Author: Admin

  • Ku Li setuju desakan pinda perlembagaan UMNO

    Ku Li setuju desakan pinda perlembagaan UMNO

    VETERAN UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah setuju dengan desakan ahli akar umbi berkenaan keperluan meminda perlembagaan parti.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, ini kerana perlembagaan perlu seiring dengan situasi semasa, bagi memastikan tahap kepatuhan tinggi kerana ada kalangan ahli melanggar peraturan ditetapkan.

    “Saya setuju syarat buat begitulah. Jangan syarat nak pinda, 3 tahun kemudian baru ada pemilihan, tak kenalah. Tarikh mesti ditetapkan.

    “Macam syarikat juga, akaun sudah cukup atau genap setahun, maka ada masa dua tiga bulan mesti diadakan mesyuarat agung untuk bentangkan penyata dan untuk memilih pengarah-pengarah baharu.

    “Sama juga dalam badan sukarela, seperti parti pun mesti ditetapkan awal. Jangan ada nak ubah-ubah, saya rasa tak adil,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan, Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 bagi melakukan pindaan perlembagaan berkaitan tempoh pemilihan parti.

    Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan persidangan terbabit dibuat sebagaimana keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021.

  • 2,350 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan

    2,350 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 2,350 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan polis Johor dalam Operasi Khas Samseng Jalanan selama seminggu bermula 9 April lalu hingga semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, operasi bersepadu itu turut menahan 42 individu berusia 14 hingga 53 tahun mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Beliau memberitahu, menerusi operasi khas itu, 12,815 individu dan 10,035 kenderaan, termasuk 3,723 motosikal diperiksa.

    “Daripada jumlah berkenaan, 208 kenderaan telah diambil tindakan sita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    “Operasi khas ini bertujuan menangani isu mat rempit yang sangat sinonim dengan aktiviti lepak, konvoi, ubah suai motosikal dan berani melakukan aksi-aksi berbahaya seperti lumba haram, ‘wheelie’, ‘superman’ dan lain-lain yang jelas membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

    “Menjadi kebanggaan dalam kalangan mereka apabila berjaya melakukan aksi-aksi terbabit untuk dimuat naik dalam media sosial seperti Tik Tok, Instagram dan lain-lain platform media sosial.

    “Budaya ini menjadi trend semasa, malah mereka tidak serik walaupun beberapa kali kemalangan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, fokus operasi itu juga adalah di lebuh raya, khusus mengesan kumpulan penunggang motosikal berkonvoi dan melakukan aksi bahaya seperti yang selalu tular di media sosial.

    “Operasi ini akan terus dijalankan dalam memastikan budaya ini dapat dibendung dan dikekang secara serius,” katanya.

  • Warisan enggan bicara kerjasama dengan pembangkang termasuk Muda

    Warisan enggan bicara kerjasama dengan pembangkang termasuk Muda

    PARTI Warisan (Warisan) berkawan dengan semua parti politik tanpa mengira pihak berkenaan pembangkang ataupun kerajaan.

    Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bagaimanapun pada ketika ini pihaknya enggan menyentuh pendekatan berkaitan soal kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    “Sebagai parti blok pembangkang, kita (Warisan) berkawan dengan semua pihak. Kita kawan dengan semua orang, saya tiada musuk dengan mana-mana pihak. Contohnya dengan DAP kita kawan dan UMNO pun kita kawan juga, semua kawan saya.

    “Tiada makna kita seorang rakyat tapi tiada kawan. Namun dalam keadaan politik seperti saya nyatakan, kita adalah pembangkang,” katanya ditemui di Majlis Iftar Ramadan Bersama Presiden Warisan dengan masyarakat setempat di Kota Marudu malam tadi, lapor Utusan Borneo.

    Baru-baru ini, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hubungan Muda dan Warisan akan terus kekal biarpun parti tersebut melebarkan sayapnya ke Sabah.

