Author: Admin

  • Wanita warga emas rugi hampir RM4 juta diperdaya lelaki Korea di Instagram

    Wanita warga emas rugi hampir RM4 juta diperdaya lelaki Korea di Instagram

    PADAH mempercayai lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Instagram, seorang wanita warga emas di daerah Timur Laut, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM3.9 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

    Lebih malang, wanita berusia 63 tahun itu menyerahkan wang peninggalan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan selepas termakan pujuk rayu suspek yang menyamar sebagai lelaki Korea kononnya mahu menjaganya sehingga ke akhir hayat.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, wanita itu juga diperdaya suspek yang dikenali hujung tahun lalu untuk menyertai projek perniagaan pelantar minyak.

    Malah ujar beliau, wanita itu turut diyakinkan oleh suspek yang sering menghantar gambar serta video kononnya sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja.

    “Bagaimanapun, wanita itu akhirnya sedar ditipu selepas gambar wajah lelaki Korea itu didapati disunting daripada gambar milik individu lain.

    “Sehubungan itu, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis pada 17 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Polis sedang memburu seorang ‘lelaki Korea’ yang memperdaya seorang wanita warga emas di daerah Timur Laut, Pulau Pinang sebanyak RM3.9 juta

    Menurut beliau, mangsa yang turut berhubungan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp telah melakukan sebanyak184 kali transaksi pemindahan wang dalam pelbagai jumlah menggunakan 19 akaun bank kepada suspek.

    Katanya, wang yang dipindahkan pula berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 bermula dari Disember tahun lalu hingga bulan ini.

    Jelas beliau, suspek meminta wang daripada mangsa secara berperingkat kerana dipercayai mahu mengelak daripada dikesan pihak bank.

    Ujarnya, polis kini sedang mengesan suspek dan percaya modus operandi sindiket seperti itu sering digunakan oleh lelaki warga Nigeria untuk memperdayakan wanita di media sosial.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelak terpedaya dan menjadi mangsa sindiket penipuan seperti ini,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Sesi persekolahan bermula hari ini, SOP dilaksana secara maksimum

    Sesi persekolahan bermula hari ini, SOP dilaksana secara maksimum

    SESI persekolahan 2022/2023 yang bermula hari ini semestinya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ibu bapa, malah anak-anak juga teruja untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal selain dapat bertemu rakan-rakan sekolah. 

    Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan sekolah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat kepada ibu bapa dan murid antaranya penjarakan fizikal dan penggunaan cecair sanitasi untuk membersihkan tangan sebelum memasuki kelas bagi mengekang penularan COVID-19. 

    Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Utama Damansara 4, Kuala Lumpur, ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak-anak hingga ke pintu pagar seperti SOP yang ditetapkan pihak sekolah.

    Hany Zainal, 35, ketika ditemui selepas menghantar anaknya, Shakur Zeyn Shahrir, 7, berkata beliau berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan di sekolah berkenaan bagi memastikan keselamatan murid.

    Di MELAKA, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin memaklumkan 149,378 murid sekolah rendah dan menengah melibatkan 315 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini.

    Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 84,619 orang adalah murid sekolah rendah manakala 64,759 lagi merupakan pelajar sekolah menengah.

    “Pada hari ini, 238 sekolah rendah dan 77 sekolah menengah di Melaka memulakan sesi persekolahan dan sekolah yang mempunyai lebih 600 murid akan melaksanakan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah.

    “Sistem penggiliran ini akan melibatkan murid Tahun Tiga, Empat dan Lima bagi memastikan SOP dilaksanakan secara berkesan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan SK Paya Rumput.

    Di JOHOR BAHRU, tinjauan Bernama di SK (P) Sultan Ibrahim mendapati murid hadir seawal 6.30 pagi dan mereka diberikan pelitup muka percuma serta disambut maskot Mickey Mouse sekali gus menggamit suasana ceria pada hari pertama persekolahan di sekolah itu.

    Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohd Hyffny Isa berkata tiada ibu bapa yang memaklumkan kerisauan mereka, malah semua guru di sekolah itu sudah mengambil vaksin dan dos penggalak COVID-19.

