Author: Admin

  • Isu JAKIM, hutang 1MDB tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    Isu JAKIM, hutang 1MDB tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    ISU berkaitan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dikatakan diletak di bawah Majlis Raja-Raja serta jumlah bayaran balik hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) oleh kerajaan, antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan berkaitan kedudukan JAKIM itu diajukan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada Waktu Pertanyaan Menteri yang mahu Perdana Menteri menjelaskan sama ada benar JAKIM kini diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja sepertimana dilaporkan di dalam media.

    Turut tersenarai, soalan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) kepada Menteri Kewangan berkaitan jumlah yang dijelaskan oleh kerajaan untuk membayar balik hutang berkaitan 1MDB dan SRC International serta sumber kewangan yang digunakan.

    Karupaiya juga ingin tahu mengenai jumlah nilai daripada setiap sumber berkenaan dan pembayaran itu dibuat atas nama siapa serta jumlah baki yang masih rakyat Malaysia berhutang.

    Pada sesi soal jawab pula, Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan sama ada terdapat cadangan untuk mengekalkan Program Jualan Keluarga Malaysia khasnya, ketika musim perayaan di seluruh negara.

    Selain itu, isu pengangguran belia (kategori umur 15-24 tahun) akan diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta Menteri Sumber Manusia menjelaskan langkah segera kerajaan dalam menangani masalah itu yang kini berada pada tahap 13.7 peratus menurut perangkaan Tenaga Buruh Malaysia November 2021.

    Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pula bertanyakan Menteri Dalam Negeri sama ada terdapat kematian dalam tahanan imigresen dalam tempoh lima tahun lepas dan langkah-langkah untuk menyiasat serta mencegah kejadian itu.

    Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja melibatkan tiga lagi kementerian didahului dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

    Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – Bernama

  • Tuduhan Mohd. Khairuddin terhadap Pas, Abdul Hadi tidak betul

    Tuduhan Mohd. Khairuddin terhadap Pas, Abdul Hadi tidak betul

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DAKWAAN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang menuduh Tan Sri Abdul Hadi Awang menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa mengikut lunas Perlembagaan parti, sama sekalI tidak benar.

    Malah menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, dakwaan Mohd. Khairuddin kononnya Abdul Hadi dipengaruhi oleh dua atau tiga individu saja untuk mendatangani penubuhan PN juga tidak betul.

    Sebagai salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Harian Pas Pusat katanya, beliau tahu bahawa kedua-dua dakwaan Mohd. Khairuddin itu adalah salah.

    “Kalau ikut kenyataan Mohd. Khairuddin, seolah-olah Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan ikut proses yang betul manakala PN ditubuhkan melalui proses tidak betul.

    “Proses dalam parti ini ada banyak hierarki dan peringkat. Apabila kita nak tubuhkan MN dan nak berkawan balik dengan UMNO yang berkelahi selama 70 tahun, tentulah ambil proses yang panjang bagi memperbetulkan persepsi, hendak mengubat semula kudis, luka dan sebagaiya.

    “Tetapi nak tubuhkan Perikatan Nasional (PN) pula senang saja. Nak daftarkan PN, sebenarnya semua orang dah setuju, malah ketika Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijemput menyertai MN pun, ada surat kepada mereka dan Bersatu dah menyatakan persetujuan melalui surat rasmi. Tetapi UMNO pula yang tak mahu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Menerusi satu temu bual di siaran Bernama TV semalam, Mohd. Khairuddin mendakwa penubuhan PN tidak mengikut prosedur sepatutnya berbanding penubuhan MN.

    Menurut bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama itu, penubuhan MN melalui proses panjang, dimulakan dengan kertas kerja oleh Jawatankuasa Pas Pusat, dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk diluluskan dan dibawa ke Muktamar Pas 2018 dan 2019.

    Kertas kerja itu kata Mohd. Khairuddin, akhirnya dipersetujukan dengan draf MN kemudiannya dibawa kembali ke Jawatankuasa Pas Pusat, dibetulkan ke Majlis Syura, sebelum ditandatangani di depan ahli Pas dan UMNO pada 14 September 2019.

    Bagaimanapun menurut Mohd. Khairuddin, penubuhan PN pula langsung tidak mengikut lunas parti kerana ia hanya dibuat melalui tandatangan Presiden dengan nasihat dua, tiga orang saja tanpa dibawa ke Dewan Harian Pas serta Majlis Syura.

    Muhammad Sanusi menambah, Mohd. Khairuddin perlu faham mengenai kuasa Presiden yang diperuntukkan Perlembagaan dan kuasa Presiden sebagai khalifah yang memimpin jemaah Pas.

