Author: Admin

  • Sultan Johor titah semua aktiviti menyelam di Mersing dihentikan

    Sultan Johor titah semua aktiviti menyelam di Mersing dihentikan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kesemua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu.

    Titah itu berikutan kehilangan empat penyelam di sekitar Pulau Tokong Sanggul, berhampiran Pulau Sibu, Mersing, semalam.

    “Saya mahu kesemua aktiviti menyelam dihentikan sementara sehingga kita dapat kenal pasti apa sebenarnya yang berlaku pada mereka. Aktiviti menyelam tidak boleh diteruskan jika tahap keselamatan diragui.

    “Peraturan-peraturan aktiviti menyelam oleh pihak berkuasa juga mesti dikaji semula secara menyeluruh sebelum ia boleh dibenarkan beroperasi semula,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Pihak maritim melakukan pencarian tiga lagi penyelam warga asing yang dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, hari ini

    Titah Sultan Ibrahim, peraturan yang telah dikaji semula juga perlu diumumkan bagi mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelancong.

    Penyelam yang hilang merupakan seorang lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46 dan anaknya warga Belanda, Nathan Renze, 14 dan dua lagi penyelam yang merupakan seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18 dan wanita Norway, Kristine Grodem, 35.

    Bagaimanapun Kristine yang merupakan jurulatih selaman berjaya dijumpai dalam keadaan selamat dan dibawa ke Stadium Mersing dengan menggunakan pesawat udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tengah hari tadi.

  • Dipenjara pukul isteri enggan lakukan hubungan seks

    Dipenjara pukul isteri enggan lakukan hubungan seks

    SEORANG lelaki menerima padah kerana mencederakan isteri yang enggan melakukan hubungan seks apbila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen berasingan di Melaka hari ini.

    Tertuduh V. Murugan, 30, dijatuhkan hukuman itu di mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin atas empat pertuduhan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan pertama Murugan didapati dengan sengaja mencederakan isterinya, A. M. Saraswathi, 24, dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

    Terturuh turut mencederakan anak lelakinya, M. Sivaneswaran berusia enam tahun dengan memukul bahu kanan mangsa menggunakan wayar USB telefon.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati telah menakutkan isteri secara jenayah berbentuk ugutan dengan cara meletakkan sebilah parang di leher mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Ketiga-tiga tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di Ujong Pasir, Melaka pada 9 Oktober 2021.

    Dalam pertuduhan keempat, tertuduh yang bekerja di kedai besi buruk didapati sekali lagi telah mencederakan isterinya dengan cara menendang mangsa di bahagian dada sehingga wanita itu terjatuh pada pukul 10 pagi, keesokkan harinya.

    Bagi perbuatan itu dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun dan enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 Oktober tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N. Sivashangari.

    Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa dalam keadaan mabuk dan bertindak mengugut serta memukul isteri selepas berang mangsa enggan melakukan hubungan seks.

    Anak tertuduh yang melihat kejadian itu menjerit sebelum turut dipukul menggunakan wayar USB telefon.

  • Kos haji tahun ini dijangka cecah lebih RM25,000 seorang

    Kos haji tahun ini dijangka cecah lebih RM25,000 seorang

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

    TH dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan kos berkenaan merupakan peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

    “Peningkatan 12 peratus ini mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

    “Ini tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

    Menurut TH kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat berkenaan seperti penerbangan dan penginapan, yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan.
     
    “Kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina, serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari.

    “Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan VAT serta kadar inflasi di sana,” menurut kenyataan itu.

    TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang mencecah RM60 juta setiap tahun meliputi kos bagi kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas haji.

    Lembaga itu juga mengingatkan para bakal haji agar membuat persediaan awal dari segi kesihatan serta perbelanjaan haji, meskipun ketika ini kerajaan Arab Saudi belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi tahun ini.

    “Walaupun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

    Menerusi kenyataan itu juga, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kos haji yang meningkat saban tahun itu, disebabkan beberapa faktor seperti inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Makkah dan Madinah.

    “TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan, namun setakat ini TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama,” katanya.

    Menurut Syed Saleh berdasarkan rekod TH, sebanyak RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001.

    “TH mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lepas walaupun kos untuk menunaikan haji meningkat setiap tahun.