    Di SELANGOR, seorang ibu turut berkongsi kegembiraan anaknya, Wan Alesha Medina Wan Fathi Amir, murid Tahun Satu SK Bukit Kemuning 2, Shah Alam untuk memulakan sesi persekolahan. 

    “Dia memang seorang sangat peramah dan suka berkawan, saya tidak risau dan percaya Medina (Wan Alesha Medina) boleh membiasakan dirinya,” kata Nurul Aida Shahrol, 37. 

    Di PERAK, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin melakukan tinjauan pengoperasian hari pertama di SK Pakatan Jaya, Ipoh bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Radzi turut beramah mesra bersama murid di sekolah itu yang bersemangat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka dengan berpakaian serba baharu.

    Beliau kemudian melakukan tinjauan di SK Syed Idrus Kampung Kuang Hilir, Chemor, Ipoh.

    Di KELANTAN, Rosmalaili Abdul Rahman, 44, berkata beliau yakin dengan kemampuan pihak sekolah termasuk kawalan daripada guru-guru untuk memantau pelajar berdasarkan SOP yang ditetapkan. 

    “Tindakan kerajaan mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi mereka yang tertangguh sebelum ini satu tindakan wajar, bahkan negara kita juga sedang beralih ke fasa endemik. Jadi, kita kena bersedia dengan situasi ini,” katanya selepas menghantar anaknya, Ahya Deena Asmazawawi, 11, di Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri, Kota Bharu.

    Di PULAU PINANG, tinjauan di SK Permatang Bertam, Kepala Batas mendapati ibu bapa menghantar anak ke sekolah menggunakan konsep ‘pandu lalu’ yang merupakan SOP sekolah itu.

    Murid-murid juga dikehendaki beratur bagi menjalani pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair sanitasi tangan sebelum memasuki kelas masing-masing.

    Di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata seramai 21,287 murid Tahun Satu dan 21,196 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan hari ini.

    Beliau berkata semua sekolah yang terjejas banjir pada akhir bulan lepas juga sudah dibersihkan dan beroperasi seperti biasa.

    Di PAHANG, seramai 255,251 pelajar sekolah rendah dan menengah kembali ke sekolah hari ini merangkumi 150,607 murid sekolah rendah termasuk 23,036 murid Tahun Satu, manakala bakinya pelajar sekolah menengah.

    Secara keseluruhan terdapat 542 sekolah rendah dan 198 sekolah menengah di Pahang. 

    Sementara itu, pekerja swasta, Faizal Ahmad, 39, berkata pengalaman menghantar anak bongsunya Puteri Adzra Firzanisa memasuki Tahun Satu di SK (LKTP) Bukit Goh, Kuantan begitu berbeza dengan pengalaman anak sebelum ini kerana tidak boleh menghantar anaknya ke kelas disebabkan SOP, namun berpuas hati apabila menerima gambar anak yang dihantar oleh guru melalui kumpulan WhatsApp.

    Di PERLIS, Pengarah Pendidikan negeri Naharudeen Othman berkata 64 sekolah rendah mencatatkan kehadiran penuh hari ini dengan hanya 10 sekolah melakukan sesi persekolahan penggiliran berikutan bilangan murid melebihi 600 orang.

    Di KOTA KINABALU, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Mistirine Radin berkata seramai 505,439 pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini membabitkan 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di seluruh Sabah.

    Katanya, jumlah itu merangkumi 313,697 murid sekolah rendah dan 191,742 pelajar sekolah menengah, selain 22,950 pelajar turut memulakan sesi persekolahan di 477 sekolah swasta di seluruh Sabah.

    Di NEGERI SEMBILAN, sesi persekolahan melibatkan 190,602 pelajar merangkumi 106,139 murid sekolah rendah dan 84,463 pelajar sekolah menengah membabitkan enam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuk Seremban, Rembau dan Tampin.

    Di KEDAH, tinjauan Bernama di beberapa sekolah di sekitar Alor Setar mendapati rata-rata murid  bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan terutama murid Tahun Satu.