    “Tak semua orang boleh faham disiplin dalam Pas. Tak semua orang ada ijazah doktor falsafah (PhD) faham perkara itu tetapi ramai juga orang di Sik yang belajar huruf jawi saja tetapi kekal dengan Pas sampai mati,” katanya.

  • Lelaki datang balai bawa parang panjang mahu tetak polis

    Lelaki datang balai bawa parang panjang mahu tetak polis

    POLIS menahan seorang lelaki selepas didakwa mengugut mahu menetak anggota yang sedang bertugas di Balai Polis Kuala Penyu, Beaufort dengan parang pada tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, suspek yang berusia 48 tahun membawa parang dan mengugut anggota polis yang sedang bertugas di balai tersebut.

    “Pengadu yang sedang bertugas di balai polis tersebut bertanya kepada suspek tujuannya datang. Bagaimanapun, suspek terus mengatakan ‘mahu tetak kau’ sambil mengangkat parang panjang.

    “Pengadu yang ketakutan terus lari masuk ke kaunter serta mengunci pintu balai berkenaan,” katanya memetika laposan Sinar Harian, hari ini.

    Tambah Yusoff Zaki, pengadu kemudian meminta bantuan anggota lain untuk menahan suspek dan merampas parang itu.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati, suspek disyaki di bawah pengaruh alkohol dengan bau arak yang sangat kuat,” katanya.

  • PDRM ke Singapura hujung bulan ini, kumpul maklumat 1MDB

    PDRM ke Singapura hujung bulan ini, kumpul maklumat 1MDB

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan ke Singapura pada 29 sehingga 30 Mac ini bagi tujuan pengumpulan maklumat dan mendapatkan keterangan bersabit siasatan terhadap suami kepada bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pegawai penyiasat kes berkenaan akan ke negara itu selepas Commercial Affairs Department, Singapura memberikan persetujuan.

    “Sepatutnya pasukan penyiasat PDRM ke Singapura pada Disember dan Februari lalu tetapi pergerakan itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan beberapa faktor termasuk penggantungan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura mulai 23 Disember hingga 20 Januari lalu.

    “Selain itu, pegawai penyiasat juga dikesan menjadi kontak rapat dan kemudiannya positif Covid-19 pada Februari lalu menyebabkannya tidak dapat memberi maklum balas berhubung tarikh pergerakan yang sesuai ke Singapura.

    “Selain daripada itu, maklum balas juga belum diterima daripada saksi yang juga warganegara Singapura mengenai kesediaan mereka untuk temubual oleh pasukan penyiasat PDRM,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, PDRM ingin menyatakan bahawa apa juga kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes membabitkan Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau untuk mengelirukan mana-mana pihak.

    “PDRM komited dalam memastikan siasatan kes ini diselesaikan dengan segera secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak, pihak berkuasa di Singapura juga sudah memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat dan dokumen secara ‘on intelligence basis’ dengan pegawai penyiasat JSJK.

    “Kertas siasatan polis sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada Oktober lalu dan arahan diterima daripada jabatan itu untuk PDRM adalah bagi mendapatkan keterangan di Singapura yang boleh diterima oleh mahkamah di Malaysia,” katanya.

    Menurutnya, susulan daripada arahan itu, JSJK berkomunikasi dengan Comercial Affairs Department Singapura untuk pasukan penyiasat PDRM ke republik terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    “Ia adalah bagi membolehkan polis mengemukakan permohonan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 dibuat melalui Jabatan Peguam Negara,” katanya.

    Menurutnya, siasatan yang dijalankan terhadap Tawfiq dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB ke akaun bank miliknya di Singapura.

    “Siasatan kes ini membabitkan keterangan di Malaysia dan juga di Singapura,” katanya.

    Pada Ahad lalu, portal berita tempatan melaporkan polis di Singapura menangani segera segala permintaan Bukit Aman untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan terhadap suami Zeti Akhtar Aziz, Tawfiq Ayman berkaitan 1MDB.

    Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan berkata, terdapat pelbagai urusan surat-menyurat antara kedua-dua pihak sejak Disember lalu susulan permintaan PDRM menghantar pegawainya ke republik itu berhubung siasatan berkenaan.

    Menurut kenyataan itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura mengemukakan cadangan terbaharu supaya PDRM menghantar pasukannya ke republik itu antara 8 dan 9 Februari lalu.

    Bagaimanapun, menurut laporan itu, Bukit Aman hanya memberi maklum balas kepada CAD pada 10 Mac lalu apabila memohon untuk melakukan lawatan itu antara pertengahan hingga hujung Mac.

