Author: Admin

  • Datuk Adly didenda RM3 juta, lucut hak RM5 juta

    Datuk Adly didenda RM3 juta, lucut hak RM5 juta

    SEORANG pengarah syarikat bergelar Datuk dijatuhkan hukuman denda RM3 juta dan melucut lebih RM5 juta harta oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menggunakan dokumen palsu berhubung dua projek di Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2021.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh, Adly Kamarudin yang berusia 48 tahun dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen Surat Setuju Terima (SST) dan Borang A Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang palsu sebagai tulen.

    Berdasarkan dokumen palsu tersebut, Lambaian Fajar Sdn. Bhd. dan KSB Global Sdn. Bhd. iaitu syarikat di bawah kendalian tertuduh telah dipilih kerana kelayakan serta pengalaman bagi melaksanakan dua projek di sebuah JKR.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Kesalahan didakwa itu dilakukan di sebuah rumah banglo di Bandar Baru Bangi bermula Jun 2019 hingga September 2020.

    Dalam pada itu, mahkamah turut melucutkan hak harta tertuduh sebanyak RM5,014,633.24 di bawah Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 serta diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Md. Yunos Shariff.

    Tahun lalu, media melaporkan, Adly berdepan hukuman penjara sehingga 483 tahun apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 69 pertuduhan memalsukan dokumen berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan bermula tiga tahun lalu.

  • APMM gagalkan cubaan seludup masuk ganja bernilai lebih RM2.2 juta

    APMM gagalkan cubaan seludup masuk ganja bernilai lebih RM2.2 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 446 ketulan dadah jenis ganja mampat seberat 446 kilogram dianggarkan bernilai RM2.2 juta di dua lokasi berasingan menerusi rondaan Op Aman di perairan Perlis, semalam.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata kesemua dadah itu dirampas di kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis pada 10.33 pagi dan 2.2 batu nautika barat Kuala Perlis pada 11.15 pagi.

    “Rampasan dibuat selepas anggota APMM yang melakukan rondaan menjumpai beberapa bungkusan plastik hitam terapung yang mencurigakan di perairan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini.

    Saliza berkata hasil pemeriksaan terhadap plastik hitam berkenaan menemukan 18 bungkusan guni plastik berwarna putih mengandungi ketulan ganja mampat berkenaan yang dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand.

    Beliau berkata dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran negeri ini, Kedah dan Pulau Pinang.

    “Ini merupakan rampasan terbesar Zon Maritim Kuala Perlis setakat ini bagi tahun ini dan lokasi penemuan juga tidak jauh dari sempadan perairan Thailand,” katanya dan menambah dadah dirampas dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Saliza berkata modus operandi sindiket pengedaran dadah dari negara jiran itu adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut berkuasa tinggi dan sindiket itu juga dipercayai didalangi nelayan negara jiran serta tempatan yang membuat pertukaran ganja dengan daun ketum.

    “Mereka (nelayan Thailand) dipercayai membawa masuk dadah dari sana ke perairan negara dan akan membawa pulang daun ketum ke negara mereka.

    “Sindiket ini akan membuang ganja ke laut sekiranya menyedari kehadiran pihak berkuasa dan meloloskan diri ke Thailand,” katanya.

    Beliau berkata APMM akan memperhebat pemantauan di sempadan perairan negara dan orang ramai diminta memberi kerjasama melaporkan sebarang kes penyeludupan bagi membolehkan tindakan diambil segera.- BERNAMA

  • Tolak Bersatu ibarat tempah kekalahan awal PRU-15

    Tolak Bersatu ibarat tempah kekalahan awal PRU-15

    TINDAKAN DAP berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti menyerah kalah di peringkat awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berkata, realiti politik semasa menunjukkan tanpa mendapatkan sokongan yang mencukupi daripada orang Melayu, sesebuah gabungan itu tidak boleh bertahan dalam arena politik.

    Apatah lagi tegasnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, amat jelas Pakatan Harapan (PH) bergelut untuk mendapat kepercayaan pengundi Melayu.

    “Malah di Johor dua parti (komponen) itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah), hilang deposit di banyak kerusi majoriti Melayu,” katanya kepada Malaysianow.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menutup pintu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 dengan mengatakan tindakan tersebut sebagai ‘tidak logik’.

