Author: Admin

  • 6 tahanan etnik Rohingya lari dari depot maut kemalangan

    6 tahanan etnik Rohingya lari dari depot maut kemalangan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    (KEMAS KINI) SERAMAI enam daripada tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri daripada Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang maut dilanggar ketika cuba menyeberangi lebuh raya PLUS (Projek Lebuh Raya Utara Selatan) di Kilometer 165 (berhampiran Jawi) kira-kira pukul 6.50 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

    Jelas beliau, mereka merupakan sebahagian daripada 528 etnik Rohingya yang melarikan diri daripada Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap yang terletak bersempadan dengan Bandar Baharu, Kedah itu kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

    Bagaimanapun tambahnya, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan semula 229 daripada tahanan yang melarikan diri itu.

    “Selain pihak berkuasa termasuk polis dan Rela, orang ramai khususnya penduduk kampung berhampiran termasuk di sempadan negeri turut membantu dan berjaya memberkas 88 daripada tahanan itu sebelum menyerahkannya kepada pihak Imigresen,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah Mohd. Shuhaily, ketika ini usaha mengesan seramai 205 tahanan lagi masih giat dijalankan.

    “Kita percaya baki tahanan yang melarikan diri itu tidak lagi berani untuk menyeberangi lebuh raya selepas kemalangan terbabit.

    “Sebaliknya, rata-rata mereka mungkin hanya menyusuri lebuh raya tersebut semasa melarikan diri,” katanya.

    Tambah beliau, kerja-kerja mencari dan mengesan saki baki tahanan itu turut dibantu oleh sekumpulan anak muda secara sukarela.

  • Muhyiddin santuni penduduk Pagoh sempena Ramadan

    Muhyiddin santuni penduduk Pagoh sempena Ramadan

    AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang semalam menyantuni penduduk Pagoh pada majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Masjid Ar Rahman, Kampung Tui, Bukit Kepong.

    Pada majlis itu Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan harian kepada 25 buah masjid dan 32 buah surau di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong.

    Seramai 320 asnaf turut diraikan pada majlis ini, lapor Satu Berita hari ini.

    Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa menziarahi Setiausaha Bersatu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (bersatu) Bahagian Pagoh, Atiman Kadar yang mengalami strok di kediamannya di Kampung Sungai Alai, Panchor.

    “Bersama keberkatan Ramadan, saya doakan sahabat saya ini diberikan kesembuhan dan dapat kembali menyumbang bakti kepada parti dan masyarakat setempat,” katanya.

  • 700 PATI di tahanan imigresen larikan diri hari ini

    700 PATI di tahanan imigresen larikan diri hari ini

    SERAMAI 700 pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu melarikan diri dalam kejadian pada pukul 4 pagi tadi.

    Kumpulan PATI berkenaan antaranya terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot berkenaan oleh penduduk tempatan.

    Harian Metro melaporkan, semua tahanan terbabit adalah di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan, sebelum urusan penghantaran pulang dibuat.

    Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan pihak JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah, dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

    Sehingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas berjaya ditahan semula dengan operasi mengesan Pati yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.

    Sidang media berkenaan kejadian dijangka akan dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pada pagi ini.

  • Khemah besar bukan penentu kemenangan PRU-15:Shafie

    Khemah besar bukan penentu kemenangan PRU-15:Shafie

    PENDEKATAN ‘khemah besar’ atau gabungan antara parti pembangkang bukan penentu kemenangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Semporn itu berpendapat, rakyat hanya mahu pilihan dan perubahan dalam kepimpinan.

    “Kita beri keutamaan pada rumah kita dulu Warisan, kita tidak boleh terlalu fikir tentang khemah besar sana, khemah besar sini. Ada khemah besar di Melaka kalah, ada khemah besar di Sarawak pun kalah.

    “Ini bukan soal khemah tetapi apa yang rakyat mahukan adalah pilihan, mereka mahu perubahan dalam kepimpinan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dengan masyarakat setempat di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu, semalam.

    Beliau mengulas keperluan pendekatan khemah besar yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 sebelum ini.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, biarkan rakyat memilih dan putuskan pilihan mereka.

    “Saya rasa rakyat sudah putuskan bahawa tiada pilihan, jadi kita kena lihat perkara itu. Kita tidak boleh gesa orang untuk terima apa yang kita mahu, kita kena sesuaikan dengan perubahan, kemahuan di akar umbi.

    “Rakyat mahu sesuatu yang berbeza, mereka mahukan perubahan, bukan sekadar kata-kata tetapi perbuatan,” katanya.

  • KPWKM ambil serius semua cadangan TMJ-Rina

    KPWKM ambil serius semua cadangan TMJ-Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil serius semua cadangan disuarakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kes penderaan mangsa sindrom down dikenali sebagai Bella.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya telah memaklumkan perkembangan mengenai kes Bella kepada Tunku Ismail dan isterinya, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dalam sebuah pertemuan bersama KPWKM dan Wakil Pertubuhan Antarabangsa UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex di Royal Johor Club, Johor Bahru, hari ini.