    Syed Saddiq berkata, hubungan dengan Warisan sentiasa baik malah selepas PRN Johor, beliau sentiasa berhubung dengan Mohd Shafie melalui panggilan telefon.

    Mengulas lanjut, Mohd. Shafie menegaskan walaupun Warisan bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) namun, mereka tetap ahli pembangkang yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat apabila ada keperluan mengundi di Parlimen.

    Katanya, sekiranya ada isu atau akta yang memerlukan undi Warisan, mereka bersedia mengundi asalkan ia demi kepentingan negara dan rakyat.

    Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pendirian Warisan cukup tegas dalam sesuatu perkara dan terkadang mereka tidak mengundi kerana sesetengah perkara perlu mempunyai nilai-nilai yang penting untuk diperjuangkan di peringkat negeri.

  • Rafizi berdepan saman fitnah bekas bos Sapura Energy

    Rafizi berdepan saman fitnah bekas bos Sapura Energy

    NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli dijangka berdepan saman fitnah yang difailkan oleh bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

    Memetik laporan FMT, peguam Shahril sebelum ini mengemukakan surat tuntutan maaf kepada Rafizi ekoran kenyataan yang dikeluarkannya semasa bertikam lidah dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang isu Sapura Energy Berhad,

    Surat itu turut menuntut tiga artikel didakwa berunsur fitnah terhadap Shahril ditarik balik.

    Tarikh akhir yang diberikan kepada Rafizi untuk mematuhi tuntutan itu tamat pada Selasa lepas, dan peguam Shahril dijangka akan memfailkan saman fitnah di mahkamah.

    Beliau tersinggung dengan dakwaan Rafizi bahawa pemegang-pemegang saham majoriti Sapura Energy, dipimpin Shahril, memperolehi sejumlah RM1.33 bilion, yang mana RM1.1 bilion adalah gaji dan selebihnya bayaran lain dan dividen.

    Rafizi mendakwa bayaran itu tiga kali ganda RM440 juta dividen yang syarikat itu bayar kepada pemegang saham lain.

    Walau bagaimanapun, peguam Shahril menafikan bahawa anak guamnya menerima imbuhan RM1.1 bilion.

    Surat tuntutan kepada Rafizi menjelaskan jumlah keseluruhan imbuhan yang diperolehi Shahril antara 2013 dan 2021 berjumlah RM486 juta, dan ia diberikan selepas beliau mencapai dan memenuhi petunjuk prestasi utama tertentu. Perkara ini diketahui umum, tambahnya.

    Menurut surat itu lagi, imbuhan dibayar kepada semua pengarah eksekutif Sapura Energy, termasuk Shahril, berdasarkan keuntungan operasi yang mencerminkan prestasi pengurusan sebenar.

    Laporan tahunan bagi tempoh tersebut juga menunjukkan keuntungan selepas cukai Sapura Energy dan kepentingan minoriti, tidak termasuk rosot nilai, berjumlah RM4.74 bilion berbanding hasil RM66.27 bilion.

    Shahril juga bersetuju suatu perjanjian pinjaman dikenakan ke atas saham pegangannya di Sapura Energy dan diri sendiri, berhubung kemudahan bernilai kira-kira RM18 bilion yang diberikan kepada syarikat itu.

    Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam suntikan RM532 juta ke dalam Sapura Energy, ketika isu terbitan hak pada 2019.

    Tindakan beliau bersetuju dengan perjanjian-perjanjian yang dikenakan ke atasnya itu membuktikan komitmen Shahril kepada syarikat, “bukannya individu yang memperkayakan diri sendiri dengan mengorbankan Sapura (Energy), seperti yang dicadangkan oleh artikel-artikel terbabit,” kata peguam.

    Shahril juga menyanggah dakwaan Rafizi bahawa gaji dan bonus beliau diikat pada harga saham Sapura Energy.

    Ikatan itu didakwa menyebabkan Sapura Energy tergesa-gesa membida projek-projek di serata dunia, tanpa mengira sama ada ia boleh dilaksanakan, dan menanggung hutang yang banyak.

