SEORANG penyelia kurier cedera akibat bergelut dengan seorang perompak bersenjatakan pisau yang memecah masuk rumahnya pada waktu sahur di Kampung Laut Tiga, Palekbang, Tumpat, Kelantan kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri, kejadian berlaku pada pukul 4.45 pagi ketika mangsa berusia 50 tahun, bangun dari tidur untuk bersahur.
Katanya, ketika itu mangsa terserempak dengan seorang lelaki memakai topeng serta memegang sebilah pisau di ruang tamu rumahnya dan lelaki tersebut menyuruh mangsa membuka pintu untuk dia keluar.
“Semasa mangsa menghampiri, suspek mengacukan pisau menyebabkan mangsa mengambil sebuah kerusi kayu untuk mempertahankan diri dan memukul suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Mohd Azmir, ekoran berlaku pergelutan itu suspek melarikan diri dengan keluar melalui pintu belakang.
“Pemeriksaan polis mendapati ada kesan umpil di belakang rumah.
“Mangsa pula mengalami kecederaan pada jari tangan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kelaboran. Mangsa terpaksa menerima 10 jahitan di tiga jari tangan kiri dipercayai terkena pisau,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian datang ke balai membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati tidak ada kerugian barangan berharga. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak,” jelas beliau.
SEORANG pengurus kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, bulan lalu.
Mohamad Nazrin Ramli, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Dia dituduh memandu kenderaan Myvi di bawah pengaruh alkohol sebanyak 71 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, melebihi 21 mg alkohol daripada had yang ditetapkan, tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Ramli Abdul Ajit, 40.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching menghala pusat bandar Kuala Lumpur pada 12.10 malam, 12 Mac lalu.
Mohamad Nazrin dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam J.Thilagavathy yang mewakili Mohamad Nazrin memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang belum berkahwin menanggung ibu yang uzur.
Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesennya digantung sementara menunggu kes selesai serta menetapkan 2 Jun untuk sebutan kes. – Bernama
SEORANG lelaki menanggung kesakitan apabila dipukul bertubi-tubi dengan tangan dan senjata dipercayai rotan dalam kejadian di sebuah rumah di Nibong Tebal, Pulau Pinang Ahad lalu.
Video itu turut tular di media sosial sejak semalam yang memperlihatkan mangsa yang memakai kemeja-T berwarna hijau dipukul beberapa lelaki di ruang tamu.
Rakaman berdurasi 26 dan 44 saat yang dimuat naik di laman sosial Facebook itu memaparkan mangsa turut dimarahi beberapa pelaku dalam bahasa Tamil sambil mangsa dilihat merayu-rayu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima dua laporan polis selain satu laporan pengadu bagi menarik balik laporan berkenaan.
Bagaimanapun jelas beliau, tiada laporan diterima daripada mangsa setakat ini.
Rakaman berdurasi 26 dan 44 saat yang dimuat naik dalam Facebook itu memaparkan mangsa turut dimarahi beberapa pelaku dalam bahasa Tamil sambil mangsa dilihat merayu-rayu
Ujarnya, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu berpunca akibat salah faham dan perasaan cemburu dalam kalangan mereka yang terlibat.
“Mangsa dipukul dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan lengan kanan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan itu polis telah menahan beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian itu bagi siasatan lanjut dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan.
“Siasatan kes ini juga telah lengkap dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan video itu atau membuat spekulasi.
PENUGASAN kawalan keselamatan sempadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diteruskan seperti biasa walaupun Operasi Benteng (Op Benteng) bakal ditamatkan Jun depan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, penugasan PDRM tetap sama terutamanya Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai tonggak utama dalam menjalankan kawalan keselamatan sempadan.
Beliau berkata, sebelum adanya Op Benteng, penugasan itu memang dilaksanakan dan apabila Op Benteng ditubuhkan, PDRM banyak bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain.
“Fokus utama kami adalah untuk kawal keselamatan sempadan dan kami kekalkan, PDRM ada buat penambahan (unit) seperti Unit Berkuda dan dron serta rondaan (melalui Pasukan Gerakan Udara – PGU) di udara dipertingkatkan, termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“PGA juga mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan sempena persiapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Hazani berkata, PDRM masih bekerjasama dengan agensi keselamatan lain cuma ia bukan atas nama Op Benteng tetapi operasi bersepadu misalnya dengan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Katanya, operasi bersepadu tetap diteruskan selain operasi khas melalui perisikan khas oleh polis, tentera atau agensi lain.
