Author: Admin

  • Kempen rasmi pemilihan PKR 2022 hanya bermula 8 April – Dr Zaliha

    Kempen rasmi pemilihan PKR 2022 hanya bermula 8 April – Dr Zaliha

    KEMPEN secara rasmi Pemilihan PKR 2022 hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan pada 8 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.

    Justeru Zaliha dalam kenyataan hari ini mengingatkan, JPP akan memantau rapat sebarang bentuk kempen kepada semua calon tanpa prejudis dan akan bertindak mengikut Peraturan dan Tatacara Pemilihan serta Tataetika Kempen.

    Menurut Zaliha memandangkan kini sudah ada penyokong sibuk mempromosikan pimpinan pilihan masing-masing dalam pelbagai cara dan pelbagai platform media, JPP tidak bertanggungjawab terhadap kempen yang telah bermula pada masa kini. 

    “Bakal-bakal calon dan penyokong masing-masing juga perlu menjaga tatasusila, mengelak dari kempen yang tidak beretika, seperti menyelar peribadi calon atau mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.

    Pemilihan PKR 2022 yang akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini, kini dalam fasa pertama proses pemilihan dan anggota parti digalakkan untuk memuat turun Aplikasi ADIL yang telah pun dilancarkan pada 4 Mac lepas.

    Ahli juga diminta mengemas kini daftar keanggotaan serta memberi persetujuan untuk menjadi Pemilih Atas Talian (PAT). – Bernama

  • Sukma XX, MSN 2022 dianjur hujung September

    Sukma XX, MSN 2022 dianjur hujung September

    TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19, akhirnya bakal dianjurkan bermula 29 September hingga 8 Oktober tahun ini di sekitar Lembah Klang.

    Majlis Sukan Negara(MSN) dalam kenyataan hari ini menyatakan, edisi kali ini yang dikenali sebagai ‘SUKMA XX, MSN 2022’ akan mempertandingkan 31 jenis sukan, iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan, selain dua sukan demonstrasi – silambam dan kabaddi.

    Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada hari ini turut bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang telah dipersetujui sebelumnya, bagi edisi kali ini.

    Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan itu berkata penganjuran edisi kali ini oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi MSN, telah disokong dan diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari lepas.

    “Ia demi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten, agar negara tidak ketandusan atlet yang bakal jadi pengganti untuk bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

    Bagaimanapun, jumlah akhir acara yang bakal dipertandingkan tertakluk kepada jumlah penyertaan minimum lapan negeri untuk setiap sukan dan acara, dan ia akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukma dalam masa terdekat.

    Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju agar Sukan Para SUKMA XX, MSN 2022 dilangsungkan daripada 29 Oktober hingga 6 November ini.

    Sukma ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor bermula 6-14 Mac 2020 telah ditunda beberapa kali susulan pandemik, sebelum diputuskan untuk dianjurkan MSN di Lembah Klang.

    Berikutan itu, beberapa pihak meminta penganjur supaya meningkatkan had umur edisi kali ini kepada 23 tahun berbanding 21 tahun ke bawah, kerana atlet sudah mula membuat persediaan sejak sebelum pandemik.

    Johor bagaimanapun akan menganjurkan temasya berkenaan pada 2024.- Bernama

  • Bimbing anak muda tidak undi pemimpin rasuah – Sultan Nazrin

    Bimbing anak muda tidak undi pemimpin rasuah – Sultan Nazrin

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat.

    Titah baginda, bimbingan itu penting untuk mereka membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

    “Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian selepas berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia tulisan Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan Penganalisis politik, Dr G Manimaran di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut baginda, anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen-elemen kenegaraan dan tatanegara.

    “Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara,” titah baginda.

    Sultan Nazrin bertitah, tarikh 16 Julai 2019 merupakan detik penting dalam sejarah politik negara.

    “Seramai 32 ahli Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang (RUU) menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

    “Ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang telah mencapai kata sepakat meluluskan RUU tersebut.

