Author: Admin

  • Bekas Presiden JCorp dituduh perdaya pelaburan RM9.46 juta

    Bekas Presiden JCorp dituduh perdaya pelaburan RM9.46 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Bhd (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan memperdaya Ahli-ahli Lembaga Pengarah JCorp membabitkan pelaburan RM9.46 juta pada 2019.

    Kamaruzzaman mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

    Tertuduh yang berusia 58 tahun hanya mengangguk tanda faham dan memohon agar dibicarakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Kamaruzzaman didakwa menipu dengan memperdaya ahli lembaga tersebut untuk melabur sebanyak USD1 (RM4.21 juta) dalam World Logistic Council Limited, manakala sebanyak USD1.25 juta (RM5.27 juta) pula dilaburkan dalam World Logistic Council Americas LLC.

    Beliau didakwa membuat kesalahan itu melalui satu pembentangan untuk meluluskan penggunaan dana sementara JCorp berjumlah USD5 juta (RM21.07 juta) untuk membuat pelaburan berkenaan.

    Kamaruzzaman didakwa melakukan perbuatan itu di bilik mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25, Menara Komtar, Johor Baahru pada 8 Julai 2019.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.

    Mahkamah kemudian membenarkan Kamaruzzaman dijamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah, perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi pendakwaan.

    Bagaimanapun peguam tertuduh, K. Ragunath memohon agar mahkamah membenarkan pasport tertuduh diserah sebelum 23 April kerana Kamaruzzaman bakal menunaikan umrah pada 7 April ini sebelum pulang ke tanah air semula pada 18 April.

    Mahkamah membenarkan permohonan itu dan turut menetapkan tarikh 25 Mei untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan penyerahan senarai saksi pendakwaan.

    Kamaruzzaman dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada Disember 2010 menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebelum bersara pada 12 Disember 2019.

  • Kemungkinan PRU-15 pada Ogos ini:CGS-CIMB

    Kemungkinan PRU-15 pada Ogos ini:CGS-CIMB

    FIRMA penyelidikan CGS-CIMB mengunjurkan
    kemungkinan diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka paling awal pada Ogos ini.

    CGS-CIMB dalam nota strategi hari ini meramalkan, kemungkinan itu adalah selepas memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang tamat pada Julai ini dan perjanjian itu tidak diguna pakai lagi pada Ogos.

    ”Sekiranya pilihan raya diadakan, kita melihat turun naik pasaran saham yang semakin meningkat dalam tempoh selepas Parlimen dibubarkan, terutamanya semasa tempoh berkempen,” kata CGS-CIMB, memetik laporan DagangNews.com, hari ini.

    MoU telah ditandatangani tahun lepas antara kerajaan dan parti pembangkang di mana kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersyarat mengenai beberapa isu, termasuk Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai untuk membolehkan tempoh kestabilan politik.

    “Sekiranya tekanan jualan sangat kuat dalam dua hingga tiga minggu sebelum pengundian, ini bermakna kebanyakan berita buruk yang berpotensi itu mungkin sudah ditakrifkan.

    ”Selain itu, pasaran berkemungkinan melancarkan rali bantuan jika kerajaan baharu mengekalkan kekuatan yang lebih kukuh iaitu majoriti di Parlimen.”

    CGS-CIMB meneliti dan menganalisis sembilan PRU yang lalu dan mendapati KLCI cenderung untuk memberikan pulangan purata yang lebih tinggi sehingga 12 bulan selepas pilihan raya, berbanding 12 bulan sebelumnya.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan dari 16 hingga 19 Mac baru-baru ini, perwakilan parti mahu lima pemimpinan teratas parti — presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden — memutuskan masa paling sesuai untuk mengadakan PRU-15.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah seorang daripada lima teratas, sebagai salah seorang Naib Presiden.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan menghormati MoU yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang, bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai.

    “Timbalan presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pilihan raya umum tidak perlu ditangguhkan lagi kerana bimbang pembangkang bersatu semula dan menjadi penghalang kepada UMNO,” kata CGS-CIMB dalam notanya.

    Ia menambah bahawa Mohamad berkata, Perlembagaan UMNO akan dipinda untuk menangguhkan pemilihan parti untuk diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum akan datang bagi memastikan tiada ‘perpecahan dalam kalangan ahli parti’.