    Mashitah Abu Bakar, 63, berkata beliau menghantar cucunya Aufia Medina Nasir, 7, ke SK Buluh Lima kerana kedua ibu bapa murid itu perlu bekerja hari ini tetapi ia tidak menjadi masalah kerana jarak antara sekolah dan rumah tidak jauh. – BERNAMA

  • Speaker, Timbalan Speaker positif Covid-19:NS tangguh sidang DUN

    Speaker, Timbalan Speaker positif Covid-19:NS tangguh sidang DUN

    NEGERI SEMBILAN menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 yang sepatutnya bermula hari ini disebabkan Yang Dipertua DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan timbalannya, Datuk M. Ravi disahkan positif Covid-19.

    Perasmian persidangan pertama bagi penggal kelima DUN Negeri Sembilan itu sepatutnya bermula empat hari sehingga Khamis ini.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarikh baharu akan dimaklumkan setelah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan baginda.

    “Pagi tadi saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik pada pukul 8 pagi mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan perkembangan Speaker dan Timbalan Speaker didapati positif Covid-19.

    “Perkara ini dimaklumkan kepada baginda. Tarikh baharu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar. Kita cuba cadangkan tarikh pada Ramadan ini,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan Speaker DUN sementara boleh dilantik tetapi memandangkan suasana Covid-19 selain ramai petugas dewan dilaporkan turut positif, persidangan tersebut terpaksa ditangguhkan.

    “Sedia maklum ada Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang. Jadi, perlu ada Speaker dan timbalannya pada waktu tersebut (sidang DUN),” katanya.

    Aminuddin berkata, Zulkefly disahkan positif pada tengah malam Ahad manakala Ravi pada Sabtu lalu.

  • Pemandu Toyota Hilux ditahan kes buli jalan raya

    Pemandu Toyota Hilux ditahan kes buli jalan raya

    POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux secara berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan di Km138.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi semalam ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bagi membantu siasatan kejadian.

    “Siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam Shafee dilapor berkata berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 35 saat yang tular menerusi laman sosial, kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran PMX3338 tersebut telah melakukan buli jalan raya dengan menghimpit sebuah kenderaan yang tidak pasti nombor pendaftarannya sehingga hampir menyebabkan kemalangan.- Bernama

  • PRU-15 dijangka diadakan selepas MoU kerajaan, PH tamat

    PRU-15 dijangka diadakan selepas MoU kerajaan, PH tamat

    ISU pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan pelaksanaan awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini menjadi polimik dalam perbincangan politik negara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir.

    UMNO merupakan pihak terkehadapan memainkan perkara tersebut ketika ini terdorong daripada kemenangan PRN di Johor dan Melaka dengan jumlah kemenangan yang selesa melalui Barisan Nasional (BN).

    Ahli dan kepimpinan tertinggi UMNO dilihat menggunakan sepenuhnya pentas Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung selama empat hari bermula Rabu dengan menjadikan isu tersebut sebagai perkara utama dalam acara berkenaan, memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Desakan dan saranan yang dilontarkan itu dilakukan dengan mengambil kira momentum dan prestasi baik ditunjukkan oleh UMNO dan BN dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk di PRN Sabah.

    Bagaimanapun, prestasi baik parti itu dalam pilihan raya sebelum ini bukanlah satu-satunya sebab yang memungkinkan berlakunya PRU-15 dengan lebih awal meskipun Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob merupakan Naib Presiden UMNO.

    Ini kerana selain perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, langkah pembubaran Dewan Rakyat itu juga perlu terlebih dahulu mengambil kira Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

    Namun begitu, situasi semasa MoU itu dilihat berada dalam keadaan tidak menentu ekoran kelewatan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti di Parlimen.

    Semalam, pemimpin DAP, Lim Guan Eng berkata, MoU tersebut tidak akan bermakna dan perlu ditamatkan sekiranya RUU itu tidak dibentangkan pada urusan mesyuarat Parlimen pada Isnin.

    Kenyataan beliau itu dilihat selari dengan penegasan yang dilontarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang menggesa agar RUU Anti Lompat Parti segera dibentang dan diluluskan pada persidangan Parlimen kali ini seperti yang dijanjikan Perdana Menteri.

    Malah, Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu turut menyatakan bahawa PH tidak teragak-agak untuk menarik balik MoU tersebut sekiranya RUU Anti Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi Parlimen yang berlangsung pada Mac.

