Author: Admin

  • Lelaki putus tangan, jari, rentung dalam kereta terbakar

    Lelaki putus tangan, jari, rentung dalam kereta terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menemukan seorang lelaki rentung dalam kereta yang terbakar di tepi jalan di luar Perumahan Iskandar Malaysia (Prisma), Iskandar Puteri, tengah malam tadi.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada polis pada pukul 12.03 tengah malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mengikut maklumat awal, seorang lelaki didakwa terperangkap dalam kereta terbakar di kawasan perumahan itu.

    “Hasil siasatan terhadap saksi mendapati kereta itu berhenti di lokasi kejadian dalam keadaan enjin hidup, lampu menyala dan terbakar.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki rentung dalam kereta dan tiada butiran pengenalan diri mangsa diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihaknya tidak menemukan sebarang butiran mahupun barang berharga di tempat kejadian.

    Mayat mangsa ujarnya, dikeluarkan oleh anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan bomba dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Mayat mangsa yang rentung dengan tangan dan jari terputus itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd. Khairi Zainuddin berkata, tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat.

    Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus.

    Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian kasih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pagi.

  • Tidak cukup belanja punca anggota tentera samun wanita

    Tidak cukup belanja punca anggota tentera samun wanita

    POLIS menahan seorang anggota tentera selepas menyamun seorang wanita di hadapan sebuah farmasi di Kota Sentosa, Kuching, 12 Mac lalu.
    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 21 tahun berjaya ditahan polis pukul 4.10 petang semalam.

    Menurutnya, suspek yang berasal dari Melaka itu dilaporkan melakukan jenayah berkenaan pada 4.12 petang, 12 Mac lalu.

    “Suspek mendakwa terdesak kerana tidak mempunyai wang hingga nekad untuk menyamun mangsa. Menerusi laporan mangsa berusia 38 tahun itu, wanita berkenaan mendakwa ketika dia masuk ke keretanya, seorang lelaki tidak dikenali meluru masuk melalui pintu belakang kenderaannya.

    “Suspek kemudian memaut leher menggunakan kedua-dua lengannya. Mangsa juga mendakwa berasa seperti ada benda tajam yang disyaki pisau lipat diletakkan di lehernya.

    “Mangsa menggigit lengan suspek lalu menekan hon kereta namun suspek sempat mengambil wang tunai RM26 dari beg tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan kemudian tampil membuat laporan polis mengenai insiden menimpanya itu.

    “Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah itu di kawasan berkenaan.

    “Suspek mendakwa dia melakukan kegiatan samun itu akibat terdesak kerana duit perbelanjaan tidak mencukupi,” katanya.

    Pihaknya turut merampas sebilah pisau pemotong kertas yang dipercayai digunakan untuk menyamun.

    Abang Zainal berkata, suspek yang masih bujang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan permohonan reman akan dilakukan dalam masa terdekat selepas keputusan saringan air kencing diperoleh.

  • Hubungan BN, PN tidak renggang – Annuar Musa

    Hubungan BN, PN tidak renggang – Annuar Musa

    HUBUNGAN antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini mentadbir negara secara bersama masih tidak renggang.

    Itu jawapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa apabila ditanya mengenai hubungan antara kedua-dua gabungan itu di peringkat nasional.

    Menurut Annuar, BN dan PN masih lagi berada dalam satu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Saya rasa apa yang berlaku ketika ini adalah lumrah politik. Masing-masing sedang membuat penyesuaian.

    “Biarlah proses ini berjalan secara harmoni kerana iaketentuan yang tidak dapat dielakkan.

    “Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), setiap parti politik akan mengambil strategi masing-masing dan mempunyai pelbagai kaedah tersendiri,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media dalam siaran langsung di laman Facebook selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Langkuas, Kinarut, hari ini.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata, tiada istilah ‘berpatah arang berkerat rotan’ dalam dunia politik.

    Jelas beliau, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan tiada perkara yang kekal dalam politik.

    “Kalau kita lihat di peringkat negeri seperti Sabah, kerajaan negerinya ditadbir GRS dan BN tetapi di pusat pula kerajaan BN dan PN. Bagaimanapun ia berjalan dengan baik.

    “Apabila kita turun ke pilihan raya negeri, setiap parti cuba nasib masing-masing bertanding antara satu sama lain termasuk Pakatan Harapan (PH),” katanya.

  • Persenda OKU – KPWKM teliti hukuman 150 hari khidmat masyarakat

    Persenda OKU – KPWKM teliti hukuman 150 hari khidmat masyarakat

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti cadangan hukuman 100 hingga 150 hari program khidmat masyarakat dikenakan kepada mereka yang mempersenda golongan orang kurang upaya (OKU).

    Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata KPWKM berpandangan cadangan itu sesuai dilaksanakan kerana program khidmat masyarakat menggariskan tiga elemen utama iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan.

