Author: Admin

  • Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Oleh MOHD NORAZIZI SAMSUDAIN

    KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa sememangnya inisiatif cemerlang yang perlu dipuji.

    Bukan itu sahaja, beliau menegaskan pendirian itu dengan menyatakan segala surat rasmi yang akan diberikan kepada negara luar juga akan menggunakan bahasa Melayu di samping terdapat terjemahan bahasa Inggeris.

    Semestinya usaha ini dapat mengangkat martabat bahasa kebangsaan seperti mana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

    Terdahulu, pada Februari 2022 lalu, Ismail Sabri telah menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk dalam pelaksanaan mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

    Penegasan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu melambangkan keseriusan negara ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selari dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Arahan yang dikeluarkan oleh beliau itu bukan sahaja perlu diguna pakai oleh semua penjawat awam malahan syarikat-syarikat swasta turut tidak terkecuali dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa ibunda.

    Pendirian kerajaan berkenaan perkara itu sememangnya memberi implikasi positif kepada negara kita sementelah kebanyakan generasi kini seolah-olah memandang enteng terhadap kebolehpasaran bahasa berkenaan di peringkat global.

    Sama sekali tidak menjadi kesalahan kepada semua lapisan masyarakat untuk memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris namun dalam usaha mengekalkan identiti negara ini, bahasa Melayu perlu disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri meskipun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Dalam hal ini, semua pihak bermula dengan generasi di sekolah sehinggalah barisan kepimpinan negara perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa Melayu lantaran menyebabkannya tidak lapuk ditelan oleh zaman kemajuan teknologi ini.

    Sebagai contoh, usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu ketika persidangan antarabangsa pada November 2021 di Glasgow, Scotland perlulah menjadi batu asas kepada orang ramai.

    Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi juga bertepatan dengan sifat bahasa itu sendiri yang digunakan bagi tujuan perpaduan rakyat. Kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri.

    Walau bagaimanapun, pemupukan perpaduan ini dapat dicapai apabila setiap daripada rakyat memahami makna komunikasi yang disampaikan dalam sesuatu urusan itu.

    Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan etnik.

    Justeru, penggunaannya sama sekali jelas tidak akan mendatangkan ketidakfahaman dalam kalangan masyarakat mesikupun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Situasi ini sering kali dilihat apabila pengamal media menyiarkan laporan berbahasa Melayu yang menyebabkan pelaporan itu boleh dibaca ataupun didengari oleh semua masyarakat di negara ini tanpa sebarang prejudis dan menimbulkan salah faham. Perkara ini juga dilihat memberi manfaat yang besar ketika rakyat menjalankan urusan di kaunter perkhidmatan kerajaan.

    Terdapat juga desas-desus yang mengatakan sekiranya bahasa Melayu diperluas bagi tujuan urusan rasmi sama ada di peringkat lokal mahupun global boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri daripada menjalankan urus niaga dengan negara kita.

    Perkara tidak berasas ini sepatutnya tidak timbul kerana banyak negara maju yang boleh dijadikan contoh termasuk negara pengeluar seperti Jepun. Sepatutnya rakyat di negara ini perlu membuka mata sebab-sebab pendatang asing boleh mempelajari bahasa kebangsaan itu dengan mudah.

    Malahan mereka berasa bangga apabila dapat berkomunikasi dengan rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu dengan begitu baik. Sebaliknya, rakyat yang sedia kala memiliki bahasa itu pula yang terikut-ikut bahasa mereka misalnya yang berlaku di stesen minyak dan restoran-restoran.

    Penegasan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan rakyat terus mewujudkan rasa cinta di samping memastikan bahasa ibunda itu terus dimartabatkan oleh semua lapisan masyarakat baik di desa mahupun kawasan bandar. Jangankan pula satu hari nanti kita diibaratkan seperti menang sorak kampung tergadai.

    Kesimpulannya, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu diteruskan dan mendapat sokongan daripada semua pihak dalam memastikan identiti negara dan jati negara ini dapat dipelihara.

    Usaha murni ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya badan-badan berkepentingan sahaja yang memainkan peranan tetapi tidak mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

    Justeru, sebagai rakyat yang cinta akan negara ini seharusnya memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diperkasakan demi kemaslahatan generasi masa akan datang.

    Sayangilah bahasa kebangsaan kita dan bersama-samalah kita membantu kerajaan untuk menyuburkan slogan bahasa jiwa bangsa.

    Penulis ialah guru di SMK Bukit Gambir, Tangkak, Johor.

  • Lelaki ditahan ugut, cederakan wanita semasa kemalangan

    Lelaki ditahan ugut, cederakan wanita semasa kemalangan

    BAHAGIAN siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita.

