PERIKATAN Nasional Maran mahu menyekat dominasi Barisan Nasional (BN) di Maran apabila mensasarkan kemenangan 4-0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
Kemenangan itu bukan sahaja di kerusi Parlimen malah di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Sentul, Luit dan Chenor.
Saingan bagi menawan Maran bermula semalam apabila kesemua empat calon yang mewakili gabungan itu diterima pencalonan masing-masing bagi menambat hati kira-kira 53,000 pengundi di situ.
Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, untuk DUN, PN Maran merupakan penyandang bagi kerusi Luit dan Chenor yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN Kawasan Maran berkata, beliau yakin dua kerusi DUN itu dapat dipertahankan PN pada PRU-15 ini.
“Kini misi kita untuk merampas kerusi DUN Kuala Sentul pula. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lalu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tiga penggal menang dan beliau tidak lagi fokus di Kuala Sentul pada penggal ketiga.
“Dia (Shahaniza) lebih fokus kepada Maran sehingga lupa kepada DUN Kuala Sentul. Kita dengan gerak kerja yang telah dilakukan bersama Pas sebagai rakan gabungan dalam PN, insya-Allah kita mampu merampas DUN Kuala Sentul,” katanya di sini.
Pada PRU-14 lalu, Shahaniza mempertahankan DUN Kuala Sentul untuk penggal ketiga apabila mendapat 5,541 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Azmi Nadzri dan calon PKR, Bostamin Bakar.
Jasri yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Maran berkata, dengan kesepakatan gabungan parti politik dalam PN, beliau yakin dominasi UMNO di Maran dapat disekat pada PRU-15 ini.
“Insya-Allah Parlimen Maran akan menjadi milik PN apabila penyandangnya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib bertanding atas tiket PN selepas tidak dicalonkan semula oleh BN pada PRU kali ini,” katanya.
SELEPAS insiden penutupan beberapa bilik gerakan UMNO sebelum ini gara-gara tidak puas hati dengan pemilihan calon, kali ini MCA pula melakukan perkara sama dek marah kepada gabungan mereka, Barisan Nasional (BN).
Difahamkan kemarahan bahagian itu berkait dengan pembahagian kerusi bagi Parlimen Batu, lapor Malaysiakini.
Kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 13 saat yang tular di media sosial dengan kapsyen, ‘Lagi pemberontakan dalaman BN! MCA boikot calon MIC Parlimen Batu’.
Melalui klip video itu, kelihatan sekumpulan lelaki menjerit sambil merentap sepanduk berwarna biru yang digantung.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan calon Parlimen Batu, Datuk Kohilan Pillay daripada MIC namun sehari kemudian Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan kerusi itu akan ditandingi calon MCA bukan MIC.
Katanya, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dengan Zahid sebagai pertukaran kerana kerusi Parlimen Padang Serai telah pun diberikan kepada MIC.
MCA kemudian mengumumkan Yew Teong Look sebagai calon mereka di Parlimen itu namun Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan calon MIC tetap bertanding di Parlimen Batu.
BN akhirnya mengesahkan Kohilan akan kekal sebagai calon gabungan itu untuk Parlimen Batu.
Menurut laporan Sin Chew Daily, Yew dan Ketua Bahagian MCA Batu, Lim Beng Hean mengetuai kira-kira 20 orang menurunkan kain rentang dan menutup pusat operasi itu hari ini.
Yew enggan mendedahkan butiran lanjut namun katanya tindakan mereka hari ini adalah kerana MCA Bahagian Batu sangat marah.
Heboh diperkatakan mengenai surat aku janji calon BN yang menang pada PRU15 ini supaya menyokong Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.
Surat yang viral itu mendakwa calon yang terlibat perlu menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO dalam membuat perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU15.
Kandungan surat itu turut mendakwa bahawa calon yang menang perlu menyokong pengguguran kes mahkamah dan siasatan ke atas pemimpin UMNO dan BN.
Aku janji berkenaan yang mengundang pelbagai persepsi ditamatkan oleh Pengarah Komunikasi BN, Shamsul Anuar Nasarah yang menafikan semua dakwaan dalam surat berkenaan dengan berkata ia adalah usaha jahat pihak tertentu untuk memburukkan UMNO.
Calon BN lain seperti Khairy Jamaluddin turut menafikan aku janji itu dengan mengatakan bahawa mereka hanya menandatangani aku janji BN yang menetapkan mengenai larangan lompat parti dan kesetiaan kepada BN.