    “Kementerian akan meneliti lebih lanjut cadangan tersebut dalam proses semakan Akta OKU 2008,” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Negara hari ini.

    Siti Zailah berkata, KPWKM memandang serius insiden mendiskriminasi golongan OKU terutama melalui penularan dalam media sosial, namun pewujudan remedi dan penalti yang munasabah bagi menangani isu tersebut memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan.

    Katanya, bagi menangani perlakuan jenayah berkenaan, undang-undang yang terpakai di Malaysia kini adalah di bawah Seksyen 233 (1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

    Bagi cadangan penubuhan Suruhanjaya OKU pula, Siti Zailah berkata buat masa ini sebarang bentuk aduan, rayuan dan petisyen berkaitan pelanggaran hak OKU boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan sistem perundangan lain yang sedia ada.

    Menyentuh perkembangan status Pelan Tindakan OKU (PTOKU) 2016-2022, katanya KPWKM sedang menganalisis pencapaian program dan tindakan yang ditetapkan dalam pelan berkenaan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada agensi peneraju bagi setiap program serta tindakan di bawah PTOKU.

    “Dapatan analasis ini akan digunakan sebagai input untuk pembangunan pelan tindakan OKU yang baharu selain daripada libat urus membabitkan komuniti OKU, badan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian serta agensi yang akan diadakan,” katanya.- Bernama

  • Jururawat kerugian RM50,000 diperdaya ‘kakitangan LHDN, polis’

    Jururawat kerugian RM50,000 diperdaya ‘kakitangan LHDN, polis’

    WANG simpanan seorang jururawat berjumlah RM50,000 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis, semalam.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.30 petang selepas mangsa berusia 44 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu mengaku kakitangan LHDN ketika berada di pekan Beaufort.

    “Individu itu memaklumkan kononnya nama mangsa didaftarkan atas nama sebuah syarikat dan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,800 yang tidak berbayar.

    “Panggilan itu kemudian disambungkan kepada dua suspek kononnya pegawai polis di Unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

    “Kedua-dua ‘pegawai polis’ menyatakan kepada mangsa waran tangkap sudah dikeluarkan untuk tindakan lanjut. Oleh kerana panik, mangsa memberikan butiran akaun bank dan kata laluan dua akaun miliknya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Yusoff Zaki berkata, kira-kira pukul 9 malam tadi, mangsa membuat semakan kedua-dua akaun bank miliknya dan mendapati wang berjumlah RM50,000 telah dipindahkan.

    “Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis pada 10.26 malam tadi. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihati supaya lebih berhati-hati dan tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak mereka dikenali.

    “Ini terutamanya daripada mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis atau lain-lain jawatan dan seterusnya meminta butiran akaun bank dan kata laluan,” katanya.

  • Beri kepercayaan belia bangunkan negara, bangsa – Sultan Nazrin

    Beri kepercayaan belia bangunkan negara, bangsa – Sultan Nazrin

    Sultan Perak bertitah, golongan belia wajar diberi lebih kepercayaan mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara-bangsa.

    Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, belia adalah aset negara yang berharga.

    Menurut baginda, 28 peratus penduduk Malaysia adalah belia dan 7.8 juta daripada mereka bertaraf pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Para belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara-bangsa yang bersatu dan berpadu, maju lagi makmur.

    “Penglibatan para belia secara aktif akan dapat membantu untuk meremajakan dasar yang telah tua, meniup pembaharuan kepada struktur yang telah lama, dan menyuntik darah muda kepada tubuh yang telah berusia,” titah baginda seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-14, Ipoh hari ini.

    Sultan Nazrin bertitah, langkah yang dirintis Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak melibatkan belia dalam majlis itu dan Jawatankuasa Baitulmal di pelbagai peringkat di samping Jawatankuasa Masjid hendaklah diperluaskan dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat negeri, kerajaan tempatan, badan berkanun, institusi dan yayasan.

    Baginda menyifatkan, pendekatan kerajaan negeri yang melibatkan belia dan menyediakan saluran untuk golongan itu menyalurkan idea dan menyuarakan pandangan sebagai langkah bijak lagi membina.

    Titah baginda lagi, isu-isu bersifat objektif dan idea-idea konstruktif yang disuarakan dalam Persidangan Dewan Belia wajar diberikan perhatian.

  • Tengku Hassanal tidak mahu ada projek sakit di Pahang

    Tengku Hassanal tidak mahu ada projek sakit di Pahang

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan baginda enggan melihat ada projek sakit atau lewat siap berlaku di Pahang selain mahu semua lokasi di negeri ini tidak ketinggalan dalam aspek komunikasi.