    Suspek, 30-an, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri semalam selepas menerima laporan polis daripada mangsa yang dibuat di Balai Polis Pusat Miri pukul 2.30 petang.

    Sebelum itu, suspek dan mangsa terbabit kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Emart Tudan pukul 10 malam Rabu.

    Suspek dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati akibat kemalangan itu dan dipercayai telah menampar serta mengugut mangsa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

    “Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana menakutkan secara jenayah,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Dalam pada itu, Hakemal menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan segera membuat laporan polis sekiranya berlaku kejadian seperti ini.

  • JIM serbu ‘port’ warga Afrika, bertindak agresif semasa ditahan

    JIM serbu ‘port’ warga Afrika, bertindak agresif semasa ditahan

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 38 warga asing dari pelbagai negara dalam Op Selera di Taman Puchong Prima, Puchong, malam tadi.

    Serbuan tersebut dilakukan selepas penduduk tempatan bimbang dan rimas dengan kehadiran mereka yang sering mengganggu ketenteraman awam antaranya sering berkumpul dalam keadaan mabuk dan membuat bising di sebuah restoran di situ.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai kehadiran sekumpulan individu warga Afrika yang sering berkumpul di restoran berkenaan dua bulan lalu.

    “Hasil risikan dilakukan di lokasi terbabit, kami membuat serbuan Op Selera di restoran berkenaan pada jam 8.15 malam dan memeriksa 58 individu membabitkan 20 individu tempatan serta 20 warga asing.

    “Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 38 warga asing termasuk 25 warga Afrika. Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 warga Nigeria termasuk enam kanak-kanak serta seorang wanita warga Guinea.

    “Selain itu, kami turut menahan 13 wanita membabitkan 10 warga Thailand serta tiga warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya memetik laporan Harian Metro, selepas sidang media di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

    Dalam serbuan itu, beberapa individu warga Afrika juga dilihat bertindak agresif, namun berjaya dikawal anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas.

    Khairul Dzaimee berkata, semakan dilakukan terhadap semua warga asing berkenaan tidak mempunyai pasport.

    “Berdasarkan aduan dibuat penduduk setempat, mereka ini (warga Afrika) selalu lepak di restoran berkenaan dan membuat bising serta mabuk selain memandu kenderaan secara melulu.

    “Malah, mereka juga dilihat memandu secara melulu dan berbahaya di sekitar kawasan terbabit hingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.

    “Perkara itu menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat sebelum mereka tampil membuat aduan kepada kami. Malah, premis itu juga pernah diserbu oleh kami sebelum ini,” katanya.

    Katanya, semua warga asing berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

  • Pengunduran Khairuddin tidak rencatkan PAS di Kuala Nerus

    Pengunduran Khairuddin tidak rencatkan PAS di Kuala Nerus

    KEPUTUSAN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali meninggalkan Pas baru-baru ini tidak menjejaskan kepimpinan parti itu di kawasan berkenaan.

    Sebaliknya kata Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat, parti tersebut akan meneruskan khidmat di Parlimen berkenaan.

    “Pengunduran Ahli Parlimen itu tidak merencatkan perjalanan parti dan pelbagai pendekatan telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan Kuala Nerus terbela.

    “Semua urusan dan kebajikan rakyat di kawasan itu akan dijaga oleh organisasi Pas agar ketiadaan Ahli Parlimen tidak dirasai oleh mereka.

    “Insya-Allah akar umbi telah pun bermesyuarat. Bagi memastikan perjalanan (tugas) Ahli Parlimen ini diambil alih oleh beberapa rakan terutama daripada beberapa orang wakil rakyat.

    “Rasanya macam mana perjalanan-perjalanan aktiviti dia yang dulunya. Insya-Allah kita akan laksanakan dengan sebaik mungkin.

    “Yang ni telah pun dikemaskinikan oleh Pas Kawasan Kuala Nerus melalui pemudanya dan dewan-dewan,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

    Isnin lalu, Mohd. Khairuddin yang merupakan wakil rakyat Kuala Nerus mengumumkan keluar daripada Pas berkuat kuasa serta-merta.

    Menurut Mohd Khairudin, tindakan itu diambil selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan Pas, iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri dan keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Dengan keputusan itu, beliau yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi kini merupakan Ahli Parlimen bebas di Dewan Rakyat.

  • ‘Timbalan Pendakwa Raya’ perdaya guru wanita RM277,000

    ‘Timbalan Pendakwa Raya’ perdaya guru wanita RM277,000

    SEORANG guru wanita kerugian RM277,000 apabila wang simpanan dalam akaun banknya lesap selepas terpedaya arahan ‘Timbalan Pendakwa Raya’ supaya menukar kad banknya dengan mendaftarkan atas nombor telefon orang lain.