    MoU tersebut menetapkan bahawa di bawah perkara pembentangan RUU berkaitan hendaklah dibentang dan diluluskan dalam tempoh tidak lewat daripada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen tahun 2022 yang bermula pada 28 Februari lalu dan berakhir pada Khamis ini.

    Penamatan MoU yang pada awalnya ditetapkan berakhir pada Julai ini dan turut meliputi penangguhan pembubaran Dewan Rakyat itu dilihat secara langsung memberi ruang kepada UMNO untuk memaksa Perdana Menteri bagi memberi laluan untuk mengadakan PRU15 dengan lebih awal.

    Dengan mengambil kira tekanan kepimpinan tertinggi UMNO dan keperluan parti itu sendiri untuk mengadakan PRU-15 sebelum pemilihan yang dijadual pada akhir tahun ini, Ismail Sabri dijangka terpaksa akur dengan kehendak partinya.

    Justeru, penamatan MoU tersebut sekiranya benar-benar berlaku dilihat menjadi satu lagi peluang yang bakal digunakan UMNO untuk memastikan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, termasuk selepas bulan puasa iaitu pada Mei ini.

  • Tidak ramai keluar mengundi jika PRU15 diadakan tergesa-gesa – penganalisis 

    Tidak ramai keluar mengundi jika PRU15 diadakan tergesa-gesa – penganalisis 

    PERATUSAN keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijangka rendah sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat dan secara tergesa-gesa, kata beberapa penganalisis.

    Mereka berkata, beberapa pilihan raya kecil (PRN) yang diadakan seperti di Melaka dan Johor dipengaruhi pandemik Covid-19 dan dilihat menjadi faktor utama ramai pengundi terutamanya yang berada di luar kawasan enggan melaksanakan tanggungjawab mereka.

    Malah, penganalisis juga berpandangan rakyat enggan keluar mengundi kerana meluat dengan kerenah ahli politik yang sentiasa sibuk berebut kuasa dan jawatan tetapi mengabaikan nasib orang ramai yang sedang menghadapi pelbagai musibah termasuk banjir.

    Dr. Azmil Mohd. Tayeb, dari USM berkata perkara itu tidak terlalu membimbangkan kerana pelaksanaan PRN dan pilihan raya kecil (PRK) terutamanya sekiranya ia dibuat secara mendadak memang akan mempunyai peratusan pengundi lebih rendah berbanding PRU.

    Namun begitu, beliau menyarankan supaya kerajaan dan parti politik tidak memandang remeh isu ini dan perlu tingkatkan usaha menaikkan kadar peratusan mengundi pada masa hadapan.

    “Situasi pandemik yang membuatkan ramai tidak mahu mengambil risiko jangkitan, malah pengundi juga berasa muak dengan ahli dan parti politik yang dilihat cuma merebutkan kuasa,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    “Selain itu, terdapat juga kesulitan dan kekurangan motivasi pengundi luar untuk pulang mengundi.

    “Ini ditambah juga dengan naratif kempen yang tidak berkesan disampaikan kebanyakan parti politik.

    PRN Johor menyaksikan peratusan mengundi rendah iaitu 54.92% daripada 2,597,742 pengundi yang layak mengundi, sekali gus menunjukkan hampir 45% pengundi Johor tidak keluar mengundi.

    PRN Melaka pula menyaksikan peratusan mengundi 65.85 peratus.

    Kedua-dua PRN tersebut tidak mencecah sasaran SPR sebanyak 70 peratus keluar mengundi.

    Sementara itu, penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, menyifatkan peratusan mengundi rendah sebagai kebimbangan besar terhadap sebuah negara demokrasi apabila penyertaan pengundi adalah kunci utama terhadap amalan demokrasi sihat.

    Oh bagaimanapun menegaskan keputusan tidak mengundi juga merupakan hak pengundi di mana mereka ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap situasi politik semasa negara.

    “Ramai yang tidak turun mengundi kemungkinan daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) atau pro-pembangkang kerana kecewa dengan Langkah Sheraton yang tumbangkan kerajaan reformasi yang diundi mereka.