    Dalam ucapannya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 Ahad lalu, Guan Eng mengingatkan ahli partinya mereka tidak boleh bekerjasama dengan pihak yang ‘mengkhianati’ parti dan perjuangannya.

    Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan Lim itu dipercayai merujuk kepada parti komponen PN iaitu Bersatu yang sebelumnya bersama-sama DAP dalam PH yang menumbangkan BN ketika PRU-14 pada 2018.

    PRN Johor 12 Mac lalu menyaksikan BN memenangi 40 dari 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Sementara PH mendapat mendapat 11 kerusi, PN 3, PKR 1 dan Muda 1.

    Kamarul berkata, sudah terbukti pada PRN Johor bahawa undi Bersatu di kerusi majoriti Melayu lebih tinggi.

    Mengulas lanjut kenyataan Guan Eng, beliau berkata, ia akan menyukarkan PH untuk menghalang kemenangan BN kerana tidak mempunyai undi Melayu yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

    “Memang tak logiklah. Dia kena sedar diri bila parti komponen PH yang diharap untuk dapat undi Melayu gagal dalam PRN Melaka dan Johor.

    “PRU kali ini perlu dihadapi dengan data bukan dengan sentimen dan emosi seperti ditunjukkan oleh Lim Guan Eng,” katanya.

    Bagaimanapun, Kamarul berkata, gesaan Lim terhadap DAP tidak lagi mempunyai kesan atau disifatkannya sebagai ‘tiada gigi’ selepas beliau bukan lagi memegang jawatan sebagai setiausaha agung parti.

  • Kes rasuah projek MRT:SPRM siasat 5 individu

    Kes rasuah projek MRT:SPRM siasat 5 individu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima termasuk dua bekas pengarah termasuk seorang bergelar Datuk dan tiga pengarah syarikat kejuruteraan membabitkan kes rasuah bagi projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) bernilai lebih RM650 juta.

    Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan tiga daripada individu itu termasuk wanita yang berusia 43 hingga 52 tahun ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga 27 Mac.

    Bagaimanapun, dua lelaki berusia 54 dan 63 tahun yang juga bekas pengarah syarikat tidak direman atas faktor kesihatan, tetapi diperintah hadir ke pejabat SPRM setiap hari.

    Harian Metro melaporkan, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Dua bekas pengarah itu dipercayai menerima rasuah RM27 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan lain sebagai balasan melantik syarikat itu sebagai perunding bagi projek MRT pada 2017.

  • Usah ganggu kerajaan Kedah hingga habis penggal – Mukhriz

    Usah ganggu kerajaan Kedah hingga habis penggal – Mukhriz

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah tidak perlu diganggu dan perlu dibenarkan mentadbir hingga penggal berakhir.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, barisan ADUN-ADUN pembangkang juga tidak mempunyai masalah terhadap perkara itu.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, tindakan melompat parti yang bakal membawa kepada tumbangnya kerajaan sedia ada hanya mengakibatkan keadaan menjadi tidak stabil.

    “Kalau berlaku sebelah sana (kerajaan) lompat ke sebelah sini (pembangkang) dan kerajaan tumbang, kira rasa itu akan tidak mentsabilkan keadaaan. Sudah-sudahlah lompat parti ini.

    “Kita ‘okey’ saja kalau nak biarkan kerajaan sedia ada ini terus ‘rapat’ sampai habis penggal. Tadi perkara ini dah dicadangkan oleh ADUN Bayu, Abd. Nasir Idris (Pas) dan saya setuju,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Sementara itu Mukhriz turut menyatakan pandangannya agar undang-undang mengenai anti lompat parti turut diusulkan di peringkat negeri.

    “Saya tahu perkara ini dah dibincangkan di Parlimen tetapi tak dibentangkan pun. Rasanya tak salah kalau di peringkat negeri pun kita usulkan akta baharu berkaitan anti lompat parti.

    “Tapi kena fikir betul-betul apa impaknya nanti. Tujuan dan niatnya kena jelas iaitu untuk menstabilkan politik negeri serta menghormati mandat diberikan rakyat sewaktu pilihan raya,” katanya.

  • 10,000 banduan yang layak akan ditempatkan di industri, isi tenaga kerja

    10,000 banduan yang layak akan ditempatkan di industri, isi tenaga kerja

    SERAMAI 10,000 banduan yang layak akan menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni, sebagai usaha mengekang kesesakan dalam penjara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, menerusi program tersebut, dijangkakan 80 peratus daripada banduan berkenaan akan ditempatkan dalam industri sekali gus dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

    “Saya amat yakin sasaran itu akan dapat dicapai berdasarkan pencapaian melebihi 7,000 banduan menjalani Pemulihan Dalam Komuniti pada tahun lepas.

    “Melalui program ini juga, kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Penjara ke-232 di Maktab Penjara Kajang di Selangor, hari ini.

    Turut hadir  Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhammad.

    Menurut Hamzah program yang memberi peluang kepada banduan untuk berada dalam komuniti itu, didapati berjaya dengan 99.63 peratus daripada mereka tidak lagi mengulangi kesilapan atau kembali semula ke penjara.

    Sementara itu, mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib (Pindaan) 2021 yang dijadual untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata RUU tersebut jika diluluskan akan membolehkan mahkamah memerintahkan hukuman alternatif pemenjaraan dengan mengambil kira kesalahan pesalah.

    “Pesalah bukan sahaja boleh dipulihkan melalui kerjasama kerajaan dan komuniti,  malah mampu untuk meneruskan kehidupan dan pada masa sama menjalani hukuman dalam komuniti yang akan diselia oleh pegawai Jabatan Penjara.

    “Berdasarkan statistik, seramai 6,744 pesalah menjalani Perintah Kehadiran Wajib dengan kadar pematuhan melebihi 96 peratus sejak 2010 sehingga kini,” katanya.

    Dalam pada  itu, Hamzah berkata kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan sumber manusia Jabatan Penjara bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksana dengan berkesan, serta memperluaskan Pejabat Parol Daerah kepada 100 berbanding 52 pada masa ini.

    “Sebanyak 347 pegawai dan anggota penjara perjawatan baharu telah diluluskan bagi meningkatkan keupayaan jabatan dalam melaksanakan Pemulihan Dalam Komuniti,” katanya.- Bernama

  • Tekong Thailand hilang dijumpai lemas terperangkap di dalam bot karam

    Tekong Thailand hilang dijumpai lemas terperangkap di dalam bot karam

    PENCARIAN seorang tekong warga Thailand yang hilang dalam insiden bot karam di antara perairan Pulau Rimau dan Pulau Kendi, Pulau Pinang awal pagi semalam berakhir dengan penemuan mayat mangsa terperangkap di dalam bot tersebut pagi ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mayat mangsa dijumpai penyelam persendirian yang ditugaskan oleh pemilik bot untuk menaikkan bot karam itu pukul 10.50 pagi tadi di kedudukan kira-kira 5.1 batu nautika barat Pulau Kendi.

    Menurut beliau, mangsa, Sorawit Thapchaiyut, 47, warga Thailand dipercayai terperangkap dan gagal untuk menyelamatkan diri ketika bot dinaiki bersama dua nelayan lain itu karam.

    “Sebelum itu, dua rakannya berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Operasi CARILAMAT yang memasuki hari kedua membabitkan aset Maritim Malaysia KILAT 26, RH 35 dan PSC 46 Pasukan Polis Marin, sebuah bot Agensi Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) termasuk dua buah bot nelayan tempatan digerakkan melibatkan empat sektor dengan keluasan pencarian 30.04 batu nautika persegi.

    Tambah Abd. Razak, mayat mangsa kemudianya dibawa ke Jeti PPM Batu Uban oleh bot PSC 46 diiringi oleh KILAT 26 sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan selanjutnya.

    Mayat mangsa kemudianya dibawa ke Jeti PPM Batu Uban menaiki bot PSC 46 sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan selanjutnya

    “Maritim Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam termasuk bot nelayan tempatan yang turut serta membantu dalam operasi CARILAMAT ini,” katanya.