    “Harga saham tidak menjadi sebahagian daripada petunjuk prestasi utama yang memberi kesan ke atas imbuhan pengarah-pengarah eksekutif,” menurut surat tuntutan itu.

    Surat itu menjelaskan pengarah-pengarah eksekutif Sapura Energy dibayar berdasarkan prestasi tahun sebelumnya, dan juga suatu pelan insentif jangka masa panjang yang turut diguna pakai bagi 100 kakitangan Sapura berprestasi tinggi lain.

    Peguam berkata urusan pampasan itu harus melepasi proses dalaman yang ketat sebelum diluluskan oleh lembaga pengarah.

    “Pada dasarnya, anak guam kami diberi imbuhan selepas mencapai dan memenuhi semua petunjuk prestasi utama yang khusus,” kata peguam itu.

  • Awas tawaran ‘Geran Membaiki Kediaman’, taktik curi data peribadi di media sosial

    Awas tawaran ‘Geran Membaiki Kediaman’, taktik curi data peribadi di media sosial

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik terbaharu cubaan untuk mendapatkan data peribadi (phishing) melalui hantaran mesej di media sosial.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata berdasarkan risikan dilakukan pihaknya, pengguna laman sosial akan menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang seterusnya menawarkan geran kewangan dinamakan ‘Home Improvement Grant’.

    “Geran tersebut didakwa sebagai program dikendalikan beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama bank dunia untuk membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan.

    “Sekiranya berminat, pemohon diminta mengisi maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa maklumat lain yang dinyatakan dalam borang permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohd Kamarudin bagaimanapun berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan perkara itu, namun mengingatkan orang ramai bahawa tindakan mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali adalah satu tindakan berbahaya.

    Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada kerana maklumat peribadi merupakan data yang berpotensi untuk disalahgunakan seandainya diperoleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Katanya, orang ramai boleh membuat semakan secara terus dengan agensi atau kementerian yang bertanggungjawab bagi tujuan permohonan bantuan ataupun geran daripada pihak kerajaan dan tidak sesekali mempercayai mesej diterima daripada pihak ketiga.

    Bagi sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial, orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Center menerusi talian 03-26101559 atau 03- 26101599. – Bernama

  • TMJ-Rina bertemu esok bincang kes Bella

    TMJ-Rina bertemu esok bincang kes Bella

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan bertemu Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun esok.

    Tunku Ismail berkata, pertemuan itu bagi membincangkan kes remaja orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

    Selain itu, menerusi pertemuan terbabit juga, baginda akan mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan kes seumpama itu tidak lagi berlaku.

    “Esok saya akan berjumpa dengan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk membincangkan isu kes Bella dan mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan kes sebegini tidak lagi berlaku,” katanya.

    Tunku Mahkota Johor berkata demikian dalan hantaran terbaharu yang muat naik dalam Facebook HRH Crown Prince Of Johor, hari ini.

    Semalam, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella.

    Tunku Ismail menegaskan, akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran itu.

    Tawaran tersebut susulan isteri beliau, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dilapor sedia membantu Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

    Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.

    Perbicaraan kes itu turut mendapat perhatian dan menjadi perdebatan bagi rakyat yang melihat seolah-olah nasib Bella seperti tidak diperjuangkan sedangkan remaja berusia 13 tahun itu merupakan seorang OKU dan telah menerima penganiayaan.

    Siti Bainun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Singapura usaha kurangkan tempoh proses VEP kepada 3 minggu

    Singapura usaha kurangkan tempoh proses VEP kepada 3 minggu

    PENGUASA Pengangkutan Darat (LTA) Singapura hari ini memaklumkan LTA berusaha untuk mempercepat proses permohonan Permit Masuk Kenderaan (VEP) sejak sempadan darat dibuka pada 1 April 2022.

