JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sarawak merampas 30 juta batang rokok bernilai kira-kira RM2.1 juta sepanjang 2021.
Menurut Pegawai Menjalankan Tugas-tugas Pengarah JKDM Negeri Sarawak, Mohd. Nazdri Ariffin, rampasan tersebut melibatkan anggaran cukai RM16.8 juta.
Beliau memberitahu, kes terbaharu melibatkan rampasan kira-kira 7.9 juta batang rokok putih bernilai RM1.4 juta dengan anggaran cukai kira-kira RM5.3 juta di Pelabuhan Bintulu.
“Rokok tersebut dirampas selepas pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kapal asing membawa sebuah kontena yang dipercayai mengandungi barang belum lulus kastam iaitu rokok putih pada 14 Mac.
“Operasi dilakukan berdasarkan hasil maklumat yang diperolehi daripada anggota risikan dan kontena tersebut telah tiba di Pelabuhan Bintulu dari China melalui `transhipment’ dari negara Vietnam,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.
Modus operandi kes terbabit adalah menyeludup masuk barangan belum lulus kastam dengan membuat pengikraran palsu melalui Daftar Muatan Pemindahan dari Pelabuhan Ho Chi Minh Vietnam ke Pelabuhan Bintulu Sarawak.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua rokok tersebut belum lulus kastam kerana tidak mempunyai setem cukai kastam serta dokumen yang sah.
“Kesemua barangan tersebut telah dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
TAKTIK seorang lelaki tempatan yang dipercayai membeli peralatan senjata dari luar negara melalui khidmat penghantaran secara kurier di rumahnya di Jalan Sebiew, Bintulu terbongkar pada 10 Mac lalu.
Ini susulan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas lima unit peralatan senjata daripada lelaki berkenaan.
Pengarah Kastam Sarawak, Mohd. Nadzri Ariffin dalam kenyataannya hari ini berkata, hasil maklumat serta risikan dijalankan, sepasukan anggota penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Kuching melakukan tangkapan pada pukul 10.20 pagi.
“Semasa tangkapan dilakukan, lelaki berkenaan sudah menuntut sebuah bungkusan disyaki mengandungi peralatan senjata yang dihantar dari luar negara,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan lima unit peralatan senjata berupa dua unit Hatsan Airtact Synthetic Stock, seunit BSA Contender Riflescope Hunting Optics Sight, seunit Airsoft High Pressure Indicator Ds Tm dan seunit Scope Extend Mount (ohhunt).
Katanya, kesemua komponen senjata yang dirampas itu bernilai RM5,125.43.
“Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan bagi membekalkan peralatan senjata ini dan mengelak dihidu pihak penguatkuasa ialah mengimport senjata dari luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier tanpa pengikraran serta permit yang sah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukan denda tidak kurang dari 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana jumlah yang lebih besar ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan beberapa saksi di Singapura sudah bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr. Tawfiq Ayman.
Ia susulan dakwaan Dr. Tawfiq menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sepasukan pegawai penyiasat akan ke negara terbabit pada 29 hingga 31 Mac ini.
“Siasatan di negara terbabit adalah bagi mendapatkan keterangan dan juga dokumen yang diperlukan. InsyaAllah dengan dapatnya keterangan dan dokumen kita boleh teruskan dan rujuk semula kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya.
“Kita ada saksi-saksi di sana membabitkan perbankan, jadi saksi dari pihak bank itu bersetuju untuk memberi kerjasama,” katanya pada sidang media, di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd. Kamarudin berkata, mungkin terdapat beberapa tambahan keterangan saksi lain bergantung kepada keadaan.
Terdahulu, Tawfiq yang juga suami kepada Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.
Beliau menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.
Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang juga bekas Pengerusi Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahan syarikat perbankan itu, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.
Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.
Siasatan ke atas Tawfiq itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dengan kenyataan suami dan seorang anak Zeti itu dirakam pada April tahun lalu.
MAHKAMAH Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat (AS), hari ini mendedahkan, terdapat bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang dicuri daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Juri dalam perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng, akhirnya melihat bukti kukuh itu dan turut mengaitkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dihasilkan Lorraine Schwartz.
Sinar Harian memetik Bloomberg melaporkan juri bagaimanapun tidak melihat gambar atau kalung sebenar dan hanya diberikan bukti resit pembelian sebagai bahan bukti.