Kata calon Parlimen Sungai Buloh itu, tiada tanda tangan dengan kepala surat UMNO seperti yang heboh diperkatakan.
Zahid turut memberi respons dengan mendakwa pihak lawan begitu terdesak menabur fitnah dan menjadikan surat itu sebagai bahan kempen. Satu laporan polis pun sudah dibuat, manakala SPRM sedang menyiasat kesahihan aku janji tersebut.
Bagi Tok Chey, biarlah pihak berkuasa tentukannya dan setiap parti yang bertanding perlu menggunakan cara kempen yang sihat untuk memenangi PRU15. Dedahkan fakta supaya rakyat dapat menilai perkara yang sebenarnya.
Sama ada benar atau palsu, sama-sama kita tunggu siasatan pihak berkuasa.
Presiden PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim
Selain aku janji ini, satu lagi isu yang kuat diperkatakan ialah mengenai pakatan sulit Zahid- Anwar untuk membentuk kerajaan selepas PRU15. Rakyat sebenarnya ingin tahu perkara sebenar adakah ia akan berlaku atau sekadar dakwaan semata-mata.
Walaupun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengatakan yang dia akan menjadi orang pertama menentang pakatan itu, rakyat sebenarnya ingin tahu penjelasan isu itu daripada mulut Zahid dan Anwar sendiri.
Ini kerana, pada bulan lalu sudah ada permintaan daripada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan supaya Zahid dan Anwar menjelaskan mengenai pakatan sulit tersebut. Begitu juga dengan audio tular perbualan Zahid- Anwar yang masih belum dinafikan Zahid tetapi telah diakui pemimpin UMNO bahawa perbualan itu sememangnya benar.
Terkini, Annuar Musa dalam warkah terbuka di Facebook berkata, bekas Ahli Parlimen UMNO yang tidak terpilih untuk bertanding kali ini perlu reda dan mengakui ia adalah harga yang perlu dibayar kerana menentang beberapa rancangan Zahid.
Kata Annuar, mereka sebelum ini pernah menggagalkan rancangan yang tidak menguntungkan UMNO seperti usaha Zahid menaikkan Anwar sebagai PM.
Namun sehingga kini belum ada sebarang penjelasan berhubung persoalan tersebut yang mengukuhkan pandangan ‘ada sesuatu’ antara Zahid dan Anwar. Sewajarnya mereka berterus-terang dengan pengundi masing-masing apakah rancangan yang ingin mereka lakukan.
Pengundi atas pagar pun ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana jangkaan pada ketika ini tiada satu gabungan pun yang mampu mendapat undi ‘solid’ untuk membentuk kerajaan. Maka kemungkinan wujud pakatan kerjasama politik antara parti-parti selepas PRU15 sentiasa terbuka luas.
Nyatakan dengan jelas strategi mereka supaya mudah bagi rakyat untuk membuat pertimbangan di peti undi pada 19 November ini.
Pada pandangan Tok Chey, jika Zahid dan Anwar mempunyai alasan yang kukuh untuk bekerjasama, maka eloklah dinyatakan secara terang-terangan supaya tidak ada persepsi yang bukan-bukan.
Lagipun apa salahnya mereka mewujudkan kerjasama kerana Zahid amat menghormati Anwar sebagai cikgunya yang merupakan satu-satunya pemimpin yang masih belum dapat menjadi Perdana Menteri.
TINDAKAN pihak tertentu termasuk kalangan pemimpin masyarakat dan politik mengaitkan ladang Musang King dengan tragedi aliran puing di Gunung Inas, Baling di Kedah tidak lebih daripada bertujuan untuk memberi imej buruk kepada kerajaan negeri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, sehingga ke hari ini tidak ada satu pun kajian termasuk dilakukan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) yang mengaitkan tragedi kepala air di puncak Gunung Inas di Baling dengan ladang Musang King di situ.
“Itu cuma usaha bagi membina persepsi kepada kerajaan negeri sedangkan dakwaan itu tak benar. Sehingga kini tak ada kajian menunjukkan aliran puing itu bermula daripada tanaman ladang Musang King.
