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula hari ini, selain isu masa depan Muafakat Nasional (MN) serta tarikh pilihan raya umum (PRU).

    “Pertama adalah memutuskan isu kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional. Itu (isu) pertama yang saya jangka akan dibahaskan dengan hangat. Kedua adalah penetapan tarikh untuk pilihan raya umum (PRU15). Itu pun akan menjadikan perbahasan hangat.

    “Saya (juga) menjangkakan perkara ketiga akan dibahaskan esok (hari ini) adalah isu pelantikan menteri besar Johor. Tidak banyak akan berubah (walau dibahaskan) tapi isu itu akan jadi hangatlah,” katanya.

    FMT turut melaporkan sumber sebagai berkata, perwakilan Johor dijangka tidak mengambil bahagian dalam perbahasan PAU kali ini.

    Menurut sumber itu lagi, Hasni juga menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

  • “Saya bukan ‘royalist’ atau tegar UMNO”:Shahrir Samad

    “Saya bukan ‘royalist’ atau tegar UMNO”:Shahrir Samad

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    VETERAN UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak memberi sokongan terhadap parti itu secara semborono termasuk menurut kehendak istana apabila melibatkan isu-isu berbangkit.

    Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru menjelaskan, mempunyai pendirian sendiri sebagai seorang pemimpin politik dan seorang demokrat.

    “Apabila saya menyatakan saya malu untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO berikutan pengenepian Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor selepas kemenangan besar BN di PRN Johor, saya ditanya mengapa saya macam menyoalkan kuasa raja untuk menentukan siapa yang dalam pertimbangan Tuanku layak memegang jawatan itu.

    “Tan Sri tak berpihak kepada kuasa raja ke. Saya jawab, dalam soal hubungan antara parti dengan raja, saya mempunyai pendirian sendiri. Tidak setiap masa, saya menyokong parti dalam soal ini. Dan tidak setiap masa, saya menyokong raja pula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Shahrir meluahkan kekecewaannya dengan isu melibatkan pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu apabila jawatan berkenaan diberikan kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan bukan Hasni.

    “Malu saya, sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai Menteri Besar.

    “Jadi, saya malu hendak ke PAU. Boleh dapat mandat rakyat tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan, taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya.

    Mengulas lanjut, Shahrir memberikan contoh semasa krisis perlembagaan berikutan Yang Dipertuan Agong tidak berkenan kepada undang-undang yang telah Parlimen luluskan, pihaknya bersama-sama parti.

    “Apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor, iaitu JMF, saya melobi Datuk Ghani Othman untuk minta ditarik balik rang undang-undang itu. Maka selamatlah suatu warisan negeri Johor.

    “Semasa diarahkan parti kepada kerajaan negeri supaya Almarhum Sultan Iskandar dipulaukan, saya bawa jawatankuasa bahagian UMNO Johor untuk berhari-raya dengan Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene.

    “Jadi, saya bukan ‘royalist’ atau tegar UMNO. Saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat. Itu je. Tiada apa-apa kepentingan,” katanya lagi.

  • Mustahil PH bekerjasama dengan PN dalam PRU-15

    Mustahil PH bekerjasama dengan PN dalam PRU-15

    PENGERUSI DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai berpendapat, mustahil Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

    Beliau menafikan rancangan untuk menjalin kerjasama politik itu seperti didakwa oleh bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli semalam.

    “Sama sekali tiada perkara seperti itu. Saya tidak tahu di mana (Rafizi) dengar tentang perkara ini.

    “Tidak perlu untuk PH meneroka kemungkinan seperti itu,” kata ahli parlimen Cheras itu, memetika laporan Malaysia Kini, hari ini.

    Kok Wai berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan ahli utama PN mengkhianati PH dan membawa kepada kejatuhan kerajaan, manakala Pas mempromosikan ekstremisme agama.

    “Bagaimana kita hendak bekerjasama dengan mereka,” soalnya.

    Selepas kekalahan teruk PH di Johor, gesaan untuk pendekatan ‘khemah besar’ bagi menyatukan parti pembangkang muncul semula, dengan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mencadangkan untuk mempunyai kelonggaran dalam rundingan dengan parti pembangkang lain, termasuk PN.

    Ong mencadangkan PH dan PN mengadakan perbincangan tidak rasmi bagi mengelak pertembungan pelbagai penjuru di kerusi dengan penyandang pembangkang.

    Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulangi pendekatan ‘khemah besar’ tetapi tidak bersetuju untuk memasukkan PN dalam perbincangan.

    Dalam perkara berkaitan, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub menegaskan bahawa PN bukan sebahagian daripada pembangkang.

    “Sebarang keputusan, kita akan berbincang dengan semua parti pembangkang untuk mencapai kata sepakat. Tetapi PN bukan pembangkang. Mereka adalah kerajaan,” kata Salahuddin.

    Rafizi semalam mendakwa majlis presiden PH bersetuju membincangkan kemungkinan bekerjasama dengan PN pada pilihan raya umum akan datang.