    Mangsa, 55, mendakwa sebelum itu diarah berbuat demikian oleh seorang ‘Timbalan Pendakwa Raya’ bernama Mastura bagi tujuan siasatan selepas dikaitkan dengan kes menipu tuntutan insurans dan pengubahan wang haram.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa turut diarahkan menukar nombor pin kad bank baharunya menggunakan nombor hadapan kad pengenalannya.

    Mangsa juga katanya, diarah memindahkan semua wang dalam akaun bank lain ke akaun bank yang baharu dengan jumlah keseluruhan RM 277,128.

    “Malangnya wang itu kemudian dilesapkan dengan baki wang yang ditinggalkan hanya RM128.

    “Kes penipuan ke atas mangsa berlaku bermula dengan satu panggilan telefon yang diterima daripada seorang wanita mendakwa pegawai sebuah syarikat insurans dari Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, mangsa dimaklumkan telah membuat tiga kali tuntutan insurans di Hospital Columbia Asia Petaling Jaya sebanyak RM68,800, namun wanita berkenaan menafikannya.

    “Panggilan kemudian disambung ke Balai Polis Pudu dan mangsa diminta bercakap dengan seorang anggota polis bernama Sarjan Major (SM) Mohd. Sarif Samad.

    “Seterusnya panggilan disambung pula kepada seorang pegawai polis bernama Inspektor Azman untuk bantuan bagi menyelesaikan kes dihadapi,” katanya.

    Mohd. Wazir berkata, sebagaimana kes-kes penipuan yang dilaporkan sebelum ini, mangsa ‘ditakutkan’ kononnya turut terlibat dengan pengubahan wang haram dan satu waran tangkap telah dikeluarkan di atas namanya berdasarkan semakan dilakukan pegawai polis itu.

    “Panggilan seterusnya disambungkan kepada ‘Timbalan Pendakwa Raya’ bernama Mastura itu di mana arahan yang dikeluarkan telah berjaya memerangkap mangsa sehingga wanita itu menanggung kerugian RM227,000.

    “Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada Khamis kerana syak telah ditipu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Penyanyi nasyid ditahan disyaki terlibat kes berkaitan dadah

    Penyanyi nasyid ditahan disyaki terlibat kes berkaitan dadah

    SEORANG penyanyi nasyid ditahan kerana disyaki terlibat kes berkaitan dadah di sebuah kondominium di Kota Damansara, Kuala Lumpur, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

    “Saya sahkan suspek ditahan dan polis akan membuat sidang media dalam tempoh terdekat mengenai perincian lanjut penahanan itu,” katanya hari ini. – Bernama

  • MoU kerajaan-PH tidak terbatal, kata Wan Junaidi

    MoU kerajaan-PH tidak terbatal, kata Wan Junaidi

    MEMORANDUM persefahaman (MoU) Tansformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak terbatal walaupun usul kerajaan gagal diluluskan di Dewan Rakyat.

    Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perkara itu berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU tersebut yang memperuntukkan sesuatu tidak tamat secara automatik sekiranya usul kerajaan tidak disokong.

    Katanya, berdasarkan Perkara 3.3. (b) MoU, sebarang usul kerajaan atau rang undang-undang (RUU) perlu dirunding dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

    “Saya berpandangan berkaitan Perkara 4.1 MoU ini, di mana ia tidak akan tamat secara automatik sekiranya sesuatu usul tidak dipenuhi jika Perkara 3.1-3.3 dalam MoU tidak dipenuhi dan ia masih terbuka untuk rundingan antara kerajaan dan pembangkang.

    “Ini bermakna, kalau ada percanggahan, contohnya seperti apa yang berlaku semalam (Rabu), belum secara automatik MoU ini akan tamat. Ia akan tamat apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan MoU berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Terdahulu media melaporkan, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan MoU yang dimeterai terbatal susulan tindakan PH yang meminta undi belah bahagi dilaksanakan di Dewan Rakyat.

    Sementara itu ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan turut berpandangan pembangkang telah melanggar MoU yang dimeterai dua pihak.

    Katanya, kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi terikat dengan MoU yang dimeterai bersama pembangkang sebelum ini susulan Dewan Rakyat gagal luluskan usul Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

    Dewan Rakyat pada Rabu telah menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.

    Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

  • Pengembara udara Malaysia-Singapura tak perlu kuarantin tapi lakukan ujian Covid-19

    Pengembara udara Malaysia-Singapura tak perlu kuarantin tapi lakukan ujian Covid-19

    SEMUA pengembara antara Malaysia dan Singapura yang telah lengkap vaksinasi menggunakan pengangkutan udara tidak perlu lagi menjalani kuarantin dan melakukan pengujian Covid-19 semasa ketibaan.

