Author: Admin

  • Lebih 3 tan gelatin lembu dari China dirampas

    Lebih 3 tan gelatin lembu dari China dirampas

    LEBIH tiga tan atau 3,000 kilogram (kg) gelatin lembu dari Shandong, China yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

    Rampasan barang dagangan bernilai kira-kira RM40,322 itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin Maqis Pulau Pinang di Terminal Kargo Zon Bebas Butterworth (BWCT) di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth.

    Maqis Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, produk yang dimuatkan di dalam kontena atau kargo itu dirampas kerana disyaki dibawa masuk tanpa menggunakan permit import Maqis yang sah.

    Sehubungan itu katanya, kesemua dagangan tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].

    “Sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, Maqis Pulau Pinang sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap setiap keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara ini bagi memastikan keluaran pertanian tersebut sama ada komoditi pertanian, ikan dan haiwan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

    Katanya, ini bagi menjamin keselamatan makanan serta bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat.

  • Untitled post 32559

    Tarikh debat Najib, Anwar diumum hujung minggu ini…

    Tak ada faedah… sekupang pun tak guna.

  • Tarikh debat Najib-Anwar diumum hujung minggu ini

    Tarikh debat Najib-Anwar diumum hujung minggu ini

    TARIKH debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu Sapura Energy Bhd (SEB) akan diumumkan dalam satu sidang akhbar pada hujung minggu ini.

    Menurut Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, sidang akhbar tersebut akan turut mengumumkan lokasi dan pihak media yang bakal menyiarkan debat berkenaan.

    “Perkara itu telah dibincangkan secara bersama dengan wakil Najib iaitu Isham Jalil yang merupakan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor.

    “Semalam, 13 April 2022, dalam pertemuan pukul 4 petang (Isham bertiga, saya juga bertiga), saya ulang pendirian Datuk Seri Anwar supaya debat diadakan secepat mungkin dalam bulan Ramadan dan Isham tetap dengan pandangan masa sesuai ialah selepas raya.

    “Beberapa tarikh khusus dibincang tapi belum di muktamad. Kami juga bersetuju permakluman debat akan dibuat secara bersama dalam satu sidang media hujung minggu ini. Jadi, sebarang tarikh yang dibayangkan Isham atau Datuk Seri Najib itu belum dipersetujui atau disahkan.

    “Bukan fait accompli. Kita ikutlah proses. Isham ada dua saksi, saya pun ada dua saksi. Tapi saya tak tahu lah kalau admin Facebook berbayar Datuk Seri Najib antara dua saksi semalam. Jadi kita tunggu pengumuman rasmi bersama hujung minggu ini,” katanya.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Fahmi berkata, menerusi dua siri pertemuan yang diadakan, Isham tetap dengan pendiriannya untuk mengadakan debat selepas bulan Ramadan.

    Tambah beliau, bekas pegawai khas Najib itu juga mencadangkan agar acara tersebut dilaksanakan dengan menggunakan format wacana dan bukannya debat.

    Anwar dan Najib sebelum ini telah menyatakan persetujuan untuk berdebat mengenai isu keperluan untuk menyelamatkan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia, SEB yang ketika ini mengalami krisis kewangan yang teruk.

    SEB yang juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaporkan mencatat kerugian sebanyak RM8.9 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.

  • Kenal di WhatsApp, akhirnya buruh dituduh rogol pelajar sekolah

    Kenal di WhatsApp, akhirnya buruh dituduh rogol pelajar sekolah

    MENERUSI aplikasi WhatsApp, seorang buruh berkenalan dengan seorang anak gadis yang masih di bangku sekolah.

    Lelaki itu sudah berusia 25 tahun manakala gadis tersebut berumur 14 tahun 5 bulan – hampir separuh daripada usianya.

    Perkenalan mereka kemudian membawa kepada insiden rogol di sebuah rumah pada 9 September tahun lalu.

    Dan hari ini, buruh tersebut, Raja Mohd. Yusof Raja Husin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merogol mangsa, lapor Berita Harian, hari ini.

    Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Marang, kira-kira pukul 3 pagi 9 September 2021.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, dan tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi sepanjang tempoh prosiding berlangsung.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Bekas CEO mengaku tidak bersalah terima rasuah keluarkan sijil, transkrip

    Bekas CEO mengaku tidak bersalah terima rasuah keluarkan sijil, transkrip

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah kolej di Jengka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari in atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi tujuan mengeluarkan sijil dan transkrip, lapan tahun lalu.

    Tertuduh, Amran Mustaffa, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

    Bapa kepada sembilan anak itu didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menerima rasuah RM5,000 daripada Muhammad Izhar Ismail melalui pengurus sebuah syarikat, Noralyra Ismail sebagai upah untuk mengeluarkan sijil dan transkrip program asasi sains di kolej terbabit tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut pada 21 dan 24 Oktober 2015, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

    Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Sebelum itu, Pendakwa Raya SPRM, Kamariah Seman yang mengendalikan kes menawarkan kos ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Namun, peguam mewakili Amran, Ahmad Mawardi Che Hassan memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan isteri dan sembilan anak yang masih bersekolah.