    “Mereka berasa hilang harapan untuk mengembalikan kerajaan itu, contohnya apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditumbangkan tahun lalu, mereka mula berasa undi sebagai usaha sia-sia,” katanya.

    Tindakan PH menolak tawaran perjanjian persefahaman (MoU) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebabkan jawatan perdana menteri kembali kepada UMNO.

    PH bagaimanapun menandatangani MoU bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO yang menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin meletakkan jawatan akibat hilang sokongan.

    Tambah Oh, golongan ini juga berkemungkinan bertambah kecewa apabila PH menandatangani MoU menyokong kerajaan semasa yang disifatkan sebagai regresif.

    Walaupun mereka berat hati untuk keluar mengundi kerana dianggap sebagai pengundi PH yang ‘terabai’, mereka juga tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) atau PN, justeru kumpulan ini lebih rela duduk di rumah,” katanya.

    Bagi James Chin dari University of Tasmania, Australia sekiranya PRU-15 diadakan pada tahun hadapan, ada kemungkinan jumlah pengundi akan kembali meningkat memandangkan impak penularan Covid-19 dijangka akan berkurang pada hujung tahun ini.

    “Kita perlu perhatikan juga perkembangan jangkitan Covid-19 di Malaysia sebab ia akan memberi kesan terhadap suasana PRU-15 akan datang,” katanya dan menambah jumlah peratusan rendah bukan satu kebimbangan kerana angka itu akan sentiasa berubah setiap pilihan raya.

    “Covid-19 bukan sahaja mengubah karakter pilihan raya tetapi juga cara parti politik dalam negara berkempen,” katanya.

  • Siapa patut ikut langkah Kit Siang?

    Siapa patut ikut langkah Kit Siang?

    Akhirnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang berusia 81 tahun dan sudah 56 tahun berkecimpung dalam politik mengumumkan persaraannya.

    Kit Siang membuat pengumuman itu dalam Kongres DAP yang diadakan di IDCC, di Shah Alam pada Ahad. Serentak dengan pengumuman itu, Kit Siang tidak akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang sama ada di peringkat Parlimen atau DUN.

    Walaupun sudah membuat keputusan bersara, legasinya tetap diteruskan apabila anaknya Lim Guan Eng telah dipilih menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan.

    Pada pandangan Tok Chey, pengumuman Kit Siang itu adalah pembuka jalan kepada pemimpin lain yang sudah terlalu lama dalam politik untuk mengikut langkah serupa. Ini kerana, negara kita memerlukan pemimpin baru untuk diketengahkan dan bukannya berkisar mengenai muka-muka lama yang tidak lagi relevan.

    Orang pertama yang wajar mengikuti langkah itu ialah Tun Mahathir Mohamad kerana beliau juga sudah terlampau lama memenuhi setiap segenap penjuru kisah politik dalam negara kita. Tok Chey tidak nafikan jasanya amat besar tetapi penglibatannya dalam politik boleh dikatakan sudah berlebihan dan adalah lebih baik beliau bersara secepat mungkin.

    Dengan keadaan kesihatannya ketika ini, adalah lebih afdal soal politik diserahkan secara total kepada anaknya Mukhriz.

    Mukhriz pun sudah berpengalaman dalam berpolitik dan boleh meneruskan gagasan Mahathir menghidupkan parti Pejuang yang semakin malap. Begitu juga dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang sudah tidak lagi relevan untuk menjadi peneraju parti itu susulan semakin lama makin hilang sokongan daripada rakyat.

    Semenjak Anwar mengemudi parti itu dari luar penjara, PKR dilihat makin berpecah dan hilang arah tujuan. Pemimpin muda dalam PKR yang dulunya ‘solid’ berjuang untuk parti juga tidak ‘sekepala’ dalam banyak isu.

    Berdasarkan pemerhatian Tok Chey, PKR lebih kukuh dan disenangi rakyat ketika ia dipimpin oleh isteri Anwar iaitu Wan Azizah Wan Ismail.

    Oleh kerana Wan Azizah pun sudah ‘lama’, maka lebih baik Anwar menyerahkan kepimpinan PKR kepada anak perempuannya, Nurul Izzah bagi melengkapkan trend pemimpin lama bersara dari politik dan menyerahkan kepimpinan kepada anak masing-masing.