Schwartz yang sebelum ini pernah mereka barang kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively mungkin menjadi saksi dalam kes tersebut.
Tetapi, dia sebaliknya hanya memberi kenyataan yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah.
Ketika urus niaga itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah.
Menurut Schwartz, Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar.
Rekod menunjukkan, Schwartz kemudiannya menyerahkan sendiri kalung tersebut kepada Rosmah ketika isteri bekas Perdana Menteri itu bersantai di atas sebuah kapal layar bersama Low di luar pantai Monaco.
Ketika pihak pendakwaan menggulung kes tersebut, ia juga mengemukakan kepada para juri bagaimana berbilion dolar dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion (RM27.5 bilion) oleh Jho Low yang digunakan untuk membeli barangan mewah.
Jho Low turut didakwa mengalihkan dana daripada 1MDB kepada teman rapatnya, Riza Aziz iaitu anak tiri Najib untuk membantunya menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
Para juri ditunjukkan gambar sarung plastik DVD filem tersebut dan tangkapan layar yang memaparkan ucapan terima kasih kepada Low atas ‘sokongannya’ pada bahagian akhir filem berkenaan.
Pada 2018, syarikat penerbitan, Red Granite milik Riza pernah bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM253 juta) untuk menyelesaikan tuntutan dikemukakan Jabatan Kehakiman AS yang menuduh dia membiayai filem itu dengan wang dicuri daripada 1MDB.
Pendakwa raya mendakwa sebuah entiti yang dikawal Jho Low juga menggunakan dana 1MDB untuk membeli lima karya seni bernilai AS$58.3 juta (RM246.4 juta) daripada rumah lelongan Christie termasuk hasil lukisan Jean-Micel Basquiat digelar ‘Dustheads’ yang bernilai AS$51.8 juta (RM218.9 juta).
Bukti pembelian ditunjukkan menerusi invois yang dikemukakan kepada juri selain lakaran kecil lukisan ‘Dustheads’ tersebut.
Difahamkan, Roger Ng menjadi satu-satunya bekas pegawai Goldman yang dibicarakan selepas didakwa bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner untuk membantu Jho Low menyeleweng berbilion dolar daripada tiga urus niaga bon yang dilakukan bank tersebut untuk dana kekayaan Malaysia.
Jho Low juga turut didakwa bersama Roger Ng dalam kes penipuan tersebut.
Leissner bagaimanapun mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kes berkenaan.
Sehingga kini, AS belum mengemukakan sebarang pendakwaan ke atas Najib atau Rosmah. – Agensi
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan peruntukan lain bagi kes melibatkan kesalahan di bawah Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas 31 Julai ini.
Ini selepas usul melanjutkan penguatkuasaan subseksyen tersebut bagi tempoh lima tahun lagi tidak diluluskan Dewan Rakyat, semalam.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah.
Menurut beliau, PDRM kekal komited menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan akta-akta sedia ada yang masih berkuatkuasa.
“PDRM mengambil maklum dan menerima keputusan Dewan Rakyat yang menolak usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melanjutkan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5) SOSMA selepas 31 Julai 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, keputusan tersebut bermakna SOSMA tidak lagi memperuntukkan kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu yang ditahan bagi siasatan melibatkan kes-kes keselamatan bersifat kompleks.
Tambah beliau, ia termasuk kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (Kesalahan Terhadap Negara).
“Selain itu, ia juga melibatkan kesalahan di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan (Kesalahan Berkaitan Keganasan) dan Bab VIB Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang).
“Pada masa sama, ia turut membabitkan kesalahan di bawah Bab IIIA Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah-Langkah Khas menentang Keganasan Luar Negara 2015,” jelas beliau.
Semalam, usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi tidak diluluskan Dewan Rakyat.
Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.
Mengumumkan keputusan undi itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.
SATU sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan merampas 124 kilogram (kg) bahan terlarang itu bernilai RM4.5 juta dalam lapan serbuan berasingan sekitar Ipoh dan Batu Gajah, Isnin lalu.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Perak melakukan serbuan antara pukul 11.10 pagi hingga 5.30 petang di premis sekitar Simpang Pulai, Meru Raya, Jelapang dan Batu Gajah.
Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lapan individu berusia 32 hingga 37 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun 2021. Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk bekalan dadah dari negeri pantai timur untuk dijual di pasaran sekitar Perak.
“JSJN berjaya merampas 123.8kg syabu, heroin (0.1kg) dan ketamin seberat 0.15kg,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh, hari ini.
Menurutnya, jumlah dadah dirampas itu boleh dibekalkan kepada lebih 620,000 penagih.
“Saringan awal terhadap lapan suspek terbabit mendapati kesemuanya negatif dadah namun siasatan lanjut menemukan lima daripadanya mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Mior Faridalathrash, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset berjumlah RM212,712.
“Aset tersebut adalah wang tunai RM42,300, tiga utas barang kemas bernilai RM145,500 dan lima kenderaan antaranya Volkswagen Polo, Toyota Camry dan motosikal Honda EX5.
“Polis akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya.
SEORANG guru kerugian RM9,900 selepas didakwa terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram, apabila menyerahkan nama dan kata laluan perbankan Internet miliknya kepada pihak ketiga di Sabah.
Kejadian berlaku pada 1 Mac lalu apabila lelaki berusia 52 tahun itu yang berada di tempat kerjanya di Pitas dekat Kota Marudu, Sabah menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwanya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Lelaki itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa kemudiannya diminta menghubungi satu lagi nombor telefon yang kemudiannya mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Menurutnya, individu yang mendakwa kononnya pegawai polis itu memaklumkan nama mangsa terbabit dalam satu kegiatan penggubahan wang haram.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk memberikan maklumat akaun peribadi miliknya.
“Oleh kerana berasa takut dan panik, mangsa mengikut arahan yang diberikan sehingga mangsa memberikan maklumat nama serta kata laluan akaun bank miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, pada 21 Mac lalu mangsa membuat semakan dalam talian akaun miliknya dan mendapati terdapat transaksi dilakukan daripada akaunnya kepada akaun milik individu yang tidak dikenali.
“Menyedari ditipu, mangsa tampil buat laporan polis di atas kehilangan wang dalam akaun miliknya pada 22 Mac lalu.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
SELEPAS lebih seminggu pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor, beliau hari ini memaklumkan sudah mendapat perkenan Sultan Johor untuk majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu.
Beliau yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac lalu memaklumkan dalam Facebook rasminya, sudah menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada pagi ini.
Baginda juga memberi perkenan untuk mengadakan majlis angkat sumpah Exco pada Sabtu ini di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene.
Onn Hafiz sudah mempersembahkan senarai barisan Exco terlibat kepada Sultan Ibrahim dan setakat ini dilihat tidak mempunyai masalah.
Terlerai sudah persoalan bila Exco Johor akan mengangkat sumpah kerana sejak pelantikannya, beliau sukar didekati media dan sehingga hari ini masih belum diadakan sidang akhbar selepas menjadi Menteri Besar Johor.
Sebelum ini beliau seakan ‘lari’ daripada media dan sikapnya seperti tidak berubah semasa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor yang kurang mesra media.
Menerusi muat naik terkini Onn Hafiz dalam Facebooknya hari ini berkenaan senarai nama-nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipersembahkan kepada Sultan Johor, tidak diberikan sebarang klu sama ada barisan Exco baharu itu gandingan muka baharu atau lama.
Namun antara nama yang disebut-sebut menjadi Exco ialah ADUN Larkin, Mohd. Hairi Mohd. Shah, ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri, ADUN Semerah, Mohd. Fared Mohd. Khalid dan ADUN Bukit Pasir, Ir. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Ini termasuk ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon; ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin; ADUN Tenang, Haslinda Salleh; ADUN Senggarang, Mohd. Yusla Ismail, ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar dan ADUN Pemanis, Anuar Abdul Manap.
Jika benar senarai tersebut, ini merupakan barisan Exco yang baharu dan semuanya tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan kecuali mempunyai jawatan dalam parti masing-masing.
Antaranya Mohd. Hairi, 37, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Johor, Raven Kumar, 39, (Ketua Pemuda MIC kebangsaan) dan bekas Ahli Parlimen Sekijang dari 2013-2018, Anuar Abdul Manap, 45, (Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang).