    “Parlimen Malaysia, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebulat suara bersetuju dengan cadangan Pindaan kepada Perkara 119(1)(a) dan Perkara 119(4)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi,” titah baginda.

    Baginda bertitah, susulan pindaan tersebut, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Ia meningkatkan bilangan pengundi lebih 50 peratus daripada bilangan pengundi berdaftar semasa PRU.

    “Diunjurkan, seramai 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun. Bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk memilih pemimpin dan menentukan kerajaan,” titah baginda.

    Tambah baginda lagi, keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.

  • Hutang negara sebanyak RM979.8 bilion 

    Hutang negara sebanyak RM979.8 bilion 

    DEWAN Rakyat hari ini diberitahu bahawa jumlah hutang Kerajaan Persekutuan hingga akhir Disember tahun lalu adalah sebanyak RM979.8 bilion.

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, paras hutang itu adalah 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Sementara nisbah hutang statutori Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB), mencatatkan 5.79 peratus daripada KDNK.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai data-data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang Kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang serta untuk menambah peluang pekerjaan juga pendapatan rakyat dalam sesi soalan lisan hari ini.

    Memetik laporan MalaysiaGazette, Mohd. Shahar berkata, bagaimanapun jumlah kadar hutang itu masih di bawah paras 65 peratus daripada jumlah KDNK negara.

    Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kadar hutang negara berada paras RM957.3 bilion sehingga akhir Julai tahun lalu.

    Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen MGS, MGII dan MITB, semuanya mencatat 63.4 peratus daripada KDNK, iaitu masih di bawah had statutori 65 peratus KDNK yang ditetapkan dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019-Covid-19) 2020.

    Pada masa ini, katanya, kerajaan mengguna pakai Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana (tiga hingga lima tahun) yang selari dengan pelan pembangunan RMKe-12.

    Di samping itu, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus, ketelusan, pengurusan kewangan awam dan disiplin fiskal.

    Mohd. Shahar menambah, kerajaan juga sedang membangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan melaksanakan Semakan Semula Perbelanjaan Awam (PER) bagi menambah baik asas hasil dan memastikan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

    Pelaksanaan langkah-langkah tersebut dijangka mampu mengukuhkan kembali kedudukan kewangan demi memastikan kemampanan fiskal dan kemampuan keberhutangan kerajaan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

  • Pastikan pilihan raya tak gugat kestabilan negara – Sultan Nazrin

    Pastikan pilihan raya tak gugat kestabilan negara – Sultan Nazrin

    KEPIMPINAN parti politik bertanggungjawab memastikan pilihan raya di negara ini tidak menjadi medan pencetus yang boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

    Sultan Nazrin bertitah isu sensasi yang menyalakan bara perkauman serta meniupkan sentimen agama dalam meraih undi semasa berkempen akan menyulitkan usaha penyatupaduan, memisah dan merenggangkan hubungan rakyat pelbagai latar belakang seterusnya membatalkan usaha membina negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera.

    “Negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera, lebih besar nilainya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan berpatah arang hingga akhirnya yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu,” titah baginda ketika melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir di Kuala Lumpur hari ini.

    Baginda bertitah memilih kerajaan menerusi pilihan raya merupakan urusan serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan. 

    Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah pengundian hendaklah berasaskan pemikiran yang rasional berteraskan fakta dan bukannya berasaskan sentimen serta emosi.

    Titah Sultan Nazrin pilihan raya yang bebas dan adil membolehkan rakyat, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun, bebas daripada ugutan, tekanan serta keganasan selain bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Baginda bertitah pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat malah menjadi satu piawaian antarabangsa terhadap tahap keutuhan hak asasi setiap warganegara.

    “Cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, intelek, kematangan, meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang, tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara,” titah Sultan Nazrin.

    Selain itu, baginda bertitah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon dan parti politik semasa pilihan raya wajib, pada setiap masa, bersikap berkecuali terhadap mana-mana pihak. 

    “Demi memastikan kedaulatan dan kemuliaan takhta pemerintahan tidak tercemar, SPR sebagai badan yang dilantik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara yang boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali, mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikai serta ketelusan yang tidak diragui.