    Akhir sekali yang sepatutnya dari awal-awal lagi tanpa berlengah perlu bersara dari politik dan tidak perlu menunggu hingga umur tua ialah dua watak tumpuan dalam UMNO ketika ini. Mereka berdua perlu bersara lebih awal kerana berhadapan dengan isu integriti.

    Pertamanya, Najib Razak yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. Kerana kesalahan- kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Seorang lagi ialah Zahid Hamidi yang telah diarahkan oleh mahkamah untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

    Oleh itu sedar-sedarlah diri dan berilah peluang kepada pemimpin lain untuk menerajui parti.

    *Tok Chey adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Empat maut termasuk seorang rentung dalam kemalangan dua kenderaan

    Empat maut termasuk seorang rentung dalam kemalangan dua kenderaan

    EMPAT individu maut termasuk seorang daripadanya rentung dalam satu nahas membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 58.2 Lebuhraya Utara Selatan, Pendang, awal pagi ini.

    Pihak bomba menerima panggilan melalui sistem MERS 999 pada pukul 2.22 pagi mengenai kebakaran kereta akibat kemalangan jalan raya.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, anggota dari balai berhampiran diarahkan segera ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

    “Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan sebuah kereta Nissan Almera yang terbakar 90 peratus.

    “Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.56 pagi dan terdapat seorang mangsa yang rentung dalam kenderaan terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira berjaya dikeluarkan pada pukul 4.07 pagi dan disusuli mangsa kedua pada 4.28 pagi.

    “Mangsa ketiga berjaya dikeluarkan pada 5.43 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Katanya, berdasarkan penilaian awal, mangsa yang rentung dipercayai lelaki, namun identitinya belum dapat dikenal pasti setakat ini.

    “Tiga mangsa maut dalam Proton Wira terdiri daripada dua lelaki berusia 26 dan 49 tahun, manakala seorang lagi adalah wanita berusia 52 tahun. Operasi tamat sepenuhnya pada 6.05 pagi,” katanya.

  • 35 ekor kambing mati dalam kebakaran

    35 ekor kambing mati dalam kebakaran

    SEBANYAK 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang di Taman Temara, Pasir Putih di Ipoh, Perak mati akibat kebakaran tengah malam tadi.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Pegawai Bomba Kanan II, Rozaidee Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira 12.30 tengah malam.

    “Kebakaran membabitkan kandang kambing kelas C dan tiada individu terlibat. 

    “Terdapat 57 ekor kambing di dalam kandang itu dengan 35 daripadanya mati manakala bakinya berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kebakaran memusnahkan hampir 50 peratus kandang itu dan operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada 1.30 pagi.

    Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

    Sementara itu, penternak kambing berkenaan, Badrishah Zamzuri, 60, yang juga pesara polis berkata beliau menyedari kejadian tersebut pada 11.45 malam selepas dimaklumkan jiran sekitar lalu bergegas ke kandang berkenaan kira-kira 10 meter dari rumahnya.

    “Setiba di kandang, saya lihat lebih separuh ternakan saya mati. Kali terakhir saya menguruskan kambing ini adalah petang semalam dengan memberi makan dan kemudian memasang unggun api sekitar 7 malam,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

    Badrishah turut tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada unggun api yang dipasang di kandang terbabit kerana ternakan berkenaan memerlukan haba pada waktu malam.

    Anak lelaki Badrishah, Muhammad Irham Badrishah, 21, pula menyifatkan kejadian itu sebagai suratan takdir sejak menternak kambing lapan tahun lepas dengan permulaan 10 ekor kambing. – BERNAMA

  • SPRM tahan pengurus syarikat beri rasuah dapatkan tender

    SPRM tahan pengurus syarikat beri rasuah dapatkan tender

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat menahan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan berkaitan kes memberi rasuah.

    Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang wanita berusia 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan pada 2021, syarikat suspek yang memiliki lesen kelas G3 disyaki memberikan rasuah bagi mendapatkan kerja di bawah kelas G2.

    Namun semakan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) mendapati lesen syarikat itu di bawah kelas G3.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009.