    “Merafak sembah dan menjunjung kasih Tunku Ismail dan Che Puan Besar Khaleeda kerana sudi menjemput patik bersama rombongan KPWKM menghadap dan mempersembahkan kepada baginda berdua mengenai status terkini kes penderaan anak istimewa bernama Bella dan tindakan-tindakan intervensi yang telah disusuli oleh kementerian demi keadilan dan kebajikan anak istimewa ini.

    “Saya berasa berbesar hati atas keprihatinan baginda cakna terhadap kes ini yang turut sama bersolidariti bersama rakyat Malaysia yang prihatin.

    “Kementerian menyambut baik dan mengambil serius cadangan-cadangan yang disuarakan baginda. Insya-Allah,” katanya dalam siaran menerusi Facebook rasminya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, rombongan perjumpaan tersebut turut diiringi oleh Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh dan Penasihat Undang-undang KPWKM.

    Sebelum ini, kes penderaan melibatkan remaja kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bella itu mulai mendapat perhatian awam sejak awal bulan lalu.

    Lantaran itu, Tunku Ismail yang peka dengan keadaan menimpa mangsa berkenaan turut menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) di mahkamah.

  • Pengurus Syarikat rugi RM1.25 juta terperdaya Macau Scam

    Pengurus Syarikat rugi RM1.25 juta terperdaya Macau Scam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pengurus syarikat mengalami kerugian sebanyak RM1.25 juta akibat tertipu dengan sindiket Macau Scam yang memperdayanya menerusi panggilan dilakukan beberapa individu sejak Oktober 2021.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Supritendan Elias Omar, penipuan itu bermula sejak mangsa yang merupakan seorang wanita berumur 46 tahun, dihubungi seorang individu bernama Sabrina yang mendakwa dirinya merupakan kakitangan Syarikat Insurans Etiqa pada 18 Oktober 2021.

    Menerusi panggilan tersebut katanya, pengurus syarikat itu diminta membuat pembayaran berjumlah RM70,000 kerana didakwa telah membuat pembelian polisi insurans dari syarikat berkenaan.

    “Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum Sabrina mengarahkannya membuat laporan polis. Berikutan itu, panggilan tersebut kononnya disambungkan ke Balai Polis Pudu dan mangsa lalu bercakap dengan beberapa individu memperkenalkan diri sebagai Sarjan Adam, Inspektor Mazlan dan Inspektor Yong.

    “Dalam percakapan itu, mangsa dimaklumkan pula yang terdapat waran tangkap terhadapnya kerana terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan pembunuhan. Mangsa lalu sekali lagi menafikan dakwaan dibangkitan itu,” katanya.

    Tidak berakhir di situ katanya, mangsa kemudiannya dihubungi pula seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai timbalan pendakwa raya bernama ‘Puan Mastura’.

    “‘Puan Mastura’ mendakwa dia boleh membuat penangguhan waran tangkap tersebut dengan syarat mangsa memberi kerjasama kepada pihak polis dan melaporkan aktiviti hariannya.

    “Terperdaya dengan kenyataan itu, mangsa kemudiannya mendedahkan maklumat akaun dan kad debit Bank Islam serta Bank Rakyat, selain mendedahkan jumlah wang dalam setiap akaun tersebut termasuk akaun Tabung Haji berjumlah kira-kira RM1 juta kepada suspek,” katanya.

    Tambahnya, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa supaya membuat pindahan dalam akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam mangsa berjumlah RM900,000 dan Bank Rakyat berjumlah RM200,000.

    “Mangsa hanya sedar ditipu apabila dia menyemak kedua-dua akaun terbabit pada 11 April lalu dan mendapati wang tersebut telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga sebanyak RM1.25 juta.

    “Mangsa mendakwa dia tidak pernah mendaftar sebarang perbankan dalam talian dan dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Lunas, semalam,” katanya.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • TMJ cadang 3 perkara untuk pastikan kes Bella tidak berulang

    TMJ cadang 3 perkara untuk pastikan kes Bella tidak berulang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mencadangkan tiga langkah penting yang perlu dilakukan bagi memastikan kes penderaan seperti mengabaikan dan mendera remaja sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella tidak berulang.

    Pertama kata Tunku Mahkota Johor, pindaan perundangan dan penambahbaikan undang-undang semasa, seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera.

    “Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.

    “Kedua, penguatkuasaan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

    “Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” kata Tunku Mahkota Johor dalam satu hantaran menerusi Instagram The Royal Johor, hari ini.

    Perkara ketiga kata Tunku Mahkota Johor, kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi bebas lain.

    “Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.