    “Anak guam saya sudah dipecat daripada jawatannya selepas digantung kerja sejak 2019. Sepanjang lima tahun siasatan anak guam saya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM,” ujarnya.

    Ahmad Zamzani kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei depan.

  • Polis sahkan OKT mati mengejut dalam lokap di Kajang

    Polis sahkan OKT mati mengejut dalam lokap di Kajang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan, mati mengejut dalam tahanan di lokap Balai Polis Kajang, Selangor, semalam.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata lelaki berusia 45 tahun itu, telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Beliau berkata, Orang Kena Tahan (OKT) itu tiada penjamin, dan ditumpangkan di Lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang, Kuala Lumpur, bagi tahanan reman.

    “(Namun) Pada 13 April (semalam) jam 10.32 pagi, anggota bertugas lokap dimaklumkan OKT disyaki sawan dan telah menghubungi pihak hospital. Pihak hospital telah hadir jam 10.45 pagi bagi membuat pemeriksaan, dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Semasa dalam perjalanan ke hospital, penolong pegawai perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau juga memaklumkan, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut. – Bernama

  • PRU-15: Bersatu bincang elak pertembungan kerusi

    PRU-15: Bersatu bincang elak pertembungan kerusi

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak bersependapat bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, usaha itu akan diteruskan selepas sambutan Aidilfitri kelak, lapor Sinar Harian.

    “Bulan puasa ini perlahan sikit. Mungkin selepas raya dengan keadaan mengizinkan kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

    Cadangan untuk bergabung di dalam PRU-15 itu timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.

    Muhyiddin dilihat sebagai calon paling layak mengemudi pakatan baharu itu, namun setakat ini, belum ada sebarang perjumpaan atau perbincangan rasmi antara parti yang berminat.

  • Empat sahabat didakwa bunuh seorang lelaki

    Empat sahabat didakwa bunuh seorang lelaki

    EMPAT sahabat didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan membunuh seorang lelaki awal bulan ini.

    Tertuduh, M. Mukuntan, 33, yang memakai baju T bewarna maroon hitam, S. Mahadevan, 40 (putih), A. Chandramani, 36 (merah) dan S. Tharma, 30 (biru) mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh M. Danesh, 30, di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada pukul 5.27 pagi pada 3 April lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

    Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh.

    Mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam, pada pukul 5.56 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

    Susulan kejadian itu, pihak polis menahan empat lelaki berusia 30 hingga 40 tahun di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang bagi membantu siasatan.

  • Suspek terlibat dua kes langgar lari dikenal pasti

    Suspek terlibat dua kes langgar lari dikenal pasti

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes langgar lari melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 16, Jalan Johor Bharu-Air Hitam, Iskandar Puteri, pada pukul 9 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan polis kejadian tersebut sudah dibuat terhadap suspek yang memandu kereta jenis Toyota CH-R merah.

    “Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

    “Suspek sudah dikenal pasti dan sedang dikesan untuk diambil keterangan. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tular video berdurasi 34 dan 23 saat memaparkan sebuah kereta melanggar sebuah motosikal sebelum bertindak melarikan diri.

    Selain itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sedang menyiasat satu lagi kes langgar lari melibatkan suspek di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada pukul 9.30 malam Isnin.

    Tambah beliau, laporan polis juga sudah dibuat terhadap kes berkenaan.

  • Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya ‘pegawai insurans’

    Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya ‘pegawai insurans’

    SEORANG kontraktor wanita dari Beaufort kerugian RM294,118 selepas terpedaya dengan panggilan telefon yang menggunakan taktik ‘Macau Scam’, lima bulan lalu.

    Mangsa yang juga warga emas menyedari ditipu apabila cuba membuat pengeluaran dari bank akaun miliknya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berdasarkan laporan, mangsa, 60, mendakwa menerima panggilan daripada orang tidak dikenali pada 12 November lalu.

    Katanya, pemanggil berkenaan mengaku sebagai pegawai insurans dan mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM75,000 yang mencurigakan.

    “Panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu nama mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

    “Untuk ‘membersihkan’ nama, mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Yusoff Zaki berkata, mangsa turut diminta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan selain diarahkan supaya memberikan nombor akaun, nombor PIN dan kata laluan bank milik mangsa.

    Katanya, mangsa turut diberi peringatan supaya tidak mengemas kini akaun milik mangsa serta tidak berhubung dengan orang lain kononnya bagi tujuan supaya tidak mengganggu siasatan polis.

    “Bagaimanapun, selepas lima bulan, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila mendapati wang miliknya lesap ketika cuba membuat pengeluaran wang dari akaun bank, semalam.

    “Mangsa terus membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.