SEORANG pengarah syarikat bergelar Datuk dijatuhkan hukuman denda RM3 juta dan melucut lebih RM5 juta harta oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menggunakan dokumen palsu berhubung dua projek di Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2021.
Sinar Harian melaporkan, tertuduh, Adly Kamarudin yang berusia 48 tahun dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen Surat Setuju Terima (SST) dan Borang A Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang palsu sebagai tulen.
Berdasarkan dokumen palsu tersebut, Lambaian Fajar Sdn. Bhd. dan KSB Global Sdn. Bhd. iaitu syarikat di bawah kendalian tertuduh telah dipilih kerana kelayakan serta pengalaman bagi melaksanakan dua projek di sebuah JKR.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesalahan didakwa itu dilakukan di sebuah rumah banglo di Bandar Baru Bangi bermula Jun 2019 hingga September 2020.
Dalam pada itu, mahkamah turut melucutkan hak harta tertuduh sebanyak RM5,014,633.24 di bawah Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 serta diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Md. Yunos Shariff.
Tahun lalu, media melaporkan, Adly berdepan hukuman penjara sehingga 483 tahun apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 69 pertuduhan memalsukan dokumen berhubung sindiket kartel penipuan projek-projek kerajaan bermula tiga tahun lalu.