    “Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri berkata, PRU-15 juga akan dibincangkan di majlis tertinggi UMNO dan Kabinet sebelum cadangan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan,” jelas nota berkenaan lagi.

    Beliau menambah, bahawa jika UMNO boleh yakin menang, parti itu tidak akan menunggu satu saat lagi untuk memanggil pilihan raya, tulis CGS-CIMB.

    Pada 10 Mac, Setiausaha Agung DAP yang baharu, Anthony Loke menggesa Ismail Sabri supaya tidak tunduk kepada tekanan untuk mengadakan pilihan raya awal.

    Sebaliknya, beliau mencadangkan ‘MoU 2.0’ ditandatangani untuk menangguhkan pilihan raya umum sehingga selepas sidang Parlimen semasa berakhir pada 15 Disember 2022.

  • Dua calon SPM antara ditahan tunggang motosikal secara bahaya

    Dua calon SPM antara ditahan tunggang motosikal secara bahaya

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PADAH melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, dua daripada tiga remaja yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan polis, semalam.

    Mereka yang berusia 17 tahun bersama seorang lagi penunggang motosikal berumur 22 tahun terdahulu diekori Skuad 42 Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, skuad tersebut mengekori penunggang motosikal itu di Lebuhraya Linkedua dan di Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru sebelum menahan ketiga-tiga mereka.

    “Anggota polis melakukan risikan dan bertindak mengekori sekumpulan remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan zig zag di lokasi tersebut.

    “Tindakan remaja terbabit amat berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan telah dibawa ke IPD Iskandar Puteri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 manakala tidak lebih daripada RM15,000.

    “Selain itu, suspek juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun daripada tarikh sabitan,” ujarnya.

    Dzulkhairi turut mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan penting bagi memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam perkara yang mengundang bahaya kepada diri dan orang lain.

  • Tanpa kerjasama, rakyat yang tolak BN pun malas mengundi 

    Tanpa kerjasama, rakyat yang tolak BN pun malas mengundi 

    PERATUSAN keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini menunjukkan angka yang tidak memberangsangkan, tetapi ia bukanlah mengejutkan.

    Di Melaka, jumlahnya berada pada tahap 65.85 peratus manakala di Johor 54.92 peratus.

    Peratusan yang rendah ini ternyata memberi kelebihan buat Barisan Nasional (BN) apabila meraih kemenangan dengan majoriti dua pertiga, walaupun statistik undi popular menunjukkan sebaliknya.

    Lazimnya, jika peratusan keluar mengundi rendah, BN akan memperoleh laluan mudah dan sekiranya peratusan itu tinggi melebihi 75 peratus BN akan berdepan masalah sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Pandemik Covid-19 dan kelesuan politik seringkali dijadikan alasan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam dua PRN berkenaan.

    Alasan berkenaan ada kebenarannya tetapi penulis berpendapat ia bukanlah faktor utama yang merencatkan minat rakyat Malaysia khususnya pengundi atas pagar untuk keluar mengundi.

    Sebaliknya, minat mereka menjadi tawar berikutan kegagalan parti penentang BN untuk bekerjasama, menyebabkan berlaku pertembungan banyak penjuru sehingga BN boleh menang dengan bergaya di Melaka dan Johor.

    Ini berbeza dengan PRU-14 yang menyaksikan kesepakatan parti-parti pembangkang untuk bekerjasama sehingga peratusan keluar mengundi mencecah 82.32 peratus.

    Keghairahan pengundi pada hari pengundian PRU-14 dapat dilihat dengan ketara apabila ramai yang sanggup beratur panjang di pusat mengundi malah lebuh raya menjadi sesak apabila pengundi luar balik ke kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

    Pada masa itu mereka teruja dan yakin bahawa masa, tenaga dan wang ringgit yang digunakan untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu tidak sia-sia kerana kebarangkalian untuk berjaya menjatuhkan BN adalah cerah apabila pembangkang bersatu.

    Bagi mereka, tiada gunanya bersusah payah keluar atau balik mengundi sekiranya ia ‘sekadar untuk melawan’ sewaktu keputusan sudah dapat dijangka akan berpihak kepada BN.

