Author: Admin

  • 6 rumah terbakar, RM26,000 disimpan bawah katil hangus

    6 rumah terbakar, RM26,000 disimpan bawah katil hangus

    SUDAH jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib malang dialami seorang wanita apabila bukan sahaja rumahnya terbakar, tetapi wang tunai RM26,000 miliknya turut hangus dalam kebakaran membabitkan enam buah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, Kelantan tengah hari tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 1.40 tengah hari itu menyebabkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang, manakala dua kediaman lagi terbakar 90 dan 10 peratus.

    Mangsa, Nur Nisha Farahin Mohd. Yuzairi, 29, berkata, wang tunai berkenaan hasil jualan runcitnya secara dalam talian dan disimpan di bawah katil.

    “Saya baru keluarkan duit itu semalam dan ingin memasukkannya ke dalam akaun Tabung Haji esok.

    “Saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan mengenai kebakaran ketika berada di Kota Bharu, apabila pulang rumah sudah hangus dan saya hanya mampu mengenangkan duit yang tersimpan di bawah katil,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sementara ibunya, Mahani Abdul Rashid, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di halaman rumah untuk menyiram bunga sebelum terdengar bunyi letupan kecil dari bahagian dapur.

    “Saya tidak mengendahkannya tapi selepas itu kedengaran sekali lagi letupan yang sama sebelum saya bergegas ke dapur dan alangkah terkejutnya apabila melihat api di dinding.

    “Saya terus menjerit memanggil jiran memberitahu kejadian itu dan dalam masa yang sama mengambil saluran paip getah untuk cuba memadamkan api namun gagal disebabkan ia marak dengan cepat,” katanya.

    Dia yang masih trauma berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan kecuali sebuah motosikal yang di parkir di halaman rumah.

    Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba Suhaimi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.43 tengah hari dan seramai 21 pegawai dan anggota daripada tiga balai di Tumpat bergegas ke lokasi kejadian.

    Suhaimi berkata, sebaik tiba, api sedang marak dan kejadian itu membabitkan enam unit rumah jenis separuh kekal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    “Api marak dengan cepat disebabkan cuaca agak panas dan berangin namun dengan tindakan pantas anggota berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah yang lain memandangkan kedudukan agak rapat,” ujar beliau.

  • 16 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja – Saifuddin

    16 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja – Saifuddin

    MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan 16 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Kemboja kini berada di balai polis di Phnom Penh untuk siasatan.

    Tanpa menjelas lanjut mengenai jantina, usia, asal, bila atau punca ditahan, Saifuddin berkata, kesemua rakyat Malaysia itu kini berada dalam keadaan baik.

    “Pegawai kita di sana sudah ke pejabat polis untuk bertemu mereka. Kita sentiasa ikuti rapat perkembangan terkini dan akan membantu mereka, jika perlu dicarikan peguam atau bantuan lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-42 Persatuan Hindu Sanggam Kuantan, di Kuantan, hari ini.

    Ditanya sama ada 16 rakyat itu, adalah sebahagian mangsa penipuan tawaran kerja yang diterima oleh Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA seperti pada sidang media Rabu lalu, Saifuddin berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan.

    Bagaimanapun, beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk berhati-hati apabila menerima tawaran kerja dari negara asing dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran gaji besar, sebaliknya membuat semakan dengan Kementerian Luar atau pejabat perwakilan Malaysia atau Malawakil negara terbabit.

    “Semak juga visa kerja dan pasport supaya memenuhi peraturan diwajibkan…dan jika dirasakan ada kemusykilan bila tiba ke negara terlibat, kita mohon segera hubungi Malawakil. Ini sangat penting untuk mengelakkan timbul masalah kemudian hari,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Saifuddin juga meminta rakyat Malaysia yang berdepan masalah atau terkandas di Thailand ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, untuk segera ke pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

    “Kita tidak menafikan mungkin masih ada sejumlah lain yang masih tidak berhubung dengan pejabat Konsulat Jeneral, dan kita harap mereka dapat segera berbuat demikian supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan untuk membolehkan mereka pulang,” katanya.

    Saifuddin juga sekali lagi menafikan dakwaan terdapat 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin di negara itu kerana setakat ini rekod Konsulat Jeneral menyatakan 2,439 warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air, telah dibantu.

    Rekod juga menyatakan sehingga kini, hanya terdapat 72 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan dan bilangan itu adalah sebahagian daripada 444 warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral. – Bernama

  • Pegawai kanan polis maut dalam kemalangan di NKVE

    Pegawai kanan polis maut dalam kemalangan di NKVE

    SEORANG pegawai kanan polis disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, berkata, kejadian berlaku apabila pemandu hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan.

    Katanya, mangsa merupakan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden yang berkhidmat di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras.

    “Mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala Klang dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas.