    Menyentuh penurunan had usia layak mengundi kepada 18 tahun, Sultan Nazrin bertitah ia hendaklah ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.

    Baginda bertitah anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin. 

    Sultan Nazrin bertitah susulan pindaan rang undang-undang yang menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, meningkat lebih 50 peratus berbanding bilangan pengundi berdaftar semasa PRU14. 

    Mengenai buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir setebal 760 halaman, Sultan Nazrin bertitah ia merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek pilihan raya, merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan dan saranan. 

    Baginda bertitah penerbitan itu bertujuan mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan memahami peranan sebagai pengundi. 

    Buku terbitan Universiti Malaya itu adalah karya bekas Pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman bersama Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Dr G Manimaran, yang sebelum ini merupakan wartawan akhbar tempatan. – Bernama

  • Cadang SPR wujudkan bank data alamat lengkap pengundi

    Cadang SPR wujudkan bank data alamat lengkap pengundi

    BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mencadangkan suruhanjaya itu dilengkapkan sistem alamat lengkap untuk semua warganegara Malaysia bagi menentukan kedudukan sebenar pengundi.

    Menurut beliau, apabila wujudnya sistem berkenaan akan dapat memudahkan pencarian data pemilih SPR.

    “Masalah ketiadaan alamat, selain pengundi bertukar alamat menjadi punca peratusan keluar mengundi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’ di Hotel Majestic di Kuala Lumpur, hari ini.

    Buku berkenaan hasil tulisan beliau bersama-sama penganalisis politik, Dr. G. Manimaran.

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan buku berkenaan.

    Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas menyelesaikan masalah ketiadaan alamat ini.

    “Sistem alamat seumpama itu dilaksanakan di United Kingdom (UK) dipanggil GeoPlace. Jika kerajaan ada sistem ini ia juga boleh menjadi ‘bank data’ urusan kerajaan yang lain,” katanya.

    Ab. Rashid menjelaskan, orang di bandar mungkin ada alamat tepat, tetapi di kampung, terdapat mereka yang tidak mempunyai alamat tepat dan sukar dicari.

    “Ini menyukarkan termasuk kepada parti politik untuk mendekati pengundi dan penempatan Daftar Pemilih menjadi tidak teratur.

    “Ini adalah penyelesaian jangka panjang bagi menentukan setiap orang mempunyai alamat tepat dan masalah berkaitan alamat dapat ditangani,” ujarnya.

  • Dua RUU dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat

    Dua RUU dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat

    RANG Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022, yang antara lain bertujuan mengadakan peruntukan ketidakpakaian Perkara 119 kepada Raja-raja berhubung pendaftaran pemilih, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

    Rang Undang-undang bagi meminda Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu bertujuan memasukkan Perkara baharu 119A yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh dengan persetujuan Majlis Raja-raja menetapkan suatu pengecualian kepada mana-mana Raja dan isterinya, Yang Dipertua Negeri dan isteri, bakal raja, waris ganti dan waris lain Raja dan isteri mereka daripada pemakaian Perkara 119 berhubung pendaftaran pemilih.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika membentangkan rang undang-undang itu hari ini berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan ini.

    Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 antara lain menghendaki seseorang warganegara yang mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mengundi didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. 

    Usia minimum mengundi rakyat Malaysia direndahkan kepada 18 tahun berbanding 21 sebelum ini, selepas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan seterusnya oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

    Turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama ialah Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 untuk meminda Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bertujuan memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 28A yang memberi menteri kuasa untuk menetapkan melalui peraturan kesalahan yang boleh dikompaun dan kaedah serta tatacara bagi mengkompaun kesalahan.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika membentangkan Rang Undang-undang itu berkata bacaan kali kedua akan turut dilakukan pada persidangan ini.- Bernama

  • Tolak ansur capai konsensus kunci kesatuan politik baharu

    Tolak ansur capai konsensus kunci kesatuan politik baharu

    KEJAYAAN gabungan parti antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bergantung sejauh mana parti-parti berkenaan boleh bertolak ansur dan menerima tawaran masing-masing.