    Senario ini sama seperti perlawanan bola sepak melibatkan pasukan corot dalam Liga Super Malaysia yang hanya ditonton sekumpulan kecil penyokong tegar walaupun ia berlangsung di laman sendiri.

    Bagi penyokong bukan dalam kategori tegar, mereka sudah tentu tidak mahu membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk ke stadium sekiranya sudah tahu akan kalah dan terus kalah dalam perlawanan.

    Lainlah jika sudah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, walaupun melawan pasukan kuat seperti JDT sekalipun, semangat penyokong pasukan kerdil boleh jadi luar biasa sehingga stadium melimpah ruah.

    Begitu juga dalam pilihan raya, kalau sudah tahu tidak akan mampu menewaskan BN kerana keegoan pemimpin parti politik yang enggan bekerjasama, buat apa mereka keluar mengundi.

    Akhirnya, peratusan keluar mengundi tetap berlegar di sekitar 50 ke 60 peratus dan BN yang sebenarnya tidaklah kuat mana akan terus menang besar.

    Dalam kata lain, parti yang menolak kerjasama politik pada PRU15 sebenarnya adalah ‘rakan baik’ BN kerana menyumbang kemenangan percuma kepadanya.

  • PGA rampas arak, rokok berjumlah RM421,769

    PGA rampas arak, rokok berjumlah RM421,769

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas rokok dan arak seludup berjumlah RM421,769 selepas melakukan serbuan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru semalam.

    Menerusi serbuan pukul 4 petang itu, PGA merampas 20 kotak rokok, 1,548 botol arak dan sebuah Toyota Hiace yang dipercayai menjadi kenderaan pengangkutan barang tidak bercukai berkenaan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai di sekitar Johor Bahru.

    “Modus operandi sindiket menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan stok rokok atau arak tiada cukai. Aktiviti difahamkan sudah beroperasi lebih kurang lima bulan.

    “Rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • Kenapa pemimpin DAP diam bila kongres parti langgar SOP?

    Kenapa pemimpin DAP diam bila kongres parti langgar SOP?

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Setakat yang dilaporkan media, Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menghadiri Kongres DAP di IDCC pada Ahad lalu telah disahkan positif Covid-19.

    Semoga mereka berdua diberikan kesembuhan segera dan tidak mengalami kesan sampingan yang teruk akibat daripada pandemik itu.

    Semua orang tahu yang virus itu tidak kelihatan dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun dengan mematuhi SOP, kebarangkalian untuk dijangkiti adalah lebih rendah.

    Oleh kerana itu, Kementerian Kesihatan berulang kali menekankan betapa pentingnya untuk mematuhi SOP setiap kali melibatkan perhimpunan besar terutamanya melibatkan tempat tertutup seperti di dalam dewan yang berhawa dingin.

    Maka, apabila Kit Siang sudah disahkan positif, maka berlegar di media sosial gambar pemimpin berusia 81 tahun itu berpelukan dengan ramai pemimpin DAP lain ketika kongres berkenaan.

    Mereka berpelukan dipercayai kerana sedih dengan pengumuman Kit Siang yang mahu bersara daripada dunia politik setelah 56 tahun berkecimpung dalam arena berkenaan.

    Walau apa pun alasannya, ia tetap salah dan semua yang terlibat wajar dikenakan tindakan bagi memastikan SOP terus dipatuhi tidak kira siapa sahaja.

    Jika tidak, DAP tidak layak untuk bercakap soal kejujuran dan pematuhan undang-undang kerana parti yang sebelum ini lantang mengkritik tindak tanduk kerajaan juga lemah dalam mendisiplinkan ahli dan pemimpin parti masing-masing.

    Pengerusi DAP Kebangsaan yang sebelum ini menjawat jawatan Setiausaha Agung, pernah mengkritik pimpinan tinggi kerajaan yang tidak mematuhi SOP Covid-19.

    Guan Eng dalam kenyataannya pernah berkata menteri secara berterusan melakukan amalan dua darjat dengan “secara terbuka melanggar SOP yang mereka sendiri perkenalkan”.

    Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin “berlaga penumbuk” dengan penyokong Barisan Nasional (BN) ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Jadi, di manakah Guan Eng dan adakah dia hanya berdiam diri ketika melihat bapanya dan pemimpin DAP lain berpelukan dan melanggar SOP Covid-19 ketika Kongres DAP.