    “Mangsa berumur 39 tahun mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Shah Alam dan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya memetika laporan Satu Berita, hari ini.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 41 APJ 1987.

    Dalam pada itu, Mohd. Iqbal berkata, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

    Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami ditalian 011-31215697. 

  • Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar, tapi tertakluk negeri – MKI

    Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar, tapi tertakluk negeri – MKI

    TAREKAT Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenarkan diamalkan di Malaysia.

    Ini seperti yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-117 pada tahun 2020.

    Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, tarekat tersebut dibenar diamalkan oleh pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat selepas kajian semula dibuat.

    “Oleh itu, keputusan terdahulu pada tahun 2000 berkaitan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah ini tidak lagi terpakai.

    “Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan keputusan ini, ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 pada 3 April 2000 memutuskan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

    Baru-baru ini, isu mengenai tarekat tersebut kembali diperkatakan apabila dibangkitkan beberapa pendakwah dari kelompok tertentu.

    Mereka mempersoalkan bagaimana ada negeri membenarkan amalan tarekat tersebut sedangkan sudah ada ketetapan di peringkat kebangsaan sebelum ini.

    Sehubungan itu, kenyataan terbaru MKI berhubung status tarekat berkenaan dilihat mampu memberi pencerahan dalam isu ini.

  • Pesawah ditahan bersama 150kg daun ketum dipetik sendiri

    Pesawah ditahan bersama 150kg daun ketum dipetik sendiri

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 150 kilogram daun ketum selepas menyerbu sebuah rumah di Labu Kubong, Chederong Balai, Teluk Intan, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 23 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selepas menerima maklumat awam sekitar jam 1 pagi.

    “Siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja sebagai pesawah itu mendapatkan bekalan daun ketum dengan memetiknya sendiri dalam hutan di belakang rumahnya.

    “Daun ketum terbabit dikatakan sedia ada di hutan berhampiran rumah suspek disyaki ditanam orang lain sebelum ini.

    “Ketika serbuan dibuat, polis menjumpai 30 bungkus beg plastik hitam yang di dalamnya terdapat daun ketum dianggarkan seberat 150 kilogram dalam stor belakang rumah.

    “Suspek mengaku daun ketum itu adalah miliknya dan bekalan itu untuk dijual kepada pembeli yang berminat,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan, suspek turut mengaku menjadi orang tengah yang mengutip dan mengumpulkan bekalan daun ketum daripada orang kampung.

    Katanya, tindakan itu dibuat kerana bekalan daun yang dipetik sendiri tidak cukup untuk menampung permintaan pembeli terutama dari sekitar Teluk Intan.

    “Suspek terlibat dalam perniagaan ini sejak enam bulan lalu. Dia ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 atas kesalahan memiliki daun ketum,” katanya.

  • Penyelam warga Eropah disahkan maut

    Penyelam warga Eropah disahkan maut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol di sini, Rabu lalu disahkan sudah meninggal dunia hari ini.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, mangsa, Nathen Renze, 14, difahamkan sudah hanyut ke perairan Indonesia.

    Jelas beliau, bapanya, Adrian Peter Chesters, 46, yang juga seorang daripada empat penyelam yang hilang dan ditemukan pukul 1 pagi ini, memberitahu dan mengesahkan perkara itu.

    “Menurut bapanya, anaknya itu sudah meninggal dunia akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Rabu lalu, empat penyelam warga Eropah hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol.

    Mangsa pertama iaitu jurulatih penyelam dari Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat berhampiran Pulau Tokong Sanggol dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam.

    Sementara dua lagi mangsa, Adrian yang merupakan warga British dan warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, ditemui nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan pada jam 1 pagi tadi.

  • Kementerian Luar nafi dakwaan 10,000 rakyat Malaysia berada di Thailand secara tidak sah

    Kementerian Luar nafi dakwaan 10,000 rakyat Malaysia berada di Thailand secara tidak sah

    KEMENTERIAN Luar Negeri hari ini menegaskan dakwaan terdapat 10,000 orang rakyat Malaysia masih berada di Thailand secara tidak sah atau lebih masa adalah tidak berasas sama sekali dan jika pun ada yakin jumlah itu adalah jauh lebih kecil.

    Kementerian berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 orang warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air.

    “Berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini, hanya terdapat 72 orang warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan.

    “Bilangan ini adalah sebahagian daripada 444 orang warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral,” jelas kenyataan itu.

    Kenyataan itu mengulas laporan media tempatan yang mendakwa lebih 10,000 rakyat Malaysia terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.

    Media melaporkan keadaan itu berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup. 

    Kementerian berkata, Kerajaan Thailand pada Februari 2021 telah mengumumkan supaya semua warganegara asing yang memegang visa pelancong/jangka pendek untuk meninggalkan negara itu atau akan dikenakan penalti sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

    “Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand telah membantu daripada segi pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon pelanjutan tempoh visa di Thailand.