Gandingan ini yang melibatkan semua muka baharu seakan tidak memberi keseimbangan terhadap pasukan Exco yang bakal dibentuk nanti kerana tiada bekas Exco dilantik semula supaya pengalaman dapat dikongsikan.
Sewajarnya beberapa bekas Exco semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum ini diberi peluang iaitu ADUN Layang Layang, Abd. Mutalip Abd. Rahim (bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri) dan ADUN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan (bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Kebudayaan dan Warisan Kerajaan negeri).
Abd. Mutalip yang berkelulusan dalam bidang agama cemerlang semasa memegang jawatan tersebut manakala Zulkurnain boleh diberi peluang walaupun kurang menyerlah semasa memegang jawatan itu.
Pengalaman mereka sedikit sebanyak mungkin boleh membantu barisan Exco yang baharu dan rakyat Johor amat berharap mereka tidak akan menjadi boneka sebaliknya jujur dan benar-benar berkhidmat untuk rakyat.
Bangsa Johor tidak mahu ‘dikecewakan’ sekali lagi. Apatah lagi sebelum ini pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO Johor menjadi ‘budak suruhan kluster mahkamah’, jadi barisan Exco baharu kali ini perlu menebus maruah dan berkhidmat dengan baik.
Ini sudah tentu memberikan cabaran yang sangat besar kepada pasukan Onn Hafiz kerana mempunyai barisan Exco tanpa sebarang pengalaman. Mereka perlu cepat belajar dan menimba pengalaman kerana tiada lagi istilah ‘bulan madu’.
Mungkin akan ada kebimbangan apabila barisan Exco kali ini semuanya daripada BN – tidak seperti sebelum ini yang turut dianggotai wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sidang DUN Johor kali ini mengembalikan semula BN sebagai kerajaan teras dalam tempuk pemerintahan negeri tersebut
Empat Exco daripada Bersatu dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dilihat menjadi ‘mata dan telinga’ Perikatan Nasional (PN) sekali gus menghalang atau menyukarkan Exco BN atau UMNO terlibat salah guna kuasa dan rasuah.
Sultan Johor mencadangkan supaya calon-calon Exco yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta termasuk juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini adalah satu cadangan yang baik. Namun lebih berkesan apabila barisan Exco berkenaan mengisytiharkan harta selepas setahun dilantik kerana pada masa ini, mereka mungkin masih ‘bersih’ kerana belum menjadi Exco.
Memang tidak dinafikan terdapat calon-calon berkenaan sudah kaya sebelum menjadi Exco. Cadangan supaya membuat pengisytiharan harta sebelum dan selepas setahun menjadi Exco adalah paling ideal.
Banyak tugas-tugas berat yang menanti Onn Hafiz dan barisan Exco beliau nanti. Antaranya isu pertumbuhan ekonomi yang lembab paska Covid-19 serta proses dan persediaan Johor menghadapi fasa endemik.
Ini juga termasuk usaha dilakukan kerajaan negeri sebelum ini dalam melobi dan mempengaruhi kerajaan Persekutuan dalam pembukaan sepenuhnya sempadan Malaysia-Singapura atau fasa keempat.
Ketika ini pembukaan sempadan itu masih lagi dalam fasa kedua dan rakyat tertanya-tanya, adakah sempadan benar-benar akan dibuka sepenuhnya pada 1 April ini dan keadaan kembali pulih seperti sebelum ini.
Ini termasuk juga meneruskan visi dan misi serta menunaikan janji manifesto BN seperti yang ditawarkan Pengerusi BN Johor. Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bukan itu sahaja, Mneteri Besar Johor, barisan Exco dan semua ADUN kerajaan sudah tentu perlu mempunyai keberanian, semangat juang dan ‘benteng yang kuat’ apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bersidang nanti.
Ini kerana walaupun pembangkang tewas dalam PRN Johor tetapi nama-nama antaranya ADUN Perling, Liew Chin Tong (Pengerusi DAP Johor) dan ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz (Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia) akan masuk DUN Johor buat pertama kali.
Umum mengetahui Chin Tong adalah seorang kritis dalam melemparkan persoalan manakala Amira Aisya pula adalah seorang pendebat terkemuka. Sudah tentu banyak isu diutarakan mereka akan ‘menggoncang’ sidang DUN Johor nanti.
Walau apapun kini adalah masa untuk bekerja dan kurangkan berpolitik. Onn Hafiz dan barisan Exco nanti diharapkan tidak mengulangi kesilapan BN terdahulu yang mementingkan kroni dan penyokong mereka.
Semua peruntukan perlu diberi sama rata dan Bangsa Johor harus dilayan seadil-adilnya termasuk peruntukan kerajaan disalurkan di semua kawasan pembangkang supaya tidak ada yang tercicir.
Selamat menjalankan tugas dan semoga Allah memudahkan segala urusan Onn Hafiz menerajui pentadbiran kerajaan negeri dengan penuh berhemah, berintegriti serta tidak akan dikacau ganggu.
Diharapkan nanti tidak berlaku ‘rumah siap pahat berbunyi’.
CADANGAN supaya kerajaan memberi penghargaan kepada veteran DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan untuk bersara daripada arena politik wajar disokong, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin
Menurut Hashim, ini kerana Kit Siang turut memberikan sumbangan kepada negara walaupun sebagai pembangkang.
“Walaupun dia sebagai pembangkang, boleh kata banyak jasa dia jadi pembangkang dalam Parlimen.
“Sangat elok jika pihak kerajaan dapat hargai dengan memberi sedikit penghargaan kepadanya.
“Ini akan menambat orang ramai, pengundi-pengundi kepada kejujuran. Tidak boleh dinafikan dia turut menyumbang kepada pembangunan negara.
“Secara peribadi saya sokong jika dia diberi sedikit penghormatan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Keputusan beliau untuk bersara mendorong Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim membuat gesaan agar kerajaan memberikan penghargaan kepada veteran DAP berkenaan.
Kit Siang, 81, menghabiskan lebih daripada separuh abad masanya bergelumang dalam politik.
Saranan Rais itu semalam turut mendapat sokongan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.
Nada sama turut disuarakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali yang berpendapat sememangnya wajar untuk Kit Siang diberi penghormatan kerana tempoh lama dia berkhidmat sebagai ahli Parlimen dan ketua pembangkang.
“Secara peribadi saya menyokong Kit Siang wajar diberi penghormatan bukan kerana keputusannya untuk bersara tetapi tempoh lama dia berkhidmat sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang.
“Dalam orang seperti saya tidak suka cara Lim memperjuangkan isu-isu kepentingan kaum Cina yang ada kala agak melampau, namun itu haknya sebagai seorang yang kuat jati diri patriotisme bangsanya.
“Pemimpin Melayu tidak ada bersifat seperti Lim yang konsisten, tegas dan lantang suaranya. Dia tidak hipokrit walaupun bukan beragama Islam,” kata Ibrahim.
Kata Ibrahim jasa Kit Siang kepada rakyat dan negara wajar diiktiraf walaupun antara mereka sering melabelkan rasis.
Tanpa berselindung Ibrahim menyifatkan Kit Siang sebagai ketua pembangkang yang hebat di negara ini.
PERANCANGAN kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan pelaksanaan Borneonisasi selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 antara yang dijangka menarik perhatian pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan itu akan dikemukakan Jugah Anak Muyang (Bebas-Lubok Antu) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Beliau juga ingin tahu mengenai jumlah pegawai dari Sabah dan Sarawak yang memegang jawatan Ketua Jabatan dan Jabatan Persekutuan di kedua-dua negeri itu.
Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Pengajian Tinggi berkaitan inisiatif pengajian sepanjang hayat melalui kaedah Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Shamsul Iskandar juga ingin tahu sejauh mana pengiktirafan diberikan kepada individu yang mengambil jalur itu untuk mendapat ijazah sarjana dan kedoktoran.
Pada sesi soal jawab pula, Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula harga minyak di pam memandangkan harga minyak mentah meningkat ke USD95 setong (harga Brent pada 7 Februari lepas).
Amiruddin juga bertanyakan jumlah subsidi yang perlu ditanggung jika harga tidak disemak serta pendapatan tambahan kerajaan dengan kenaikan harga minyak mentah itu.
Selesai sesi tersebut, persidangan bersambung dengan pembentangan bacaan kali pertama melibatkan Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang kesemuanya dijangka dikemukakan Menteri Sumber Manusia.
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022. Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14 berakhir hari ini setelah 16 hari bersidang. – Bernama