    Jika berlaga penumbuk sahaja sudah dikritik Guan Eng, adakah dia tidak sedar berpelukan adalah lebih bahaya dalam menyebarkan virus kepada orang lain?

    Oleh itu, selain wajar dikenakan saman, mereka semua yang terlibat dalam kongres berkenaan sewajibnya kuarantin diri dan tidak mencetuskan kluster DAP yang menyusahkan orang lain.

    Ingatlah pesan orang tua, sebelum nak perbetulkan orang lain, perbetulkan diri sendiri dahulu dan tidak menjadi ketam yang mengajar anak berjalan lurus.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Along curi data peribadi menerusi aplikasi

    Along curi data peribadi menerusi aplikasi

    SINDIKET along kini dikesan semakin berbahaya apabila mereka mampu mencuri data diperlukan daripada telefon bimbit peminjam mereka menerusi satu aplikasi.

    Mereka mampu mendapatkan data seperti nombor telefon ahli keluarga, majikan, rakan sekerja serta gambar dan video mangsa sebelum peminjam itu dimalukan jika dia gagal atau terlewat membayar pinjaman.

    Caranya, sindiket akan menyebar atau tularkan butiran pinjaman mangsa kepada ahli keluarga, kenalan, majikan dan jiran melalui WhatsApp.

    Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Aduan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Raden Sallehuddin Raden Shamsuddin berkata, aplikasi itu kini menjadi ‘senjata’ baharu untuk menyedut data milik peminjam yang digunakan bagi mengugut mereka sekiranya gagal melunaskan bayaran.

    “Sebelum ini proses pinjaman along menggunakan kaedah lama iaitu dengan mengisi borang dan butiran diperlukan.

    “Kini along akan mengarahkan mereka yang membuat pinjaman dengan mengisi melalui aplikasi berkenaan dengan alasan lebih mudah.

    “Tanpa pengguna sedari, segala data dan butiran peribadi mereka yang terdapat di dalam telefon pintar akan dicuri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, MCCA menerima lebih 1,000 laporan berkaitan isu pinjaman melalui aplikasi pemberi pinjaman tidak berlesen ini melalui pelbagai platform aduan.

    “Antara implikasi buruk siber terhadap pengguna melalui aplikasi ini adalah kecurian maklumat peribadi seperti senarai kenalan di dalam simpanan memori telefon pintar serta kecurian data peribadi lain seperti gambar dan video pengguna.

    “Kami mendapati rata-rata pengguna menghadapi tekanan ugutan jenayah siber seperti buli siber dan tindakan untuk memalukan mangsa di tempat kerja serta kejiranan,” katanya yang memaklumkan pihaknya mengesan ratusan aplikasi berkaitan dengan aktiviti along.

    Katanya, kebanyakan aplikasi itu tidak memiliki lesen pengoperasian yang sah seperti diwartakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi.

    Menurutnya, cara itu memberikan kesan buruk kepada pengguna yang berisiko terdedah dengan modus operandi along.

    Bercerita lanjut, Raden Sallehuddin berkata, berdasarkan laporan diterima, aplikasi ini dibangunkan pembangun aplikasi dan digunakan untuk aktiviti salah daripada segi undang-undang.

    “Di sini wujud kebocoran data peribadi juga. Jadi MCCA berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

    Beliau berkata, bukan sahaja aktiviti ceti haram, aplikasi seperti ini juga digunakan agensi pengiklanan untuk mencari pelanggan.

    “Sebab itu pengguna siber perlu lebih berwaspada dengan dunia teknologi tanpa sempadan. Perlu ada silibus awal untuk mendidik pengguna di negara ini. Ia boleh dijadikan persiapan awal,” katanya.

  • SPR perlu setiap masa berkecuali untuk pilihan raya bebas, adil:Sultan Nazrin

    SPR perlu setiap masa berkecuali untuk pilihan raya bebas, adil:Sultan Nazrin

    SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib pada setiap masa bersikap berkecuali tanpa memihak kepada sesiapa.

    Sultan Perak bertitah, pilihan raya yang bebas dan adil membolehkan semua warganegara, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka.