    Dalam pada itu ujar beliau, Maritim Malaysia menasihatkan setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk peralatan untuk ke laut dan bot sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

    “Pemilik bot juga dinasihatkan agar berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Rafizi akan jawab semua idea songsang Najib

    Rafizi akan jawab semua idea songsang Najib

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan bekas Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB) yang kini berdepan risiko muflis melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Khazanah Nasional (Khazanah).

    Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, bekas Perdana Menteri itu memberi alasan rakyat yang memiliki institusi seperti Petronas atau Khazanah akan kerugian besar jika SEB tidak diselamatkan.

    Menurutnya, ini termasuk kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM4 bilion dan Maybank (RM10 bilion) selain 10,000 orang kehilangan pekerjaan.

    “Selepas kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, suara seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran.

    “Rekod pentadbiran UMNO dan BN, terutamanya semasa Najib menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila UMNO dan BN merasakan mereka kuat dan tidak tercabar,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata, kerajaan perlu segera membantu SEB menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.

    Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, tidak adil untuk membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan.

    Lebih-lebih lagi katanya, apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion ringgit telah pun disuntik ke dalam SEB sejak lebih sedekad lalu.

    “Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, SEB terus mengalami masalah kewangan ketika harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik).

    “Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.

    “Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” jelasnya.

    Selepas ini beliau akan terus memantau isu itu dan membentangkan angka-angka untuk mengingatkan rakyat agar jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi Najib.

    “Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini.

    “Sekembalinya saya ke arena politik, Insya-Allah setiap idea songsang Najib akan menerima maklum balas daripada saya,” tegasnya.

  • Perkhidmatan Digital: JPJ tidak akan kurangkan anggota

    Perkhidmatan Digital: JPJ tidak akan kurangkan anggota

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengurangkan jumlah anggotanya walaupun turut menyediakan perkhidmatan digital atau secara dalam talian, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim.

    Beliau berkata, walaupun sebahagian perkhidmatan JPJ dilaksanakan secara dalam talian namun khidmat anggota masih diperlukan untuk melaksanakan tugasan penguatkuasaan serta advokasi, selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

    “Penyampaian perkhidmatan digital ini membolehkan perkhidmatan kaunter secara fizikal diubah kepada platform digital.

    “Maka anggota sedia ada tidak akan dikurangkan tetapi akan disiapsediakan untuk tugasan penting seperti penguatkuasaan dan advokasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen JPJ 2022 di Putrajaya, hari ini.

    Zailani berkata, lebih 7,000 daripada 8,000 perjawatan di pelbagai peringkat JPJ telah diisi, manakala baki kuota perjawatan itu akan diisi dalam masa terdekat.

    Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang turut hadir di konvensyen itu mahu JPJ memperkasakan elemen digitalisasi jabatan selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam dan Dasar Perindustrian Keempat (IR4.0).

    “Aktiviti harian kita ketika ini adalah berasaskan digitalisasi termasuk perkhidmatan, perniagaan, penguatkuasaan, pendidikan, perundangan dan sebagainya. Maka peralihan kepada perkhidmatan digital perlu dilakukan,” katanya. – SB

  • Dadah lebih setengah juta dirampas bersama enam lelaki

    Dadah lebih setengah juta dirampas bersama enam lelaki

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ENAM lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah ditahan polis dalam lima serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Kulai, pada Sabtu lalu.

    Dalam operasi bermula pukul 7 hingga 9.40 malam itu, kesemua lelaki yang diberkas melibatkan mereka yang berusia antara 32 hingga 46 tahun.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sejumlah 127.73 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu , ganja serta magic mushrooms bernilai RM796,270 dirampas.

    “Modus operandi sindiket ini adalah mengubah suai kereta dan lori iaitu tempat duduk penumpang untuk menyembunyikan dadah sebelum diedarkan.

    “Bekalan dadah ini dipercayai diseludup dari negara jiran di sebelah utara dan dipasarkan di negeri ini serta negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenama Baretta bersama satu kelopak dan enam butir peluru hidup.

    Jelasnya, selain itu, enam buah kenderaan disita serta pelbagai mata wang asing bernilai RM235,584.

    “Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek ditahan positif dadah jenis methamphetamine selain tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

    Tambah beliau, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.