    Baginda bertitah kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan seharusnya bekerjasama rapat dalam melaksanakan projek yang mendesak serta berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2022 selain peruntukan yang ada perlu dibelanjakan dengan cepat dan betul agar rakyat menikmati manfaatnya.

    “Ini termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi berisiko tinggi berlaku bencana. Saya bertitah agar semua jabatan dan agensi dapat mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada.

    “Saya tidak mahu ada lokasi terutama di kawasan luar bandar yang masih langsung tidak menerima liputan Internet. Kawasan yang menerima liputan Internet perlahan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa,” titah baginda.

    Tengku Hassanal bertitah demikian semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

    Mengenai banjir, Tengku Hassanal menitahkan supaya kerajaan negeri mempercepat usaha membuat penempatan baharu bagi memindahkan mereka yang sering terlibat dengan bencana itu selain menyentuh tindakan kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membantu mangsa banjir dengan pelbagai bentuk bantuan berjumlah RM71 juta.

    Tengku Hassanal turut menzahirkan sukacita dengan tindakan proaktif kerajaan negeri menarik RM987 juta pelaburan domestik dan RM9.8 bilion pelaburan antarabangsa ke Pahang selain kejayaan membawa pelaburan baharu bernilai RM5.5 bilion pada awal tahun ini melibatkan syarikat pelaburan termasuk dari Singapura, Korea Selatan dan China.

    “Pelaburan ini mesti diurus dengan baik agar dapat memberi manfaat baik daripada aspek peluang pekerjaan mahupun limpahan ekonomi kepada rakyat saya,” titah baginda.

    Meskipun optimis dengan sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion untuk tahun ini mampu dicapai dengan komitmen semua pihak, Tengku Hassanal mengingatkan pentadbiran kerajaan negeri untuk terus melipatgandakan kecekapan pengurusan kutipan hasil negeri yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti tanpa membebankan rakyat.

    Berhubung aspek pendidikan, Tengku Hassanal menitahkan kerajaan negeri menetapkan misi dan visi untuk memastikan Pahang mempunyai institusi pendidikan terbaik meliputi sekolah, kolej, universiti dan pusat tahfiz yang mampu dicapai menerusi pelaksanaan strategi tepat dan komiten semua pihak.

    Baginda seterusnya menitahkan kerajaan negeri untuk terus menambah keluasan kawasan rizab hutan simpan kekal (HSK) setiap tahun walaupun kawasan HSK dan hutan simpan di negeri ini telah ditambah lebih 7,000 hektar menjadikan jumlah HSK kira-kira 1.6 juta hektar setakat ini, ‘menobatkan’ Pahang sebagai negeri yang mempunyai rizab hutan terbesar di Semenanjung Malaysia.

    “Saya sedang menggerakkan usaha memelihara alam sekitar termasuk inisiatif untuk memelihara Harimau Malaya yang kini di ambang kepupusan. Jika kita semua tidak memberi perhatian sewajarnya, tidak mustahil anak cucu kita hanya mengenal Harimau Malaya sekadar dalam Jata Negara atau di kulit pasport,” titah baginda. – Bernama

  • Peniaga jangan hanya taksub kejar untung, titah Sultan Nazrin

    Peniaga jangan hanya taksub kejar untung, titah Sultan Nazrin

    SULTAN Perak mengingatkan peniaga bahawa ketaksuban untuk memajukan prasarana dan meraih keuntungan perniagaan tidak boleh dijadikan lesen menghalalkan manusia bersifat rakus memusnahkan alam sekitar yang mengundang pelbagai bencana alam.

    Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pembangunan negara seharusnya mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar agar berlaku keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam.

    “Kecanggihan teknologi semata-mata tidak akan mampu membendung bencana akibat kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.

    “Ketaksuban untuk memajukan prasarana dan meraih keuntungan perniagaan jangan dijadikan lesen bersifat rakus memusnahkan alam sekitar.

    “Dunia kini menghadapi pelbagai bencana yang mengakibatkan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa.

    “Bencana alam yang kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim, sehingga alam semakin membenci dan enggan bersahabat dengan manusia,” titah baginda, memetik laporan Sinar Harian.

    Baginda bertitah demikian sempena perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoha hari ini.

    Persidangan DUN Perak berlangsung selama tiga hari bermula Isnin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah kawalan pencegahan Covid-19.

    Sultan Nazrin turut menegur sikap rakyat Malaysia yang kurang kesedaran dan tidak menghiraukan bahaya pencemaran plastik meracuni makanan dan alam sekitar.

    Titah baginda, Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi penggunaan plastik dengan berat 70 kilogram per kapita dan disenaraikan antara negara di dunia menyumbang kepada sumber plastik yang besar di lautan.

    “Rakyat Malaysia secara purata menggunakan 300 beg plastik setahun dan dianggarkan membuang lebih 30,000 tan plastik ke laut setiap tahun. Plastik yang hanyut ke laut atau yang disepahkan di darat mengambil masa 400 tahun sebelum mereput.