    “Manakala Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia,” katanya.

    Warganegara Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput dinasihatkan untuk hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi membolehkan pihak konsulat menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

    Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian (6674) 311 062 / 316 274 ataupun Email [email protected] Bernama

  • Seorang maut, 2 cedera kemalangan MPV dengan lori

    Seorang maut, 2 cedera kemalangan MPV dengan lori

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG terkorban manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan pemandu MPV jenis Perodua Alza, Mohamad Fikri Mohd. Zuki, 27, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya yang menerima panggilan pukul 12.09 tengah hari bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan MPV berkenaan dengan sebuah lori tanpa muatan.

    “Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Alza iaitu Perodua Alza iaitu pemandu yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta dua penumpang lelaki dan wanita yang cedera.

    Selepas kemalangan pemandu lori tidak diketahui kerana tiada di tempat kejadian ketika bomba tiba

    “Bagaimanapun, pemandu lori tidak diketahui kerana tiada di tempat kejadian ketika bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pasukan bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas menyelamat.

    Jelasnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 40 minit kemudian sebelum diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans.

    Jelasnya, operasi itu yang dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor tamat sepenuhnya pukul 1.37 petang.

  • Lelaki rentung terperangkap dalam bilik

    Lelaki rentung terperangkap dalam bilik

    SEORANG lelaki rentung selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan bilik di sebuah rumah di Jalan Utara Taman King Fook. Tawau, pada pukul 11 pagi tadi.

    Mangsa, S. Yogeswaran yagn berusia 35 tahun ditemui rentung oleh pasukan bomba di biliknya.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.17 pagi.

    “Seramai 14 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari BBP Tawau.

    “Kebakaran melibatkan sebuah bilik yang terbakar 100 peratus dan berjaya dipadam sebelum jentera tiba. Pasukan bomba bertindak membuka pintu utama rumah berkenaan untuk pengudaraan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat seorang mangsa lelaki ditemui dalam bilik berkenaan dalam keadaan rentung,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • RUU lompat parti bakal manfaatkan kluster mahkamah untuk bubar Parlimen?

    RUU lompat parti bakal manfaatkan kluster mahkamah untuk bubar Parlimen?

    PERUNTUKAN yang ada dalam rang undang-undang (RUU) anti lompat parti yang kini hangat diperkatakan bakal memberi kelebihan kepada kumpulan kluster Mahkamah UMNO yang sedang mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengadakan pilihan raya lebih awal.

    Menurut laporan MalaysiaNow, perkara itu dinyatakan oleh beberapa ahli Parlimen parti Melayu itu yang menentang berkenaan.

    Selain boleh menyebabkan wakil rakyat kehilangan kerusi jika mereka melompat parti selepas dipilih, RUU itu juga boleh menyebabkan mereka yang dipecat daripada parti hilang kerusi yang diwakili, walaupun pemecatan itu dibuat secara tidak sah, tidak adil atau dilakukan dengan penuh kontroversi.

    Hal ini timbul ekoran undang-undang berasingan yang memberikan hak mutlak kepada parti politik jika ia melibatkan penyingkiran ahli.

    Di bawah Akta Pertubuhan 1966, sebarang keputusan parti politik berkaitan hal ehwal organisasinya tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Ini bermakna ahli Parlimen dipecat akibat lantang menentang dasar parti boleh menyebabkannya kehilangan kerusi yang diwakili tanpa boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang.

    “Jadi, jika dibaca bersama RUU anti lompat, ia seakan pucuk dicita ulam mendatang kepada kluster mahkamah dalam UMNO, yang semua orang tahu mempunyai kawalan ke atas proses disiplin parti,” kata seorang ahli Parlimen UMNO yang tidak mahu dikenali kepada MalaysiaNow.

    Kluster mahkamah adalah gelaran terhadap sekumpulan bekas pemimpin kerajaan dan ahli Parlimen yang menghadapi pertuduhan jenayah diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Akhir tahun lalu, Najib gagal dalam rayuannya di mahkamah untuk membatalkan sabitan rasuah melibatkan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

    Beliau kini dalam proses rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengelak hukuman penjara 12 tahun.

    Sementara itu, Zahid yang dibicarakan atas kes rasuah diperintah oleh mahkamah untuk membela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan jutaan ringgit melibatkan sebuah yayasan kebajikan.

    Prosiding mahkamah tersebut dijadualkan bermula akhir bulan ini.

    Ketika Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu, Najib dan Zahid mengetuai kempen supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.

    Mereka berharap kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini dapat diulangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan penguasaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tumbang pada 2018.