    “Dengan pertambahan sumber, masa pemprosesan VEP dijangka dapat dikurangkan kepada tiga minggu berbanding tujuh minggu.

    “Sehingga kini, LTA telah menerima kira-kira 120,000 permohonan VEP,” menurut LTA dalam laman sesawangnya.

    Di samping itu, menurut LTA pemohon akan dimaklumkan mengenai jangkaan masa pemprosesan ketika memohon.

    Sejak permohonan dibuka pada 31 Mac 2022, kira-kira 50,000 atau 40 peratus permohonan telah diluluskan lebih awal daripada tarikh ditetapkan.

    LTA memberi jaminan bahawa baki permohonan dijangka dapat diproses dalam tempoh tiga minggu dan menasihatkan pengembara untuk merancang perjalanan lebih awal.

    Permohonan VEP mesti dibuat menerusi perkhidmatan dalam talian terlebih dahulu melalui Perkhidmatan Digital VEP di laman sesawang OneMotoring LTA.

    Pemohon juga harus memastikan semua salinan dokumen yang diperlukan lengkap seperti kad pengenalan atau pasport, Kad Pas Imigresen, Sijil Pendaftaran Kenderaan (Perakuan Pendaftaran Kenderaan), Sijil Insurans Kenderaan (Sijil Insurans) dan cukai jalan kenderaan.

    Pemandu kenderaan asing mesti mempunyai e-mel kelulusan VEP LTA dan kad Autopass yang sah sebelum ke Singapura.

    Mereka yang tidak mempunyai kad Autopass mesti merujuk kepada e-mel kelulusan VEP LTA untuk mendapatkan arahan mengambil kad Autopass di Pusat Servis Johor Bahru LTA, di 34, Jalan Tun Abdul Razak Susur 1, 80000, Johor Bahru, Johor, sebelum memasuki Singapura. – Bernama

  • 424,000 kanak-kanak bergelut masalah kesihatan mental – MYCAPs

    424,000 kanak-kanak bergelut masalah kesihatan mental – MYCAPs

    BERDASARKAN statistik tinjauan kesihatan dan morbiditi Malaysia pada 2019, dianggarkan 424,000 kanak-kanak bergelut dengan masalah kesihatan mental yang menggambarkan isu kesihatan mental dalam kalangan golongan itu di negara ini sebagai satu epidemik.

    Persatuan Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MYCAPs) memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan.

    “Menurut WHO dalam 50 peratus, masalah kesihatan mental bermula sebelum mereka berumur 14 tahun dan 75 peratus bermula pada umur 20an,” menurut persatuan itu dalam kenyataan bersempena Hari Kesihatan Mental Bayi, Kanak-kanak dan Remaja Sedunia yang akan disambut 23 April ini.

    Menurut MYCAPs, pencegahan masalah kesihatan mental perlu bermula dari seawal usia bayi, dengan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka melalui penyediaan persekitaran berkualiti dan sejahtera. 

    Ini termasuk memastikan persekitaran mereka sentiasa selamat, stabil dan penuh kasih sayang.

    “Keperluan kesihatan mental kanak-kanak termasuklah menerima kasih sayang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa. Kanak-kanak perlu berada dalam persekitaran yang selamat, tenteram dan terjamin serta mereka tahu adanya sokongan.

    “Di samping itu, peluang untuk mereka bermain dengan kanak-kanak lain, dapat memberi kesempatan untuk mereka membina keyakinan dan harga diri,”  menurut kenyataan itu. 

    Pada masa ini, banyak kanak-kanak membesar dalam persekitaran rumah tidak selamat yang mana ibu bapa mereka tiada secara fizikal atau emosi.

    “Bagi peringkat kanak-kanak dan remaja pula, ibu bapa perlu menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta memberikan mereka ruang untuk bercakap tanpa bersikap kritikal dan menghakimi,” menurut kenyataan itu. 