    “Jabatan kerajaan, masjid, rumah ibadat, sekolah, pusat tahfiz, badan bukan kerajaan dan belia hendaklah membantu kempen untuk rakyat meminimumkan penggunaan beg plastik dan tidak membuang sisa plastik ke dalam parit, tasik, saliran dan sungai atau dibiarkan tertinggal bersepah di bumi,” titah baginda.

    Bagind turut menzahirkan kebimbangan terhadap pemanasan global dan suhu dunia yang semakin meningkat menjadi ancaman besar kepada kehidupan alam.

    Titah baginda, Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, COP 26 di Glasgow pada penghujung tahun 2021 telah menjadikan isu penyelesaian perubahan iklim dunia sebagai agenda utama.

    “Kerajaan beta tidak terkecuali mengambil langkah-langkah proaktif menangani kesan perubahan iklim.

    “Seluas 986,848.26 hektar atau 47 peratus daripada keluasan tanah negeri telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang diuruskan secara Prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang terbahagi kepada dua pengelasan fungsi, iaitu Hutan Pengeluaran membabitkan 501,235.70 hektar dan Hutan Perlindungan melibatkan 485,612.56 hektar.

    “Kerajaan beta turut melaksanakan Program Penghijauan Malaysia di peringkat negeri. Kempen menanam 10 juta pokok dalam tempoh lima tahun telah dirintis sejak tahun 2021 dan sehingga Disember 2021, lebih dua juta pokok telah berjaya ditanam,” titah baginda.

  • PGA berkas dua tekong, 14 PATI sembunyi dalam semak

    PGA berkas dua tekong, 14 PATI sembunyi dalam semak

    BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menahan dua tekong darat dan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas dikesan bersembunyi dalam semak berhampiran Jalan Banting-Sepang, Morib, semalam.

    PGA dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memberkas mereka menerusi rondaan yang dijalankan pukul 12.30 tengah hari.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supritenden Rizal Mohamed berkata, kedua suspek bertindak sebagai tekong darat itu diberkas dalam dua buah kenderaan.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati kedua suspek berumur 28 dan 38 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada penemuan 11 PATI lelaki berumur antara 23 hingga 41 tahun dan tiga PATI wanita berumur antara 23 hingga 55 tahun dalam kawasan semak berhampiran,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, kesemua PATI yang diberkas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

    “Kesemua PATI ini dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan berjumlah RM44,100 melibatkan dua buah kenderaan dan dua buah telefon bimbit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Ahmad Said nafi jual tanah di Pulau Redang kepada Vincent Tan

    Ahmad Said nafi jual tanah di Pulau Redang kepada Vincent Tan

    BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau menyerahkan tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan.

    Sambil menafikan tuduhan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, beliau tidak pernah berjumpa dengan jutawan tersebut.

    “Tidak benar, itu adalah fitnah,” ujarnya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Chukai, Kemaman, hari ini.

    Menurut Ahmad, sepanjang menjadi Menteri Besar, beliau tidak pernah menyerahkan mana-mana tanah milik kerajaan negeri kepada Vincent Tan seperti dakwaan seorang individu menggunakan nama Razak Bidin di laman sosial Facebook (FB).

    Ahmad berkata, beliau telah membuat carian dengan Pejabat Tanah Daerah dan mendapati tidak ada pun tanah kerajaan yang diserahkan kepada jutawan berkenaan, melainkan jika dia membeli tanah di Pulau Redang dan disenaraikan nama kepada orang perseorangan.

    “Saya pun tak tahu tujuan individu itu berbuat demikian (tuduhan). Sama ada atas dasar politik atau sebaliknya, saya tidak tahu. Bagaimanapun saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit dalam tempoh terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhububgan UMNO Terengganu berkata, beliau juga sudah berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu yang membuat tuduhan berkenaan.

    Terdahulu, Ahmad dalam hantaran di FB beliau pada Khamis lalu, memberi tempoh 14 hari kepada pemilik akaun Facebook berkenaan untuk memohon maaf dan memadam hantaran mengenai dakwaan terbabit yang disifatkannya sebagai fitnah dan tidak benar sama sekali.

    “Saya memberi tempoh sehingga 14 hari untuk penama memohon maaf dan seterusnya memadam ‘posting’ berkenaan. Selepas tempoh 14 hari, tamat tindakan undang-undang akan diambil kerana memfitnah.

    “Saya meminta kepada pihak berkenaan, usahlah mereka cerita seperti ini dengan membuat tuduhan yang tidak betul semata-mata mahu mencari publisiti memandangkan PRU-15 yang semakin hampir.

    “Berpolitiklah secara matang dan rasional tanpa rekaan cerita fitnah yang tidak benar,” ujar beliau.