    Pemerhati politik secara umumnya bersetuju sikap tidak ambil peduli dalam kalangan pengundi pada PRN yang diadakan sepanjang tempoh pandemik adalah punca kadar peratusan keluar mengundi dicatatkan paling rendah dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

    Menurut mereka, keadaan itu membolehkan UMNO mengumpul undi penyokong tegarnya sekali gus dapat mengembalikannya ke tampuk pentadbiran.

    Ramai juga pemerhati politik mengaitkan keghairahan Najib dan Zahid yang mahu PRU diadakan lebih awal sebagai strategi untuk mengelak daripada pertuduhan jenayah di mahkamah melalui penguasaan kerajaan persekutuan yang dinikmati UMNO sebelum PRU-14.

    Bagaimanapun, dua pemimpin itu menghadapi tentangan hebat bukan sahaja daripada Ismail Sabri Yaakob yang mendapat sokongan sebagai Perdana Menteri daripada musuh UMNO, iaitu Perikatan Nasional (PN), malah turut ditentang anggota Kabinet UMNO dan BN yang turut menentang kluster mahkamah.

    “Jika RUU anti lompat parti ini menjadi undang-undang dan diwartakan, Zahid dan Najib ada serampang dua mata: pertama, mereka boleh bersihkan parti daripada ahli Parlimen dan menteri yang anti kluster mahkamah, dan akibatnya, kerajaan Ismail jatuh kerana ahli Parlimen yang menentang mereka kehilangan status (sebagai wakil rakyat),” kata sumber yang rapat dengan UMNO Johor.

    Sokongan Zahid terhadap undang-undang anti lompat adalah tidak selari dengan pendirian UMNO sejak beberapa dekad lalu, di mana parti itu dilihat menarik wakil rakyat pembangkang bagi meningkatkan bilangan sokongannya.

    Pada 1990-an, ketiadaan undang-undang anti lompat parti memberikan kelebihan kepada UMNO dalam usaha menjatuhkan kerajaan Kelantan yang dipimpin Pas.

    Perkara yang sama turut berlaku pada 2009 apabila ia mendalangi kejatuhan pentadbiran Perak yang diterajui DAP.

    Walaupun butiran penuh mengenai cadangan undang-undang anti lompat parti masih belum diumumkan, Zahid menjadi antara penyokong utamanya termasuk beberapa pemimpin daripada PKR.

    Ketika ditanya sama ada RUU itu mengambil kira kuasa luas yang diberikan kepada parti politik di bawah Akta Pertubuhan, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengelak daripada memberikan butiran lanjut.

    “Kami masih dalam proses merangka RUU ini, dan saya tidak akan bincang mengenainya secara terbuka lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Pada 7 April, Wan Junaidi yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa pemandu MoU kerajaan dan PH mengatakan rancangan bagi menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti masih diteruskan di mana draf awal akta itu akan diedarkan sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April.

    Beliau berkata, pindaan juga akan dibentangkan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling cause) di bawah Perkara 10 Perlembagaan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baru berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

    Namun, pindaan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada ahli Parlimen.

    Parti tidak stabil boleh kucar-kacirkan kerajaan?

    Selain memberi kelebihan kepada pemimpin UMNO yang begitu ghairah mahu PRU diadakan lebih awal, timbul juga persoalan sama ada draf undang-undang anti lompat parti yang ada ketika ini akan disalahgunakan oleh parti politik yang mempunyai sejarah panjang pergolakan dalaman.

    “Lebih mudah untuk tukar pemimpin kerajaan kerana parti politik mahu begitu.

    “Dan tidak akan ada lagi keperluan untuk mengadakan muslihat politik yang kita pernah saksikan satu ketika dulu di Kajang,” kata sumber dalaman PKR, merujuk Langkah Kajang pada 2014, di mana Anwar Ibrahim gagal dalam rancangan menaikkan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor dengan memaksa pilihan raya kecil (PRK) diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

    Bagaimanapun, rancangan itu mendapat tentangan dari Pas yang ketika itu merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

    Kelompongan kuasa berlaku selepas menteri besar ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan sementara Sultan Selangor menolak pencalonan Wan Azizah.

    Sumber PKR itu berkata, undang-undang anti lompat parti yang turut merangkumkan pemecatan ahli parti akan memudahkan pemimpin kerajaan yang tidak selari dengan pemimpin tertinggi parti dipecat daripada jawatannya.

    “Dan jika dilihat dalam konteks parti politik yang tidak stabil dan sentiasa bergolak seperti PKR, ia bermakna PRK akan diadakan lebih kerap jika wakil rakyat dipecat daripada parti,” tambahnya.

    Ketika dihubungi MalaysiaNow, jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, senario seperti itu mungkin boleh berlaku, namun mengatakan masih terlalu awal untuk mengulas mengenainya.

    “Ia (RUU anti lompat parti) belum dibentangkan. Jadi kita tidak tahu tentang kandungannya. Lagipun, ia belum dibentangkan apatah lagi untuk diwartakan,” katanya.