  • Wanita disambar buaya ketika memancing

    Wanita disambar buaya ketika memancing

    SEORANG wanita maut selepas dibaham buaya semasa memancing di Sungai Telong, Suai, Miri, kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

    Kejadian itu berlaku semasa mangsa, Demit Chagai, 43, sedang memancing bersama-sama ibu dan ibu saudaranya di sungai itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binji berkata, empat anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.10 tengah hari.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama ibu dan seorang ibu saudaranya sedang memancing di tepi sungai sebelum kejadian.

    “Mereka amat terkejut selepas melihat seekor buaya tiba-tiba muncul dari air dan menyambar mangsa dan menyeret mangsa ke dalam air.

    “Kedua-dua saksi itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dengan begitu pantas.

    “Buat masa ini, usaha mengesan serta mencari mangsa sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung pada jarak 3 kilometer ke hulu dan hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • Lelaki rugi RM300,000 beli gelaran Datuk Seri palsu

    Lelaki rugi RM300,000 beli gelaran Datuk Seri palsu

    SEORANG lelaki kerugian hampir RM300,000 akibat diperdaya seorang ‘Datuk Seri’ palsu yang mendakwa boleh mendapatkan gelaran itu melalui Istana.

    Mangsa, 33, yang bekerja sebagai seorang pengedar kit perubatan farmasi membuat laporan polis selepas sedari ditipu pada 8 Mac lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, mangsa mendakwa ditawarkan Darjah Kebesaran membawa gelaran Datuk Seri oleh suspek pada 1 Mac lalu.

    “Namun diberikan syarat perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak Istana.

    “Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat bayaran tunai sebanyak RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek sejak 14 hingga 31 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Mahidisham berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa diberikan dokumen Watikah Penganugerahan Darjah Kebesaran termasuk dua kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo atau emblem kereta Darjah Kebesaran milik sebuah negeri.

    “Bagaimanapun, rakan mangsa yang juga seorang Datuk Seri memaklumkan pelantikan itu meragukan menyebabkan mangsa membuat laporan polis,” katanya.

    Susulan laporan itu, pihaknya menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 39 tahun pada 10 Mac lalu hingga kelmarin selain merampas dokumen Pengurniaan Darjah Kebesaran.

    Katanya, seorang daripada suspek berusia 38 tahun mengaku bergelar ‘Datuk Seri’, namun semakan dilakukan dengan Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi mendapati nama suspek tiada dalam senarai rekod.

    “Hasil siasatan dilakukan juga mendapati suspek pernah melakukan perbuatan sama berkait dengan satu kes pada Disember tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan serta Seksyen 15(1)(b) Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017 kerana meminta, menerima memberi dan sebagainya, suapan bagi anugerah.

    “Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan tawaran Darjah Kebesaran, orang ramai boleh membuat semakan penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat secara dalam talian melalui istiadat.gov.my,” katanya.

  • Keputusan Pas tak bubarkan DUN awal cukup relevan

    Keputusan Pas tak bubarkan DUN awal cukup relevan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN Pas untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri sehingga habis penggal tahun depan, cukup relevan bagi membolehkan semua pihak memiliki masa mencukupi untuk melaksanakan tugas masing-masing demi kesejahteraan rakyat.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau malah yakin akan terdapat beberapa negeri lagi selepas ini yang bakal mengikuti jejak Kelantan, Kedah dan Terengganu yang dipimpin Pas.

    “Keputusan ini sebenarnya sangat relevan kerana kita ada masa untuk buat kerja dan tak kalut dengan pilihan raya.

    “Tak payah serabut nak menghadap pilihan raya secara tiba-tiba sebaliknya tunggu hingga habis penggal dan bubar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam memaklumkan keputusan parti itu untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya sehingga habis penggal, tahun depan.

    Menurut Abdul Hadi, pendirian itu muktamad bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

    Muhammad Sanusi menambah, bagi mengelakkan proses pengundian DUN dan Parlimen dijalankan secara berasingan hingga mendatangkan kesan kepada kos penganjuran pilihan raya, semua pihak diminta untuk memastikan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) turut diadakan selepas penggal berakhir.

    “Tak perlu pun adakan PRU awal sebaliknya tunggulah hingga habis penggal. Saya cadangkan PRU pun ikut hingga habis penggal, tak salah pun.

    “Yang nak buat PRU awal itu sebanyar menjadi masalah. Sebab apa kalut nak adakan awal? Tentulah kerana ada udang di sebalik mi,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan kononnya Pas takut kalah sekiranya DUN dibubarkan awal.

    “Apa pula nak takut kalah? Kitakan berlawan dan kami pun bukannya tak biasa kalah.

    “Lama dah kami kalah jadi buat apa nak takut? Kita lawanlah dulu,” katanya.

  • ‘Datuk Seri’ didakwa tipu pelaburan cecah RM2.2 juta

    ‘Datuk Seri’ didakwa tipu pelaburan cecah RM2.2 juta

    SEORANG ahli perniagaan yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas 12 pertuduhan menipu 12 individu berhubung pelaburan Planetrade yang tidak wujud mencecah RM2.2 juta, tahun lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Kyairul Syahirin Ahmad, 46, mengakut tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Datin Sabariah Othman.

    Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa menipu 10 wanita dan dua lelaki, dengan mempercayai bahawa dia akan menjalankan pelaburan melalui Bursa Saham Malaysia.

    Ia mendorong mangsa-mangsa memindahkan sejumlah RM2.2 juta ke akaun bank syarikat milik tertuduh antaranya Planemax Essentials Sdn Bhd, Planetrade Holdings Sdn Bhd, Planeworld Flexi Sdn Bhd, Planetrade Premier Sdn Bhd yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Intisari, Desa Park City antara 2 Februari hingga 28 November 2021.

    Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan wanita, Rozana Mohamed, 54, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan bersubahat dengan Kyairul Syahirin untuk menipu 12 individu sama, berhubung pelaburan dan nilai sama di lokasi serta tarikh serupa.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama dengan peruntukan hukuman sama.

    Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi dan Nur Aqilah Ishak.

    Kyairul Syahirin diwakili peguam, Ashok Athimulan manakala Rozana diwakili Arik Zakri Abdul Karim.

    Bagi kesemua pertuduhan, mahkamah membenarkan Kyairul Syahirin diikat jamin sebanyak RM120,000 manakala Rozana RM90,000 dengan seorang penjamin.

    Mereka juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April dan 3 Mei depan.

    Pada dua minggu lalu, media melaporkan sindiket penipuan pelaburan Planetrade membabitkan kerugian RM3.32 juta, didalangi lelaki yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu, berjaya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang.

  • Ketua Balai Bomba Peramu Pekan dipenjara, didenda

    Ketua Balai Bomba Peramu Pekan dipenjara, didenda

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 terhadap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu di Pekan selepas didapati bersalah atas 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya.

    Sinar Harian melaporkan, Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

    Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna tertuduh, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, akan menjalani hukuman penjara selama 18 bulan bermula tarikh sabitan.

    Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima tahun, jika gagal Sheikh Hassan membayar denda.

    Bapa kepada tiga anak itu didapati bersalah menggunakan kedudukannya mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise, milik isterinya bagi pembelian dan penyediaan makanan untuk pelbagai program serta operasi melibatkan anggota bomba di balai tempat dia berkhidmat.

    Kesalahan itu dilakukan olehnya antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

    Antara kontrak itu penyediaan makanan untuk anggota bomba yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, operasi memadam kebakaran hutan dan bencana banjir.

    Tertuduh yang beralamat di Jalan Kampung Jawa di Kuantan didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama, iaitu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zamzani berkata, keputusan sabitan dan hukuman dibuat selepas menilai keterangan 18 saksi pendakwaan dan tiga saksi mewakili pembelaan, bukti-bukti serta hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

    Pada prosiding itu, Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan peguam G. Ravishankar yang mewakili Sheikh Hassan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

    “Rayuan ini perlu difailkan dalam tempoh 14 hari oleh tertuduh dan jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” tegasnya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

  • 11 maut, 486 cedera ketika sambutan Pesta Api

    11 maut, 486 cedera ketika sambutan Pesta Api

    SEKURANG-KURANGNYA 11 terbunuh, manakala 486 lagi cedera di Iran semasa sambutan Chaharshanbe Suri, atau Pesta Api, lapor Xinhua, memetik laporan TV negara Iran pada hari Selasa.

    Dalam kalangan yang tercedera, 49 orang terpaksa dipotong kaki akibat kecederaan parah, jurucakap Pertubuhan Kecemasan Iran, Mojtaba Khaledi, dipetik sebagai berkata.

    Kebanyakan mangsa, meningkat 47 peratus berbanding tahun lalu, berlaku dalam empat atau lima hari lalu, kata Khaledi.

    Pesta Api disambut rakyat Iran pada malam Rabu terakhir sebelum Nowruz, tahun baharu Iran, yang bermula 21 Mac tahun ini.

    Perayaan tahun ini bermula beberapa hari lalu dan mencapai kemuncaknya petang Selasa.

    Rakyat Iran meraikan Pesta Api dengan melompat ke atas unggun api dan menggunakan mercun di tempat awam, yang menjadi upacara dilakukan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tahun lama dan menyambut tahun baru. – Bernama