“Dakwaan ini paling popular supaya kerajaan negeri terima kesan buruk daripada penyebaranya. Saya dapat pemimpin masyarakat juga terlibat dalam menyebarkan persepsi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Alor Setar, hari ini ketika menjawab soalan tambahan Abd. Nasir Idris (Pas-Bayu) mengenai usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menangkis persepsi buruk yang sering disebarkan mengenai kejadian banjir di Gunung Inas pada Julai lalu.
Muhammad Sanusi menambah, Pejabat Daerah Baling sudah mengadakan taklimat berhubung perkara itu bersandarkan fakta dan data saintifik kepada penduduk terlibat.
“Taklimat itu disampaikan Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo yang mengetuai kajian oleh Jawatankuasa Khas, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
“Saya berharap usaha ini dapat memahamkan penduduk bahawa sebaran sebelum ini tentang (projek) musang king dan lain-lain adalah usaha untuk memesongkan fakta dan hakikat sebenar kejadian,” katanya.
Mengulas turut memaklumkan, kontraktor dilantik kini giat menjalankan usaha mendalamkan Sungai Kupang yang kian cetek akibat bencana itu.
“Aliran puing itu menyebabkan sungai menjadi sama paras dengan jalan. Walhal sebelum tragedi itu berlaku, sungai tersebut berada antara 3 hingga 4.5 meter di bawah titi yang merentasinya,” katanya.
SAYA tidak ada sebarang halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku yang ditulis oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya. Tetapi amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Tan Sri Apandi Ali yang jelas telah melakukan pelbagai kesalahan semasa dia menjadi Peguam Negara sebelum Thomas.
Kesalahannya melepas Datuk Seri Najib dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB.
Bagaimana boleh Apandi sebagai seorang Peguam Negara dengan mudah melepas Najib sedangkan sembilan hakim – bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan – kesemuanya mendapati Najib bersalah.
Bahkan seorang lagi hakim mahkamah tinggi Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei 2022, di dalam penghakiman bertulisnya, sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang, telah membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain:
i) Adalah seorang penipu;
ii) Gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara;
iii) Ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB;
iv) Mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal
1MDB dan menyucikan Datuk Najib dan;
v) Apandi juga menolak bantuan undang-undang bersama dari pihak berkuasa Switzerland dan juga Department of Justice Amerika Syarikat sedangkan dia sedar bantuan mereka perlu untuk siasatan 1MDB.
Azimah turut menyatakan “rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.”
Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh Kerajaan kerana Kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya. Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang telah didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Saya sebenarnya sudah menduga, setiap kali saya bersuara mengenai salah-laku Kerajaan akan ditimbul perkara-perkara sebegini untuk menutup mulut saya. Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan.
KECEKAPAN sepasukan anggota tentera mengesan jejak membawa kepada penahanan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar yang cuba bersembunyi dalam laluan Sungai berhampiran Felda Bukit Tangga dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
Menurut kenyataan dikeluarkan Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, tim ronda yang sedang melaksanakan tugas dalam Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia berjaya mengesan pergerakan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan.
“Tim ronda tersebut lalu bertindak menjejaki dan menahan kesemua mereka. Pemeriksaan mendapati 14 individu tersebut merupakan warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk ke negara ini. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 39 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita. Kumpulan itu disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui laluan yang sah,” katanya.
Tambah beliau, barangan yang dirampas daripada PATI tersebut adalah tiga telefon bimbit, 10 kad pengenalan warganegara Myanmar, wang tunai dalam mata wang Myanmar dan tujuh beg pakaian dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1,500.
“Kesemua PATI tersebut diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.
SERAMAI 11 mangsa, termasuk kanak-kanak, maut dalam kebakaran sebuah sekolah di penempatan luar bandar berhampiran ibu negara Uganda, Kampala, kata pegawai polis, hari ini.
Jurucakap polis, Luke Owoyesigire memaklumkan insiden semalaman itu berlaku di sekolah untuk golongan buta di daerah Mukono, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Masalah kebakaran di sekolah kerap menjadi kebimbangan pegawai pendidik di negara Afrika Timur, menurut Berita Harian yang memetik laporan AP.
Pada 2020, dua asrama di sebuah sekolah berasrama yang terkenal di Kampala musnah dalam kejadian berasingan. Bagaimanapun, tiada individu dilaporkan cedera.
Pada 2008, seramai 19 pelajar terkorban dalam kebakaran yang tercetus pada malam di sebuah sekolah berasrama berhampiran Kampala.