    Sebaliknya, pengembara tersebut hanya perlu melakukan ujian Covid-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas sama ada dari Malaysia atau Singapura.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung protokol perjalanan sempadan udara bagi pengembara antara Malaysia dan Singapura.

    Menurut Khairy, pengembara yang merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura pula tidak perlu menjalani kuarantin serta melakukan ujian sebelum atau semasa ketibaan seperti diumumkan Perdana Menteri kedua-dua negara.

    “Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19.

    “Ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

    “Dari segi kekerapan, tiada lagi kuota untuk jalan darat, semua kategori pengangkutan boleh menggunakan sempadan sama ada Tambak Johor atau Linkedua.

    “Bagi pesawat pula, kedua-dua kerajaan menyerahkan kepada syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan dari sudut komersial, tiada lagi sekatan, semua dibuka,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

    Sementara itu, Khairy turut mengumumkan protokol perjalanan sempadan darat bagi Thailand dengan hanya dua pintu sempadan dipersetujui dibuka mulai 1 April ini.

    Kata beliau, ia melibatkan sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

    “Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja manakala bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.

    “Buat masa ini, protokol am pengembara umum terpakai ke atas pengembara dari Thailand,” jelas beliau.

  • Pengembara perlu muat turun MySejahtera, jalani RTK-Ag selepas tiba di Malaysia

    Pengembara perlu muat turun MySejahtera, jalani RTK-Ag selepas tiba di Malaysia

    PENGEMBARA yang memasuki Malaysia mulai 1 April ini selepas pembukaan sempadan negara dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen (RTK-Ag) profesional di fasiliti kesihatan swasta dalam tempoh 24 jam selepas tiba di negara ini.

    Itu merupakan antara protokol am disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya pada 1 April ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum berlepas ke Malaysia, pengembara juga dikehendaki memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera.

    Menurut beliau, pengembara juga perlu melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon Traveller dalam MySejahtera.

    Pada masa sama, katanya, pengembara harus melaporkan dan memuatnaik keputusan ujian RT-PCR yang telah dilakukan dua hari sebelum berlepas.

    Semasa tiba di pintu masuk antarabangsa, Khairy memaklumkan, pengembara akan melalui saringan demam dengan imbasan thermal scanner atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan sekiranya bergejala manakala pengembara tidak bergejala akan meneruskan perjalanan ke kaunter Imigresen untuk semakan lanjut.

    “Keputusan ujian RTK-Ag yang dilakukan itu akan diperolehi dalam aplikasi MySejahtera, sekiranya keputusan positif, pengembara dengan vaksin lengkap diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama 7 hari di tempat penginapan bagi kategori 1 dan 2.

    “Namun, bagi kategori 3 ke atas, mereka perlu mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital swasta.

    “Bagi pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi pula, mereka akan diberikan (HSO) selama 10 hari.

    “Kalau pengembara tak melakukan ujian RTK-Ag profesional dalam tempoh 24 jam, status mereka akan bertukar merah dan mereka tak boleh masuk ke kedai makan.

    “Paling penting mereka dah lakukan kesalahan dan boleh diusir keluar,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat KKM pada Khamis.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata, bagi pengembara yang lengkap vaksin dengan keputusan ujian RTK-Ag profesional negatif tidak perlu menjalani kuarantin.

    Sebaliknya, pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi perlu melalui HSO selama lima hari di tempat penginapan.

    Malah, pengembara itu dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag profesional pada hari kelima.

    “Sekiranya ujian sampel kedua COVID-19 didapati positif, mereka akan diberikan HSO selama lima hari dari tarikh sampel kedua diambil.

    “Jika keputusan negatif, mereka akan dilepaskan daripada HSO,” jelas beliau. 

  • Gadis lemas di air terjun Gunung Ledang

    Gadis lemas di air terjun Gunung Ledang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG gadis yang sedang beriadah di Air Terjun Gunung Ledang, Jalan Sagil-Jementah di Tangkak ditemukan lemas pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqa Mokhtar, 21, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan pihak bomba kira-kira sejam kemudian.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan I Hairulnizam Ridhuan berkata, hasil maklumat daripada saksi awam memaklumkan mangsa dipercayai lemas ketika mandi di air terjun berkenaan.

    “Anggota bomba telah mendaki ke lokasi yang dilaporkan. Hasil pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ menemukan mangsa pada pukul 11.38 pagi.

    Mangsa, Nurul Syafiqa Mokhtar, 21, disahkan meninggal dunia ketika ditemukan pihak bomba

    “Pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa turun ke kaki gunung untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

    Menurut beliau, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Operasi tamat pada pukul 12.54 tengahari.