    Sambil tidak menolak hanya dengan bergabung dapat menumbangkan BN, Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, cabaran besar adalah untuk mencapai konsensus.

    “Konsensus kadang-kadang adalah susah untuk dicapai, kerana setiap parti mempunyai ideologi, hala tuju dan jangkaan yang berlainan. 

    “Jadi adakah mereka akan dapat mengenepikan agenda masing-masing dan hala tuju masing-masing untuk bergabung menjadi satu entiti. 

    “Ia bukan satu perkara yang mudah, yang mungkin akan mengambil masa dalam keadaan kritikal di mana kita harus berhadapan dengan PRU-15, banyak perkara yang boleh diambil dan ditimbangkan antara parti-parti ini.

    “Bagi saya, ia satu keputusan yang agak sukar tetapi bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan sama ada mereka mahu bergabung sebagai satu entiti,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Dalam pada itu tambah beliau, pimpinan PN dan PH mempunyai ‘sejarah lampau’ antara satu sama lain yang menyukarkan kerjasama dibentuk meskipun naratif perjuangan parti dilihat seiring dan sama, terutama sekali dalam melawan kluster mahkamah dari BN khususnya UMNO.

    Ketika ini, pimpinan utama UMNO sedang meneruskan tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 dalam kadar segera.

    Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dilihat senada mendesak Parlimen dibubarkan segera selepas siri kejayaan BN dalam PRN di Melaka dan Johor.

  • Dua ditahan gara-gara tunjuk aksi hisap dadah di Facebook

    Dua ditahan gara-gara tunjuk aksi hisap dadah di Facebook

    SEORANG lelaki dan wanita ditahan polis selepas aksi menagih dadah yang dimuat naik dalam Facebook dikesan pihak berkuasa, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Sanah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan kepada rakaman video tular itu, polis menahan seorang wanita dikenali dengan nama ‘Momoi’.

    Beliau berkata, hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki iaitu pemilik akaun Facebook bernama ‘Jordan Hassan’ yang memuat naik rakaman berkenaan.

    “Kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan dijalankan di rumah di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu dan di hadapan bangunan SAFMA, di Sabah.

    “Suspek lelaki itu mengaku akaun Facebook bernama ‘Jordan Hassan’ adalah miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun jika disabitkan kesalahan.

    Katanya, kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut sebelum pendakwaan dijalankan.

    “Kerjasama orang ramai dalam membasmi jenayah adalah sangat membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laman sosial,” katanya.

  • 3 nelayan dikhuatiri hilang di laut

    3 nelayan dikhuatiri hilang di laut

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan sebuah bot nelayan bersama tiga kru yang gagal dikesan dan dihubungi sejak lewat petang semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 7.50 malam semalam.

    Berikutan itu katanya, bot ronda KILAT 26 Maritim Pulau Pinang dengan dibantu bot PERKASA 1224 Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak bagi operasi CARILAMAT.

    Terdahulu jelas beliau, bot fiber bernombor pendaftaran PPS 5479 yang berpangkalan di Sungai Tembus, Penaga dilaporkan tidak pulang ke pangkalan malam semalam.

    “Hasil siasatan mendapati lokasi terakhir yang diberikan oleh tekong kepada pemilik bot adalah pada kedudukan kira- kira 17.5 batu nautika barat daya Mukah Head Pulau Pinang.

    “Sehingga kini, usaha pencarian masih diteruskan oleh aset Maritim Malaysia Pulau Pinang dan Zon Maritim Kuala Kedah serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Difahamkan, ketiga-tiga nelayan yang hilang terbabit dikenali sebagai Muhammad Firdaus Shamsudin, 34; Afzanizul Zakaria, 44, dan Rozidi Saad.

    Dalam pada itu, Abd. Razak menasihatkan orang ramai menyemak terlebih dahulu laporan kaji cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sebelum menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut.

    Dalam masa sama kata beliau, mereka juga diingatkan menitikberatkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

    “Orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.