TINDAKAN bekas Ketua Bahagian Bersatu Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim keluar daripada parti hari ini sudah dijangka dan bukanla sesuatu yang mengejutkan.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli, tindakan dilakukan Syed Sobri sebelum ini juga tampak ‘berlainan’ daripada kebiasaan.
Malah katanya, Syed Sobri sebelum ini sememangnya pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti sejak sekian lama.
“Dalam Bersatu, kita ada saluran untuk menyalurkan sebarang rasa tak puas hati. Kita ada perjumpaan bulanan dan perkara itu boleh disuarakan melalui perbincangan. Disebabkan itu alasan menyatakan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan adalah sesuatu yang janggal. Lagi pun rasa tidak puas hati itu dikatakan sudah timbul sejak sekian lama tetapi mengapa baru disuarakan pada musim pilihan raya?
Khairul Anuar Ramli ketika mengadakan sidang akhbar berhubung tindakan Syed Sobri Syed Hashim keluar daripada Bersatu.
“Jadi saya rasa ruang ini digunakan kerana kita berada dalam fasa untuk masuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Kita faham waktu ini adalah ruang yang berharga bagi orang politik yang ada agenda peribadi,” katanya pada sidang akhbar di Padang Terap hari ini.
Beberapa jam sebelum sidang akhbar itu, Syed Sobri terlebih dulu mengumumkan pengundurannya daripada Bersatu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Kuala Nerang bagi penggal 2008 hingga 2013 itu turut mengumumkan penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Masyarakat Padang Terap yang akan memberi sokongan kepada calon BN di Parlimen tersebut dalam PRU akan datang.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar turut menafikan dakwaan Syed Sobri kononnya lebih 1,000 ahli Bersatu turut menuruti jejaknya meninggalkan parti itu.
“Semakan Bersatu Bahagian ini mendapati hanya empat orang saja dalam sidang akhbar tersebut yang benar-benar menjadi ahli parti,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Padang Terap, Mohd. Zharif Mohd. Zohdi memaklumkan, Syed Sobri sebenarnya sudah meletak jawatan pada 15 Oktober lalu.
“Sebaik beliau meletakkan jawatan, kami telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan kesemua 21 AJK tersebut kekal bersama Bersatu hingga kini,” katanya.
NARATIF politik Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkisar kepada kepentingan rakyat, sebaliknya hanya membabitkan karier politik masing-masing, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Naib Presiden UMNO itu berkata, kedua-dua ahli politik itu hanyalah watak lama yang sudah berpuluh tahun dihidangkan kepada rakyat.
Justeru, kata beliau adalah perkara biasa bagi mana-mana parti yang bertanding memiliki impian untuk menang dengan meletakkan pelbagai strategi termasuk bekerjasama dalam pilihan raya.
“Dr. Mahathir dengan Anwar adalah nama yang telah berpuluh-puluh tahun (dalam politik). Bergaduh pun sejak tahun 1998 sampai sekarang. Lepas itu sekejap baik, sekejap tak baik, cium mulut lepas tu tak cium mulut.
“Rakyat nampak sekejap awak duduk sekali kononnya nak berkhidmat untuk rakyat tetapi 22 bulan semua orang tahu apa yang Pakatan Harapan (PH) buat? Lepas itu mereka berpisah buat (haluan) masing-masing.
“Ini kerana impian mereka bukan untuk memelihara rakyat, tetapi cerita pasal politik sahaja. Aku nak ‘bunuh’ kau, kau nak ‘bunuh’ aku itu sahaja tak ada cerita lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Daerah Padang Terap di Kuala Nerang, Padang Terap hari ini.
Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Padang Terap mengulas kemungkinan kerjasama sekali lagi antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pengerusi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Mahdzir berkata, pelaksanaan pilihan raya kali ini sepatutnya membawa agenda lebih besar daripada rencana politik kedua-dua individu berkenaan kerana ia melibatkan pembinaan negara.
Tambahnya, sudah tiba masa untuk rakyat memberi ruang kepada ahli politik lain memacu negara selepas kedua-dua pemimpin berkenaan terlalu kerap muncul untuk merebut kuasa sejak puluhan tahun lalu.
Malah, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat untuk menilai jalan cerita dibentangkan Dr. Mahathir dan Anwar sejak puluhan tahun lalu.