    “Saya ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik,” kata Tunku Ismail lagi.

    Tiga langkah itu dicadangkan Tunku Mahkota Johor selepas bertemu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di Royal Johor Polo Club, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail.

    Semalam, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella.

    Tunku Ismail menegaskan, akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran itu.

    Tawaran tersebut susulan isteri beliau, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dilapor sedia membantu Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

    Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.

    Perbicaraan kes itu turut mendapat perhatian dan menjadi perdebatan bagi rakyat yang melihat seolah-olah nasib Bella seperti tidak diperjuangkan sedangkan remaja berusia 13 tahun itu merupakan seorang OKU dan telah menerima penganiayaan.

    Siti Bainun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Untitled post 33114

    Zahid Hamidi seru kerajaan selesaikan masalah pusat jagaan kanak-kanak tak berlesen…

    Aikkk… tiba-tiba aje komen… Kenapa ye…?

  • Operasi Lejang:30 ditahan terlibat kecurian kenderaan

    Operasi Lejang:30 ditahan terlibat kecurian kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Siasatan Jenayah Johor (JSJJ) menangkap 30 individu terlibat dalam kesalahan kecurian kenderaan menerusi Operasi Lejang yang diadakan pada 22 Mac lalu hingga kini.

    Ketua JSJJ, Senior Asisten Komisioner Shahrurinain Jais berkata, menerusi operasi tersebut juga pihaknya merampas 24 kenderaan curi dan 117 barangan lain.

    “Menerusi operasi ini 56 pemeriksaan dilakukan dan daripada jumlah itu, 30 individu ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kadar jenayah di negeri itu bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini menurun sebanyak 339 kes bersamaan 22.16 peratus dengan purata kes jenayah 11 kes sehari.

    Katanya, jenayah harta benda juga menunjukkan penurunan 22.55 peratus manakala jenayah kekerasan menunjukkan penurunan 20.54 peratus.

    Jelasnya, secara keseluruhan indeks jenayah di negeri itu masih terkawal dan sebagai persediaan menghadapi musim perayaan dan pembukaan sempadan antarabangsa, JSJJ giat melancarkan pelbagai operasi serta aktiviti cegah jenayah secara agresif.

    “Ini termasuk membanteras kegiatan hiburan, perjudian, dan maksiat. Ini bagi memastikan Johor bebas daripada jenayah, selamat diduduki dan dikunjungi pelancoing dalam dan luar negara,” katanya.

  • Anak Zahid Hamidi nafi keluarga lindungi Siti Bainun

    Anak Zahid Hamidi nafi keluarga lindungi Siti Bainun

    ANAK perempuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan keluarganya melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang kini didakwa atas tuduhan mengabaikan dan mendera remaja sindrom down berusia 13 tahun.

    Nurul Hidayah Ahmad Zahid menjelaskan, keluarganya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Siti Bainun, meskipun mengakui mereka pernah kenal rapat sebelum ini.

    Jelasnya, pendedahan itu bukan untuk mengaibkan sesiapa dan sebagai anak kepada Zahid Hamidi merasa bertanggungjawab dan wajib mempertahankan maruah keluarganya daripada terus tercalar.

    “Kami sekeluarga tiada kena mengena dengan orang kena tahan (OKT) atau dengan pemahaman lain, kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.

    “Benar kami pernah kenal dan rapat. Sebagai seorang yang pernah rapat saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT yang saya anggap sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya,” tulisnya pada menerusi satu hantaran dalam Instagram miliknya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu, gara-gara foto yang tular, timbul dakwaan kononnya Siti Bainun adalah anak angkat kepada Ahmad Zahid.

    Mengulas lanjut, Nurul Hidayah juga tidak faham dengan motif dan fokus #justiceforbella sekarang ini untuk membuktikan siapa pelaku atau siapa yang pernah rapat dengan OKT.

    “Saya tidak berhajat untuk menulis lebih panjang kerana sebagai manusia, hati saya tidak mampu menahan emosi melihat orang yang pernah rapat dengan kita suatu ketika dahulu didakwa atas tuduhan mendera,” katanya.

    Dalam hantaran sama, Nurul Hidayah turut memuat naik tangkap layar perbualan melalui WhatsApp antara beliau dengan Siti Bainun.

    Pihaknya tidak memaksa untuk orang lain mempercayainya, tetapi cukup sekadar menjelaskan bahawa beliau sekeluarga tidak pernah melindungi OKT.

    “Jika ada cerita yang menyatakan sebaliknya, bukan kami yang melindungi OKT, mungkin ia adalah salah satu cara seseorang itu memberitahu yang dia adalah seorang yang ‘kebal’.

    “Tiada yang kebal dan kuat jika bersandarkan kepada manusia, kecuali ALLAH yang Maha Mengetahui dan Maha Melindungi,” tulisnya lagi.