    “Dalam tempoh 2001 hingga 2019 bayaran haji meningkat 16 peratus, manakala kos haji pula melonjak sebanyak 139 peratus disebabkan faktor luar kawalan TH,” katanya. – Bernama
     

  • Tiga syarikat seleweng 1MDB digunakan untuk mencari dana yang hilang

    Tiga syarikat seleweng 1MDB digunakan untuk mencari dana yang hilang

    TIGA syarikat berpangkalan di Pulau British Virgin yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah memfailkan notis bankrupsi di bawah Bab 15 Kod Kemuflisan Amerika Syarikat (AS) di Florida.

    Astro Awani memetik laporan Agensi Bloomberg memberitahu, langkah tersebut membolehkan tiga syarikat itu yang nama tidak didedahkan, membawa penghutang asing untuk membawa prosiding ke negeri yang terbabit.

    Menurut artikel itu lagi, objektif utama syarikat-syarikat tersebut ialah untuk mendapatkan semula sebahagian daripada ASD8.5 bilion (RM35.86 bilion) dipercayai diseleweng dari 1MDB dan berkemungkinan besar masih ada dalam AS.

    “Entiti persisiran luar ini merupakan sebahagian penyelewengan ke atas 1MDB, menurut pemfailan syarikat itu lagi, dengan sebahagian daripadanya diwujudkan khusus untuk menerima dana yang dicuri, atau memindahkan kepada entiti lain.

    “Kini entiti tersebut diselia oleh pentadbir yang dilantik oleh kerajaan Malaysia,” menurut artikel itu lagi.

    Bloomberg berkata, Bab 15 direka untuk membantu penyelia mendapatkan maklumat daripada mereka yang terlibat dalam perjanjian tersebut dan merampas apa sahaja aset yang berjaya dikesan.]

    Menurut dokumen mahkamah, penyelia kepada dana berkenaan telah mengenal pasti beberapa individu dan entiti yang terletak di dalam AS, sama ada terlibat atau mempunyai pengetahuan tentang transaksi yang berlaku.

    “Sebahagian daripada dana yang hilang telah melalui beberapa entiti di AS, termasuk pengurus pelaburan, pengurus dana, dan beberapa entiti AS yang menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan tersebut,” menurut artikel itu lagi.

    Langkah itu dilakukan selepas seorang juri di Brooklyn, New York, akan memutuskan nasib bekas pegawai bank Kumpulan Goldman Sachs Inc, Roger Ng, yang dituduh bersubahat dengan bekas majikannya Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan dari Malaysia, Jho Low, untuk menyeleweng dana 1MDB.

    Leissner sebelum ini dilaporkan mengaku bersalah dan kini sedang menjadi saksi dalam perbicaraan terhadap Ng, manakala Jho Low sehingga kini masih gagal dikesan.

  • Peluang tinggi jumpa tiga lagi penyelam hilang

    Peluang tinggi jumpa tiga lagi penyelam hilang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA lagi penyelam warga Eropah yang masih hilang selepas menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing diyakini berpeluang untuk ditemukan dalam keadaan selamat walaupun sudah lebih 24 jam mereka dihanyutkan.

    Ia berdasarkan pengalaman serta kelengkapan menyelam yang digunakan mereka termasuk jurulatih selaman yang ditemukan selamat tengah hari tadi.

    Malah, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, keterangan mangsa yang ditemukan turut memberitahu, ketiga-tiga mangsa lain juga berjaya timbul dan berada di permukaan laut.

    Katanya, siasatan awal ke atas mangsa yang selamat, Kristin Grodem, 35, mendapati semua penyelam hanyut dibawa arus kuat ketika kejadian.

    “Keempat-empat penyelam sedang menyelam di dasar laut selama 45 minit, kemudian naik ke permukaan dan selepas itu membuat selaman kedua sebelum naik kembali selepas 20 minit.

    “Mereka ada berinteraksi selepas timbul kali kedua dan cuba memanggil tekong bot tetapi tidak dengar kerana telah dihanyutkan lebih kurang 500 meter dari lokasi bot berada dan disebabkan arus yang sangat kuat, mereka terpisah dan hanyut,” katanya.

    Tambah beliau, Kristine memaklumkan, dia terpisah dan dihanyutkan sehingga ke Pulau Yu dan cuba mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan tiga pelajarnya, namun tidak dapat meneruskan renangan kerana faktor arus.

    “Ketika berpatah balik ke lokasi mendapati semua pelajarnya tiada dan jurulatih itu terapung di atas permukaan laut dengan kelengkapan menyelam daripada pukul 12 tengah hari semalam sebelum diselamatkan bot yang melalui kawasan itu,” katanya.

    Cyril Edward berkata, ketiga-tiga mangsa berkenaan juga mempunyai lesen selaman dan sedang mengikuti kursus ‘Advance Open Water’ ketika kejadian selain mempunyai pengalaman menyelam lebih 50 kali.

    Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing, Mohamed Shakib Ali berkata, aktiviti selam skuba serta snorkeling di perairan sekitar daerah Mersing dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa serta-merta dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang melanggar arahan tersebut.

    “Dimaklumkan kepada semua pengusaha resort, chalet, pengusaha-pengusaha bot pelancong, pengusaha-pengusaha bot island hopping dan pusat selam skuba bahawa diminta menghentikan sebarang aktiviti selam skuba atau snorkeling di perairan daerah Mersing berkuatkuasa serta-merta.

    “Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melanggar arahan yang dikeluarkan. Pihak berkuasa juga akan mengadakan pemantauan,” katanya.

    Pemberhentian aktiviti itu dikeluarkan susulan terdapat kejadian empat penyelam warga asing hilang ketika melakukan latihan menyelam skuba di Pulau Tokong Sanggol, Mersing pada tengah hari, semalam.

    Penyelam yang hilang merupakan seorang lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46 dan anaknya warga Belanda, Nathan Renze, 14 dan dua lagi penyelam yang merupakan seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18 dan wanita Norway, Kristine Grodem, 35.

    Bagaimanapun Kristine yang merupakan jurulatih selaman berjaya dijumpai dalam keadaan selamat dan dibawa ke Stadium Mersing dengan menggunakan pesawat udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tengah hari tadi.

  • RM2.28 bilion milik 1MDB dipindah ke akaun Najib: Saksi

    RM2.28 bilion milik 1MDB dipindah ke akaun Najib: Saksi

    BEKAS Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail hari ini mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa wang RM2.28 bilion milik syarikat 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut saksi ke-13 dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu, mengesahkan perkara berkenaan ketika dirujuk carta aliran jejak wang daripada 1MDB.

    Ia didakwa melalui beberapa syarikat dan individu sebelum berakhir dalam akaun peribadi Najib dengan nombor akaun berakhir 694 dan 880.

    Ismee turut dirujuk carta jejak aliran wang AS$700 juta daripada dana projek usaha sama 1MDB dan Petrosaudi International Ltd (PSI) berpangkalan di Abu Dhabi, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Aliran wang menunjukkan wang berkenaan dipindahkan ke akaun syarikat Good Star Limited yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram turut menunjukkan transaksi aliran wang berkaitan Putera Turki, Abdullah dari Arab Saudi berjumlah RM30 juta.

    Jumlah itu didakwa dimasukkan ke akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.

    Sri Ram: Sila rujuk transaksi wang berjumlah AS$45 juta yang dipindah ke akaun dengan nombor terakhir 880 milik Najib, antara 17 Oktober 2014 dan 10 Disember 2014.

    Ismee: Saya sahkan.

    Sri Ram: Setuju dengan cadangan saya, dirumuskan bahawa RM2.28 bilion dana dipindah masuk ke dalam akaun Najib antara 2011 dan 2014.

    Ismee: Saya setuju.

    Dalam pada itu, Ismee berkata, beliau boleh berada dalam kedudukan bercanggah dengan Najib namun tidak dilakukannya.

    Berhubung projek usaha sama dengan Arab Saudi, Ismee berkata, pada awal pelantikannya pada tahun 2009, beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib.

    Berhubung pembabitan dalam Tabung Haji pula katanya, projek itu boleh mendatangkan faedah kepada syarikat.

    “Saya percaya ia inisiatif yang baik untuk terus menjalin hubungan dengan Arab Saudi, jadi, saya ada kepercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan, apa yang saya maksudkan ialah Perdana Menteri, Najib ketika itu,” katanya.

    Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

  • 61 kompaun bernilai RM40,000 kepada peniaga, pemborong ayam

    61 kompaun bernilai RM40,000 kepada peniaga, pemborong ayam

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 61 kompaun berjumlah RM40,000 dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor terhadap penjual ayam di seluruh negeri ini.

    Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, kompaun dikeluarkan terhadap tiga kesalahan iaitu gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu (pink plate), melebihi harga jualan dan tidak mempamer harga jualan.

    Selain itu, pihaknya juga memberikan 60 notis kepada peniaga di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk menjalankan siasatan sama ada wujudnya sebarang elemen pencatutan.

    “Tindakan itu dibuat selepas KPDNHEP Johor memeriksa 2,852 peruncit dan 48 lagi di peringkat pemborong di pasar basah, pasar awam, pasar raya dan juga pembekal seperti pemborong, peladang, pengeluar dan pengimport di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, seramai 200 anggota terlibat dalam pemeriksaan itu kerana pihaknya komited untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat dengan pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan harga barangan berpatutan dan stabil.

    “Sehubungan itu, kami juga menasihati peniaga untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya,” jelasnya.

    Beberapa hari lalu, segelintir peniaga ayam di Johor Bahru didapati menjual ayam melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram.

    Mereka meletakkan harga sehingga RM10 sekilogram dengan alasan terpaksa setelah menerima ayam segar pada harga RM8.60 daripada pemborong serta perlu membayar kos pengangkutan RM1 bagi setiap ekor ayam.

  • Bocor maklumat projek:Pembantu pegawai ditahan SPRM

    Bocor maklumat projek:Pembantu pegawai ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang pembantu pegawai sebuah agensi bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 32 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru pada pukul 12.30 tengah hari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan pada 2020 hingga tahun lalu, lelaki tersebut yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek yang hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok bagi mendapatkan permohonan reman.

  • Rangka budak perempuan ditemukan, dipercayai mangsa bunuh

    Rangka budak perempuan ditemukan, dipercayai mangsa bunuh

    SATU rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan pihak polis di Jalan Bukit Zamrud, Seremban, pada pukul 11 pagi tadi.

    Polis menemukan tengkorak, geraham dan cebisan rangka dalam keadaan bertaburan di tanah serta dilitupi daun kering kira-kira 10 meter dari lokasi asal pencarian kes seorang budak hilang yang dilakukan sejak 28 Mac lalu.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ekoran penemuan rangka manusia itu, pihaknya mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu membunuh.

    “Penemuan rangka ini berhubung kes kanak-kanak hilang dan kami sudah mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 KK. Polis menemui tengkorak, geraham dan cebisan tulang di lokasi ini.

    “Kami percaya tulang ini adalah milik mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Bagaimanapun tulang ini akan dihantar ke forensik dan patologi bagi mengesahkan sama ada ia milik manusia atau haiwan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Media pada 28 Mac melaporkan polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang, Seremban.

    Polis bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-dua berkenaan mempunyai kaitan.

    Ditanya mengenai kaitan kes ini dengan penemuan mayat wanita tanpa identiti di gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, Seremban, 20 Mac lalu, Nanda berkata, suspek bagi kedua-dua kejadian dipercayai individu yang sama.

    “Wanita yang ditemui di Jalan Lama Bukit Putus dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ini tidak mempunyai kaitan.

    “Sebenarnya pencarian ini dilakukan sejak 28 Mac lalu sehingga ke hari ini. Kami mendesak suspek utama dan saksi supaya memberitahu lokasi sebenar mangsa dibuang atau ditanam.

    “Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati anggaran kematian antara dua ke tiga bulan lalu. Rangka ditemui ini akan diuji oleh pihak forensik dan patologi sebelum laporannya akan dihantar ke pihak pendakwa raya untuk pertuduhan.

    “Saya percaya siasatan bagi kedua-dua kes ini sudah hampir selesai. Motif kejadian akan diketahui sebaik siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

    Media pada 21 Mac lalu melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, terkejut selepas menemui satu mayat wanita di kawasan gaung.

    Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita pada 22 Mac di dua lokasi di daerah ini.

  • PGA Sibu rampas mercun, bunga api RM150,000

    PGA Sibu rampas mercun, bunga api RM150,000

    CAWANGAN Risik Batalion 10 Pasukan Gerakan Am Sibu merampas 357 kotak pelbagai jenama mercun dan bunga api dalam serbuan ke sebuah premis di Lorong Ding Lik Kong 31A4, Sibu pada 11.45 pagi semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 10 Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata, barangan kontraban bernilai keseluruhan RM150,500 itu telah dibawa dari Bintulu dengan menggunakan jalan darat dan dipercayai untuk dijual di sekitar Sibu dan daerah berdekatan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai yang akan datang.

    “Seorang lelaki warga tempatan yang berada di lokasi serbuan ditahan untuk siasatan,” katanya dalam dalam sidang akhbar di Sibu hari ini.

    Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM 10,000.00 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak Januari hingga bulan lepas, Batalion 10 PGA Sibu telah menahan seramai 13 suspek dan berjaya merampas pelbagai barangan termasuk rokok dan minuman keras jenis bir tanpa cukai, kayu balak dan minyak diesel bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM3.3 juta.

    Mohammad Hafiz menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban di pasaran melalui talian hotline 084-211411 pejabat Risik Batalion 10 PGA Sibu. – Bernama