Mengulas mengenai kawalan keselamatan sempadan negara pada masa kini, Hazani berkata, situasi semasa keselamatan di sempadan negara ketika ini terkawal.
Pada Januari lepas, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan pengoperasian Op Benteng di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini.
Beliau dilaporkan berkata, segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya. – Bernama
PAKATAN Harapan (PH) perlu menangani perpecahan dan situasi tiada kuasa penyatu serta dalam masa sama membentuk gabungan besar termasuk dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU-15.
Ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, membentuk blok gabungan pembangkang adalah jalan terbaik untuk tempoh terdekat untuk berdepan dengan BN.
“Pilihan yang ada ialah gabungan. Tanpa gabungan yang besar termasuk dengan PN (Perikatan Nasional), saya tidak nampak satu peluang yang sangat besar (untuk menang) kecuali kalau berlaku dinamika yang besar pada saat-saat akhir nanti.
Dr Yusri berkata demikian dalam bual bicara ‘Diagnosis Membedah Politik Melayu-Islam Siri 1’ anjuran Pemuda AMANAH Nasional baru-baru ini.
Menurutnya, BN tidak begitu mudah untuk mendominasi dalam PRU-15 jika PH mencapai titik temu dengan PN dengan sekurang-kurangnya mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru.
Mengulas kesediaan PH menghadapi PRU-15, beliau berpendapat PH sedang berpecah dan berada dalam keadaan yang lemah dengan tiada pemimpin berperanan sebagai kuasa penyatu.
“Saya tidak melihat PH berada di trek yang betul untuk menghadapi PRU-15. PH berada dalam keadaan yang lemah sekarang yang akan dimanfaatkan oleh PN untuk menyerang pada waktu tepat.
“PH berpecah dan PH tiada kuasa penyatu sekarang. Tidak ada pemimpin dalam PH yang dapat menyatukan PH sekarang.
“Kalau isu sekecil logo (semasa pilihan raya) pun tiada kata sepakat dan tiada pemimpin, saya tidak nampak (peluang PH menang).
“Anwar akhir-akhir ini sudah hilang cengkaman, sangat longgar,” ujarnya sambil sekali lagi menekankan pentingnya PH untuk membentuk gabungan atau persefahaman politik blok pembangkang untuk mendepani BN.
EMPAT sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Felda Jengka 14, Jengka musnah akibat kebakaran pukul 2 petang semalam.
Seorang penghuni, Ahmad Mazlan Mat Adam, 49, berkata, semasa kejadian dia keluar bekerja sebagai pemandu lori manakala dua anaknya bersama adik perempuannya tinggal di rumah.
Menurutnya, kejadian disedari oleh adik perempuannya yang tinggal bersama menjaga dua anaknya yang berusia lapan dan 11 tahun.
“Adik saya memberitahu api bermula dari ruang tamu sebelum merebak ke bahagian lain.
“Ketika kejadian, adik saya sedang menyiapkan anak-anak yang ingin ke sekolah agama sebelum mereka keluar menyelamatkan diri,” katanya. memetika laporan Sinar Harian, hari ini.
Sebaik tiba di rumahnya, dia mengakui rumahnya telah hangus dijilat api.
Dalam pada itu, Mazlan tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian tersebut.
“Sedih memang la sedih berlaku pula dalam bulan puasa tapi saya reda dan anggap ia ujian yang diberikan oleh Allah SWT.
“Buat masa ini kami sekeluarga menumpang di rumah saudara buat sementara waktu,” ujarnya jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan untuk meringankan beban keluarga tersebut boleh menghubungi Mazlan mererusi talian 017-7333751.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Pengarah SPRM negeri Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi semalam.
“Penyiasatan dimulakan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
“SPRM akan memanggil beberapa individu yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu yang dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM Meru Raya bagi membantu siasatan penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta.
Semalam, empat bekas Exco Kerajaan Negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk Asmuni meminta SPRM melakukan siasatan terperinci kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.
Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.
Sebelum ini, ADUN Aulong, Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan. – Bernama
SEORANG pekerja Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 54.5 Jalan Johor Bahru-Pontian, Pontian, semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, kemalangan berlaku pada pukul 5.30 petang semasa mangsa, Muhammad Rafi Abdullah Thani, 23, yang beralamat di Taman Jasa, Pontian datang dari arah Benut ke Parit Jerman.
“Sementara lori berkenaan pula datang dari arah Pekan Nanas menghala ke Pontian. Hasil siasatan awal mendapati apabila lori sampai di tempat kejadian dipercayai ingin membelok ke kanan untuk meletakkan kenderaan disebelah kanan jalan.
“Kemudian datang motosikal mangsa dari arah belakang telah melanggar bahagian sebelah kanan lori tersebut. Akibat kemalangan itu mangsa cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian dan dihantar ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, 21, yang beralamat di Kampung Parit Selangor, Benut, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan berlaku semasa mangsa datang dari arah Benut ke Parit Jerman sebelum melanggar lori berkenaan
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Hasnan Abd Rahman berkata, mangsa yang berketurunan Melayu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z itu cedera parah dan maut.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.58 petang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Abdullah Thani Bachok, 57, tidak menyangka wajah anak sulungnya yang putih berseri-seri selain kurang bercakap merupakan petanda ajal sebelum terlibat kemalangan tersebut.
“Wajahnya kelihatan putih berseri-seri dan kurang bercakap berlaku dua hari sebelum kemalangan. Kali terakhir saya melihatnya pagi semalam, seperti biasa dia mencium tangan saya sebelum pergi kerja.
“Dia bekerja di PTP dan tidak sampai sebulan menghadiri majlis konvokesyen di Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang yang berlangsung pada 16 hingga 22 Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.
Abdullah Thani berkata, Muhammad Rafi yang merupakan anak sulung daripada enam beradik sebelum ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuteraan Mekanikal di politeknik berkenaan.
Dia reda dengan kejadian yang menimpa Muhammad Rafi serta menyifatkan ujian amat berat dihadapi keluarganya dalam Ramadan.
DUA buku nota Charles Darwin yang hilang dari Perpustakaan Universiti Cambridge selama lebih dua dekad telah dikembalikan, umum pihak perpustakaan pada Selasa.
Bungkusan yang mengandungi buku nota termasuk lakaran Tree of Life Darwin 1837 telah dikembalikan oleh seorang yang tidak dikenali pada 9 Mac, bersama-sama sekeping nota bertulis: ‘Pustakawan. Selamat Hari Easter. X.’
Menurut United Press International (UPI), bungkusan itu diletakkan di kawasan awam di luar pejabat pustakawan di tingkat empat bangunan perpustakaan itu.
BUKU nota Charles Darwin yang telah dipulangkan kembali kepada perpustakaan Universiti Cambridge.
Pada November 2020 pustakawan Jessica Gardner merayu kepada orang ramai untuk memulangkan buku berkenaan.
“Saya berasa amat lega selepas buku itu dipulangkan,” kata Gardner.
Gardner berkata, susulan dengan kehilangan buku tersebut ciri-ciri keselamatan di perpustakaan itu telah dinaik taraf.
Buku nota itu akan dipamerkan di perpustakaan berkenaan mulai 9 Julai. – Bernama
SEORANG isteri yang merupakan Suspek kes tikam anggota tentera di Kem Penrissen, Kota Sentosa, Kota Samarahan, malam kelmarin, direman lima hari sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, permohonan reman dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Sataia Kombi di Mahkamah Kota Samarahan pada jam 9 pagi.
“Mahkamah membenarkan permohonan itu untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang anggota tentera maut selepas kehilangan banyak darah akibat kecederaan di paha kiri dipercayai ditikam oleh isterinya.
Kejadian itu berpunca daripada tindakan isterinya menggertak mangsa menggunakan pisau pemotong sayur sehingga tertikam pada anggota badan mangsa.
Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Difahamkan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang kini dijaga keluarga suspek.
Sudirman berkata, ketika kejadian suspek berada dalam keadaan normal.