    Menurut baginda, perkara itu merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun; bebas daripada ugutan, bebas daripada tekanan dan bebas dari keganasan; serta bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

    “Pilihan raya yang bebas dan adil memastikan bahawa semua calon dan semua parti bersaing berasaskan layanan yang saksama, berpandukan undang-undang, dalam gelanggang dan padang permainan yang sama rata.

    “Di bawah prinsip ini, perlu ada pemisahan yang jelas antara badan kerajaan dan parti politik dan garis panduan yang menetapkan kemudahan awam dan sumber yang tidak boleh digunakan secara tidak adil,” titah baginda, memetik laporan Sinar Harian.

    Baginda sebelum itu berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia tulisan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dan penganalisis politik, Dr. G. Manimaran di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, hari ini.

    Sultan Nazrin bertitah, pilihan raya yang bebas dan adil turut melindungi hak semua rakyat untuk mendapat keadilan serta hak untuk mengundi secara rahsia.

    “Untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, para petugas pilihan raya hendaklah berperanan sebagai fasilitator membantu dan memudahkan calon yang berhasrat menawarkan diri mahu bertanding dan rakyat yang mahu mengundi, bermula daripada proses dan prosedur yang dipermudahkan, begitu juga dalam menetapkan tarikh, tempat dan waktu pilihan raya dilangsungkan,” titah baginda.

    Menurut baginda lagi, pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil akan meningkatkan keyakinan pengundi diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat yang turun mengundi.

    “Pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil akan menjadi penanda aras ketulenan dan kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah negara.

    “Sesuatu pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat, malah menjadi satu piawaian antarabangsa akan tahap keutuhan hak asasi seseorang warganegara,” tegas baginda.

    Titah baginda lagi, cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, tahap intelek, tahap kematangan, tahap meluhurkan Perlembagaan dan tahap mendaulatkan undang-undang, tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara.

  • Sehari selepas umum bersara, Kit Siang dijangkiti COVID-19

    Sehari selepas umum bersara, Kit Siang dijangkiti COVID-19

    SEHARI selepas menghadiri Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, Mentor DAP, Lim Kit Siang dijangkiti COVID-19 dan kini dikuarantin.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahredzan Johan.

    “Dia telah diberi vaksin dan juga mengambil suntikan penggalaknya, dan setakat ini dia hanya mengalami gejala ringan seperti batuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Syahredzan berkata, Kit Siang diuji positif semasa ujian RTK-Ag di bangunan Parlimen hari ini, dan ujian PCR berikutnya juga positif.

    “Dia kini dikuarantin mengikut protokol kuarantin biasa,” katanya.

    Pengumuman itu dibuat hanya sehari selepas Kit Siang mengumumkan rancangannya untuk bersara daripada politik pada kongres tahunan DAP semalam.

  • Zawawi keterlaluan label pemimpin PAS ‘tiga jahanam’

    Zawawi keterlaluan label pemimpin PAS ‘tiga jahanam’

    LABEL ‘tiga jahanam’ yang dilemparkan oleh Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman kepada pucuk pimpinan PAS adalah keterlaluan.

    Memetik laporan Malaysiapost, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelaran itu tidak boleh diterima sama sekali.

    “Saya menolak kenyataan tersebut (yang) saya anggap melampau, kita (sepatutnya) hormati hak parti-parti politik tak boleh kita label, kita letak istilah-istilah.

    “Bagi saya itu hak parti PAS dan parti lain tak perlu campur, tak perlu kita label yang begitu yang saya rasa tidak begitu manis, budaya orang Melayu pun saya rasa tidak tepat,” katanya.

    Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Melaka, hari ini.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 Sabtu lalu, Zawawi ketika membahaskan ucapan dasar Presiden menegaskan, UMNO Kelantan menolak kerjasama dengan PAS selagi terdapat tiga pemimpin parti berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘tiga jahanam’ yang bermulut jahat.

    Tiga pemimpin yang dimaksudkan itu ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    Muafakat Nasional (MN) yang menyaksikan kerjasama antara UMNO dan PAS bakal berkubur ekoran sikap angkuh dan sombong pemimpin UMNO.

    Kedua-dua parti terbesar Melayu dan Islam itu telah bertembung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.