    Menurut MYCAPs, kesihatan mental yang baik mendorong perkembangan, pencegahan, pemulihan dan daya tahan untuk kanak-kanak membesar dengan sihat bagi mencapai potensi, membentuk resilien dan peribadi positif apabila meningkat dewasa. – Bernama

  • Suami isteri jual dadah dalam peket minuman 3 dalam 1 ditahan polis

    Suami isteri jual dadah dalam peket minuman 3 dalam 1 ditahan polis

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    TAKTIK sepasang suami isteri yang menjual dadah dalam peket minuman pelbagai perisa 3 dalam 1 untuk mengaburi mata pihak berkuasa tidak bertahan lama apabila mereka ditahan polis Pulau Pinang Rabu lalu.

    Pasangan berusia 38 dan 31 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sebuah rumah di Simpang Ampat.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah daripada pasangan berkenaan 164 bungkus plastik mengandungi serbuk dadah MDMA seberat 4,209.88 gram (g) dan empat keping aluminium foil mengandungi dadah erimin seberat 7.66 g.

    Turut dirampas adalah lima paket plastik dadah jenis syabu seberat 27.64 g; satu peket plastik ketamin seberat 5.42 g; dan empat peket plastik pil ekstasi seberat 9.52 g.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Lee Chong Chern berkata, kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM214,776.

    Jelasnya, pasangan terbabit yang mempunyai seorang anak berusia 7 tahun mula aktif menjual dadah itu sejak awal tahun ini pada harga kira-kira RM100 sepeket malah turut menawarkan harga diskaun bagi pelanggan yang membeli lebih 10 peket.

    “Pasangan ini dipercayai menjual dadah kepada orang tengah terlebih dahulu sebelum dipasarkan khususnya di sekitar pusat hiburan.

    “Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 851 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS hari ini.

    Menurut beliau, dalam serbuan sama polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM28,000; seutas rantai leher (RM7,176) serta seutas rantai tangan dan gelang tangan masing-masing bernilai RM1,332 dan RM732 daripada pasangan terbabit untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, ujian air kencing pasangan terbabit pula mendapati si suami positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin manakala si isteri positif methamphetamine.

    “Pasangan ini kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Bantu along, pekerja restoran dipenjara 3 tahun, denda RM20,000

    Bantu along, pekerja restoran dipenjara 3 tahun, denda RM20,000

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan didenda RM20,000 terhadap seorang pekerja restoran selepas mengaku bersalah melakukan khianat bagi membantu kegiatan ceti haram atau along.

    Astro Awani melaporkan, Pua Chee Kang, 39, membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan terhadapnya di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan rumah kediaman milik seorang individu pada 6 Februari 2021 di Taman Krubong Utama, Melaka.

    Tertuduh juga didakwa menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan terhadap dua motosikal serta sebuah kereta jenis Perodua Bezza selain turut menyebabkan kerosakan parkir rumah kediaman milik individu lain yang menyebabkan kerugian RM15,000.

    Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.30 pagi pada 18 Februari 2021 di Taman Seri Krubong, Melaka.

    Selain itu, tertuduh bersama seorang rakannya Chiong Nyong Mok juga didakwa bersama-sama melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kerosakan sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam pada 9 Mac 2021.

    Nyong Mok bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan.

    Bagi pertuduhan keempat, Chee Kang turut didakwa melakukan satu lagi kesalahan lain membabitkan sebuah kediaman lain di Taman Malim Jaya pada 17 Januari 2021.

    Bagi semua pertuduhan itu, Chee Kang yang juga bapa enam anak didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

    Hakim Maziah Joary menetapkan hukuman penjara tiga tahun masing-masing bagi dua pertuduhan disebut di hadapannya manakala Hakim Nariman pula menetapkan hukuman yang sama bagi dua pertuduhan di hadapannya dengan tambahan denda RM20,000.

    Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 19 Mac 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim, Intan Lyiana Zainal Abidin dan Anis Najwa Nazari manakala tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh.