Author: Admin

  • Didenda RM100 bermain meriam karbaid, sebar video di media sosial

    Didenda RM100 bermain meriam karbaid, sebar video di media sosial

    SERAMAI tiga lelaki didenda RM100 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas kesalahan menyalakan meriam karbaid serta merakam dan menularkan perbuatan itu di media sosial pada 7 April lalu.

    Tertuduh, Muhammad Shahrul Izzuan Kamaruzaman, 28, dan Muhammad Nawar Md. Shariff, 28, bersama seorang lagi remaja bawah umur sebelum itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyalakan meriam karbaid yang diletakkan di dalam paip PVC bertujuan menembak mercun ke udara.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Rawa di hadapan Kedai Makan Pokok Nyok di Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 malam pada 7 April lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sebulan atau denda RM100 atau kedua-duanya.

    Sementara itu, tertuduh berusia 17 tahun bagaimanapun dibenarkan diikat jamin oleh ibu bapa atau penjaga sebanyak RM1,000 sementara menunggu laporan akhlak bagi sebutan semula kes pada 26 Mei ini.

    Di mahkamah sama, tertuduh Abd. Rahman Noorudin, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja memviralkan video cara bermain mercun jenis meriam karbaid di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan hari yang sama.

    Abd. Rahman didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100.

    Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali.

  • Kapal tangki Tanzania berlabuh haram di Sedili Kecil

    Kapal tangki Tanzania berlabuh haram di Sedili Kecil

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 15.2 batu nautika Tanjung Sedili Kecil di Kota Tinggi, petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar di Zanzibar, Tanzania itu ditahan dalam satu operasi rutin sekitar pukul 1.45 petang.

    Katanya, kapal sepanjang 64 meter itu dikendalikan lapan kru lelaki warga Indonesia yang berumur antara 25 hingga 59 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Namun, hasil semakan terhadap dokumen kapal mendapati nakhoda kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

    “Nakhoda kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kapal sepanjang 64 meter itu dikendalikan lapan kru lelaki warga Indonesia yang berumur antara 25 hingga 59 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Nurul Hizam berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

    Kata beliau, disamping melaksanakan Op Jangkar Haram bagi membanteras kegiatan bersauh tanpa kebenaran, Maritim Malaysia Johor turut terlibat dalam Op Khas Pagar Laut bagi mengekang jenayah rentas sempadan sempena musim perayaan yang bakal menjelang.

    “Orang ramai boleh membantu menyalurkan sebarang maklumat ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Radhi OAG didakwa cederakan bekas isteri

    Radhi OAG didakwa cederakan bekas isteri

    VOKALIS kumpulan OAG, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Selasa lalu.

    Radhi, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shaira Ayu Zahiri, 28, di parkir di Kota Damansara pada pukul 2.29 petang 19 April lalu.

    Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

    Bagaimanapun, peguam, Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili penyanyi itu, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.

    “Nilai RM7,000 amat tinggi memandangkan tertuduh perlu menjaga anak-anaknya dan jika nilai tinggi diberi ia akan menyukarkan anak guam saya untuk menjaga mereka,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Semalam, penyanyi kumpulan itu direman dua hari kerana disyaki memukul bekas isterinya hanya kerana enggan bergambar di kawasan parkir di sebuah kediaman di Kota Damansara.

    Untuk rekod, Ayu dan Radhi melangsungkan perkahwinan pada 14 April 2014.

    Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini masing-masing berusia tujuh dan enam tahun.

    Bagaimanapun, lima tahun kemudian, pasangan itu memutuskan untuk berpisah selepas Radhi melafazkan talak satu di rumah mereka.

    Sebelum perkahwinan bersama Ayu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga bersama Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.

    Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, yang kini berusia 17 tahun.

  • [VIDEO] Lelaki dakwa nampak UFO terbang di langit

    [VIDEO] Lelaki dakwa nampak UFO terbang di langit

    SEORANG lelaki mendakwa dia telah mengesan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di langit bandar Kyle di Hays County, Texas sejak beberapa bulan lalu.

    Memetik laporan Mirror, objek bulat yang mengeluarkan sinar jingga itu dilihat bergerak melintasi langit Hayes oleh Sal Sanchez.

    Fenomena aneh itu turut disaksikan oleh keluarga dan jiran Sanchez.

    Dia menggambarkan UFO yang dilihatnya pada malam 17 April lalu sebagai ‘pertunjukan cahaya yang sangat menakjubkan’.

    “Anda perlu berada di sini untuk menyaksikannya. Ia datang satu demi satu. Anak perempuan saya pernah melihatnya.

    “Dua UFO datang dari arah selatan ke utara dan bertemu dengan satu lagi dari bertentangan, dan ia kemudian berpatah balik ke arah utara,” katanya kepada FOX 7 Austin.

    Sanchez percaya objek yang dilihatnya itu bukan dron kerana tiada bunyi kedengaran walaupun ia terbang pada aras yang rendah.

    Dia turut membandingkan video yang dirakamnya pada malam kejadian dengan insiden-insiden serupa yang dilaporkan di seluruh Amerika Syarikat.

    “Sangat banyak video yang memaparkan perkara sama seperti yang saya lihat.

    “JIka ia sesuatu dari dunia lain, mengapa berlaku di Kyle?” soalnya.

    Kredit video: Saluran YouTube FOX 7 Austin

    Sementara itu, seorang pengkaji UFO di Texas, Jane Kyle tertarik dengan video yang dirakam oleh Sanchez.

    “Pada mulanya saya fikir ia mungkin tanglung, tapi sudah tentu bukan.

    “Dalam rakaman video lebih seminit itu, cahaya kelihatan jelas dan ia bergerak seperti ada yang memandunya,” katanya.

    Walaupun tidak menolak kemungkinan objek itu adalah sebuah dron yang sangat mahal dan canggih, Kyle tidak pasti apakah ia sebenarnya.

    “Dron boleh terbang sehingga aras 400 kaki, agak tinggi, dan yang canggih boleh mencapai kelajuan 100 batu sejam.

    “Kemungkinan besar ia bukan sesuatu yang kita biasa lihat dan perkara ini benar-benar satu misteri,” jelasnya.

  • Dokumen ‘PASleaks’ tidak dapat dipastikan kesahihannya – PM

    Dokumen ‘PASleaks’ tidak dapat dipastikan kesahihannya – PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebocoran dokumen minit mesyuarat didakwa milik Pas yang tular sejak kelmarin tidak dapat dipastikan kesahihannya.

    Sinar Harian melaporkan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kebocoran dokumen empat muka surat itu.

    “Kita pun tidak tahu dokumen itu betul atau tidak,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas pelancaran buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Putrajaya, hari ini.

    Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebocoran dokumen tersebut.

    Sebelum ini, empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik Pas antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.

    Dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai merupakan minit mesyuarat Pas yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

  • Tarikh lihat anak bulan syawal 1 Mei

    Tarikh lihat anak bulan syawal 1 Mei

    TARIKH melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

    Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Majlis Raja-Raja juga bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

    Tarikh Aidilfitri akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

    Sebanyak 29 lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Bukit Jugra, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

    Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Geliga Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu.

    Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

    Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong.

    Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. – Bernama

  • Lelaki lemas selepas terjatuh dalam sungai

    Lelaki lemas selepas terjatuh dalam sungai

    SEORANG lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dalam sungai berhampiran Taman Areca Pinang Park di Georgetown, malam tadi.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 8.14 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan Bagan Jermal terlibat dalam operasi terbabit.

    Sinar Harian melaporkan, beliau berkata, anggota berkenaan dibantu oleh komuniti nelayan yang menggunakan bot persendirian.

    “Selepas lebih dua jam melakukan pencarian di sekitar kawasan yang dilaporkan terjatuh akhirnya mayat lelaki terbabit berjaya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pukul 10.37 malam.

    “Mangsa dikenali sebagai Muhammad Amiruddin Biddin, 21, dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mayat lelaki berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 11.13 malam.

  • Guru rugi RM45,000 diperdaya pelaburan menerusi Telegram

    Guru rugi RM45,000 diperdaya pelaburan menerusi Telegram

    SEORANG guru dari Jempol, Negeri Sembilan mendakwa kerugian RM45,500 selepas terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi aplikasi Telegram, Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 52 tahun itu telah dimasukkan ke sebuah kumpulan Telegram dan ditawarkan pakej pelaburan dalam tempoh perdagangan tiga hingga enam jam yang akan mendapat keuntungan sebanyak RM15,000 setelah selesai tempoh masa perdagangan tersebut.

    “Mangsa memilih pakej 1 iaitu membayar sebanyak RM1,000 dengan pulangan RM16,000 dalam tempoh masa perdagangan tiga hingga enam jam.

    “Tertarik dengan tawaran tersebut, lelaki berkenaan melakukan bayaran sebanyak RM1,000 ke akaun bank tempatan milik seorang individu pada hari sama.

    “Pada 18 hingga 19 April, mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM44,500 ke beberapa akaun bank tempatan milik syarikat dan individu lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang sudah membuat transaksi itu, sekali lagi diminta membuat bayaran sebanyak RM27,500 sebelum RM82,500 didakwa akan dimasukkan ke akaunnya.

    Hoo berkata, mangsa yang berasa telah ditipu membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan lain, Hoo berkata seorang jurujual lelaki berusia 30 tahun dari Bahau kerugian RM20,000 selepas terpedaya dalam sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.

    “Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 16 April lepas dan panggilan itu didakwa disambungkan kepada pegawai polis bagi menjalankan siasatan terhadap mangsa,” katanya.

    Beliau berkata lelaki itu yang mengikut arahan suspek telah mendedahkan semua butiran akaun bank kepada individu tidak dikenali tersebut serta mangsa yang berasa curiga lalu membuat semakan ke dalam akaun banknya dan mendapati wang telah berkurangan sebanyak RM20,000.

    Hoo berkata mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis pada Selasa lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Berang tak dapat gaji RM1,700, lelaki tetak bekas majikan

    Berang tak dapat gaji RM1,700, lelaki tetak bekas majikan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AKIBAT berang selepas tidak dibayar gaji berjumlah RM1,700, seorang lelaki berusia 48 tahun bertindak menetak bekas majikannya menggunakan kapak dan pisau lipat dalam kejadian di Jalan Penang, Pulau Pinang pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun yang juga pemilik kedai foto mengalami kecederaan di tangan kanan, kiri dan bahagian belakang badan akibat ditetak di hadapan kedai foto miliknya.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata,
    mangsa dibuang kerja pada 12 April lalu dan sejak itu berulang kali meminta bayaran gajinya daripada mangsa.

    “Bekas majikannya itu juga berjanji akan memberikan wang berkenaan tetapi disebabkan masih belum diterima, suspek yang berang bertindak menetak mangsa.

    “Mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian amanat Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian dan kini sedang menunggu arahan untuk ditahan reman dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • PRU-15: Pembangkang mesti buang ego kalau tidak mahu terkubur

    PRU-15: Pembangkang mesti buang ego kalau tidak mahu terkubur

    PARTI-parti pembangkang terutamanya DAP perlu mengetepikan ego yang hanya melihat kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiga tahun lalu adalah kesilapan Bersatu semata-mata, sehingga terus bermasam muka dan terus menutup pintu kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr. Rusdi Omar menegaskan, meskipun perkara itu tidak boleh dinafikan, namun DAP perlu sedar bahawa keretakan PH ketika itu turut bermula angkara mereka sendiri.

    “Apabila mereka (DAP) sudah ada kuasa, hak-hak pengundi Melayu nampaknya dinafikan pada ketika mereka menjadi kerajaan. DAP perlu sedar bahawa perkara itu berlaku ketika PH menjadi kerajaan, JASA dimansuhkan, kakitangan kerajaan dinafikan kenaikan gaji dan sebagainya lagi.

    “Kalau mereka pada ketika itu bijak, PH hanya perlu sambung dan teruskan apa yang dilakukan kerajaan sebelumnya, Tapi mereka tak ambil langkah itu, mereka ambil langkah yang buat rakyat rasa tertindas secara tidak langsung,” katanya seperti dilaporkan SatuBerita.

    Justeru katanya, berbanding terus menuding jari sesama sendiri, parti-parti komponen PH secara umumnya perlu menjadikan perkara itu satu pengajaran dan bermuhasabah diri bagi mempersiapkan diri sekiranya mahu menjadi kerajaan yang terbaik untuk menjaga rakyat.

    “DAP juga tak bolehlah nak kata bahawa berlakunya ‘tikam belakang’ ketika itu hanya kerana Bersatu, Pas dan UMNO ingin bersama. Mereka juga perlu muhasabah diri sendiri begitu juga parti lain. Mesti ada puncanya dan di mana silap masing-masing. Lihat ia sebagai pengajaran,” ulasnya.

    Bahkan, katanya sekiranya parti-parti pembangkang berkeras mahu terus menutup kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan bergerak bersendirian, itu bermakna cita-cita mereka untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) boleh dianggap terkubur sebelum berperang.

    “Kalau tiada kesatuan, saya tidak nampak cita-cita itu akan tercapai. Mungkin mereka tak mahu dengan Bersatu dan Pas. Tapi mereka perlu fikir, sejarah di PRN Melaka dan Johor akan berulang di PRU-15 kalau tiada kerjasama dari PN. Masih nak jadi pembangkang kah? Takkan selama-lamanya mahu jadi pembangkang?

    “Kalau betul mahu tumbangkan BN, letak ketepi ego masing-masing. Kalau mereka rasa mereka hebat, bertanding secara individu lah. Tapi saya tidak nampak peluang yang cerah dengan cara itu kalau ambil kira dua PRN yang lepas. Tanpa kerjasama parti-parti, tiada peluang mahu tumbangkan BN,” ujarnya lagi.