KEPIMPINAN parti politik bertanggungjawab memastikan pilihan raya di negara ini tidak menjadi medan pencetus yang boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin bertitah isu sensasi yang menyalakan bara perkauman serta meniupkan sentimen agama dalam meraih undi semasa berkempen akan menyulitkan usaha penyatupaduan, memisah dan merenggangkan hubungan rakyat pelbagai latar belakang seterusnya membatalkan usaha membina negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera.

“Negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera, lebih besar nilainya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan berpatah arang hingga akhirnya yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu,” titah baginda ketika melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir di Kuala Lumpur hari ini.

Baginda bertitah memilih kerajaan menerusi pilihan raya merupakan urusan serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan. 

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah pengundian hendaklah berasaskan pemikiran yang rasional berteraskan fakta dan bukannya berasaskan sentimen serta emosi.

Titah Sultan Nazrin pilihan raya yang bebas dan adil membolehkan rakyat, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun, bebas daripada ugutan, tekanan serta keganasan selain bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Baginda bertitah pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat malah menjadi satu piawaian antarabangsa terhadap tahap keutuhan hak asasi setiap warganegara.

“Cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, intelek, kematangan, meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang, tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara,” titah Sultan Nazrin.

Selain itu, baginda bertitah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon dan parti politik semasa pilihan raya wajib, pada setiap masa, bersikap berkecuali terhadap mana-mana pihak. 

“Demi memastikan kedaulatan dan kemuliaan takhta pemerintahan tidak tercemar, SPR sebagai badan yang dilantik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara yang boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali, mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikai serta ketelusan yang tidak diragui.

Menyentuh penurunan had usia layak mengundi kepada 18 tahun, Sultan Nazrin bertitah ia hendaklah ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.

Baginda bertitah anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin. 

Sultan Nazrin bertitah susulan pindaan rang undang-undang yang menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, meningkat lebih 50 peratus berbanding bilangan pengundi berdaftar semasa PRU14. 

Mengenai buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir setebal 760 halaman, Sultan Nazrin bertitah ia merupakan satu dokumentasi yang merekodkan pelbagai aspek pilihan raya, merangkumi sejarah, perundangan, proses, ulasan, pandangan dan saranan. 

Baginda bertitah penerbitan itu bertujuan mengilmukan rakyat supaya lebih berpengetahuan dan memahami peranan sebagai pengundi. 

Buku terbitan Universiti Malaya itu adalah karya bekas Pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman bersama Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Dr G Manimaran, yang sebelum ini merupakan wartawan akhbar tempatan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here